Halaman

02 February 2011

Terengganu Sedia Jadi Tuan Rumah LTdL

Oleh: Esah Abdullah

Kerajaan negeri menawarkan diri dan bersedia mengeluarkan belanja untuk menjadi tuan rumah dalam kejohanan Le Tour de Langkawi (LTdL) pada masa akan datang.

“Atau sekurang-kurangnya menjadi destinasi terakhir ‘final stage’ bagi kejohanan itu,” kata Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco, di Wisma Darul Iman, hari ini (2 Februari).

Katanya, perkara sebegini biasa berlaku bagi negara luar yang sanggup mengeluarkan belanja semata-mata untuk menarik sesuatu kejohanan ke tempat mereka kerana di sebalik acara yang berlangsung banyak faedah yang diperolehi termasuk publisiti dari sudut pelancongan.

“Sebab itulah saya beri tawaran kepada penganjur agar kejohanan LTdL akan datang peringkat akhir diadakan di Terengganu dan ianya boleh dimulakan dari Kemaman dan berakhir di Bandar Kuala Terengganu,” katanya.

Dato’ Seri Ahmad seterusnya melahirkan rasa bangga dengan pencapaian pasukan Terengganu Pro-Asia Cycling Team (TSG) yang pertama kali menyertai LTdL yang baru berakhir semalam.

“Pelumba kita telah memberi saingan hebat dan sering berada dalam kelompok hadapan dalam setiap pusingan (10 pusingan) sepanjang kejohanan berlangsung dan akhirnya berjaya menempatkan diri dalam senarai 10 pasukan terbaik kejohanan,” katanya.

Katanya, sebagai persiapan menyertai kejohanan akan datang, pasukan kedua akan diwujudkan bagi membantu pasukan pertama mengatur strategi memenangi kejohanan yang disertai.

“Kerajaan bercadang menghantar pasukan kedua ini menjalani latihan di India dan pasukan pertama akan menjelajah ke seluruh negara sebelum di hantar ke Shanghai,” katanya.

Sementara itu, Kerajaan Pusat juga telah bersetuju membina Sekolah Sukan Terengganu (SST) di kawasan seluas 20 ekar berhampiran Kompleks Sukan Gong Badak, Kuala Terengganu.

“Peruntukan permulaan dijangka menelan belanja RM20 juta bagi kerja-kerja awal membersih, merata tapak dan tender dijangkakan akan dibuka pada Jun depan,” katanya.

Katanya, projek pembinaan SST yang dijangka siap pada 2012 adalah standing dengan Sekolah Sukan Bukit Jalil dan dapat menampung 1,000 pelajar dari seluruh negara.

“Terengganu merupakan kuasa baru sukan dan kerajaan perlu sediakan tempat untuk mengembangkan bakat anak tempatan jika tidak bakat mereka akan terkubur begitu sahaja,” katanya.

Katanya, kerajaan juga tidak bercadang memindahkan pelajar-pelajar yang berada di Sekolah Sukan Bukit Nenas (SSBN) , Setiu ke SST kerana sekolah berkenaan dikendalikan kerajaan negeri dan Kerajaan Pusat tetapi akan bekerjasama dari segi pengendalian sukan.

TEGANUKITA