Halaman

28 June 2011

Laporan perisian komputer ugutan bunuh SMS tulen

Mahkamah Sesyen hari ini diberitahu laporan perisian komputer yang disediakan berhubung siasatan kes ugutan bunuh melalui SMS yang membabitkan bekas Setiausaha Politik kepada mantan Menteri Besar Dato’ Seri Haji Idris Jusoh, iaitu Datuk Dr.Ahmad Ramzi Mohd Zubir, adalah sama dengan yang terdapat dalam perisian komputer yang dirampas polis berhubung kes berkenaan.

Jutera Perisian Komputer, Encik Hafizullah Fikrie Rahman, berkata walaupun terdapat beberapa pindaan pada laporan asal yang dikemukakannya berhubung kes tersebut, ia tidak menjejaskan isi kandungan sebenar analisa yang dibuat berhubung kes berkenaan.

Beliau mengakui terdapat beberapa kesilapan menaip (typing error) dalam laporan asal yang disediakan beliau, tetapi ia tidak menjejaskan keseluruhan kandungan SMS yang dianalisa dari komputer tersebut.

Dalam prosiding di depan Hakim M.Bakri Abd.Majid, saksi pihak pendakwa itu memberitahu mahkamah kandungan SMS tersebut masih dalam bentuk asal walapun proses pemindahan sistem dilakukan sewaktu beliau menyediakan laporan analisa berkenaan seperti yang dikehendaki pegawai penyiasat.

“Saya memberi keutamaan bagi menyediakan laporan kes ini (ugutan bunuh melalui SMS) walaupun terdapat banyak permintaan bagi membuat analisa perisian komputer berhubung kes lain,” katanya.

Katanya, beliau menyediakan laporan itu kira-kira dua tahun lalu selepas diarah oleh pegawai penyiasat bagi menganalisa dua komputer yang dirampas polis berhubung kes berkenaan.

“Saya mendahulukan kes ini dan semua bahan-bahan bukti yang diserahkan berhubung kes ini,” katanya.

Dato’ Dr Ahmad Ramzi didakwa atas empat tuduhan menghantar ugutan jenayah menerusi SMS iaitu bagi pertuduhan pertama, beliau didakwa mengancam mendatangkan kematian ke atas Adun Paka, Mohd Ariffin Abdullah pada pukul 11.21 malam, 13 April tahun lalu di E-726 Kampung Kubang Parit.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan yang sama ke atas dua lagi Adun, Abd Halim Jusoh (Permaisuri) dan Dato’ Rosol Wahid (Ajil) antara pukul 11.21 dan 11.25 malam di tempat dan tarikh yang sama.

Beliau turut didakwa atas tuduhan pilihan, menggunakan perkhidmatan internet bagi menghantar SMS berbunyi: "Baik jangan teruskan niat YB, YB tak sayang nyawa?" kepada tiga Adun tersebut.

Dia didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dan jika sabit kesalahan, dia boleh didenda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum setahun.

Dr Ahmad Ramzi turut dituduh memfitnah Wan Ahamad Wan Muda, bekas Setiausaha Sulit Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said yang kini memegang jawatan Timbalan Setiausaha kerajaan negeri dengan menghantar SMS ugutan itu menggunakan nombor telefon bimbit 019 -9158369 milik Wan Ahamad.

Tertuduh diwaklili oleh peguambela Datuk Hazman Ahmad, Mohd Noor Mahmood dan Rosli Abdul Rahman.


Guru dan pelajar wajar diberi peluang aktif sukan

Oleh: Suriati Ali


Antara peserta Persidangan Kebangsaan Pendidikan Jasmani 2011 di Institut Pendidikan Guru Kampus Sultan Mizan, Besut. - Foto: Zulkipli Putra.

