Halaman

08 September 2011

MB rai 96 pelajar ke luar negara

Oleh: Kamarudin Mat Akib dan Amirullah Othman




Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, meraikan meraikan 96 pelajar Terengganu yang berjaya melanjutkan pelajaran ke luar negara, di Kediaman Seri Iman, Batu Buruk, hari ini.

Pelajar tersebut akan mengikuti pengajian dalam pelbagai bidang di tiga negara iaitu United Kingdom (11 orang), Rusia (66 orang) dan Jordan (19 orang).

Turut hadir pada majlis itu ialah Isteri Menteri Besar, To’ Puan Seri Norliza Mahmud; Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Haji Abdul Razak Ismail, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tepoh, Haji Muhammad Ramli Nuh dan Pengarah Yayasan Terengganu (YT), Haji Aziz Mamat.



Kerajaan Negeri melalui YT memperuntukkan sebanyak RM4 juta sebagai wang pendahuluan diri pelajar seberang laut Sesi 2011, dengan sebahagian besarnya akan melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan di Moscow, Rusia dan Jordan serta London.

Terdapat empat pelajar cemerlang yang akan melanjutkan pelajaran di universiti terkemuka dunia iaitu Mohd Firdaus Samsudin yang akan melanjutkan pelajaran ke Universiti Oxford, Lau Jia Cheng (Universiti Cambridge), Ester Ng Feng Ying (Kings College, London) dan Kharina Abdullah (London School of Economics).



“Kerajaan Negeri mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua anak-anak Terengganu yang cemerlang. Kalau dapat cemerlang lagi, kita mungkin akan pertimbangkan untuk beri biasiswa,” kata Menteri Besar.

“Cuma satu pesanan saya, agar mereka belajar bersungguh-sungguh dan tidak terlibat dengan perkara-perkara yang boleh menjejaskan pelajaran mereka. Kalau mereka yang gagal, siapa yang rugi,” tambahnya.



Lebih 500 tetamu hadir jamuan Aidilfitri Ukom

Oleh: Suriati Ali

Tetamu yang hadir pada Majlis Jamuan Aidilfitri anjuran Unit Komunikasi Negeri (Ukom) di Jalan Pejabat, hari ini disajikan dengan pelbagai hidangan tradisional yang menyelerakan.



Jamuan yang bermula jam 11.00 pagi hingga 2.00 petang diadakan di perkarangan pejabat Ukom dan dihadiri lebih 500 tetamu daripada pelbagai jabatan dan agen si kerajaan, swasta dan media massa.

Hidangan nasi minyak, laksa Terengganu, sate ayam, ketupat, tapai, air batu cendol, keropok lekor, bihun goreng dan biskut raya menjadi menu utama setiap kali jamuan jabatan itu diadakan pada setiap tahun.

Tetamu yang hadir secara berperingkat-peringkat di layan mesra oleh `tuan rumah’ Pengarah Ukom, Haji Shamsudin Sulong bersama seluruh kakitangan lain.






Tetamu kehormat yang hadir ialah Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, YB Haji Khazan Che Mat; Ahli Parlimen Kuala Nerus, YB Dato’ Mohd Nasir Ibrahim Fikri; Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Alor Limbat, YB Alias Abdullah dan ketua-ketua jabatan.







form>

60 kakitangan JHEAT terima APC

Oleh FAUZI MOHD

Seramai 60 kakitangan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) menerima pengiktirafan sempena Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2011 yang diadakan di Dewan Auditorium, JHEAT, di sini hari ini.

Daripada jumlah itu, 34 adalah wanita yang menerima wang tunai RM1,000 serta sijil penghargaan yang disampaikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, Khazan Che Mat.

Pesuruhjaya JHEAT, Mohd. Rozali Saleh berkata, penghargaan itu bagi menghargai dan mengiktiraf sumbangan mereka kepada organisasi selepas berjaya memperoleh kualiti prestasi perkhidmatan terbaik sepanjang tahun.

