Majlis perasmian pembukaan Program Tahunan Isteri wakil Wakil Rakyat Barisan Nasional SeMalaysia 2011 pada Khamis ini (7 Julai) bakal diserikan dengan persembahan 80 murid berusia tujuh hingga 11 tahun dari Sekolah Kebangsaan Kompleks Mengabang Telipot, Kuala Terengganu.
Kumpulan murid yang terdiri daripada 64 perempuan dan selebihnya lelaki itu bakal mempersembahkan tarian berbentuk senaman yang mengikut tempo enam genre lagu yang rancak serta menghiburkan termasuk `Sunda', `Joget Pandang-Pandang' dan `Hero No 1'.
Kareografernya, Cikgu Bahrin Ismail yang juga Penolong Kanan Kokurikulum sekolah berkenaan bertanggungjawab mengajar gerak irama dan senaman itu sejak sebulan lalu.
Katanya, semua kanak-kanak berkenaan teruja dan seronok dapat menyertai majlis penting itu, apatah lagi buat julung kalinya membuat persembahan di depan tetamu kenamaan khususnya Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said dan isteri, To’ Puan Seri Hajah Norliza Mahmud, serta isteri Perdana Menteri, Datin Paduka Seri Rosmah Mansor.
“Semua pelajar ini datang dari pinggir bandar dan peluang menyertai aktiviti luar sekolah pastinya memberikan satu pendedadahan baru kepada mereka. Saya bersama seorang guru pengiring juga bersemangat dan akan memastikan kelancaran persembahan mereka kelak,” katanya yang mempunyai pengalaman sebagai kareografer pasukan kebudayaan Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu selama 12 tahun sejak 1983.
Sebagai persiapan, Cikgu Bahrin mula menumpukan perhatian sepenuhnya terhadap latihan mengajar kumpulan murid-murid itu sejak sekolah dibuka selepas cuti pertengahan tahun bulan lalu.
Katanya, proses mengenal pasti murid yang berbakat dan berminat mula dilaksanakan sejak April lagi dan beberapa tapisan dibuat untuk memastikan hanya murid yang berkebolehan diserapkan dalam pasukan itu.
Pasukan cilik itu akan muncul di khalayak umum bersempena majlis dengan persembahan mereka yang mengambil masa kira-kira 15 minit bersempena majlis itu sebaik ucapan perasmian oleh Menteri Besar dan disusuli pula dengan gimik pelancaran oleh pasukan Sutra Tari.
Majlis perasmian program akan dilancarkan Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad, di Stadium Negeri, pada 7 Julai, kira-kira jam 8 pagi .
Sementara Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak pula dijangka akan menyampaikan hadiah kepada pemenang pertandingan badminton serta tenpin boling di Stadium Negeri, pada 9 Julai, kira-kira jam 2 petang.
Perdana Menteri juga akan menyempurnakan majlis penutup program pada Malam Sentuhan Songket di Dewan Konvensyen, Taman Tamadun Islam, Kuala Terengganu, pada 9 Julai, kira-kira jam 8.30 malam.
Program tahunan bermula 6 hingga 9 Julai itu bakal diisi dengan pelbagai atucara menarik termasuk Makan Malam Ulek Mayang, pertunjukan fesyen oleh anak-anak Serikandi dan pertunjukan songket pada Malam Sentuhan Songket .