Halaman

07 July 2011

Peserta dekat dengan budaya Terengganu-YDP Serikandi

Oleh: Aida Abd Rahman

Yang Dipertua Badan Amal dan Kebajikan Isteri Wakil-Wakil Rakyat Terengganu (Serikandi), To’ Puan Seri Hajah Norliza Mahmud berharap Program Tahunan Isteri Wakil-Wakil Rakyat Barisan Nasional Se-Malaysia 2011 mampu mendekatkan lagi semua peserta kepada keunikan budaya dan tradisi yang ada di Terengganu.

“Sepanjang program tahunan ini berlangsung, para peserta boleh melihat sendiri suntikan pelbagai elemen kesenian Negeri Terengganu. Adalah menjadi harapan kami untuk memperkenalkan keindahan seni warisan budaya negeri kepada semua peserta terutamanya kepada mereka yang pertama kali menjejakkan kaki ke Terengganu.
“Sememangnya menjadi tuan rumah untuk penganjuran program yang sebegini besar bukannya suatu tugas yang mudah,” katanya ketika berucap di Majlis Pembukaan Program Tahunan Isteri Wakil-Wakil Rakyat Barisan Nasional (BN) Se-Malaysia 2011, di Stadium Negeri, Kuala Terengganu, pagi tadi.

Turut hadir, Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, Yang Dipertua Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri Menteri dan Timbalan Menteri (Bakti), Datin Paduka Seri Rosmah Mansor dan isteri Timbalan Perdana Menteri, Puan Sri Hajah Noorainee Abd Rahman.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan negeri, Dato’ Mazlan Ngah; Yang Dipertua Badan-Badan Amal dan Kebajikan Isteri Wakil Rakyat BN dan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Terengganu.

Beliau turut bersyukur kerana mendapat kerjasama padu dari kerajaan negeri dan Ahli-Ahli Jawatankuasa Induk yang dipengerusikan oleh Setiausaha Kerajaan negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah, selain sokongan penuh suami masing-masing.

Katanya, tidak dinafikan selaku penganjur, Serikandi merasa bimbang jika segala kelengkapan serta kemudahan yang disediakan terdapat kekurangan. Bagaimanpun, pihaknya cuba melakukan persiapan sebaik mungkin untuk keselesaan semua kontinjen.

“Selama berada di sini, semoga semua peserta akan berpuas hati dengan layanan dan persiapan yang telah kami sediakan sepanjang penganjuran program tahunan ini berlangsung,” katanya.

Menurutnya, penganjuran program yang bertujuan untuk mengukuhkan lagi perpaduan dan semangat muhibah di kalangan isteri wakil-wakil rakyat Barisan Nasional pastinya tercapai jika dilihat dari komitmen dan penyertaan oleh semua kontinjen pada hari ini.

Beliau seterusnya mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Yang Dipertua Bakti, Datin Paduka Seri Rosmah atas kepercayaan yang diberikan kepada Serikandi bagi menggalas tanggungjawab sebagai tuan rumah pada tahun ini.