Beliau berkata, pengiktirafan tersebut bukan sekadar inisiatif menghargai kakitangan malah sebagai motivasi kepada mereka untuk menghasilkan prestasi kerja terbaik.

"Pencapaian ini jelas membuktikan penerima sudah menunjukkan prestasi kerja berkualiti serta komitmen tinggi dalam menjalankan tanggungjawab sebagai penjawat awam," katanya.

Antara penerima APC yang diraikan, bekas Pesuruhjaya JHEAT, Dato’ Shaikh Harun Shaikh Ismail, Shamsani Abdullah, Irwan Mat Din, Muhamad Khasmizan Abdullah, Tuan Rahana Tuan Syed, Wan Faizah Wan Husin dan Zaini Awang.

Turut diraikan 10 kakitangan JHEAT yang bakal bersara pada tahun ini termasuk Abdul Rahman Abdullah, Mohd. Yusof Musa, Ghani Sulong, Ibrahim Hitam dan Che Minah Mohamad.

Pilih penyertaan untuk wakil Terengganu

Oleh: Suriati Ali

Jabatan Penerangan Negeri Terengganu (JPNT) memilih sebanyak 19 penyertaan dalam pertandingan Keceriaan Merdeka 2011 peringkat negeri bagi mewakili Terengganu ke peringkat kebangsaan.

Program bagi menyemarakkan sambutan Bulan Kemerdekaan dan menyemai semangat patriotik yang dikendalikan jabatan itu berakhir semalam (8 September).

Pertandingan dibahagikan kepada kategori bangunan swasta, pintu gerbang, kampung tradisional, sekolah, bangunan kerajaan, taman perumahan dan kediaman.

Penolong Pengarah JPNT, Mohd Iskandar Jaafar memberitahu, pasukan panel penilai sudah 'turun padang' membuat penilaian bermula semalam di mana Besut merupakan kawasan pertama dilawati.

Ia melibatkan Pejabat Majlis Daerah Besut, Sekolah Kebangsaan Tengku Mahmud II, Taman Perumahan Pelagat Tiga dan Kampung Tradisional Gong Gucil, Jertih.

"Panel penilai akan membuat penilaian dalam beberapa aspek, termasuk kreativiti, jumlah pemasangan Jalur Gemilang, hiasan pintu gerbang, banting, tugu dan keindahan kawasan sekitar," ujarnya.

Beliau berkata, pasukan penilai pertandingan akan membuat penilaian terakhir di daerah Kemaman yang sudah diadakan semalam.

Bagi kategori sekolah lima buah sekolah akan dinilai termasuk Sekolah Kebangsaan (SK) Kerteh, SK Tengku Bariah, SK Landas di samping Sekolah Menengah Kebangsaan Geliga.

Taman perumahan yang dinilai termasuklah di Bukit Guntung dan Bukit Sawa Marang, Perumahan Awam Kos Rendah Ajil manakala bagi kediaman individu melibatkan Mohd Ridzuan Mohamad (Meraga Beris Kemaman), Che Ku Maznah Awang (Pengkalan Pandang Kemaman) dan Tengku Chik Tengku Ngah (Beladau Kolam, Kuala Terengganu.


Penyu terus tunjuk aksi juara

Oleh: Kamarudin Mat Akib

Sebagai juara Piala FA, pasukan Penyu terus menunjukkan aksi meyakinkan apabila mengalahkan Sime Darby 3-0 pada perlawanan sulung Piala Malaysia di Stadium Selayang, malam kelmarin.

Seluruh rakyat negeri ini, khususnya peminat bola sepak begitu mengharapkan agar pasukan kesayangan mereka meneruskan rentak kemenangan apabila berdepan dengan PKNS di gelanggang sendiri , Sabtu ini.

Setakat ini Terengganu menjuarai kumpulan B yang turut mengandungi pasukan Negeri Sembilan, PKNS dan Sime Darby.

Di atas kertas, Terengganu tidak menghadapi masalah besar untuk berdepan dengan PKNS, apatah lagi perlawanan tersebut diadakan di tempat sendiri di mana tentunya ia akan menerima sokongan padu daripada penonton.

