Halaman

07 July 2011

PTIWRBNM beri limpahan rezeki kepada peniaga

Oleh: Suriati Ali

Kehadiran peserta Program Tahunan Isteri Wakil-Wakil Rakyat Barisan Nasional Se-Malaysia (PTIWRBNM) 2011 ke Terengganu memberi limpahan rezeki kepada peniaga di negeri ini terutama yang menjual produk dan makanan tradisional.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah, berkata peniaga restoran atau individu yang terlibat diminta supaya tidak bersikap tamak haloba atau ‘cekik darah’ ketika berurusniaga sebaliknya perlu menawarkan harga yang berpatutan kepada pelanggan.

“Peniaga juga perlu bijak mengambil hati dan bersikap peramah bertujuan menjaga imej Terengganu yang sememangnya terkenal dengan adat ketimuran dan bersopan santun,” katanya kepada Teganukita.

Dato’ Haji Mazlan turut memberitahu bahawa dia kagum dengan kebolehan dan kerjasama Badan Amal dan Kebajikan Isteri Wakil-wakil Rakyat Terengganu (Serikandi0 kerana mampu menganjurkan PTIWRBNM di mana melibatkan 14 negeri atau kontinjen termasuk Sabah dan Sarawak.

“Jika tiada komitmen tinggi daripada pelbagai pihak, sudah tentu ia menemui kegagalan dan tidak mampu mengadakan pelbagai aktiviti sehebat ini,” katanya.

Naib Ketua Pergerakan Wanita Umno Bahagian Kuala Nerus, Puan Norhayati Ismail, berkata dia bangga kerana terpilih mengikuti program ini dengan membuka gerai jualan makanan tradisional di perkarangan Stadium Negeri Kuala Terengganu.

Katanya, pelbagai jenis juadah dan menu tradisional seperti onde-onde, puteri mandi, tepung pelita, tepung pasung dan sebagainya nyata dapat sambutan pembeli sejak gerai dibuka bermula semalam (6 Julai).

“Kami akan manfaat sepenuhnya program yang berlangsung selama empat hari ini dengan mempromosi keenakan kuih tradisional, keunikan dan keindahan Terengganu,” katanya.