Halaman

31 July 2011

Komitmen NGO laksanakan transformasi

Oleh: Aida Abd Rahman

Negara memerlukan komitmen Badan-Badan Bukan Kerajaan (NGO) bagi melaksanakan transformasi serta meminggirkan budaya lapuk sambil meneroka bidang baru melalui kekuatan iltizam dan perubahan dalam cara berfikir mahupun bertindak.

Timbalan Setiausaha Kerajaan negeri (Pengurusan), Dato’ Wan Ahamad Wan Muda, berkata dalam menongkah arus transformasi, cabaran yang dihadapi pada masa ini amat berat khususnya dalam mewujudkan perkhidmatan bersepadu serta meningkatkan prestasi secara menyeluruh.

“Sementara dari perspektif jabatan, sudah pasti kita perlu bertanya ke dalam diri kita sejauh manakah kita telah berperanan dan berfungsi sebaiknya dalam berkhidmat untuk negara,” katanya ketika berucap di Program Taklimat Pembangunan Badan-Badan Bukan Kerajaan (NGO) Negeri Terengganu 2011, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, baru-baru ini.

Katanya, dalam memberikan perkhidmatan, ideologi dan cara pendekatan setiap individu mungkin berbeza, bagaimanapun, setiap individu itu perlu berpegang dengan prinsip profesional dan berintegriti dalam kerjaya masing-masing.

Beliau berkata, masyarakat sentiasa menuntut setiap NGO serta agensi kerajaan menunjukkan nilai-nilai yang terbaik serta mengamalkan integriti paling tinggi.

“Saya suka mengingatkan bahawa tiada tempat dalam perkhidmatan awam ataupun agensi lain bagi mereka yang tidak berintegriti, dengan mengambil jalan mudah untuk mengumpul kekayaan dengan menggunakan kaedah yang tidak sepatutnya.

“Namun demikian, integriti bukan bermaksud penyelewengan serta penyalahgunaan kuasa semata-mata,” katanya.

Menurutnya, integriti sangat komprehensif dan meluas yang merangkumi aspek pengurusan masa,memberikan perkhidmatan terbaik, menyampaikan maklumat, membuat keputusan serta berintegriti dalam komunikasi dengan ketua jabatan, rakan sekerja serta pelanggan.



Lima atlet ke Olimpik terima elaun khas

Oleh: Aida Abd Rahman


Dato’ Seri Ahmad Shabery Cheek

Lima atlet negara yang mengesahkan penyertaan di Sukan Olimpik London 2012 menerima elaun bulanan khas di bawah Skim Insentif Sukan Olimpik.

Menteri Belia dan Sukan, Dato’ Seri Ahmad Shabery Cheek, berkata mereka yang menyertai acara individu layak menerima RM2,000 berbanding RM1,600 sebelum ini.

Manakala mereka yang menyertai acara berkumpulan akan menerima sebanyak RM1,600 berbanding RM1,000 sebelum ini.
"Mereka akan menerima elauan bulanan itu dari tarikh kelayakan mereka menyertai Sukan Olimpik sehingga sukan itu diadakan," katanya selepas Majlis Penyampaian Skim Insentif Sukan kepada pasukan memanah negara di tapak acara Karnival Emping Dadong 2011 di Kampung Dadong, Kemaman, kelmarin.

Dalam perkembangan itu, trio memanah kebangsaan yang dianggotai Chen Chu Sian, Haziq Kamaruddin dan seorang anak Terengganu, Khairul Anuar Mohamad muncul sebagai kumpulan pertama atlet Malaysia yang layak ke London selepas meraih tempat kesembilan acara berpasukan pada Kejohanan Memanah Dunia di Torino, Itali pada 8 Julai lalu.

Selain itu, dua penerjun, Pandelela Rinong dan Bryan Nickson Lomas yang turut menempah tiket ke London selepas melepasi tahap kelayakan turut layak menerima elaun berkenaan.

Dato’ Seri Ahmad Shabery berkata kenaikan elaun bulanan itu diputuskan dalam mesyuarat Lembaga Pengurus Majlis Sukan Negara (MSN) di Bukit Jalil yang dipengerusikan beliau pada Mac lalu.



