Halaman

04 October 2011

Rakyat jangan terkejut pemimpin PAS bercakap soal kebajikan

Oleh FAUZI MOHD



PAS dicabar supaya membuktikan bahawa UMNO dan kerajaan Barisan Nasional (BN) negeri ini telah gagal melaksanakan usaha kebajikan kepada rakyat selama ini.

Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said berkata, sekiranya PAS mempunyai asas kukuh, beliau 'mengalu-alukan' parti pembangkang itu untuk membuktikannya.

Beliau bagaimanapun berkata, hakikatnya PAS adalah parti yang tiada pendirian kukuh dan hipokrit kerana selalu mencari salah UMNO serta BN demi meraih sokongan rakyat.

Dato’ Seri Ahmad yakin dasar parti itu yang berubah daripada negara memperjuangkan Islam kepada negara berkebajikan ternyata tidak mampu memperdayakan rakyat kerana kerajaan BN telah lama melaksanakan perkara itu.

Sebagai bukti jelas beliau, kerajaan sentiasa memberi tumpuan terhadap pelbagai bidang terutama pendidikan untuk dinikmati seluruh rakyat tanpa mengira fahaman politik.

“Walaupun yang bercakap siang dan malam soal kebajikan adalah pemimpin PAS, tetapi yang sentiasa ikhlas menjaga kebajikan rakyat terutamanya dalam bidang pendidikan adalah kerajaan BN.

“Rakyat tidak perlu rasa terkejut, jika akhir-akhir ini pemimpin PAS sering bercakap soal kebajikan dalam ceramah mereka, kerana itu hanya soal ceramah bukan perkara yang mereka akan lakukan kepada rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pembahagian e-Book kepada 550 murid darjah empat dari 23 buah sekolah peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Langkap di Dewan Sivik Sungai Tong, Setiu petang semalam.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Asha’ari Idris yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Langkap.

Dato’ Seri Ahmad menjelaskan, usaha murni kerajaan negeri menyediakan kemudahan e-Book secara percuma di negeri ini adalah satu bentuk kebajikan untuk rakyat.

"Kerajaan beri bantuan e-Book kepada pelajar sehingga mampu meletakkan Terengganu negeri terbaik dalam UPSR (Ujian Pencapaian Sekolah Rendah) 10 tahun berturut-turut. Ini semua usaha kebajikan yang telah kerajaan BN laksanakan," tambahnya

Rakyat usah tertipu dengan janji manis pembangkang

Oleh: Kamarudin Mat Akib



Penduduk negeri ini diingatkan supaya tidak terpedaya dengan janji-janji manis pemimpin parti pembangkang yang mahu mengambil alih pemerintahan negara ini daripada Kerajaan Barisan Nasional (BN).

Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan Negeri, YB Haji Kazan Che Mat, berkata apa yang pasti pemimpin parti pembangkang begitu terdesak untuk memerintah negara ini dan mereka terpaksa menabur janji-janji manis untuk memancing undi.

“Jika mereka janji untuk meneruskan apa yang sudah dilakukan Kerajaan BN, tidak ada apa-apa yang istimewa yang boleh menambat hati rakyat.

“ini kerana Kerajaan BN telah melakukan yang terbaik untuk rakyat, termasuk menyediakan pelbagai keperluan di bidang agama, pelajaran dan ekonomi,” katanya ketika berucap pada majlis penyerahan geran tanah kepada penduduk di kawasan Dewan Undangan Batu Rakit dan e-Book kepada Murid Tahun 4 di DUN berkenaan di Dewan Sivik Maras, semalam.

Justeru, kata YB Kazan, pemimpin pembangkang terpaksa membuat janji-janji yang tidak munasabah untuk memenangi hati rakyat walaupun mereka tahu ia tidak dapat ditunaikan jika sekiranya mereka memerintah negara ini.

“Saya tahu rakyat kita boleh menilai sendiri keupayaan pihak pembangkang kerana mereka pernah memerintah negeri ini, tetapi tidak mampu mentadbir seperti Kerajaan BN,” katanya.

Mengenai tindakan pembangkang mengecam Kerajaan BN yang kononnya bertanggungjawab atas kenaikan harga barang-barang, YB Kazan berkata rakyat perlu rasional berhubung isu tersebut.

“Memang kita tidak menafikan harga barang sekarang ini lebih mahal berbanding masa lalu, tetapi jika diteliti rakyat masih mampu membeli pelbagai barangan keperluan walaupun harganya naik.

“Ini kerana walaupun harga barang naik, tetapi pendapatan mereka juga meningkat kerana usaha kerajaan menaikkan taraf hidup dan pendapatan rakyat,” katanya.

Permainan gasing masih popular di Besut

Oleh: Mohammad Ishak


MENARIK..remaja daerah Besut meminati permainan gasing

Biarpun kebanjiran pelbagai jenis permainan berbentuk game yang menghantui peminat terutama dikalangan remaja negara ini dengan menggunakan teknologi moden seperti komputer namun permainan tradisional terutama gasing masih mampu menarik minat penyertaan golongan muda.

