Halaman

04 July 2011

Program Kafa didik generasi kecil cintai al-Quran

Oleh; Esah Abdullah

Seramai 73,300 pelajar sedang mendalami ilmu al-Quran di bawah Program Kelas al-Quran dan Fardu Ain (Kafa) membabitkan 3,105 orang guru diseluruh negeri.

“Program ini dijalankan di 410 premis membabitkan Sekolah Kebangsaan (SK), Sekolah Agama Rakyat (SAR), masjid, surau dan balai raya,” kata Pengarah Yayasan Islam Terengganu (YIT), Haji Md. Kamaru Al-Amin Ismail.

Katanya, program Kafa berkonsepkan pendidikan agama peringkat rendah bagi menyokong dan memperkukuhkan pendidikan Islam yang dilaksanakan di bawah sistem pendidikan kebangsaan.

“Pelajar diberi penekanan dan tumpuan kepada amali serta kemahiran membaca al-Quran mengikut tajwid dan fadru ain di samping kemahiran dalam penulisan dan pembacaan jawi,” katanya.

Katanya, YIT berhasrat program Kafa di laksanakan di semua sekolah di negeri ini dalam usaha kerajaan menyemai benih kesuburan dalam pegangan agama sejak kecil.

Menurutnya, kejayaan pelajar Kafa khatam al-Quran terus meningkat dan sasaran tahun ini 18,000 pelajar berbanding tahun lalu (16,929) dan pada masa sama 2,170 pelajar berjaya direkodkan dalam Malaysia Book of Records yang khatam menggunakan e-Book,” katanya.

Katanya, ini membuktikan pelajar telah berjaya memanfaatkan penggunaan teknologi maklumat dalam sistem pengajaran dan pembelajaran di peringkat sekolah rendah sesuai dengan era kemajuan sains dan teknologi masa kini.

“Usaha murni memertabatkan agama ini sejajar dengan hasrat kerajaan untuk melahirkan generasi celik al-Quran dengan pendedahan seawal usia ke arah meningkatkan mutu bacaan yang betul, lancar dan bertajwid ,” katanya.