Karnival Emping Dadong suburkan tradisi Melayu

Oleh: Aida Abd Rahman


Dato’ Seri Ahmad Shabery Cheek mendengar penerangan yang disampaikan oleh peserta gerai di Karnival Emping Dadong 2011.

Penganjuran Karnival Emping Dadong 2011 di tengah sawah padi di Kampung Dadong, Air Putih, Kemaman berjaya memahat sejarah baru apabila menarik ribuan pengunjung ke karnival yang dikatakan pertama kali diadakan di negara ini.

Karnival tiga hari dua malam di perkampungan yang terletak kira-kira 16 kilometer dari Bandar Cukai dipenuhi dengan pelbagai pengisian yang menarik untuk semua golongan termasuk belia dalam menghidupkan kembali aktiviti tradisional yang hampir lupus ditelan zaman.


Dato' Seri Ahmad Shabery membuat sepak mula di perlawanan futsal yang diadakan sempena karnival.

Ahli Parlimen Kemaman merangkap Menteri Belia dan Sukan negeri, Dato’ Seri Ahmad Shabery Cheek, berkata pihaknya bercadang untuk menjadikan karnival itu sebagai acara tahunan.

“Karnival ini bertujuan menonjolkan simbol keunikan masyarakat tradisi masyarakat setempat yang menjalankan aktiviti menanam dan menuai padi bagi menghasilkan emping.

“Kehidupan tradisi ini diamalkan sejak zaman dahulu dan ia menjadi simbol kehidupan seperti gotong-royong yang sukar dilihat di kalangan masyarakat kini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Rakan Muda Ramadan Peringkat Kebangsaan 2011 sempena karnival itu, kelmarin.


Pegawai Daerah Kemaman, Encik Mohamad Kamil Othman tidak melepaskan peluang untuk menjalani pemeriksaan kesihatan daripada pelajar perubatan Moscow.

Hadir sama, Pegawai Daerah Kemaman, Encik Mohamad Kamil Othman dan Ketua Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Kemaman, Encik Mohd Hisham Zubir.

Katanya, program menarik itu boleh menjadi satu lagi tarikan pelancongan dan dimuatkan dalam kalendar pelancongan negeri dalam usaha memperkenalkan tradisi warisan masyarakat Melayu di negeri ini kepada pelawat.


Pusat Penerangan Pelancongan Bergerak juga turut terlibat dalam mempromosi destinasi pelancongan kepada pengunjung karnival.

Hampir 100 peserta terdiri daripada semua lapisan masyarakat membabitkan 19 kumpulan penumbuk emping secara beramai-ramai. Malah, turut diadakan acara berbasikal dari Pasir Gajah ke dadong, pertandingan nasyid, pertandingan kayak, berakit, perlawanan futsal serta bola sepak.

Lain-lain pengisian termasuk program tadarus al-Quran serta program Rakan Muda Ramadan di Masjid Kampung Dadong.



30 July 2011

Kepentingan rakyat syarat utama jayakan pembangunan Terengganu

Oleh: Aida Abd Rahman

Kerajaan negeri akan memastikan syarat utama yang diperhalusi sebelum mengambil tindakan untuk menjayakan sebarang perancangan dan pelaksanaan pembangunan Terengganu adalah mengutamakan kepentingan serta memberi keuntungan secara total kepada rakyat negeri ini.

Ini bermakna segala projek atau program yang akan dilaksanakan oleh kerajaan dapat dinikmati, dipermudahkan dan memberi faedah secara terus kepada rakyat.
“Kegagalan sesuatu program yang dilaksanakan kerajaan akan mencerminkan kepincangan sesebuah kerajaan. Perkara seperti ini amatlah dititikberatkan oleh Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, bagi mencapai kepuasan hati rakyat khususnya,” kata Timbalan Setiausaha Kerajaan negeri (Pengurusan), Dato’ Wan Ahamad Wan Muda, ketika berucap sempena perasmian program Taklimat Pembangunan Badan-Badan Bukan Kerajaan (NGO) Negeri Terengganu 2011, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, kelmarin.

Dato’ Wan Ahamad berkata, pembangunan Terengganu sejak 2004 hingga kini berteraskan kepada output yang dinyatakan itu.

