Halaman

07 July 2011

Isteri wakil rakyat mainkan peranan sama penting dengan tugas suami- Datin Paduka Seri Rosmah

Oleh: Aida Abd Rahman/ Suriati Ali/ Sh Mardiah Tuan Azam


Lintas hormat kontinjen-kontinjen ketika majlis Pembukaan Program Tahunan Isteri Wakil-Wakil Rakyat Barisan Nasional (BN) Se-Malaysia di Stadium Negeri, Kuala Terengganu. - Foto: Zulkipli Putra.

Isteri Perdana Menteri, Datin Paduka Seri Rosmah Mansor mengingatkan semua isteri ahli politik dan wakil rakyat memainkan peranan sama penting dan bertanggungjawab sepenuhnya terhadap peranan suami.

“Ini adalah kerana bidang politik adalah sesuatu bidang yang sangat berlainan daripada profesion lain, tidak kiralah samada guru, doktor mahupun jurutera.

"Apabila seseorang itu menjadi ahli politik, maka mereka akan dinilai dari pelbagai sudut dan salah satu yang kerap dinilai adalah peranan isteri. Itulah bezanya apabila berada di dalam bidang politik,” kata beliau yang juga Yang Dipertua Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri Menteri dan Timbalan Menteri (Bakti) ketika berucap di Majlis Pembukaan Program Tahunan Isteri Wakil-Wakil Rakyat Barisan Nasional (BN) Se-Malaysia (PTIWRBNM) 2011, di Stadium Negeri, Kuala Terengganu, pagi ini.



Turut hadir, Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said dan isteri, To’ Puan Seri Hajah Norliza Mahmud serta isteri Timbalan Perdana Menteri, Puan Sri Hajah Noorainee Abd Rahman.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan negeri, Dato’ Mazlan Ngah; Yang Dipertua Badan-Badan Amal dan Kebajikan Isteri Wakil Rakyat BN dan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Terengganu.

Datin Paduka Seri Rosmah berkata, rakyat mahukan seorang wakil rakyat dan isteri menjadi wakil mereka yang positif serta berjiwa besar. Maka, jika si isteri tidak bersama-sama memainkan peranan, maka si suami pula akan menerima kesannya dan ini akan mengudang persepsi negatif dari masyarakat setempat.

“Hendak atau tidak, suka atau tidak suka, sebagai isteri wakil-wakil rakyat, para suri sekalian haruslah pandai memainkan peranan masing-masing selaras dengan keperluan masyarakat setempat apatah lagi pilihanraya semakin hampir tiba.

“Menyedari realiti perkembangan politik masa kini dan kematangan rakyat yang juga merupakan para pengundi dari itu, saya berpendapat para isteri wakil-wakil rakyat juga perlu memainkan peranan untuk bergerak seiring dengan para suami bagi mendampingi rakyat dengan lebih dekat lagi,” katanya.

Menurutnya, para suri sekalian perlu mempunyai minda dan sikap yang terbuka dan oleh itu, jalankanlah kewajipan sebagai isteri wakil-wakil rakyat sekalian dengan penuh komitmen serta dedikasi dalam menjaga kawasan masing-masing.

Katanya,semua isteri perlu rajin mengikut suami balik ke kawasan, menjenguk rakyat jelata dan meneruskan khidmat bakti di tempat masing-masing melalui pelbagai aktiviti berorientasikan rakyat.

“Bulan Ramadan sudah hampir tiba, selalulah turun padang berbuka puasa bersama orang-orang kampung dan rakyat jelata. Baru di panggil ‘wakil rakyat berjiwa rakyat'.



“Dengan demikian, barulah benar-benar menghayati aspirasi 1Malaysia, `Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan’," katanya.

Beliau yakin melalui penganjuran yang berbentuk kemasyarakatan tersebut, sedikit sebanyak isteri wakil rakyat dapat membantu meraih sebanyak mungkin sokongan wanita Barisan Nasional serta mewujudkan kepercayaan terjalinnya kemesraan dan perasaan sayang terhadap pemimpin.

