Halaman

06 July 2011

Bandar Kuala Terengganu bertambah sesak dan meriah

Oleh: Aida Abd Rahman

Bandar Raya Kuala Terengganu kini bertambah sesak dan meriah dengan kehadiran kira-kira 650 peserta yang terdiri daripada 14 kontinjen melibatkan isteri wakil-wakil rakyat Barisan Nasional (BN) dari seluruh negara.

Mereka berkampung di bandar raya ini bagi menjayakan Program Tahunan Isteri Wakil-Wakil Rakyat BN Se-Malaysia 2011 yang bermula esok sehingga 9 Julai ini.

Program secara tahunan yang berlangsung 15 tahun sekali di setiap negeri itu turut merubah panorama sekitar venue program terutama di Stadium Negeri, Kompleks Sukan Terengganu Equestrian Resort, Wisma Darul Iman,Taman Tamadun Islam dan hotel-hotel utama yang menempatkan kesemua peserta.

Banting dan kain rentang yang mempromosi program menghiasi sepanjang jalan sebagai mengalu-alukan kedatangan peserta yang mula tiba di bandar ini dengan menaiki pesawat serta bas sejak pagi kelmarin.

Malah, beraneka lampu neon dan pokok hiasan turut diubahsuai serta diganti baru bagi menambahkan keceriaan dan keindahan persekitaran bandar bersempena program itu.

Penganjuran program julung kali itu pastinya memberi impak kepada ekonomi negeri terutama dalam industri batik dan kraf apabila kumpulan peserta yang kebanyakannya terdiri daripada isteri kenamaan itu mengambil peluang berbelanja bagi mendapatkan produk Terengganu sebagai cenderahati dan koleksi peribadi masing-masing.

Yang Dipertua Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri Menteri dan Timbalan Menteri (Bakti) Malaysia, Datin Paduka Seri Rosmah Mansor tiba di Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM), kira-kira jam 10.45 pagi tadi.

Sebelum itu, isteri Timbalan Perdana Menteri yang juga Naib Yang Dipertua Bakti, Datin Sri Hajah Noorainee Abd Rahman dan isteri Menteri Penerangan Komunikasi, Kesenian dan Kebudayaan, Datin Seri Utama Maznah Rais pula tiba kira-kira jam 9.35 pagi.