Dalam perlawanan Piala Malaysia, pelbagai pihak, khususnya peminat dan penyokong bolasepak Terengganu, termasuk Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said menaruh harapan agar Piala Malaysia dibawa ke Terengganu, pada kejohanan kali ini.

Jurulatih Terengganu, Irfan Bakti mengingatkan anak buahnya supaya jangan selesa selepas mereka memperoleh tiga mata penuh pada perlawanan pertama setelah menewaskan Sime Darby 3-0.

"Sungguhpun kita berjaya memperoleh kejuaraan Piala FA tahun ini, namun itu semua perlu dilupakan sementara ketika sedang mengharungi cabaran Piala Malaysia,” katanya.

Beliau mahu pemainnya tidak membangga diri dengan kejayaan menjuarai Piala FA, sebaliknya menumpukan perhatian terhadap usaha pasukan mahu memang Piala Malaysia.



137 ahli keluarga Pegawai Pendidikan Daerah Besut bertemu

Oleh: Mohammad Ishak


Keluarga PPD Besut berkumpul sambut Hari Keluarga di Damai Beach Resort Besut

Bukan mudah untuk mengumpul ahli keluarga dalam kelompok yang ramai kerana masing-masing sibuk dengan urusan kerja selain waktu yang tidak mengizinkan untuk bertemu mata sambil beramah mesra antara satu sama lain.

Bagaimanapun kehadiran Aidilfitri tahun ini mencatat sejarah kepada keluarga Ibrahim Awang Besar bersama pasangannya Sepiah Abdullah,90 apabila anak mereka berjaya mengumpulkan semua ahli keluarga dari seluruh negara semalam.

Sambutan Hari Keluarga Haji Ibrahim yang berlangsung di Damai Beach Resort, dekat sini, berjaya mengumpul 137 ahli keluarga berkenan mambabitkan ibu mereka Sepiah, bersama sembilan anak, menantu (9), cucu (58), cucu menantu (21) dan cicit 39 orang. Bagaimanapun Ibrahim sudah meninggal dunia sejak 10 tahun lalu.

Penasihat Program Baharuddin Ibrahim yang juga Pegawai Pendidikan Daerah Besut berkata, hari keluarga b erkenaan bertujuan kepada ahli keluarga mengeratkan hubungan antara satu sama lain.

Baharuddin anak kelima daripada sembilan beradik berkata, majlis itu adalah yang pertama berjaya diadakan oleh keluarganya dan berharap ia akan dapat diadakan pada

Menurutnya, pihaknya membelanjakan RM5,000 hasil kutipan daripada keluarga berkenaan bagi menjayakan penganjuran yang dipenuhi dengan pelbagai acara menarik termasuk sukaneka keluarga dan riadah.

Menurutnya, semua ahli keluarga yang menyertai program berkenaan juga dikehendaki tinggal bermalan bersama ketua dkeluarga masing-masing di resort terbabit bagi memudahkan program penganjur mengadakan aktiviti yang dirancang.


07 September 2011

Anak sedih pengorbanan bapa tidak dihargai

leh FAUZI MOHD

Kenyataan Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu yang mengangkat komunis sebagai wira dalam peristiwa Bukit Kepong merupakan satu penghinaan terhadap perjuangan anggota polis yang terkorban dalam peristiwa berdarah pada tahun 1950 itu.



Bagi Azlas Jaafar, 62, anak Allahyarham Konstabel Jaafar Hassan, salah seorang anggota polis yang terkorban dalam kejadian itu, tindakan tersebut amat menyedihkan.

"Saya merasa amat sedih dengan dakwaan Mat Sabu itu, satu kenyataan yang tidak sepatutnya keluar dari mulut pemimpin kanan Pas itu,” katanya.

Anak tunggal itu berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas menerima kunjungan Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Ahmad Said di kediamannya di Kampung Cendering di sini hari ini.

Turut hadir, isteri Menteri Besar, To' Puan Seri Norliza Mahmud, Pegawai Pembangunan Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh dan Timbalan Ketua Polis Terengganu, Dato' Hamzah Md. Jamil.