Menteri Besar merasmikan program itu dan kemudiannya menyampaikan cenderahati kepada ketua kontinjen selepas selesai gimik pelancaran, persembahan gerak irama dan upacara menaikkan bendera kejohanan PTIWRBNM 2011.




PTIWRBNM beri limpahan rezeki kepada peniaga

Oleh: Suriati Ali

Kehadiran peserta Program Tahunan Isteri Wakil-Wakil Rakyat Barisan Nasional Se-Malaysia (PTIWRBNM) 2011 ke Terengganu memberi limpahan rezeki kepada peniaga di negeri ini terutama yang menjual produk dan makanan tradisional.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah, berkata peniaga restoran atau individu yang terlibat diminta supaya tidak bersikap tamak haloba atau ‘cekik darah’ ketika berurusniaga sebaliknya perlu menawarkan harga yang berpatutan kepada pelanggan.

“Peniaga juga perlu bijak mengambil hati dan bersikap peramah bertujuan menjaga imej Terengganu yang sememangnya terkenal dengan adat ketimuran dan bersopan santun,” katanya kepada Teganukita.

Dato’ Haji Mazlan turut memberitahu bahawa dia kagum dengan kebolehan dan kerjasama Badan Amal dan Kebajikan Isteri Wakil-wakil Rakyat Terengganu (Serikandi0 kerana mampu menganjurkan PTIWRBNM di mana melibatkan 14 negeri atau kontinjen termasuk Sabah dan Sarawak.

“Jika tiada komitmen tinggi daripada pelbagai pihak, sudah tentu ia menemui kegagalan dan tidak mampu mengadakan pelbagai aktiviti sehebat ini,” katanya.

Naib Ketua Pergerakan Wanita Umno Bahagian Kuala Nerus, Puan Norhayati Ismail, berkata dia bangga kerana terpilih mengikuti program ini dengan membuka gerai jualan makanan tradisional di perkarangan Stadium Negeri Kuala Terengganu.

Katanya, pelbagai jenis juadah dan menu tradisional seperti onde-onde, puteri mandi, tepung pelita, tepung pasung dan sebagainya nyata dapat sambutan pembeli sejak gerai dibuka bermula semalam (6 Julai).

“Kami akan manfaat sepenuhnya program yang berlangsung selama empat hari ini dengan mempromosi keenakan kuih tradisional, keunikan dan keindahan Terengganu,” katanya.

06 July 2011

Permata Seni Koir terpilih ke Vienna, Austria

Oleh: Aida Abd Rahman/ Sh Mardhiah Tuan Azam

Program Permata Seni Negara mendapat pengiktirafan dunia apabila dipilih untuk menyertai `World Peace Choral Festival’ yang bakal diadakan di Vienna, Austria, bermula dari 25 hingga 28 Julai ini.

Isteri Perdana Menteri, Datin Paduka Seri Rosmah Mansor, berkata penyertaan di festival itu merupakan julung kali buat anak-anak kecil itu untuk mengadakan persembahan di luar negara.

“Saya bagi pihak rakyat Malaysia mengucapkan tahniah dan berbangga dengan pencapaian anak Permata Seni Koir yang berjaya menyertai World Peace Choral Festival di Vienna yang merupakan satu acara yang cukup berprestij,” katanya ketika sidang media di Stadium Negeri, Kuala Terengganu, petang ini.
Turut hadir, isteri Menteri Penerangan Komunikasi, Kesenian dan Kebudayaan, Datin Seri Utama Maznah Rais dan isteri Menteri Besar Terengganu, To’ Puan Seri Hajah Norliza Mahmud.

Datin Paduka Seri Rosmah berkata, walaupan baru berusia setahun lima bulan, program Permata Seni Negara ini ternyata amat berkesan apabila bakat anak-anak yang diasuh di bawah program ini mula diiktiraf, bukan sahaja di dalam negara, malah di luar negara.