Pentadbir sekolah diminta memberi galakan dan peluang kepada guru serta pelajar mengembangkan bakat dan potensi diri masing-masing dalam bidang sukan bagi mengelak ketandusan atlet.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains & Teknologi dan Sumber Manusia negeri, YB Haji Ahmad Razif Abd Rahman, berkata umpamanya menggalakkan mereka yang berkaitan menyertai pelbagai aktiviti dan kejohanan sukan di peringkat sukan mahupun negeri.



Katanya, suasana kehidupan sihat melalui aktiviti sukan dan kecergasan yang terdapat di kawasan persekitaran sekolah mampu melahirkan warga sekolah yang sihat, aktif dan berdaya maju. Situasi begini berpotensi melahirkan bakat sukan yang terkemukan pada suatu hari nanti.

“Pihak berkenaan juga sepatutnya mengenal pasti potensi dan kekuatan sukan yang boleh ditonjolkan di sekolah supaya menyerlah sehingga ke peringkat antarabangsa.

“Pelajar memainkan peranan penting dalam melakukan anjakan paradigma pendidikan jasmani dan sukan. Mereka ke sekolah bukan sekadar mengejar kecemerlangan akademik malah perlu memahami bahawa bersukan juga dapat membina pembentukan diri yang sihat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Perasmian Persidangan Kebangsaan Pendidikan Jasmani 2011, di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Sultan Mizan, Besut, hari ini (28 Jun).



Hadir sama, Rektor Institut Pendidikan Guru Malaysia Kementerian Pelajaran Malaysia Datuk Dr Haili Dohlan; Pengarah IPG Kampus Sultan Mizan, Dr Hajah Samsiah Mustafa dan Ketua Sektor Akademik Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu (JPNT), Haji Mohd Zubir Embong.

Persidangan yang berlangsung selama tiga hari dan berakhir 29 Jun ini mengumpulkan pensyarah dari pelbagai negara termasuk Thailand, India, Indonesia dan Singapura.



YB Haji Ahmad Razif turut memberitahu kerajaan menerusi persatuan-persatuan sukan mengadakan pelbagai program untuk membentuk ahli sukan sejak di bangku sekolah lagi.

“Mereka yang terpilih akan diberi latihan dalam acara sukan tertentu selain menjalani kehidupan seperti pelajar biasa di sekolah bagi memastikan mereka tidak ketinggalan dalam aspek pendidikan jasmani. Pendekatan ini mampu melahirkan lebih ramai bakat-bakat muda yang profesional,” katanya.

Katanya, kesediaan ibu bapa menerima perubahan sangat penting kerana ramai ibu bapa pasti mahukan anak mereka menumpukan perhatian untuk kecemerlangan akademik.



“Ibu bapa sebagai tunjang keluarga perlu mengubah persepsi mereka mengenai dunia sukan ke arah yang lebih positif.

“Sukan bukan sahaja menjadi punca rezeki malah dapat meningkatkan maruahserta ekonomi negara. Oleh itu, ibu bapa perlu meberi sokongan penuh kepada anak-anak yang menunjukkan minat dalam bidang sukan.


Bantuan MyKasih untuk keluarga miskin sekitar UMT

Oleh: Aida Abd Rahman

Yayasan MyKasih dengan kerjasama Universiti Malaysia Terengganu (UMT) melaksanakan tanggungjawab sosial dengan memberi bantuan kepada 178 keluarga kurang berkemampuan dan tidak bernasib baik.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UMT), Prof Dr Yahya Ibrahim berkata kesemua keluarga berkenaan merupakan penduduk miskin sekitar kawasan kampus UMT di Gong Badak.

"Keluarga yang dipilih adalah daripada kumpulan berpendapatan kurang dari RM1,000 sebulan, ibu tunggal, golongan yang mempunyai bilangan anak yang melebihi lima orang atau mengalami kecacatan kesihatan. Menerusi bantuan itu, setiap keluarga akan menerima RM80 sebulan," katanya.

Menurutnya, keluarga terpilih dikenal pasti melalui empat sekolah yang berhampiran dengan UMT iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Tok Jembal, SK Gong Badak, SK Kompleks Seberang Takir dan SK Mengabang Telipot.

