Halaman

04 July 2011

Perhimpunan haram hanya merugikan Melayu-MB

Oleh: Aida Abd Rahman

Perhimpunan haram hanya merugikan bangsa Melayu, kata Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said.

Beliau berkata, tindakan bangsa Melayu menyertai aktiviti yang jelas melanggar undang-undang itu hanya mengundang anasir negatif dan melemahkan bangsa Melayu sendiri.

“Yang menggerakkan kepada perhimpunan itu adalah bangsa lain, yang menyertai demonstrasi ramai-ramai secara besar-besaran adalah Melayu. Yang akan terkena gas, air dan kena tangkap akibat demonstrasi itu juga adalah Melayu.

“Bangsa Melayu akan terus berada dalam kebodohan akibat terpengaruh dengan aktiviti tidak sihat ini, kaum lain akan bertepuk tangan dengan sikap Melayu,” katanya ketika sesi dialog bersama kira-kira 60 pemilik akaun Facebook di Majlis Temu Mesra YAB Menteri Besar Terengganu Bersama Facebooker, di perkarangan Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Ladang, Bukit Besar, Kuala Terengganu, kelmarin.

Turut hadir, Pegawai Daerah Kuala Terengganu, Haji Wan Nawawi Wan Ismail; Pegawai Pembangunan DUN Ladang, Dato’ Wan Hisham Wan Salleh; Ketua Pemuda Umno Bahagian Kuala Terengganu, Encik Badrul Hisham Zaki.

Beliau berkata, kaum lain tidak akan menyertai demonstrasi itu kecuali beberapa pemimpin pembangkang termasuk (Datuk) S.Ambiga yang hanya akan keluar untuk menunjukkan muka mereka dalam perhimpunan haram itu.

“Mat Sabu (Pas) daripada awal lagi sudah mengeluarkan kenyataan dalam akhbar bahawa dia tidak akan bertanggungjawab dan menyediakan peguam jika ditangkap kerana dia memberi jaminan perhimpunan akan berlakusecara aman.

“Bagaimana perhimpunan itu akan berlangsung secara aman, kerana sebagaimana kita ketahui masyarakat kita apabila demonstrasi akan wujud provokasi dan ketika itu tidak mampu mengawal diri hingga mencetus pergaduhan,” katanya.

Beliau berkata, budaya masyarakat negara ini apabila menganjurkan demonstrasi amat berbeza dengan Korea, apabila demonstrasi melibatkan pelajar negara itu berlangsung dengan aman dan langsung tidak merosakkan harta benda di sekeliling mereka.

Katanya, demonstrasi haram juga boleh memberi gambaran tidak benar mengenai negara kita secara keseluruhannya sekaligusnya menjejaskan sektor ekonomi dan pelaburan asing.

Selain itu, Menteri Besar menegaskan peranan kita sebagai umat Islam adalah mempertahankan kerajaan yang ada serta melaksanakan kebaikan dengan niat yang penuh ikhlas demi agama, bangsa dan negara.

“Kalau tuan berkata, apabila membuang duri di atas jalan dapat pahala, samalah juga apabila kita membuat kebaikan membangunkan Felda, Risda dan membina lebuh raya juga akan dibalas oleh Allah s.w.t setimpal dengan apa yang dilaksanakan,” katanya.