Halaman

07 September 2011

Anak sedih pengorbanan bapa tidak dihargai

leh FAUZI MOHD

Kenyataan Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu yang mengangkat komunis sebagai wira dalam peristiwa Bukit Kepong merupakan satu penghinaan terhadap perjuangan anggota polis yang terkorban dalam peristiwa berdarah pada tahun 1950 itu.



Bagi Azlas Jaafar, 62, anak Allahyarham Konstabel Jaafar Hassan, salah seorang anggota polis yang terkorban dalam kejadian itu, tindakan tersebut amat menyedihkan.

"Saya merasa amat sedih dengan dakwaan Mat Sabu itu, satu kenyataan yang tidak sepatutnya keluar dari mulut pemimpin kanan Pas itu,” katanya.

Anak tunggal itu berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas menerima kunjungan Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Ahmad Said di kediamannya di Kampung Cendering di sini hari ini.

Turut hadir, isteri Menteri Besar, To' Puan Seri Norliza Mahmud, Pegawai Pembangunan Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh dan Timbalan Ketua Polis Terengganu, Dato' Hamzah Md. Jamil.



Dalam kunjungan itu, Dato' Seri Ahmad turut menyampaikan sumbangan kerajaan negeri kepada keluarga pejuang negara itu.

Kata Azlas, kenyataan yang dikeluarkan itu cuba memutarbelitkan sejarah sehingga mengetepikan perjuangan anggota keselamatan yang gugur ketika mempertahankan tanah air.

Azlas merupakan anak allahyarham Konstabel Jaafar, kini tinggal bersama ibu saudaranya Aminah Mohamad, 85, iaitu kakak kepada Konstabel Jaafar.

"Kalau komunis dikatakan pejuang sebenar untuk memerdekakan negara, jadi adakah anggota pasukan keselamatan itu pengkhianat?” soalnya.

Tiga pemain T-Team terima pampasan Perkeso

Oleh FAUZI MOHD

Tiga pemain pasukan bola sepak T-Team yang cedera ketika menjalani sesi latihan dan semasa beraksi menentang pasukan lawan menerima pampasan daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), hari ini.

Pemain itu ialah pemain penyerang Nor Farhan Muhammad, pemain pertahanan Sobri Sulong dan penjaga gol Syamsuri Mustafa.

Mereka yang masing-masing menerima cek untuk ketegori hilang upaya sementara (HUS), dalam satu majlis yang diadakan di Majlis Sukan Negeri Terengganu.

Timbalan Pengarah Perkeso negeri, Norihan Ibrahim berkata, jumlah pampasan yang diberikan adalah berdasarkan tempoh cuti sakit yang mereka perolehi.

"Bagi Nor Farhan selama 12 hari, Sobri selama 30 hari manakala Syamsuri selama 94 hari.

"Nor Farhan menerima RM994, Sobri RM2,360 dan Syamsuri sebanyak RM7,394," katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan cek tersebut.

LPP Terengganu hasilkan 45 tan Cili Kulai tahun ini

Oleh FAUZI MOHD

Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) Terengganu menjangka mengeluarkan kira-kira 45 tan metrik Cili Kulai daripada projek yang diusahakan di Kampung Pela Bukit Diman, Hulu Terengganu tahun ini.

Pengarah LPP negeri, Shamsuddin Mat Rani berkata, projek penanaman yang dimulakan secara berperingkat mulai awal tahun ini membabitkan kawasan seluas 1.6 hektar.

Katanya, tanaman peringkat pertama yang membabitkan 6,000 pokok telah dijalankan awal tahun dan berjaya menghasilkan 18 tan metrik cili dengan nilai RM40,000.

"Jumlah tanaman itu akan ditingkatkan kepada 9,000 pokok bulan depan yang dijangka mengeluarkan hasil 27 tan metrik dengan nilai RM50,000.

"Ini merupakan tahun kedua LPP menjalankan projek itu dan kebanyakan hasil tanaman itu dipasarkan ke luar Terengganu kerana harganya lebih baik dan stabil," katanya.

Shamsuddin berkata, LPP membelanjakan lebih RM300,000 untuk menyediakan kemudahan asas projek itu tahun ini.

UMT terima 1,900 penuntut baru

Oleh FAUZI MOHD

Seramai 1,900 penuntut mendaftar di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) bagi mengikuti 25 program peringkat Ijazah Sarjana Muda sesi 2011/2012.

Naib Canselornya, Prof Dato’ Dr. Aziz Deraman berkata, sebanyak 2,382 surat tawaran dikeluarkan bagi sesi kemasukan kali ini dan daripada jumlah itu seramai 1,900 pelajar menerima tawaran itu.