“Penyertaan ini satu pengiktirafan besar dan amat bermakna kepada keberkesanan program Permata Seni Koir. Seperti semua sedia maklum, Austria amat dikenali dengan kumpulan-kumpulan koirnya yang menjadi tanda aras bagi kumpulan koir seluruh dunia.

“Bukan mudah untuk dipilih menyertai festival koir yang diadakan dinegara berkenaan, namun menjadi sesuatu yang amat dibanggakan apabila Permata Seni Koir terpilih dari hamper 40 koir ternama dari seluruh dunia untuk menyertai World Peace Choral Festival 2011,” katanya.

Ahli Permata Seni Koir yang akan menyertai Festival terdiri daripada 37 anak-anak yang berumur antara lapan hingga 11 tahun melalui pimpinan penyanyi Syafinaz Selamat selaku konduktor kumpulan.

Malah, beliau berkata, festival tahunan anjuran The Artistic Committee Of World Peace Festival, Austria yang bertujuan untuk promosi keamanan sejagat melalui nyanyian koir oleh kanak-kanak berbakat itu juga menjadi landasan untuk memperkenalkan lagu rakyat Malaysia ke persada antarabangsa.

“Sepuluh lagu yang akan dipersembahkan merangkumi Anak Rusa Nani, Tepuk Amai-Amai, Buih Sabun dan Sepuluh Budak Hitam. Lagu-lagu Inggeris pula ialah Hush A Bye Mountain, One Song, When The Saint Go Marching In, Syncopated Clock, Firefly dan Furaha,” katanya.

Menurutnya, Permata Seni akan membuat lima persembahan utama dan beberapa persembahan sampingan pada program yang bakal dirasmikan di City Hall Vienna pada 25 Julai ini.

Katanya, persembahan akan diadakan di lokasi terkemuka seperti di City Hall Vienna, Kursalon, Augarte Palace, Schoenbrunn Palace, Grand Festival Hall Of The University Of Vienna, United Nations dan Golden Hall Of Musikverein.

Selain itu, lima ahli Permata Seni Koir yang terpilih juga akan digandingkan dengan lima peserta dari setiap negara yang mengambil bahagian dalam persembahan gabungan. Antara negara terlibat termasuk China, Hong Kong, Taiwan, Chekoslovakia, beberapa negara Eropah lain dan Malaysia.


Bandar Kuala Terengganu bertambah sesak dan meriah

Oleh: Aida Abd Rahman

Bandar Raya Kuala Terengganu kini bertambah sesak dan meriah dengan kehadiran kira-kira 650 peserta yang terdiri daripada 14 kontinjen melibatkan isteri wakil-wakil rakyat Barisan Nasional (BN) dari seluruh negara.

Mereka berkampung di bandar raya ini bagi menjayakan Program Tahunan Isteri Wakil-Wakil Rakyat BN Se-Malaysia 2011 yang bermula esok sehingga 9 Julai ini.

Program secara tahunan yang berlangsung 15 tahun sekali di setiap negeri itu turut merubah panorama sekitar venue program terutama di Stadium Negeri, Kompleks Sukan Terengganu Equestrian Resort, Wisma Darul Iman,Taman Tamadun Islam dan hotel-hotel utama yang menempatkan kesemua peserta.

Banting dan kain rentang yang mempromosi program menghiasi sepanjang jalan sebagai mengalu-alukan kedatangan peserta yang mula tiba di bandar ini dengan menaiki pesawat serta bas sejak pagi kelmarin.

Malah, beraneka lampu neon dan pokok hiasan turut diubahsuai serta diganti baru bagi menambahkan keceriaan dan keindahan persekitaran bandar bersempena program itu.

Penganjuran program julung kali itu pastinya memberi impak kepada ekonomi negeri terutama dalam industri batik dan kraf apabila kumpulan peserta yang kebanyakannya terdiri daripada isteri kenamaan itu mengambil peluang berbelanja bagi mendapatkan produk Terengganu sebagai cenderahati dan koleksi peribadi masing-masing.

