Halaman

19 September 2011

Ahli Umno gotong royong sedia juadah jamuan TPM, rakyat

Oleh: Kamarudin Mat Akib dan Hazwan Roslee

Ahli-ahli Umno di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sura akan bergotong royong menyediakan juadah hidangan tengahari sempena Jamuan Rakyat Aidilfitri bersama Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin di Padang Dewan Merdeka, Dungun, esok.

Dianggarkan antara 15,000 hingga 20,000 orang akan menghadiri majlis tersebut bagi meraikan kehadiran pemimpin nombor dua negara dan Umno, ke daerah Dungun.

Mereka yang hadir pada majlis tersebut akan berpeluang beramah mesra dan mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada Timbalan Perdana Menteri sempena lawatan kerja ke Terengganu.

Setiausaha Umno Bahagian Dungun, Encik Roslee Daud, berkata urusan menyediakan juadah bagi menjayakan majlis berkenaan diserahkan kepada Penyelaras Umno bahagian Dungun.

“Jawatankuasa Kemajuan Keselamatan Kampung (JKKK) di DUN Sura dan ahli-ahli Umno akan berganding bahu memasak mulai malam ini bagi menyediakan nasi dan lauk pauk untuk hidangan tengahari bagi jamuan tersebut,” katanya kepada Teganukita hari ini..

Sebelum itu, sempena Program Turun Padang (PTP), Timbalan Perdana Menteri akan hadir pada Majlis Mesra TPM bersama Pemimpin Masyarakat Setempat dan Pegawai-pegawai Kanan Kerajaan di Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin, Paka, Dungun.

Selepas program Ramah Mesra dan Jamuan Rakyat Aidilfitri di Padang Merdeka, Tan Sri Muhyiddin dijadualkan merasmikan Pasar Baru Kedai Buloh, yang akan dihadiri 10,000 orang.

Beliau kemudiannya akan hadir pada Program Khas TPM Bersama Imam, Bilal dan Guru-guru Agama Sekolah Menengah dan Rendah di Sekolah Menengah Imtiaz Kuala Terengganu pada jam 5.30 petang.

Timbalan Perdana Menteri dijangka berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) Kuala Terengganu ke Lapangan Terbang TUDM Subang, kira-kira jam 7.00 petang esok.



JKM siap sedia hadapi musim banjir

Oleh; Esah Abdullah

Kerajaan negeri melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) memperuntukkan RM700,000 sebagai persediaan menghadapi kemungkinan berlaku banjir pada penghujung tahun ini.

Pengarah JKM Terengganu, Encik Zuhaimi Omar berkata, jumlah berkenaan hanya permulaan dan akan ditambah mengikut keperluan semasa.

“Pihak JKM juga sudah bersiap sedia sepenuhnya termasuk stok keperluan asas termasuk bekalan makanan, kain pelikat, selimut, tuala dan sebagainya,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di majlis sambutan Aidilfitri Badan Amal dan Kebajikan Isteri Wakil-wakil Rakyat (Serikandi) Terengganu di Kediaman Seri Iman Kuala Terengganu semalam.

Katanya, semua pegawai dan kakitangan JKM tidak dibenarkan mengambil cuti dan akan bertugas 24 jam sekiranya keadaan memerlukan.

“Saya juga berharap dan berdoa semoga tahun ini tidak berlaku banjir besar serta berlarutan sebagaimana tahun sebelumnya,” katanya.

Menjawab pertanyaan pemberita mengenai mangsa ribut yang melanda daerah Dungun , Encik Zuhaimi memberi jaminan pihak JKM daerah akan membuat siasatan untuk mengenal pasti kerugian yang dialami bagi menyalurkan bantuan yang perlu.

Menurutnya, rebut yang melanda Sabtu lalu (17 September) itu mengakibatkan 107 rumah terjejas di Ketengah Jaya (60 buah) dan Kerteh 4 (47 buah) serta tiga buah rumah mengalami rosak teruk.

“JKM akan memberi bantuan segera untuk meringankan beban keluarga yang ditimpa bencana termasuk bantuan baiki rumah yang rosak,” katanya.




1,268 individu tidak tuntut wang zakat

Oleh FAUZI MOHD

Seramai 1,268 orang yang disenaraikan menerima zakat tahun ini tidak menuntut wang tersebut daripada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam).

