Halaman

09 July 2011

Bakti muncul naib juara

Oleh: Aida Abd Rahman dan Suriati Ali



Pasukan badminton Bakti yang diketuai Datin Paduka Seri Rosmah Mansor muncul naib johan dalam perlawanan badminton akhir sempena Program Tahunan Isteri Wakil-Wakil Rakyat Barisan Nasional Se-Malaysia 2011, petang ini.

Mereka terpaksa akur dengan kehebatan pasukan Bakisa (Sabah) yang diketuai Datin Seri Panglima Datuk Hajah Faridah Haji Tussin yang berjaya mendapat johan dengan mata 4-1.

Datin Paduka Seri Rosmah yang berpasangan dengan Datin Sri Lee Sun Loo muncul satu-satunya regu yang berjaya memberi mata kepada Bakti, sebelum empat pasangan regu Bakisa mendominasi kesemua perlawanan untuk muncul pemenang utama, dalam perlawanan berlangsung lebih tiga jam bermula 3 petang tadi.

Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak menyampaikan hadiah kepada pemenang badminton dan tenpin boling, kira-kira jam 5.45 petang tadi.

Turut hadir, Yang Dipertua Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri Menteri dan Timbalan Menteri (Bakti), Datin Paduka Seri Rosmah; Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin dan isteri yang juga merangkap Timbalan Yang Dipertua Bakti, Puan Seri Datin Hajah Noorainee Abd Rahman.

Hadir sama, Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, Yang DiPertua Dewan Undangan Negeri Terengganu, Dato’ Tengku Putera Tengku Awang, Menteri-menteri dan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

Terdahulu Dato’ Seri Mohd Najib yang tiba di Lapangan Terbang Sultan Mahmud kira-kira jam 2.30 petang ini di sambut Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said dan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.