Penasihat Yayasan MyKasih, Puan Siti Khairon Shariff, berkata penerima bantuan hanya boleh membeli barangan makanan di Hypermarket Giant dan di Kedai Petronas Mesra dengan menggunakan `ePetro MyKad' sebagai cara untuk membayar barangan itu.

"Bantuan yang kita berikan adalah untuk penerima membeli barangan makanan sahaja dan tidak boleh menggunakan wang tersebut untuk kegunaan lain.
“Pihak kami menerima sumbangan dari syarikat korporat serta orang ramai yang prihatin,” katanya lagi .

Puan Siti Khairon berkata bantuan itu juga akan terus diberikan kepada mereka yang layak pada masa depan dan akan ditarik balik jika terdapat peningkatan dalam pendapatan penerima.


Serikandi sudah bersiap sedia

Oleh: Esah Abdullah



“Kami tidak akan memberi laluan mudah kepada pihak lawan untuk mengutip kemenangan di sini,” kata Ketua Kontijen pasukan Badan Amal dan Kebajikan Isteri Wakil-wakil Rakyat Negeri Terengganu (Serikandi) , To’ Puan Seri Hajah Norliza Mahmud.

Katanya, jika sebelum ini pasukan Bakti dari Wilayah Persekutuan yang diketuai Datin Paduka Seri Rosmah Mansor, Sabah dan Perak merupakan pasukan pilihan dalam kejohanan Sukan Isteri wakil-wakil rakyat Barisan Nasional Se-Malaysia,

“Tahun ini Serikandi selaku tuan rumah akan membuat kejutan dan kami sudah membuat persiapan rapi untuk memberi tentangan hebat dalam dua sukan yang dipertandingakan iaitu badminton dan boling,” kata To’ Puan Seri Hajah Norliza yang juga isteri Menteri Besar Terengganu.



Kejohanan sukan berkenaan akan di adakan pada 5 hingga 9 Julai depan yang disertai 14 pasukan dari seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.

Pasukan Serikandi dibarisi 12 pemain badminton di bawah bimbingan jurulatih Syed Abu Bakar Syed Ali dan 10 pemain boling bertekad untuk memperbaiki kedudukan rekod pasukan sebelum ini.

“kami sudah berlatih sejak akhir tahun lepas lagi dan mulai Jun kita berlatih setiap hari di bawah pengawasan jurulatih Syed Abu Bakar,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas menjalani latihan di Stadium Negeri semalam.



Katanya, untuk mengukur tahap kemampuan barisan pemain beberapa, perlawanan persahabatan diadakan antaranya dengan Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam (Puspanita), Kelab Wartawan Terengganu (Kawat) dan beberapa pertubuhan wanita dalam negeri.

Katanya, dua piala utama menjadi rebutan dalam kejohanan sukan berkenaan iaitu Piala Perdana 1Malaysia (badminton) dan Piala Kejohanan Boling di mana Perdana Menteri Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak dijangka hadir untuk majlis penutup serta menyampaikan hadiah kepada pemenang.



Ladang tebu telur jadi kenyataan.

Oleh: Esah Abdullah

Kerajaan memperuntukan RM150,000 sebagai modal permulaan untuk membuka ladang tebu telur di Kampung Bukit Munduk, langkap, Setiu.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, YB Haji Asha’ari Idris berkata, seluas 20 hektar kawasan terdiri dari tanah kerajaan dan tanah milik persendirian akan ditanam dengan tebu telur untuk projek komersial.

“Seramai 27 peserta di bawah Program pembangunan rakyat Termiskin (PPRT) terpilih untuk menyertai projek perintis berkenaan,” katanya kepada pemberita di majlis Bicara Media anjuran Unit Komunikasi Negeri (Ukom) di Motel Desa, Bukit Pak Apil Kuala Terengganu semalam.

Katanya, sebagai persediaan menjadi seorang peladang berjaya, mereka telah dibawah meninjau ke ladang tebu telur di Jelebu, Negeri Sembilan baru-baru ini untuk melihat sendiri kejayaan petani di sana mengusaha tanaman berkenaan.