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Wan Harujan Sulaiman berkata, jumlah itu adalah antara 32,000 penerima yang dikategorikan sebagai layak untuk mendapatkan bantuan zakat bagi tahun 2011.

Katanya, seramai 21 orang pula mengembalikan wang yang diterima atas kesedaran bahawa mereka tidak lagi berhak menerima wang itu.

“Pada tahun lalu, kira-kira 3,000 orang telah menolak untuk menerima wang zakat kerana mereka merasakan tidak lagi layak dan telah keluar daripada kelompok asnaf.

“Kita amat menghargai golongan ini kerana berusaha untuk mengubah taraf hidup dan keluar dari kepompong kemiskinan,” katanya kepada pemberita di sini baru-baru ini.

Wan Harujan memberitahu, sebanyak RM12.7 juta telah diperuntukkan oleh Maidam bagi pemberian zakat kepada 32,000 orang asnaf fakir dan miskin pada tahun ini.

Sepanjang Ramadan lalu katanya, pihak Maidam telah menerima RM22.36 juta bayaran zakat fitrah, iaitu pertambahan kira-kira RM3 juta berbanding tahun 2010.

“Pertambahan ini memberi peluang kepada lebih ramai golongan yang memerlukan seperti asnaf anak yatim, saudara baru dan pelajar untuk menikmati hasil perolehan wang zakat,” ujarnya.

Sambutan Merdekaraya DUN Seberang Takir diluar jangkaan.

Oleh; Esah Abdullah

“Saya terharu dan berterima kasih di atas sambutan orang ramai dan kehadiran diluar jangkaan,” kata Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran ,Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Seberang Takir, YB Haji Ahmad Razif Abdul Rahman.

Lebih 15,000 orang telah membanjiri Dataran Permata, Kampung Baru , kerana menghadiri sambutan Aidilfitri dan Hari Merdeka (Merdekaraya) yang diadakan serentak bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Takir.

“Kita jangkakan hanya 10,000 tetamu tetapi kehadiran diluar jangkaan dan sehingga jam tiga petang masih ramai yang datang ,” katanya yang bercakap di Mini Studio Terengganufm di Dataran Permata.

Terdapat 17 booth disediakan menempatkan pelbagai jenis makanan tempatan antaranya ketupat, lemang, nasi minyak, nasi putih, nasi dagang, sup tulang, mee, kuey tiaw, murtabak, laksa, tapai pulut, rojak, me sup dan sebagainya.

Majlis dimeriahkan dengan kehadiran Terengganufm yang membuka studio mini dan telah bersiaran secara langsung bersama YB Haji Ahmad Razif dan YB Haji Muhammad Ramli Noh DUN Tepoh.

Suasana kehangatan sambutan Merdekaraya berlangsung dalam suasana meriah dan orang ramai turut dihiburkan dengan persembahan artis jemputan .




Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) buka pejabat cawangan di Besut

Oleh: Mohammad Ishak


Mohd Yusof menurun tandatangan di plug sebagai tanda perasmian

Penduduk daerah Besut dan Setiu yang ingin berurusan dengan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) tidak perlu bersusah payah ke Kuala Terengganu kerana pihak terbabit kini membuka pejabat cawangan baru di bandar ini.

Pejabat Wilayah Utara berpusat di bandar ini memberi pelbagai kemudahan kepada orang ramai terutama pertubuhan koperasi yang memerlukan urusan dengan agensi berkenaan.

Sebelum ini, pengurusan SKM di Kuala Terengganu menyebabkan penduduk dua daerah terbabit sering menghadapi masalah kerana terletak jauh dan mengambil masa perjalanan untuk berurusan dengan SKM.

Sementara itu, kesedaran penduduk negeri Terengganu menyertai koperasi semakin meningkat apabila keanggotaan ahli koperasi kini mencapai 241,087 membabitkan modal syer RM172,780 dengan aset bernilai RM360.362 juta sehingga akhir tahun lalu.

Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Datuk Mohd Yusof Samsudin, berkata ketika ini ada 450 koperasi ditubuhkan di negeri ini yang menjalankan pelbagai aktiviti bagi menjana ekonomi kepada ahli.

Katanya, pihaknya berharap lebih banyak penubuhan koperasi diwujudkan oleh penduduk termasuk menggalakkan koperasi keluarga dalam usaha membantu pendapatan keluarga terbabit.

