Halaman

03 July 2011

Kunjungan 319 pelancong asing ke inap desa sepanjang 2010

Oleh: Aida Abd Rahman

Seramai 319 orang pelancong antarabangsa direkodkan menginap di inap desa atau homestay yang terdapat di seluruh Terengganu sepanjang tahun lalu.

Daripada jumlah itu, Indonesia mencatat 83 orang, Singapura (80), Sepanyol (50), Amerika Syarikat (36), manakala China, Arab dan Netherlands, masing-masing sembilan orang.
Sementara Korea dan Perancis pula empat orang, diikuti masing-masing dua dari Vietnam dan Jerman serta 30 orang lagi dari serata tempat seluruh negara.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, Datuk Abdul Rahin Mohd Said, berkata program inap desa dapat membantu kerajaan negeri memperkenalkan pelbagai budaya ketimuran dan adat resam Melayu kepada pelancong tempatan dan juga asing.


Sehingga kini, enam inap desa yang berdaftar dan diiktiraf kerajaan termasuklah Homestay Kampung Pasir Raja, Dungun; Homestay Rhu 10, Setiu; Homestay Felda Selasih, Jertih; Homestay Kampung Buloh, Hulu Terengganu; Homestay Kampung Teluk Ketapang dan Kampung Pulau Duyung, Kuala Terengganu.

Katanya, seramai 106 peserta terlibat mengusahakan enam inap desa berkenaan yang mula berdaftar dengan Kementerian Pelancongan Malaysia sejak 1996 hingga 2009 lalu.

“Seramai 2,680 pelancong domestik yang menetap di inap desa seluruh Terengganu sepanjang tahun lalu, peningkatan 70.05 peratus berbanding tahun 2009.

“Hasil kedatangan 2,999 pelancong tempatan dan asing ke seluruh homestay berkenaan pada tahun lalu mampu meraih pendapatan kira-kira RM1.6 juta dalam sektor berkenaan,” katanya ketika dihubungi Teganukita, baru-baru ini.

Datuk Abdul Rahin berkata, kerajaan negeri kini sedang giat mengatur pelbagai perancangan dan usaha bagi memastikan dua perkampungan inap desa dapat dibangunkan bagi setiap Parlimen berasaskan kepada kekuatan serta keunikan produk setempat.

Katanya, sasaran kerajaan negeri kini adalah mewujudkan sekurang-kurangnya 16 inap desa seluruh Terengganu berdasarkan kepada Hala Tuju Rancangan Pembangunan Negeri Terengganu bermula 2009 hingga 2013.

“Ini selaras dengan matlamat kerajaan yang mahu menjadikan Terengganu sebagai destinasi pelancongan utama negara.

“Pada masa yang sama, industri pelancongan juga menjadi sumber pertumbuhan baru ekonomi negeri melalui pemerkasaan produk pelancongan sedia ada, meningkatkan kadar kedatangan pelancong serta merakyatkan pelancongan seiringan dengan agenda `merakyatkan pentadbiran serta pembangunan,” katanya.