Halaman

02 February 2011

Konsep homestay disalahguna

Oleh: Suriati Ali

Pejabat Kementerian Pelancongan Malaysia Negeri Terengganu kesal dengan sikap segelintir individu menyalahgunakan konsep `homestay’ di mana ia sepatutnya dijadikan tempat tinggal pelancong bersama keluarga dan bukannya sebagai satu bentuk perniagaan komersil.

Pengarah pejabat itu, Encik Ahmad Fathil berkata, mereka yang mempunyai rumah kediaman lebih daripada satu tidak digalakkan menggunakan perkataan homestay sebagai promosi menarik minat pelanggan.

“Sepatutnya mereka menghebahkan kepada orang ramai rumah sewa, chalet atau rumah tumpangan sekiranya ingin menjadikan kediaman itu sebagai sumber rezeki.

“Langkah sesetengah pemilik premis menggunakan perkataan homestay boleh mengelirukan orang ramai, terutama pelancongan luar dan pelajar yang ingin menginap bersama pemilik kediaman ,” katanya kepada penulis Teganukita.

Katanya, homestay hanya mengenakan bayaran serendah RM20 hingga RM50 satu malam dan bukannya semahal RM100 hingga RM300 seperti yang dikenakan sekarang.

“Apabila pelancong atau pelajar menginap di homestay, mereka boleh belajar cara kehidupan, adat resam dan budi bahasa masyarakat di kampung selain boleh belajar cara masakan tradisional bersama pemilik homestay.

“Di Terengganu, terdapat empat perkampungan homestay yang diiktiraf pihak kami iaitu Homestay Teluk Ketapang; Homestay Pulau Duyung; Homestay Rhu 10, Setiu dan Homestay Pasir Raja, Dungun,” katanya.

Katanya, dalam tempoh tertentu, pengusaha homestay akan dihantar mengikuti pelbagai kursus sebagai langkah meningkatkan kaedah komunikasi, penampilan diri dan etika melayan tetamu.

TEGANUKITA