Menurutnya,dalam usaha memperbanyakkan koperasi SKM merancang menubuhkan beberapa pejabat cawangan di seluruh negeri ini bagi memudahkan orang ramai yang berminat dapat berhubung secara mudah dengan pejabat cawangan.Terengganu,

Beliau berkata, sebuah pejabat cawangan baru SKM kini mula beroperasi di Bandar Jertih, Terengganu yang akan memberi perkhidmatan kepada penduduk di kawasan utara negeri ini yang meliputi daerah Besut dan Setiu.

Katanya, sehingga ini daerah Besut mempunyai 168 koperasi membabitkan 86,623 anggota dengan asset bernilai RM126.651 juta.

“Menerusi rangkaian pejabat cawangan yang diwujudkan oleh SKM diharap dapat memberi perkhidmatan lebih baik dan pantas kepada pergerakan koperasi,” katanya ketika merasmikan pejabat berkenaan.

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jertih, Datuk Seri Idris Jusoh yang juga Pengerusi Mara dan ADUN Kota Putera,Muhammad Pehimi Yusof.


18 September 2011

35,000 serbu IKBN Kemasik

Oleh NURUL AZIELA SABERI

Bertempat di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Kemasik, Kemaman telah diadakan sambutan hari raya bersama Menteri Belia dan Sukan, Dato' Sri Ahmad Shabery Cheek.



Majlis ini telah mendapat sambutan kira-kira 35,000 pengunjung berbilang kaum.

Turut memeriahkan majlis, beberapa artis tempatan seperti Hattan, Zarina AF, Black Mentor, Farida AF, Jinbara dan ramai lagi telah diundang.

Para tamu juga dihidang dengan pelbagai juadah raya disamping dapat bersalam raya dengan Dato’ Sri Shabery.

Seramai seribu penerima yang layak telah dipilih oleh setiap JKKK kampung mereka mengikut keperluan.



Sumbangan yang berbentuk seperti cermin mata, kerusi roda, tongkat, basikal, mesin rumput, oven, pampers, dan banyak lagi telah diagihkan kepada penerima.

Sebelum berakhir majlis, Dato’ Sri Ahmad Shabery turut mengagihkan duit raya kepada kanak-kanak yang hadir.

Pemenang Piala FA dirai di majlis sambutan Aidilfitri



Oleh: Amirullah Othman

Kira-kira 5,000 pengunjung hadir memeriahkan majlis sambutan Aidilfitri jabatan-jabatan kerajaan daerah Marang yang diadakan di Dataran Pejabat Daerah Marang, hari ini.

Pada majlis itu juga semua pemain Piala FA Terengganu yang muncul juara baru-baru ini, turut diraikan, sebagai tanda sokongan dan penghargaan ke atas kejayaan mereka.

Majlis berkenaan turut dimeriahkan dengan kehadiran pemimpin-pemimpin masyarakat, penduduk tempatan dan penjawat awam daripada pelbagai agensi dan jabatan kerajaan di daerah Marang.

Semua jabatan utama di daerah Marang terlibat dalam majlis itu di mana terdapat 12 gerai menghidangkan menu yang berbeza-beza disediakan Jabatan yang berlainan.

Pejabat Daerah Marang yang menjadi pengerusi program tersebut turut menumbangkan seekor kerbau untuk dijadikan juadah gulai kawah bagi hidangan pengunjung.

Antara tetamu yang hadir ialah Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu, Dato’ Che Mat Jusoh; Penolong Pengurus Pasukan, Sheikh Ahmad Tajuddin Yusof; Jurulatih Irfan Bakti Abu Salim dan semua pemain pasukan Terengganu.

Semua pemain, termasuk lima orang dari daerah Marang turut diberikan cenderamata dan sijil penghargaan daripada Pegawai Daerah Marang, Haji A. Rahman Che Ali.

Haji A.Rahman melahirkan rasa bersyukur kerana majlis pada hari ini berjalan dengan lancar dan mendapat sambutan baik daripada orang ramai.

Majlis tersebut yang ini bermula kira-kira jam 10.30 pagi berakhir jam 3 petang.


Pemenang Piala FA dirai di majlis sambutan Aidilfitri

Oleh: Amirullah Othman

Kira-kira 5,000 pengunjung hadir memeriahkan majlis sambutan Aidilfitri jabatan-jabatan kerajaan daerah Marang yang diadakan di Dataran Pejabat Daerah Marang, hari ini.