Yang Dipertua Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri Menteri dan Timbalan Menteri (Bakti) Malaysia, Datin Paduka Seri Rosmah Mansor tiba di Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM), kira-kira jam 10.45 pagi tadi.

Sebelum itu, isteri Timbalan Perdana Menteri yang juga Naib Yang Dipertua Bakti, Datin Sri Hajah Noorainee Abd Rahman dan isteri Menteri Penerangan Komunikasi, Kesenian dan Kebudayaan, Datin Seri Utama Maznah Rais pula tiba kira-kira jam 9.35 pagi.

Kontinjen tiba di Terengganu

Oleh: Kamarudin Mat Akib dan Suriati Ali



Kira-kira 650 peserta yang terdiri daripada 14 pasukan dari seluruh negara sudah ‘berkampung’ di Kuala Terengganu bagi menyertai Program Tahunan Isteri Wakil-Wakil Rakyat Barisan Nasional (BN) Se-Malaysia 2011, yang akan berlangsung selama tiga hari mulai Khamis (7 Julai).

Sebahagian daripada peserta mula tiba di bandar Kuala Terengganu sejak pagi Selasa (5 Julai) dengan menaiki pesawat serta bas dan ditempatkan di beberapa hotel di sekitar bandar ini.

Yang Dipertua Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri Menteri dan Timbalan Menteri (Bakti) Malaysia, Datin Paduka Seri Rosmah Mansor yang juga Isteri YAB Perdana Menteri, tiba di Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM), kira-kira jam 10.45 pagi (6 Julai).

Manakala isteri YAB Timbalan Perdana Menteri yang juga Naib Yang Dipertua Bakti, Datin Sri Hajah Noorainee Abd Rahman dan Isteri Menteri Penerangan Komunikasi, Kesenian dan Kebudayaan, Datin Seri Utama Maznah Rais tiba kira-kira jam 9.35 pagi.

Ketiga-tiga tetamu kehormat itu disambut Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said dan Isteri , To’ Puan Seri Norliza Mahmud yang juga Yang Dipertua Ahli-ahli Badan Amal dan Kebajikan Isteri Wakil-wakil Rakyat Terengganu (Serikandi) dengan diserikan muzik gamelan.

Turut hadir, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Dato’ Tengku Putera Tengku Awang; Setiausaha Kerajaan Negeri, YB Dato’ Haji Mazlan Ngah; Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Haji Abdul Razak Ismail dan semua barisan Ahli-ahli Majlis Mesyuarat.

Hadir sama ahli-ahli Serikandi dan wakil dari setiap Pertubuhan Isteri Wakil-Wakil Rakyat Barisan Nasional (BN).



Datin Paduka Seri Rosmah akan menyampaikan ucapan pada majlis Perasmian Pembukaan Program di Stadium Negeri, Khamis ini.

Majlis tersebut dimulakan dengan perbarisan lintas hormat 14 kontinjen, lagu Negaraku dan Pembangunan Negeri Terengganu dan kemudiannya ucapan perasmian Dato’ Seri Haji Ahmad.



Kira-kira jam 10.30 pagi acara badminton akan dimulakan Stadium Negeri manakala pada sebelah petang diadakan acara tenpin boling.

Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Abdul Razak akan menyampaikan hadiah kepada para pemenang di Stadium Negeri, kira-kira jam 2.30 petang, pada 9 Julai.

Manakala sebelah malam, acara Malam Sentuhan Songket yang merupakan majlis penutup program tersebut akan disempurnakan Perdana Menteri, pada jam 8.30 malam di Taman Tamadun Islam, Kuala Terengganu.


MB lawat mangsa kebakaran di Manir

Oleh: Kamarudin Mat Akib



Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, melawat mangsa kebakaran di Kampung Durian Mas, Manir tengahari ini.

Beliau mengarahkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menyediakan pelbagai keperluan segera mangsa dan keluarga yang kini menumpang di rumah bapa mangsa di kampung yang sama.