Oleh itu, semua pihak hendaklah bersama-sama menggembeleng tenaga dan berusaha untuk meneruskan agenda `Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan' terutamanya dalam menyediakan kemudahan yang selesa kepada rakyat.

Katanya, pendekatan pembangunan baru seperti pembangunan bersepadu wilayah juga perlu diberi perhatian memandangkan peruntukan yang besar disediakan menerusi inisiatif ini yang dan ianya juga bertujuan untuk kepentingan rakyat.

“Sebagai rakyat Malaysia, kita semua haruslah bersama-sama memikirkan persoalan mengenai apakah peranan dan fungsi kita dalam organisasi dan negeri ini yang dapat membantu mencapai status Negeri Maju Tahun 2020 kelak?”.

“Kita wajar melihat sejauh mana usaha yang mampu NGO lakukan bersama-sama agensi kerajaan bagi mencapai matlamat tersebut,” katanya.


Wartawan perlu salur maklumat tepat

Oleh: Aida Abd Rahman



Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato’ Mohd Nasir Ibrahim Fikri meminta wartawan di negeri ini menyalurkan informasi yang tepat dan benar bagi menambah keyakinan rakyat terhadap kepimpinan negeri serta negara amnya.

“Saya mengharapkan semua rakan media, wartawan memainkan peranan menyalurkan setiap perkara dan apa sahaja yang betul-betul benar mengenai isu semasa dan kepimpinan negeri kepada masyarakat.



“Sebagai pemimpin, pastinya khidmat media massa diperlukan apatah lagi dalam suasana negara yang bakal berdepan dengan Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 nanti,” katanya ketika berucap di Majlis Mesra Media Bersama YB Dato’ Mohd Nasir Ibrahim Fikri di Kelab Eksklusif, Taman Awam Batu Buruk, malam tadi.

Turut hadir, Presiden Kelab Wartawan Terengganu, Encik Ayob Mamat, ketua biro media dan 50 wartawan serta jurugambar dari pelbagai agensi seluruh Terengganu.



Ketika mengulas mengenai tarikh PRU ke-13, Dato’ Mohd Nasir berkata pilihan raya berkenaan kemungkinan tidak dilaksanakan dalam terdekat serta tahun ini berikutan kerajaan masih memerlukan masa bagi menambah keyakinan rakyat terhadap setiap aspek kepimpinan serta pembangunan yang sudah dan bakal dijalankan kerajaan negeri serta Pusat.

Dalam perkembangan lain, Dato’ Mohd Nasir sering menjadi pemimpin yang pertama meneruskan tradisi mengadakan majlis bersama media sempena sambutan Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri sejak beberapa tahun lalu lagi.



Walaupun berdepan dengan jadual yang padat dan bakal mengerjakan umrah sepanjang dua minggu pertama Ramadan , beliau masih sempat meluangkan masa meraikan petugas media dan sejam sebelum itu Dato’ Mohd Nasir terlebih dahulu terpaksa memenuhi jemputan di majlis lain bersama masyarakat.


29 July 2011

Lebih banyak penerbangan terus ke Mekah

Oleh Kamarudin Mat Akib



Kerajaan Terengganu akan menyediakan lebih banyak penerbangan terus dari Lapangan Terbang Sultan Mahmud ke Madinah atau Jeddah, bagi membawa orang ramai menunaikan umrah pada tahun depan.



Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata sebanyak 10 hingga 15 trip umrah dirancang pada tahun depan bagi membawa penduduk Pantai Timur mengerjakan umrah di Tanah Suci.



“Kerajaan negeri melihat program ini (penerbangan umrah terus dari LTSM ke Madinah/Jeddah) sebagai langkah bijak untuk agensi-agensi pengendali umrah menjadikan LTSM sebagai pintu gerbang (hab) untuk operasi penerbangan umrah bagi penduduk Pantai Timur,” katanya.



Beliau berkata demikan dalam teks ucapan Majils Perasmian Operasi Penerbangan Terus Umrah 2011 di LTSM, yang dibacakan oleh Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, YB Haji Ahmad Razif Abd Rahman.

Seramai 450 orang akan menunaikan umrah melalui penerbangan terus ke Madinah di mana
ia julung kali diadakan di negeri ini.



Melalui program pertama operasi umrah penerbangan terus awal tahun ini, mereka yang terlibat dibawa dengan pesawat MAS dari LTSM ke Jeddah.

