Halaman

04 July 2011

MB rasmi Program Tahunan Isteri Wakil-wakil Rakyat BN Se-Malaysia 2011

Oleh: Kamarudin Mat Akib



Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, akan merasmikan Majlis Program Tahunan Isteri Wakil-Wakil Rakyat Barisan Nasional (BN) Se-Malaysia 2011 di Stadium Negeri, Kuala Terengganu, Khamis ini (7 Julai).

Kira-kira 600 peserta, termasuk isteri wakil-wakil rakyat BN dari seluruh negara akan menyertai kejohanan sukan sempena program tersebut yang bermula 7 Julai hingga 9 Julai.

Isteri Perdana Menteri, Datin Paduka Seri Rosmah Mansor yang juga Yang Dipertua BAKTI dan isteri Menteri Besar Terengganu, To’ Puan Seri Norliza Mahmud, merangkap Yang Dipertua SERIKANDI, turut menyertai program berkenaan.

Majlis perasmian dimulakan dengan perbarisan lintas hormat kontinjen yang melibatkan peserta yang mengambil bahagian dalam kejohanan sukan.



Kira-kira jam 10.30 pagi acara badminton akan dimulakan Stadium Negeri manakala pada sebelah petang diadakan acara tenpin boling.

Para peserta kejohanan akan mula datang ke Terengganu pada hari esok (5 Julai) dan mereka akan ditempatkan di beberapa hotel sekitar bandar ini.

Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak akan menyempurnakan majlis penutup dan penyampaian hadiah kepada para pemenang, pada 9 Julai di Stadium Negeri dan Taman Tamadun Islam.