Masyarakat hari ini, khususnya rakyat Terengganu sewajarnya bersyukur di atas kurniaan Illahi yang menganugerahkan sebuah negara yang makmur dan maju.
Tidak lupa juga, kita sebagai rakyat perlu berterima kasih kepada pucuk pimpinan Pusat dan negeri yang telah berusaha mencari kemakmuran itu semata-mata untuk kesejahteraan dan kesenangan rakyat.
Pengerusi Veteran Umno Parlimen Kuala Nerus, Haji Sayed Mohamad Idrus, cukup kesal dengan sikap segelintir individu yang memandang rendah dan mengkritik setiap tranformasi dilaksanakan pemimpin sedangkan mereka turut menggunakan kemudahan itu.
“Adalah tidak bagus mempunyai sikap sebegitu, kerana secara tidak sedar golongan itu dan keturunannya turut menggunakan kemudahan seperti jalan raya, jambatan dan jejantas yang sememangnya diusahakan pemimpin Umno,” katanya ketika dihubungi wartawan Teganukita.
Menurut Haji Sayed Mohamad, bagi mengecapi kemakmuran seperti ini, bukannya mudah kerana pelbagai halangan yang dihadapi pemimpin terdahulu terutama sebelum mencapai kemerdekaan.
“Pengalaman ketika bersama-sama menyambut hari kemerdekaan pada 31 Ogos 1957 pula masih segar dalam ingatan walaupun hampir 54 tahun berlalu.
“Sewaktu itu saya bersama-sama 40 ahli Umno bersepakat untuk meraikan hari bersejarah itu di Padang Merdeka, Kuala Lumpur dengan menaiki feri dan bas,” katanya yang menggunakan duit poket sendiri dan ada di antara ahli lain terpaksa memecah duit tabung semata-mata tidak mahu ketinggalan meraikannya.
Katanya, sebelum tiba di Padang Merdeka yang mengambil masa dua hari satu malam pelbagai halangan dan rintangan dilalui di mana mereka terpaksa bermalam di Masjid Temerloh, Pahang dan akibat kepenatan juga, bangku Sekolah Kebangsaan Jalan Raja Muda menjadi tempat untuk berehat dan dijadikan alas tidur.
“Laungan merdeka, merdeka, merdeka yang dilafazkan Tuanku Abdul Rahman masih tergiang-giang sehingga ke hari ini dan tidak akan dilupakan hingga ke akhir hayat,” katanya ketika itu berusia 17 tahun.
TEGANUKITA