Menteri Besar berkata, penduduk negeri ini perlu bersyukur kerana kerajaan negeri prihatin dalam menyediakan kemudahan seperti itu bagi kemudahan mereka menunaikan umrah dan haji.



Terengganu pengeluar terbesar Vitato

Oleh: Esah Abdullah

Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) telah bangunkan tiga kawasan ladang benih Ubi Vitato di daerah Besut dalam tujuan membekalkan benih ubi berkenaan kepada petani di negeri ini.

Pengarah LPP Negeri, Haji Shamsuddin Mat Rani berkata, sehingga ini 2011 kira-kira 135 hektar kawasan membabitkan 162 peserta mengusahakan tanaman ubi Vitato di negeri ini.

“Setakat ini Terengganu merupakan negeri terbesar pengeluar ubi Vitato dan akan diperluaskan ke seluruh daerah di negeri ini,” katanya.

Menurutnya, bekalan benih adalah mencukupi di mana keupayaan tiga ladang yang dibangunkan mampu menghasilkan sehingga dua juta keratan benih pada satu-satu musim.

Katanya, setiap pokok boleh menghasilkan 8-10 keratan pucuk dan tuaian boleh dibuat semasa berumur 10 minggu dan tuan kedua boleh dilakukan empat minggu kemudian.

Mulai tahun ini katanya, LPP akan melaksanakan projek berkenaan secara estet kerana pengurusan yang lebih terancang selain dapat meningkatkan hasil petani kepada 12 tan sehektar.

“Terdapat peserta mini estet Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Kerandang, Besut mampu menjana pendapatan antara RM2,000 hingga RM15,000 sebulan bergantung kepada luas tanaman,:” katanya.

Katanya, varieti baru ini (Vitato) mula mendapat perhatian para petani di negeri ini apabila ia dapat menjana pendapatan lumayan bagi mengantikan tanaman tembakau sebagai sumber utama.

Peruntukan RM72 juta pertingkatkan mutu kesihatan rakyat Terengganu

Oleh: Aida Abd Rahman

Kerajaan Terengganu memperuntukkan RM72 juta bagi tempoh empat tahun bermula 2007 lalu bagi memastikan rakyat negeri ini menikmati mutu perkhidmatan kesihatan terbaik dan setaraf dengan negeri maju yang lain.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna negeri, YB Dr Haji A Rahman Mokhtar, berkata peruntukan yang disediakan itu menerusi Tabung Dana Khas itu bertujuan bagi meningkat dan membangunkan taraf kesihatan seluruh rakyat Terengganu.

“Tabung Dana Khas ini dibahagikan kepada dua iaitu bagi tujuan menaiktaraf perkhidmatan perubatan dengan peruntukan sebanyak RM62 juta dan juga untuk kebajikan sosial perubatan sebanyak RM10 juta,” katanya kepada Teganukita.
Dr A Rahman berkata, bagi tujuan menaik taraf perkhidmatan perubatan, pelbagai peralatan canggih dan terkini disediakan untuk membantu Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu menyediakan perkhidmatan kesihatan terbaik dan bertaraf dunia kepada rakyat.

Antara peralatan yang dibeli termasuk 20 unit ambulans bernilai kira-kira RM 3.2 juta, mesin Tomografi Berkomputer Multislice 64 Slice (MSCT) (RM5.2 juta), Mesin `echocardiography’ (RM1 juta) dan peralatan untuk perkhidmatan reproduktif bagi Program Bayi Tabung Uji yang berharga kira-kira RM500,000.00.

“Sehingga Disember 2010, semua peruntukan yang disediakan itu telah habis dibelanjakan,” katanya.

Manakala bagi tujuan kebajikan sosial perubatan pula, peruntukan sebanyak RM 10 juta ini dikhaskan untuk membantu pesakit yang tidak berkemampuan dalam membiayai rawatan termasuk pembelian peralatan seperti kaki palsu, mesin `oxygen concentrator’, `implant’, lampin pakai buang, bekalan susu khas dan sebagainya.

Menurut beliau, sehingga Disember 2010, seramai 3,165 pesakit mendapat manfaat daripada bantuan yang diperuntukkan berjumlah RM8.6 juta, iaitu 82% sudah pun dibelanjakan.