“UMT turut menerima 12 penuntut antarabangsa iaitu dari Indonesia, India, Somalia, Uzbekistan, Yaman dan China,” di sini hari ini.

Beliau berkata UMT akan memperkenalkan dua program baru iaitu Diploma Pengurusan Pelancongan dan Diploma Kejuruteraan Infomatik Marin mulai sesi kemasukan tahun depan.

MSNT cari atlit taekwondo untuk Sukma ke-14

Oleh: Suriati Ali

Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) akan menganjurkan Kejohanan Taekwondo di Gerbang Sukan MSNT di Gong Badak, Kuala Terengganu, esok (8 September) bagi memilih mana-mana atlit yang layak mewakili Sukan Malaysia (Sukma) ke 14.

Pengarah MSNT, Encik Zainal Abidin Husin berkata, peserta berumur 21 ke atas saja layak menyertai kejohanan itu yang dianjurkan semata-mata untuk mencari bakat terpendam dan seterusnya mewakili Terengganu pada Sukma di Kuantan tahun depan.

Katanya, pihaknya berharap semua persatuan taekwondo di negeri ini memberi kerjasama baik dengan menghantar wakil atau ahli masing-masing untuk menyertai kejohanan itu.

“Mereka boleh menghantar nama peserta secepat mungkin dan boleh juga berbuat demikian pada hari pertandingan itu nanti. Peserta yang terpilih akan menjalani latihan pusat untuk persiapan menghadapi sukan Sukma dengan harapan mereka mampu meraih pingat emas.

“Terengganu perlu membuat persediaan awal dan atas sebab itu kami memerlukan atlit berbakat sama ada lelaki atau perempuan untuk mewakili negeri ini,” katanya.

Beliau mahu atlit Terengganu menunjukkan mutu persembahan terbaik supaya sasaran meraih emas tercapai sekaligus memastikan kontinjen negeri terus mengondol juara.


Perkaya payungi anak yatim

Oleh: Esah Abdullah

Pertubuhan Anak yatim Terengganu (Perkaya) berjaya mewakafkan ladang kelapa sawit kepada 2,995 orang penderma dan proses wakaf dan pertukaran pemegang amanah wakaf kepada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu terengganu (Maidam) telah selesai akhir tahun lalu.

Yang Dipertuanya, Dato’ Dr. Tengku Mahmud Mansor berkata, Perkaya menjalankan usaha perladangan kelapa sawit seluas 332 hektar tanah kurniaan kerajajan negeri di Mukim Jabor, Kemaman.

“Ladang ini mula diteroka pada 1992 menjadi penyumbang dana utama untuk menjalankan aktiviti anak-anak yatim di bawah naungan Perkaya,” katanya.

Katanya, ladang wakaf ini bukan sahaja terdapat tanaman kelapa sawit malah turut menempatkan 40 ekor lembu Intergrasi kacukan Brahman dan KK serta 400 ekor kambing baka kacukan Boer dan Jamnnapari.

“Di kawasan ladang berkenaan turut ditanam 1,000 pokok salak madu, 5,000 pokok gaharu serta sarang burung walit berukuran 20 x 40 setinggi tiga tingkat,” katanya.

Katanya, setiap inci tanah dimanfaatkan tujuan mencari dana tambahan bagi membiayai pengurusan anak-anak yatim.




Semangat Merdeka Warga Emas

Oleh: Mohammad Ishak


Mohd Nor mengibar Jalur Gemilang tanda kesyukaran

Warga Emas. Mohd Noor Mamat,85, dari Kampung Gong Gucil, Jertih, Terengganu, adalah satu contoh baik yang patut diikuti oleh rakyat negeri ini kerana beliau mempunyai semangat tinggi pada setiap tahun menyambut hari kemerdekaan negara.

Walaupun sudah berusia, Mohd Noor begitu bersemangat membuat persiapan untuk menyambut hari paling bersejarah kepada negara yang dicintainya.

Berbekalkan semangat dia masih mampu untuk bergerak dan terbabit sama dalam komuniti lain di kampungnya untuk menghias jalur gemilang dan membina tugu peringatan berkonsepkan kemerdekaan..

“Saya gembira menjadi rakyat Malaysia dan bersyukur kerana negara ini terus menikmati arus kemajuan dan rakyat turut menikmati hasil perjuangan pemimpin kita,” katanya.

Katanya, kesungguhan pemimpin negeri dan negara membina tamadun baru menyebabkan rakyat cukup selesa dan bertahan sehingga sekarang meskipun ada juga percubaan pihak yang tidak bertanggungjawab untuk menghuharakan negara,” katanya.