Beliau yang mengetuai lawatan berkenaan menaruh harapan besar terhadap 27 peserta itu untuk menimba pengalaman serta mencari ilmu kejayaan peladang yang mengendalikan tanaman berkenaan.

“Setakat ini kerja-kerja pembersihan kawasan sedang dijalankan dan kemungkinan selepas ini kerja-kerja menbajak tanah dan menanam dapat dimulakan,” katanya.

Katanya, peruntukan RM100,000 akan digunakan untuk urusan tanaman termasuk mendapatkan benih, baja dan sebagainya manakala selebihnya untuk kerja membersih kawasan.

YB Haji Asha’ari berkata, ladang tebu telur yang dicadangkan ini akan dipelbagaikan kegunaannya termasuk menghasilkan produk-produk yang boleh memberi pulangan pendapatan kepada peserta.



27 June 2011

Nurussyamahah layak ke peringkat akhir Tilawah Antarabangsa Kanak-kanak di Qatar

Oleh; Esah Abdullah

Pelajar Tahun Enam, Sekolah Kebangsaan Lubuk Kawah, Jerteh, Nurusssyahamah Taqiah Nurunnajmi terpilih antara tiga peserta ke peringkat akhir Tilawah Al-Quran Kanak-kanak Peringkat Antarabangsa di Qatar yang akan berlangsung Ramadan ini.

Bapanya Nurunnajmi Yaacob, 40, berkata anaknya merupakan wakil tunggal Malaysia yang melepasi ujian pemilihan peringkat awal yang berlangsung di Qatar pada 22 Jun lalu yang disertai 63 kanak-kanak dari seluruh dunia.

“Dengan kejayaan ini saya dan Nurussyamahah sekali lagi akan ke negara berkenaan pada Ramadan nanti bagi menyertai peringkat akhir,” kata guru Sekolah Kebangsaan Seri Payong, Hulu Besut.

Pertandingan berkenaan adalah anjuran Kementerian Wakaf dan Hal Ehwal Islam Qatar dan saluran kanak-kanak Stesen Televisyen, Al-Jazeera di mana pemilihan Nurussyahamah merupakan satu kejayaan bagi negeri ini selepas dia lulus dua ujian saringan yang diadakan oleh kerajaan Qatar sebelum ini melibatkan 4,000 kanak-kanak dari seluruh dunia, dan 49 daripadanya dari Malaysia.

Katanya, sebelum berjaya ke Doha, anaknya menjalani saringan pertama pada Februari lalu bersama 49 kanak-kanak dari seluruh negara dan terpilih antara tiga yang berjaya melepasi ujian berkenaan dan pada April sekali lagi menjalani ujian serta dipilih mewakili negara bersama 63 kanak-kanak lain dari seluruh dunia.

Nurussyahamah sebelum ini pernah menjadi johan membaca Al-Quran J-Qaf peringkat negeri pada tahun 2007 dan 2008 serta tiga kali mewakili Terengganu ke pertandingan Peringkat Kebangsaan Sekolah-sekolah Malaysia dan pernah menjadi naib johan.

“Sebagai persediaan ke peringkat akhir nanti, Nurunnajmi akan dibawa ibunya Sauzan Ibrahim, guru Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Wataniah, Alor Keladi, untuk berguru dengan johan Tilawah Al-Quran Peringkat Antarabangsa 1999, Che Yahya Che Daud dari Bachok, Kelantan,” katanya.





INSPI buka pintu kepada pelajar luar negara

Oleh : KAMARUDIN B MAT AKIB


Pengerusi INSPI, Haji Muhammad Ramli Nuh menyampaikan ucapan di Majlis I’dul Ilmi INSPI 2011 di Dewan Berlian Majlis Perbandaran Kemaman. - Foto: Zulkipli Putra.

