Halaman

07 July 2011

Bakti komited tingkat prestij-MB

Oleh: Aida Abd Rahman/Suriati Ali/ Sh Mardiah Tuan Azam

Inisiatif dan komitmen tinggi Yang Dipertua Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri Menteri dan Timbalan Menteri (Bakti), Datin Paduka Seri Rosmah Mansor menerajui badan itu meneruskan tradisi dan meningkatkan prestij penganjuran Program Tahunan Isteri Wakil-Wakil Rakyat Barisan Nasional Se-Malaysia 2011, perlu diberi penghormatan dan pujian.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata program tahunan itu menjangkau tradisi dan mencerminkan keakraban persaudaraan antara ahli Bakti yang bukan sekadar bagi tujuan amal serta kebajikan ahlinya, tetapi turut membantu masyarakat.

“Kita bertuah kerana mempunyai ’wanita pertama’ yang sentiasa komited dengan usaha baru bagi membantu pimpinan negara melalui program-program amal dan kebajikan yang memberi impak terus kepada rakyat.

“Ini dapat kita lihat menerusi program Permata Negara yang berjaya melahirkan modal insan yang menjadi aset paling penting untuk memajukan negara,” katanya ketika berucap merasmikan majlis pembukaan Program Tahunan Isteri Wakil-Wakil Rakyat Barisan Nasional (BN) Se-Malaysia 2011, di Stadium Negeri, Kuala Terengganu, pagi tadi.

Turut hadir, isteri Perdana Menteri merangkap Yang Dipertua Bakti, Datin Paduka Seri Rosmah Mansor, Yang Dipertua Serikandi, To’ Puan Seri Hajah Norliza Mahmud serta isteri Timbalan Perdana Menteri merangkap Naib Yang Dipertua Bakat, Puan Sri Hajah Noorainee Abd Rahman.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan negeri, Dato’ Mazlan Ngah; Yang Dipertua Badan-Badan Amal dan Kebajikan Isteri Wakil Rakyat BN dan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Terengganu.

Menteri Besar berkata, komitmen dalam program amal ini jelas membuktikan bahawa seorang wanita berbakti sebagai isteri dan ibu dalam sebuah keluarga, juga mempunyai peranan penting dalam membimbing masyarakat.

Menurutnya, Bakti dan seluruh badan di bawah naungannya di peringkat negeri, telah memainkan peranan yang penting dalam masyarakat kerana sentuhan seorang wanita adalah berbeza dari suaminya.

“Sebagaimana kata pepatah di sebalik kejayaan seorang lelaki, ternyata pendukungnya adalah seorang wanita.

“Kita sebenarnya adalah satu keluarga yang besar dalam Barisan Nasional dan setiap seorang dari kita, termasuk para suami, mempunyai peranan yang besar dalam masyarakat dan negara,” katanya.

Katanya, tujuan kita adalah sama dan murni iaitu beramal melalui program kebajikan untuk kepentingan masyarakat, termasuk program untuk membela nasib insan yang kurang berupaya.

Selain itu, setiap kontinjen, walaupun berbeza dan datang dari seluruh negara, tidak menghalang untuk bersatu menjayakan program ini sekaligus merapatkan silaturrahim yang sudah terbina dan mengukuh setiakawan dalam semangat 1 Malaysia.