Beliau berharap kerajaan bertindak tegas terhadap anasir yang cuba belot dan berniat jahat untuk memecah keharmonian dan perpaduan penduduk pelbagai kaun yang sudah lama terjalin erat demi kesejahteraan negara.



06 September 2011

Berjaya wujud `prima facie’ terhadap kes SMS Ugut

Pihak pendakwa hari ini berjaya membuktikan terdapat `prima facie’ berhubung kes `ugutan bunuh melalui SMS’ yang membabitkan bekas Setiausaha Politik kepada mantan Menteri Besar Terengganu (Dato’ Seri Idris Jusoh), Datuk Dr Ahmad Ramzi Mohd Zubir.

Sehubungan itu, tertuduh Dr Ramzi diarahkan membela diri pada tarikh yang ditetapkan Hakim M Bakri Abd Majid pada 10 hingga 13 Oktober dan 24 hingga 27 Oktober 2011.

M Bakri berkata, segala keterangan terhadap tertuduh Dr Ramzi sebelum ini berjaya membuktikan terdapat `prima facie’ dan beliau diarahkan membela diri pada tarikh 10 hingga 13 Oktober dan 24 hingga 27 Oktober 2011.

Tertuduh, Datuk Dr Ahmad Ramzi didakwa mengancam mendatangkan kematian ke atas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Paka, Mohd Ariffin Abdullah pada pukul 11.21 malam, 13 April 2009 lalu, di E 726 Kampung Kubang Parit., Kuala Terengganu.

Datuk Dr Ahmad Ramzi juga didakwa melakukan perbuatan yang sama ke atas dua lagi Adun, Abd Halim Jusoh (Adun Permaisuri) dan Datuk Rosol Wahid (Adun Ajil) antara pukul 11.21 dan 11.25 malam di tempat dan tarikh yang sama.

Mengikut kertas pertuduhan, Dr Ahmad Ramzi mengancam untuk mendatangkan kematian kepada ketiga-tiga Adun berkenaan.

Dia turut didakwa memfitnah bekas setiausaha sulit Menteri Besar Terengganu, Dato’ Wan Ahamad Wan Muda, yang kini Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pengurusan, dengan menghantar SMS ugutan itu melalui nombor telefon bimbit 019-9158369 milik Dato’ Wan Ahamad.

Dia didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang membawa hukuman maksimum penjara setahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.



UNiSZA sedia bersaing di peringkat global

Oleh; Esah Abdullah

Universiti Sultan Zainal Abidin (UNiSZA) Terengganu mempunyai kekuatan sumber manusia seramai 1,413 orang dengan 557 orang staf akademik dan 856 staf bukan akademik sehingga Ogos tahun ini, berbanding 187 staf akademik dan 292 staf bukan akademik pada 2006.

“Perkembangan ini memberi isyarat jelas UNiSZA sekarang sudah bersedia untuk menjadi sebuah universiti yang berdaya saing di peringkat global dan juga tempatan,” kata Naib Cancelornya, Dato’ Prof. Dr. Alias Daud.

Menurutnya, pertambahan sumber tenaga manusia melebihi 194 peratus daripada awal penubuhannya telah membuka banyak peluang pekerjaan kepada anak tempatan di mana daripada jumlah berkenaan 70 peratus yang berkhidmat adalah anak jati negeri ini.

Sehubungan itu, pihak universiti juga tidak mengabaikan tanggungjawab membantu masyarakat kurang bernasib baik dan baru-baru ini telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Rumah Taman Sinar Harapan Kuala Terengganu dalam usaha membantu Golongan Kurang Upaya (OKU).

“Kita akan menyediakan latihan kepada mereka yang berdaya maju dalam bidang nursery/tanaman/landskap sehingga mereka mampu menjana pendapatan sendiri dan hidup berdikari,” katanya di majlis Minggu Mesra Siswa semalam.

Dato’ Prof Dr. Alias juga memaklumkan, pihaknya telah membelanjakan RM200 juta daripada peruntukan RM417 juta untuk melaksanakan projek-projek pembangunan fizikal dalam usaha meningkatkan kemudahan universiti berkenaan.

Manakala projek yang telah siap termasuklah pembelian tanah dan pembinaan bangunan Jabatan Pembangunan dan Penyelengaraan di Kampus Besut, blok akademik dan bangunan Pusat Teknologi Maklumat di Kampus Gong Badak serta Makmal Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Kampus Kota, Kuala Terengganu.