Pada majlis itu juga semua pemain Piala FA Terengganu yang muncul juara baru-baru ini, turut diraikan, sebagai tanda sokongan dan penghargaan ke atas kejayaan mereka.

Majlis berkenaan turut dimeriahkan dengan kehadiran pemimpin-pemimpin masyarakat, penduduk tempatan dan penjawat awam daripada pelbagai agensi dan jabatan kerajaan di daerah Marang.

Semua jabatan utama di daerah Marang terlibat dalam majlis itu di mana terdapat 12 gerai menghidangkan menu yang berbeza-beza disediakan Jabatan yang berlainan.

Pejabat Daerah Marang yang menjadi pengerusi program tersebut turut menumbangkan seekor kerbau untuk dijadikan juadah gulai kawah bagi hidangan pengunjung.

Antara tetamu yang hadir ialah Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu, Dato’ Che Mat Jusoh; Penolong Pengurus Pasukan, Sheikh Ahmad Tajuddin Yusof; Jurulatih Irfan Bakti Abu Salim dan semua pemain pasukan Terengganu.

Semua pemain, termasuk lima orang dari daerah Marang turut diberikan cenderamata dan sijil penghargaan daripada Pegawai Daerah Marang, Haji A. Rahman Che Ali.

Haji A.Rahman melahirkan rasa bersyukur kerana majlis pada hari ini berjalan dengan lancar dan mendapat sambutan baik daripada orang ramai.

Majlis tersebut yang ini bermula kira-kira jam 10.30 pagi berakhir jam 3 petang.


JKM sedia pelbagai perkhidmatan bantu OKU

Oleh; Esah Abdullah

Kerajaan membelanjakan RM719,400 bagi membayar elaun pekerja cacat (EPC) membabitkan 2,398 kes sehingga Julai tahun ini.

Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Terengganu, Encik Zuhaimi Omar berkata, kerajaan juga menyediakan perkhidmatan lain seperti bantuan geran pelancaran, bantuan alat sokongan dan tiruan, kemasukan ke institusi dan bengkel pemulihan di bawah kelolaan JKM.

“Setakat ini, terdapat 15,150 orang Kurang Upaya (OKU) yang berdaftar pelbagai kategori di seluruh negeri,” katanya kepada pemberita di majlis sambutan Aidilfitri Badan Amal dan Kebajikan Isteri Wakil-wakil Rakyat (Serikandi) Terengganu di Kediaman Seri Iman, Kuala Terengganu hari ini.

Katanya, daripada jumlah berkenaan terdapat 6,233 mempunyai masalah pembelajaran, cacat fizikal (4,874), cacat penglihatan (1,362), cacat pendengaran (1,599), mental (388),pertuturan (21) dan pelbagai (673).

Menurutnya, sehingga ini terdapat 40 buah pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) di daerah-daerah seluruh negeri membabitkan 1,422 pelatih OKU serta 170 penyelia dan petugas.

“Saya amat berterima kasih kepada Yang Dipertua (YDP) Serikandi, To’Puan Seri Hajah Norliza Mahmud dan Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri Menteri dan Timbalan Menteri (Bakti) yang masing menyumbang duit raya RM15,000 menjadikan jumlah keseluruhan RM30,000 kepada PDK,” katanya.

Katanya, kerajaan telah menyumbang peruntukan RM150,000 setahun kepada PDK untuk menjalankan program termasuklah mengadakan kurus kepada penyelia dan petugas PDK serta mengadakan kejohanan sukan dan futsal.

“Turut diadakan seminar keusahawanan dan Talentime Istimewa Piala Perdana Menteri dan Karnival Jualan Produk di peringkat Kebangsaan di mana PDK Terengganu mendapat tempat ketiga dalam karnival berkenaan,” katanya.

Beliau seterusnya melahirkan rasa bangga apabila seorang pelatih Mohammad Azlan Mat Lazim dari PDK Kemaman terpilih mewakili Malaysia ke Kejohanan Special Olympic Wold Summer Games di Athens, Greece, pada 20 Jun hingga 4 Julai lalu dan telah memenangi pingat gangsa dalam acara lompat jauh.

Katanya, kejayaan berkenaan amat bermakna dan membuktikan bahawa OKU boleh berjaya dalam apa juga bidang diceburi sekiranya diberi peluang.




Teganukita 47 (Keluaran Khas)