Halaman

07 July 2011

Isteri wakil rakyat mainkan peranan sama penting dengan tugas suami- Datin Paduka Seri Rosmah

Oleh: Aida Abd Rahman/ Suriati Ali/ Sh Mardiah Tuan Azam


Lintas hormat kontinjen-kontinjen ketika majlis Pembukaan Program Tahunan Isteri Wakil-Wakil Rakyat Barisan Nasional (BN) Se-Malaysia di Stadium Negeri, Kuala Terengganu. - Foto: Zulkipli Putra.

Isteri Perdana Menteri, Datin Paduka Seri Rosmah Mansor mengingatkan semua isteri ahli politik dan wakil rakyat memainkan peranan sama penting dan bertanggungjawab sepenuhnya terhadap peranan suami.

“Ini adalah kerana bidang politik adalah sesuatu bidang yang sangat berlainan daripada profesion lain, tidak kiralah samada guru, doktor mahupun jurutera.

"Apabila seseorang itu menjadi ahli politik, maka mereka akan dinilai dari pelbagai sudut dan salah satu yang kerap dinilai adalah peranan isteri. Itulah bezanya apabila berada di dalam bidang politik,” kata beliau yang juga Yang Dipertua Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri Menteri dan Timbalan Menteri (Bakti) ketika berucap di Majlis Pembukaan Program Tahunan Isteri Wakil-Wakil Rakyat Barisan Nasional (BN) Se-Malaysia (PTIWRBNM) 2011, di Stadium Negeri, Kuala Terengganu, pagi ini.



Turut hadir, Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said dan isteri, To’ Puan Seri Hajah Norliza Mahmud serta isteri Timbalan Perdana Menteri, Puan Sri Hajah Noorainee Abd Rahman.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan negeri, Dato’ Mazlan Ngah; Yang Dipertua Badan-Badan Amal dan Kebajikan Isteri Wakil Rakyat BN dan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Terengganu.

Datin Paduka Seri Rosmah berkata, rakyat mahukan seorang wakil rakyat dan isteri menjadi wakil mereka yang positif serta berjiwa besar. Maka, jika si isteri tidak bersama-sama memainkan peranan, maka si suami pula akan menerima kesannya dan ini akan mengudang persepsi negatif dari masyarakat setempat.

“Hendak atau tidak, suka atau tidak suka, sebagai isteri wakil-wakil rakyat, para suri sekalian haruslah pandai memainkan peranan masing-masing selaras dengan keperluan masyarakat setempat apatah lagi pilihanraya semakin hampir tiba.

“Menyedari realiti perkembangan politik masa kini dan kematangan rakyat yang juga merupakan para pengundi dari itu, saya berpendapat para isteri wakil-wakil rakyat juga perlu memainkan peranan untuk bergerak seiring dengan para suami bagi mendampingi rakyat dengan lebih dekat lagi,” katanya.

Menurutnya, para suri sekalian perlu mempunyai minda dan sikap yang terbuka dan oleh itu, jalankanlah kewajipan sebagai isteri wakil-wakil rakyat sekalian dengan penuh komitmen serta dedikasi dalam menjaga kawasan masing-masing.

Katanya,semua isteri perlu rajin mengikut suami balik ke kawasan, menjenguk rakyat jelata dan meneruskan khidmat bakti di tempat masing-masing melalui pelbagai aktiviti berorientasikan rakyat.

“Bulan Ramadan sudah hampir tiba, selalulah turun padang berbuka puasa bersama orang-orang kampung dan rakyat jelata. Baru di panggil ‘wakil rakyat berjiwa rakyat'.



“Dengan demikian, barulah benar-benar menghayati aspirasi 1Malaysia, `Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan’," katanya.

Beliau yakin melalui penganjuran yang berbentuk kemasyarakatan tersebut, sedikit sebanyak isteri wakil rakyat dapat membantu meraih sebanyak mungkin sokongan wanita Barisan Nasional serta mewujudkan kepercayaan terjalinnya kemesraan dan perasaan sayang terhadap pemimpin.

Menteri Besar merasmikan program itu dan kemudiannya menyampaikan cenderahati kepada ketua kontinjen selepas selesai gimik pelancaran, persembahan gerak irama dan upacara menaikkan bendera kejohanan PTIWRBNM 2011.