Projek belum siap adalah bangunan perpustakaan, bangunan asrama (Disember) dan Fakulti Informatik dan Fakulti Pertanian & Bioteknologi dijangka siap pada akhir 2012.

“Biarpun masih belum mempunyai kemudaan asas yang benar-benar mencukupi berbanding universiti lain namun ia bukan halangan untuk melahirkan graduan yang berkeupayaan dan berprestasi tinggi,” katanya.





05 September 2011

Biskut raya Ziq digemari pelanggan

Oleh: Suriati Ali

Keenakan rasa lebih 30 jenis biskut raya dan kek milik 'Ziq Bakery & Cake' (Ziq) tidak perlu diperkenalkan lagi di kalangan pengemar tempatan yang sememangnya menjadi pilihan setiap kali menjelang Aidilfitri.

Almond london, royal capucino, sarang semut, tart gulung, tart nenas, conflakes, nestum, dahlia dan samprit menjadi pilihan utama pelanggan ketika mengunjungi Ziq di Gong Kapas, Gong Badak dan Mydin Mall Terengganu serta Mydin Mall Melaka.

Pemilik atau Pengurus Ziq, Puan Suzana Mohamed Salleh,36 sememangnya minat berniaga sejak dibangku sekolah lagi dan serius mendalaminya sejak 2000 dengan membuka Perusahaan Biskut dan Kek E-One.

Perniagaan itu diusahakan secara kecil-kecilan dan mengikut musim khususnya ketika menyambut hari raya dan Tahu Baru Cina.

Menyedari produk yang dijalankan itu mendapat sambutan menggalakkan, Puan Suzana nekad mengembangkan lagi sayap perniagaannya empat tahun kemudian.

Dengan menyewa sebuah rumah dua tingkat di Kampung Gong Pak Maseh, Kuala Terengganu wanita itu menjadikan premis itu pusat pengeluaran dan penginapan bagi pekerjanya.

Pada 2004, ibu kepada empat anak itu memperkayakan ilmu pembuatan makanan dengan mengikuti kursus jangka pendek di Malaysian Institute of Bakery (MIB) selama dua bulan.

Puan Suzana berkata, dia kemudiannya menyambung pengajian ke peringkat diploma dalam bidang Baking Science and Technology di institusi sama selama dua tahun.

“Melihat keadaan pasaran kek, pastri dan bakeri tempatan yang banyak dimonopoli oleh bukan Islam, saya membuka sebuah kedai berkonsep moden menggunakan dua tahun kemudian di Gong Kapas,” katanya.

Selaku pengurus perniagaan itu, Suzana sebagai peniaga Islam berusaha memenuhi tuntutan agama yang meletakkan satu kewajipan menyediakan makanan suci, bersih dan halal kepada pelanggannya.

Pada Ogos 2008, perusahaan itu menjadi perniagaan perkongsian bersama suaminya, Badrul Hisham Zaki, 41, yang juga Pengarah Urusan di syarikat berkenaan.

Katanya, perniagaan mereka berkonsepkan 'dapur terbuka' yang membolehkan pelanggan melihat sendiri proses penyediaan produk yang hendak dibeli melalui jendela kaca.

"Ini akan memberi kepuasan dan keyakinan kepada pelanggan kerana mereka dapat melihat tahap kebersihan dalam proses pembuatan dan menilai kesucian produk yang dihasilkan.

"Maka lahirlah moto 'Bersih, Suci, Yakin' untuk Ziq dalam menghasilkan lebih 200 jenis kek, roti dan pastri pada hari ini," katanya.

Katanya, Anugerah Kilang Produk Halal Terbaik yang diterimanya pada Sambutan Maal Hijrah 1432 peringkat negeri baru-baru ini bukan sekadar pengiktirafan, tetapi lebih kepada satu tanggungjawab sosial kepada masyarakat Islam.

"Ziq akan terus komited menjadikan perniagaan yang dimonopoli sepenuhnya bukan Islam sebagai satu industri makanan ala barat yang mampu menyediakan juadah 'Halalan Toyyiban' yang bersih suci dan diyakini,'' katanya.

Menurutnya, Ziq turut mendapat kepercayaan daripada agensi kerajaan untuk mengendalikan pelbagai kursus masakan kepada golongan sasaran seperti ibu tunggal dan usahawan kecil tempatan.

"Usahasama Ziq dengan agensi seperti Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPK) antara lain bertujuan memberi bimbingan dalam soal pembuatan produk yang baik serta prospek semasa perniagaan ini," jelasnya yang turut memiliki kilang membuat kek, bisku dan roti di Chendering, Kuala Terengganu