
Pasukan Bistari (Melaka) menumpaskan Baiduri (Perak) dengan mata 3-2 untuk meraih tempat ketiga, dalam perlawanan penentuan tempat ketiga dan keempat pertandingan badminton sempena Program Tahunan Isteri Wakil-Wakil Rakyat Barisan Nasional Se-Malaysia 2011, yang berlangsung di Stadium Negeri, Kuala Terengganu, kira-kira jam 12 tengah hari tadi.
Tiga regu yang memastikan kemenangan Bistari adalah pasangan Datin Seri Datuk Wira Hajah Asmah Ab Rahman dengan Datin Faridah Abdul Khalid (15-8,15-1); Datin Hajah Ahsenah Haji Othman dengan Datin Wira Hajah Zainun Tun Ghafar (15-12,5-15, 15-5) dan Datin Hajah Hasiah Harun dengan Datin Evelyn Tan Siew Beng (15-4,15-4).
Sebelum itu, pasukan Bakti yang diketuai Datin Paduka Seri Rosmah Mansor menepati ramalan apabila berjaya menumpaskan Baiduri (Perak)3-0, manakala Bakisa menundukkan pasukan Bistari (Melaka) 3-0, di peringkat separuh akhir petang semalam.

Lapan pasukan berentap di peringkat suku akhir melibatkan Sabati tewas di tangan Bakisa dengan mata 1-3, manakala tuan rumah, Serikandi dikalahkan Bistari (1-3), diikuti Bakti mengalahkan Pekerti (3-0) Baiduri memungut tiga mata penuh selepas menumpaskan Kasih (Selangor).
Sebanyak 12 pasukan mula bersaing di peringkat kumpulan di enam gelanggang Stadium Negeri, sejak pagi Khamis lalu.

Sementara itu, penentuan johan dan naib johan antara pasukan Bakti dan Bakisa sedang berlangsung bermula jam 3 petang tadi dan dijangka selesai kira-kira jam 5.30 petang ini.
Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak akan menyampaikan hadiah kepada pemenang kejohanan badminton dan boling.