Dalam kejadian kira-kira jam 9 pagi itu, Hamid Mustafa, 44, yang turut mengalami penyakit sawan kehilangan dua anak perempuan kembar yang rentung dalam kebakaran tersebut.



Anak beliau yang meninggal dunia ialah dua beradik kembar iaitu Fatin Fauzana dan Fatin Fauzanah.



Menteri Besar berkata, kerajaan negeri akan membina sebuah rumah baru di tapak rumah lama keluarga berkenaan dalam tempoh terdekat ini.

Beliau turut menghulurkan bantuan kewangan kepada mangsa serta menyampaikan ucapan takziah di atas kehilangan dua anak dalam kejadian tersebut.



05 July 2011

Serikandi anjur program tahunan

Oleh: Suriati Ali


Menteri Besar menyaksikan majlis raptai sempena Program Tahunan Isteri Wakil-wakil Rakyat BN Se-Malaysia di Stadium Negeri, Kuala Terengganu, pagi ini. - Foto: Harish Fadzillah.

Sembilan Pertubuhan Amal dan Kebajikan Isteri Wakil-wakil Rakyat Barisan Nasional dari pelbagai negeri di jangka tiba di Terengganu secara berperingkat-peringkat bermula hari ini.

Manakala tiga lagi pertubuhan lagi termasuk, Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-Isteri Menteri dan Timbalan Menteri (Bakti) dijangka tiba awal pagi esok (6 Julai).

Kedatangan pertubuhan itu bagi menyertai Program Tahunan Isteri Wakil-Wakil Rakyat Barisan Nasional Se-Malaysia 2011 yang akan berlangsung di Terengganu selama empat hari dan berakhir 9 Julai ini.


Setiap ahli pertubuhan akan menyertai pelbagai aktiviti yang dianjurkan Badan Amal dan Kebajikan Isteri Wakil-wakil Rakyat Terengganu (Serikandi) selaku tuan rumah.


Antaranya termasuk kejohanan badminton, boling, perlawanan classic plate, persembahan Ulek Mayang dan Malam Sentuhan Songket.

Majlis pembukaan program akan disempurnakan Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said pada 7Julai jam 8.30 pagi di Stadium Negeri, Kuala Terengganu.



Manakala Majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan Badminton dan Boling di Stadium Negeri, Kuala Terengganu serta Malam Sentuhan Songket (malam penutup) di Dewan Konvensyen, Taman Tamadun Islam akan disempurnakan Perdana Menteri Dato’ Sri Mohd Najib Abdul Razak.

Program pengimarahan masjid seluruh negeri

Oleh: Esah Abdullah

Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) membelanjakan hampir RM190,000 untuk program pengimarahan masjid seluruh negeri dalam tempoh empat bulan pertama tahun ini.

Ketua Penolong Pesuruhjaya Bahagian Pengurusan Majid JHEAT, Haji Mohd Nor Mohamad berkata, dalam tempoh berkenaan empat siri kursus untuk imam dan bilal berjaya diadakan melalui Pejabat Agama Daerah (PAD) masing-masing.

“Seramai 2,342 imam dan bilal mewakili 490 buah masjid terbabit mengikuti kursus berkenaan yang diadakan serentak di tujuh daerah ,” katanya kepada Teganukita.

Katanya, setiap bulan PAD Besut, Setiu, Kuala Terengganu, Hulu Terengganu, Marang, Dungun dan Kemaman menyusun jadual kursus masing-masing dalam usaha memberi kesedaran kepada kumpulan sasar mempertahankan kesucian agama Islam di negeri ini.

“Setakat ini sudah 70 peratus imam dan bilal selesai mengikuti kursus manakala selebihnya akan di mulakan selepas Ramadan depan,” katanya.

Katanya, JHEAT sentiasa berusaha untuk meningkatkan fungsi institusi masjid itu supaya ia menjadi tempat penyebaran ilmu di samping kesucian rumah Allah itu sentiasa dijaga rapi.