Institut Pengajian Islam (INSPI) di Kemaman akan menawarkan tempat pengajian kepada pelajar dari luar negara, dalam usaha menaiktaraf pusat pengajian berkenaan ke peringkat antarabangsa.

Pengerusi INSPI, Haji Muhammad Ramli Nuh, berkata pengambilan pelajar dari Kemboja akan dimulakan bagi sesi pengajian 2012 dan ia akan diperluaskan ke beberapa negara lain di Asia Tenggara.



“Kerajaan negeri menerima banyak permohonan daripada negara Kemboja untuk kemasukan pelajar mereka di bidang pengajian agama di INSPI.

“Selepas perkara ini dibawa kepada mesyuarat jawatankuasa Pemegang Amanah Yayasan Islam Terengganu (YIT), pengambilan pelajar dari luar negara diluluskan pada April lalu,” katanya kepada Teganukita ketika ditemui selepas Majlis I’dul Ilmi INSPI 2011 di Dewan Berlian Majlis Perbandaran Kemaman, hari ini.



INSPI yang ditadbir YIT mula ditubuhkan kira-kira dua tahun lalu bagi menggantikan Markas Pengajian Islam (Marpa), dalam usaha kerajaan negeri melahirkan graduan berlatarbelakang pengajian agama.

Sebahagian graduannya kini mengisi jawatan imam, bilal, pegawai agama dan pembantu hal ehwal Islam di seluruh negara manakala selebihnya melanjutkan pelajaran di Mesir, Jordan dan Indonesia dalam pelbagai bidang pengajian agama.



Haji Muhammad Ramli berkata, pihaknya telah berbincang dengan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) bagi menaja pelajar dari negara Kemboja melanjutkan pelajaran di INSPI.

“Selepas ini kita bercadang untuk mengambil pelajar miskin dari negara-negara jiran yang lain untuk melanjutkan pelajaran di INSPI.

“Langkah ini bukan saja bertujuan membantu saudara seagama kita yang miskin, tetapi juga membantu menaikkan taraf INSPI ke peringkata antarabangsa,” ujar beliau.

Beliau berkata, pihaknya juga kini sedang berusaha menambah prasarana bagi membolehkan lebih ramai pelajar dapat diambil pada masa depan.



Perbicaraan SMS ugutan bunuh

Oleh: Suriati Ali

Pembicaraan kes “ugutan bunuh melalui SMS” yang membabitkan bekas Setiausaha Politik kepada mantan Menteri Besar Dato’ Seri Haji Idris Jusoh, iaitu Datuk Dr.Ahmad Ramzi Mohd.Zubir, yang bersambung hari ini (27 Jun),Jutera Pengisian Komputer, Encik Hafizullah Fikrie Rahman memberitahu Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu mengesahkan terdapat beberapa kandungan Sistem Pesanan Ringkas (SMS) dalam pengisian komputer.

Dalam prosiding di depan Hakim M.Bakri Abd.Majid Saksi Encik Hafizullah berbaju kemeja putih memberitahu kandungan SMS itu diasingkan untuk memudahkan tugasan iaitu sebahagian dalam cakera padat (CD) dan `inbox’ telefon.

Ketika ditanya mengenai kaedah yang digunakan untuk mengesahkan kandungan SMS, dia menjawab menggunakan dua jenis pengisian penting iaitu XRY dan Formulir.

Ketika tugasan atau penyiasatan dijalankan terdapat 3,313 kandungan SMS dalam pengisian tersebut dan hanya 138 SMS sahaja yang menepati objektif dan kehendak kertas penyiasatan.

Dia diminta menyemak semua SMS pada nombor yang tertera di kertas maklumat untuk mengenalpasti kesahihan.

Peguambela: Bagaimana kaedah Encik Hafiz menyimpan semua kandungan SMS tersebut.

Encik Hafizullah: Saya tidak menyimpan semua SMS kecuali yang diinginkan kertas penyiasatan sahaja iaitu berjumlah 138 sahaja. Sebagai langkah keselamatan saya mengasingkan SMS yang terdapat inbox ke dalam CD.