Katanya, peruntukan menerusi Tabung Dana Khas ini hampir keseluruhan sudah digunakan bagi membantu golongan yang memerlukan perhatian dan pembelaan daripada kerajaan.




Orang ramai diminta amal gaya hidup sihat

Oleh; Esah Abdullah


“Kita perlu meluangkan masa untuk beriadah disamping dapat mengurangkan tekanan kerja juga mampu meningkatkan kesihatan badan seseorang,” - Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan), Dato’ Haji Wan Ahamad Wan Muda

Orang ramai disaran agar memaksimumkan segala kemudahan rekreasi yang ada di Taman Awam Batu Buruk serta mengamalkan gaya hidup sihat demi kesejahteraan bersama.

Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan), Dato’ Haji Wan Ahamad Wan Muda berkata, dengan menjalani aktiviti riadah bersama ahli keluarga atau sahabat handai dapat mengerat ikatan silatulrahim.



“Kita perlu meluangkan masa untuk beriadah disamping dapat mengurangkan tekanan kerja juga mampu meningkatkan kesihatan badan seseorang,” katanya ketika berucap merasmikan program Hari Cakna Kelab Riadah dan Rekreasi Taman Awam Batu Buruk (Kertab), Kuala Terengganu hari ini.



Hadir sama, Pengerusi Kertab, Dato’ Haji Hashim Mamat serta lebih 200 ahli Kertab yang berdaftar.

Katanya, jika semua rakyat di negeri ini sentiasa mengambil berat serta menjaga kesihatan masing-masing, kerajaan akan dapat menjimatkan kos perubatan yang diperuntukkan setiap tahun.

Dato’ Haji Wan Ahamad berkata, kadar gejala sosial dapat dikurangkan jika orang ramai bersama menyahut seruan kerajaan dan Kertab agar menggunakan masa terluang dengan aktiviti yang berfaedah.

“Kerajaan sediakan banyak kemudahan dan kawasan rekreasi untuk disertai oleh semua golongan masyarakat, contohnya di Batu Buruk ini, ada trek berjalan kaki dan sebagainya,” katanya.

Pada program berkenaan, turut diadakan acara larian santai sejauh 2.5 kilometer yang disertai 150 ahli Kertab bersama keluarga serta ceramah kesihatan dan cabutan bertuah.



Kertab menyasarkan 300 keahlian menjelang akhir tahun dan turut merangka beberapa program untuk ahli-ahli termasuk mengadakan aktiviti mingguan, bulanan dan tahunan dalam usaha membentuk masyarakat sihat, cergas dan bebas dari ganguan penyakit.





28 July 2011

Tabika Kemas diminta tingkat kemudahan pembelajaran

Oleh: Suriati Ali




Tabika Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) di daerah ini diminta mempertingkatkan kemudahan pembelajaran dan infrastruktur yang sedia ada supaya dapat menarik minat lebih ramai ibu bapa menghantar anak jagaan masing-masing.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Jabi, YB Ramlan Ali, berkata pendekatan itu sewajarnya dilaksanakan sebaik mungkin supaya kemasukan kanak-kanak di setiap tabika adalah seimbang pada setiap tahun.



Katanya, kerajan negeri tidak `lokek’ mengeluarkan belanja ratusan ribu dengan menyediakan pelbagai kemudahan pembelajaran moden dan canggih asalkan kanak-kanak berminat dan ingin menuntut ilmu.

“Langkah ibu bapa yang menghantar anak belajar sejak di awal usia adalah satu perkembangan positif berikutan mampu memberi pesediaan lebih awal kepada mereka sebelum memasuki alam persekolahan,” katanya ketika berucap di Program Hari Potensi Kanak-kanak Kemas Peringkat Parlimen, di Padang Bolang Majlis Daerah Setiu, hari ini (28 Julai).



Sebanyak enam acara dipertandingkan sempena program itu iaitu futsal, bola jaring, silat, gerak rama, galah panjang.

YB Ramlan berkata, pertandingan seumpamanya ini patut diteruskan kerana bukan saja mampu memberi pendedahan awal kepada kanak-kanak malah dapat mencungkil bakat dan keberanian mereka untuk berdepan dengan masyarakat luar.