Dalam kunjungan itu, Dato' Seri Ahmad turut menyampaikan sumbangan kerajaan negeri kepada keluarga pejuang negara itu.

Kata Azlas, kenyataan yang dikeluarkan itu cuba memutarbelitkan sejarah sehingga mengetepikan perjuangan anggota keselamatan yang gugur ketika mempertahankan tanah air.

Azlas merupakan anak allahyarham Konstabel Jaafar, kini tinggal bersama ibu saudaranya Aminah Mohamad, 85, iaitu kakak kepada Konstabel Jaafar.

"Kalau komunis dikatakan pejuang sebenar untuk memerdekakan negara, jadi adakah anggota pasukan keselamatan itu pengkhianat?” soalnya.

Tiga pemain T-Team terima pampasan Perkeso

Oleh FAUZI MOHD

Tiga pemain pasukan bola sepak T-Team yang cedera ketika menjalani sesi latihan dan semasa beraksi menentang pasukan lawan menerima pampasan daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), hari ini.

Pemain itu ialah pemain penyerang Nor Farhan Muhammad, pemain pertahanan Sobri Sulong dan penjaga gol Syamsuri Mustafa.

Mereka yang masing-masing menerima cek untuk ketegori hilang upaya sementara (HUS), dalam satu majlis yang diadakan di Majlis Sukan Negeri Terengganu.

Timbalan Pengarah Perkeso negeri, Norihan Ibrahim berkata, jumlah pampasan yang diberikan adalah berdasarkan tempoh cuti sakit yang mereka perolehi.

"Bagi Nor Farhan selama 12 hari, Sobri selama 30 hari manakala Syamsuri selama 94 hari.

"Nor Farhan menerima RM994, Sobri RM2,360 dan Syamsuri sebanyak RM7,394," katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan cek tersebut.

LPP Terengganu hasilkan 45 tan Cili Kulai tahun ini

Oleh FAUZI MOHD

Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) Terengganu menjangka mengeluarkan kira-kira 45 tan metrik Cili Kulai daripada projek yang diusahakan di Kampung Pela Bukit Diman, Hulu Terengganu tahun ini.

Pengarah LPP negeri, Shamsuddin Mat Rani berkata, projek penanaman yang dimulakan secara berperingkat mulai awal tahun ini membabitkan kawasan seluas 1.6 hektar.

Katanya, tanaman peringkat pertama yang membabitkan 6,000 pokok telah dijalankan awal tahun dan berjaya menghasilkan 18 tan metrik cili dengan nilai RM40,000.

"Jumlah tanaman itu akan ditingkatkan kepada 9,000 pokok bulan depan yang dijangka mengeluarkan hasil 27 tan metrik dengan nilai RM50,000.

"Ini merupakan tahun kedua LPP menjalankan projek itu dan kebanyakan hasil tanaman itu dipasarkan ke luar Terengganu kerana harganya lebih baik dan stabil," katanya.

Shamsuddin berkata, LPP membelanjakan lebih RM300,000 untuk menyediakan kemudahan asas projek itu tahun ini.

UMT terima 1,900 penuntut baru

Oleh FAUZI MOHD

Seramai 1,900 penuntut mendaftar di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) bagi mengikuti 25 program peringkat Ijazah Sarjana Muda sesi 2011/2012.

Naib Canselornya, Prof Dato’ Dr. Aziz Deraman berkata, sebanyak 2,382 surat tawaran dikeluarkan bagi sesi kemasukan kali ini dan daripada jumlah itu seramai 1,900 pelajar menerima tawaran itu.

“UMT turut menerima 12 penuntut antarabangsa iaitu dari Indonesia, India, Somalia, Uzbekistan, Yaman dan China,” di sini hari ini.

Beliau berkata UMT akan memperkenalkan dua program baru iaitu Diploma Pengurusan Pelancongan dan Diploma Kejuruteraan Infomatik Marin mulai sesi kemasukan tahun depan.