Peguambela: Cuba kamu jelaskan secara terperinci mengenai pengisian yang digunakan.

Encik Hafizullah: Saya telah menjumpai tiga kandungan SMS ketika menggunakan pengisian XRY melaluinya juga iaitu kod 102, tidak menemui sebarang kandungan SMS kerana pengisian itu tidak dapat menyokong.

HP 04, saya menjumpai 29 SMS dan 24 daripadanya mempunyai kaitan dengan kes ini. HP 01, HP 05 tidak menjumpai sebarang kandungan SMS. HP 06 mempunyai tiga pesanan SMS.

Peguambela: Adakah kamu catat, tarikh dan waktu penerimaan SMS.
Encik Hafizullah: Saya ada mencatatnya iaitu SMS 1 diterima pada 14 April 2009 jam 7.39 petang, SMS kedua dan ketiga pula pada tarikh 20.4.2009 jam 10.37 pagi.
Semua SMS ini daripada nombor 016-938 8800.

Untuk pengisian XRY dan Fomuliar, ia digunakan untuk mengesan maklumat di dalam telefon bimbit, pen drive dan kad memori.

Peguambela: apakah nombor yang tertera pada kandungan SMS itu.
Encik Hafizullah: Pada SMS 1 yang yang tertera adalah 016 938 8800, SMS kedua bernombor 019 9518800 dan SMS ketiga pula 019 9518800.

Encik Hafiz diminta supaya mencetak semua salinan kandungan SMS yang terdapat dalam CD.

Sejurus kemudian, mahkamah terpaksa bersambung di sebelah petang kerana pencetak kertas mengalami masalah dan Encik meminta tempoh satu jam untuk membaikinya.

Dalam kes ini, Dato’ Dr Ahmad Ramzi didakwa atas empat tuduhan menghantar ugutan jenayah menerusi SMS iaitu bagi pertuduhan pertama, beliau didakwa mengancam mendatangkan kematian ke atas Adun Paka, Mohd Ariffin Abdullah pada pukul 11.21 malam, 13 April tahun lalu di E-726 Kampung Kubang Parit.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan yang sama ke atas dua lagi Adun, Abd Halim Jusoh (Permaisuri) dan Dato’ Rosol Wahid (Ajil) antara pukul 11.21 dan 11.25 malam di tempat dan tarikh yang sama.

Beliau turut didakwa atas tuduhan pilihan, menggunakan perkhidmatan internet bagi menghantar SMS berbunyi: "Baik jangan teruskan niat YB, YB tak sayang nyawa?" kepada tiga Adun tersebut.

Dia didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dan jika sabit kesalahan, dia boleh didenda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum setahun.

Dr Ahmad Ramzi turut dituduh memfitnah Wan Ahamad Wan Muda, bekas Setiausaha Sulit Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said yang kini memegang jawatan Timbalan Setiausaha kerajaan negeri dengan menghantar SMS ugutan itu menggunakan nombor telefon bimbit 019 -9158369 milik Wan Ahamad.

Tertuduh, yang kelihatan tenang berada di kandang tertuduh di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu pagi ini diwaklili oleh peguambela Datuk Hazman Ahmad, Mohd Noor Mahmood dan Rosli Abdul Rahman.



Sukan menyemarakkan semangat kerja berpasukan

Oleh: Esah Abdullah

Sukan bukan sahaja dapat mengekalkan kesihatan fizikal malah membina kekuatan mental seperti mengawal emosi, fokus, menyusun strategi dan membina semangat berpasukan.

Setiausaha Kerajaan, Dato’ Haji Mazlan Ngah berkata, melaluinya kita boleh melihat kekuatan mental mampu mempengaruhi corak permainan di samping kekuatan fizikal yang dimiliki.