“Jawatankuasa masjid juga hendaklah sentiasa berusaha ke arah pengimarahan masjid dengan mengadakan pelbagai aktiviti keagamaan yang boleh menarik masyarakat menyertainya,” katanya.





MB solat hajat mohon program lancar

Oleh: Kamarudin Mat Akib



Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said dan pegawai kanan kerajaan mengadakan solat hajat dan tahlil bagi memohon kepada Allah s.w.t agar Program Tahunan Isteri Wakil-Wakil Rakyat Barisan Nasional Se-Malaysia 2011 yang akan berlangsung di Terengganu selama tiga hari mulai Khamis ini (7 Julai), berjalan lancar.



Majlis tersebut yang dipimpin Imam Besar Masjid Negeri Terengganu, Ustaz Aizi Saidi Abd Aziz, diadakan di Kediaman Seri Iman, Batu Buruk, malam tadi.

Hadir sama, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Dato’ Tengku Putera Tengku Awang; Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Haji Abdul Razak Ismail; Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pengurusan), Dato’ Haji Wan Ahamad Wan Muda; Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat
Kerajaan (Exco), wakil-wakil rakyat dan ketua-ketua jabatan kerajaan.



Majlis berkenaan dimulakan dengan solat Maghrib berjemaah, solat hajat, bacaan Surah Yaasin dan tahlil dan berakhir dengan solat Isyak berjemaah.

Sempena program berkenaan turut diadakan kejohanan sukan mulai 7 Julai hingga 9 Julai, yang disertai 14 pasukan dari seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.

Menteri Besar akan merasmikan program berkenaan kira-kira jam 8.30 pagi esok manakala Perdana Menteri Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak akan menyempurnakan majlis penutup serta menyampaikan hadiah kepada pemenang pada sebelah petang, 9 Julai.



Azizulhasni Tokoh 1Malaysia NPC-Tan Sri Nasimudin

Oleh: Aida Abd Rahman

Kegemilangan di pentas antarabangsa yang dicipta anak Terengganu, Mohd Azizulhasni Awang dalam arena sukan berbasikal negara menobatkan namanya selaku penerima Tokoh 1Malaysia Kelab Akhbar Kebangsaan (NPC) NPC-Tan Sri Nasimuddin SM Amin.

Azizulhasni menerima anugerah berprestij itu hasil sumbangannya mengharumkan nama negara dalam sukan berbasikal termasuk memenangi emas dalam acara keirin pada kejohanan Piala Dunia Klasik Beijing, China tahun lalu.

Anugerah disampaikan Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Razak pada Malam Anugerah NPC-Naza 2011, Kuala Lumpur, malam tadi.

Selain Azizulhasni, anugerah turut disampaikan kepada beberapa wartawan termasuk Anugerah Pencapaian Seumur Hidup NPC-TM yang diterima bekas Pengarang Berita Bernama, Musa Scully. Beliau berkecimpung selama 30 tahun dalam dunia kewartawanan dan 16 tahun dalam bidang perhubungan awam.

Manakala Khalidah Adibah Amin, 74, atau lebih dikenali sebagai Adibah Amin menerima Anugerah Legenda Media NPC-AmBank dengan masing-masing menerima RM10,000 dan plak.

Ketua Pengarang Kumpulan The Star, Datuk Seri Wong Chun Wai menerima Anugerah Personaliti Media NPC-Celcom sementara Presiden NPC, Datuk Ahiruddin Atan atau Rocky Bru menerima Anugerah Ikon Media NPC-Maxis.

Anugerah lain termasuk Wartawan The Star, Shahanaz Habib (Wartawan Terbaik NPC-SCOMI (RM10,000 dan plak; Melissa Ong dari NTV7 (Wartawan Muda Terbaik NPC-Celcom) (RM5,000 dan plak); Wartawan MalaysiaKini, Aidila Razak (Wartawan Online Terbaik NPC-UEM (menerima RM5,000 dan plak) dan www.paultan.org (Penulis Blok Terbaik NPC-Sime Darby (RM3,000 dan plak).