”Semangat kesukanan yang tinggi di kalangan peserta juga dapat melatih diri untuk mempunyai minda terbuka serta sanggup menerima dan responsif kepada kepelbagaian situasi,” katanya di majlis penutup Karnival Sukan Pejabat-pejabat Daerah dan Tanah Negeri Terengganu (Sudata) di Kompleks Sukan Tengku Muhammad Ismail Universiti Malaysia Terengganu (UMT) di sini.

Hadir sama, Pegawai Daerah Kuala Terengganu merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengelola Karnival, Haji Wan Nawawi Wan Ismail dan semua Pegawai-pegawai Daerah Kemaman, Dungun, Hulu Terengganu, Marang, Setiu dan Besut.
.
Katanya, menang atau kalah bukanlah ukuran penting untuk menentukan kualiti sesebuah pasukan sebaliknya semangat kesukanan yang tinggi, bersatu padu, bertoleransi, sikap menerima kekalahan serta meraikan kemenangan itulah kekuatan sebenar.
.
”Sesungguhnya saya melihat penganjuran karnival ini memberi impak positif dalam pelbagai aspek dan menyemarakkan lagi semangat kerja berpasukan kalangan peserta yang mengambil bahagian,” katanya.

Menurut Dato’ Haji Mazlan, tanpa kerjasama erat daripada semua pihak, sudah pasti segala program yang dirancang tidak akan berjaya mencapai matlamatnya sekali gus hubungan yang terjalin ini harus digunakan sebaik mungkin dalam memantapkan perjalanan tugas di pejabat masing-masing.

”Kita harus ingat, semua peserta yang mengambil bahagian adalah warga perkhidmatan awam tunjang kepada kerajaan pada hari ini yang akan melaksanakan dasar seperti telah diputuskan agar berjalan lancar,” katanya.

Sehubungan itu, Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Terengganu menjadi johan keseluruhan dalam
Karnival Sudata berlangsung selama empat hari di Kompleks Sukan Tengku Muhammad Ismail Universiti Malaysia Terengganu (UMT).

Sebanyak 14 acara yang dipertandingkan antaranya termasuklah bola sepak, bola jaring, futsal, boling padang, tenpin boling, sepak takraw, badminton, karom, ping pong, paint ball, dart, congkak, bola tampar dan karaoke.





PM rasmi penutup sukan isteri wakil rakyat

Oleh; Esah Abdullah

Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak di jangka hadir merasmikan majlis penutup Pertandingan Sukan Isteri Wakil-wakil Rakyat Barisan Nasional Se- Malaysia pada 9 Julai depan.

“Tahun ini kita jadi tuan rumah dan dua acara wajib yang dipertandingkan ialah sukan boling dan badminton yang disertai 14 negeri seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak,” kata Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said kepada pemberita ketika ditemui di Stadium Negeri Kuala Terengganu hari ini.

Dato’ Seri Haji Ahmad telah meluangkan masa meninjau persiapan terakhir di Stadium Negeri yang akan berlangsung perlawanan badminton manakala di Terengganu Equestrian Resort (TER) Kuala Ibai, perlawanan boling yang bermula pada 5 hingga 9 Julai depan.

Ditanya pemberita mengenai persiapan peserta negeri, Dato’ Seri Haji Ahmad berpuas hati dan sempat melihat kesungguhan pemain badminton Badan Amal dan Kebajikan Isteri Wakil-wakil Rakyat Negeri Terengganu (Serikandi) menjalani latihan di bawah kendalian jurulatih Sukan Malaysia (Sukma) Syed Abu Bakar Syed Ali.

Katanya, sebagai tuan rumah kerajaan akan lakukan yang terbaik bagi menerima kedatangan lebih 500 peserta terdiri daripada isteri wakil rakyat negeri-negeri dan juga isteri menteri dan timbalan menteri (Bakti) yang diketuai isteri Perdana Menteri, Datin Paduka Seri Rosmah Mansor ke Terengganu nanti.

“Kita tidak ada masalaah kerana pengalaman pegawai kita sudah banyak dalam mengendalikan program-program besar termasuk Sukma yang diadakan di sini sebelum ini,” katanya.