Ini terbukti apabila ramai dikalangan remaja di daerah Besut menyertai permainan gasing bersama golongan yang sudah berusia yang sememangnya meminati permainan tradisional itu sejak turun temurun.

Pembabitan remaja dalam permainan itu bersama golongan tua yang sudah dalam katagori usia emas satu perkembangan menarik kerana selain mereka dapat bergaul dengan orang lebih tua daripadanya mereka juga mewarisi permainan tradisional berkenaan.

Yang Dipertua Majlis Kebudayaan Daerah Besut (MKDB), Yusoff Kasim berkata, pihaknya masih memulihara permainan tradisional itu daripada pupus ditelan zaman dan usaha mempertahankannya sentiasa diberi perhatian.

Katanya, penubuhan Persatuan Gasing Daerah Besut satu contoh baik yang dilakukan penduduk daerah itu untuk memulihara permainan berkenaan daripada terus dilupakan oleh generasi sekarang.

Menurutnya, persatuan itu kini dianggotai kira-kira 100 ahli yang sebahagian besarnya peminat gasing aktif menjalankan pelbagai aktiviti termasuk pertndingan membabitkan sesama ahli dan juga pertandingan antara peserta Terengganu dan Kelantan.

“Ahli persatuan berkumpul setiap hujung minggu mengadakan pertunjukkan dan pertandigan secara bergilir mengikut kampung,” katanya.

Malah,katanya, menerusi pertandingan itu mereka juga dapat mengumpul remaja sekali gus dapat mengcukil bakat baru dalam permainan berkenaan.

Sehubungan itu, Yusoff mencadangan jabatan berkaitan supaya menganjurkan pertandingan lebih berpristej bagi menarik minat penduduk negeri ini menghayati seni permainan tradisional berkenaan yang memerlukan kesabaran dan ketelitian ketika bertanding.




03 October 2011

Penduduk Batu Rakit terima geran tanah, pelajar diberi e-Book


Oleh: Kamarudin Mat Akib

Seramai 154 penduduk di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Rakit menerima geran tanah bagi lot kediaman dan pertanian, dalam satu majlis yang disempurnakan Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, hari ini.

Daripada jumlah itu, 114 orang menerima hak milik lot rumah manakala 44 orang lagi diberi hak milik tanah pertanian bagi membolehkan mereka mengusahakan pelbaagi jenis tanaman secara komersil.

Menteri Besar berkata, lebih ramai penduduk di negeri ini akan diberi hak milik tanah kediaman dan lot pertanian tidak lama lagi di mana proses bagi tujuan tersebut sedang giat dilakukan.



“Kerajaan negeri telah membuat dasar bahawa setiap keluarga yang layak akan diberi sama ada lot kediaman atau rumah kos rendah.

“Bagi mereka yang telah diberi rumah kos rendah tidak akan diberi lot kediaman kerana kita mahu setiap kelurga berpendapatan rendah sama ada mendapat rumah kos rendah atau lot kediaman,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis penyerahan e-Book kepada murid Tahun 4 bagi DUN Batu Rakit dan geran tanah kepada penduduk kawasan berkenaan di Dewan Sivik Maras, hari ini.


Hadir sama Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (Exco), YB Haji Ahmad Razif Abdul Rahman dan YB Haji Kazan Che Mat; Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri, Encik Razali Daud dan Pegawai Daerah Kuala Terengganu, Haji Wan Nawawi Wan Ismail.

Menteri Besar berkata, sebelum akhir tahun ini kira-kira 300 permohonan pemilikan tanah haram akan diselesaikan di mana peneroka tanah berkenaan akan diberi hak milik tanah masing-masing.


Sementara itu, 454 murid Tahun 4 di kawasan DUN Batu Rakit menerima e-Book masing-masing daripada Menteri Besar hari ini.

Pada sebelah petang Menteri Besar akan mengagihkan e-Book kepada pelajar Tahun 4 bagi DUN Langkap di Dewan Sivik Sungai Tong.


Lawatan MB beri sinar baru kepada penduduk

Oleh: Nurul Aziela Saberi



Keprihatinan Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said menjengah ke Kampung Sungai Mas, Padang Kubu, Kemaman untuk melihat sendiri keadaan mangsa banjir mendapat sambutan baik daripada pihak Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Sungai Mas.

Malah, pihak pengurusan TDM Plantation Sdn Bhd Ladang Jernih serta wakil Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kemaman, turut mengalu-alukan kesudian beliau untuk mendengar taklimat mengenai banjir di kampong itu.

Penduduk kampung, khususnya mangsa banjir baru-baru ini diberi nasihat supaya sentiasa berwaspada ketika menghadapi banjir terutama banjir kilat dan perlu mengutamakan keselamatan diri.

Menteri Besar dalam ucapannya berkata, alur sungai tidak dapat mengalir seperti biasa berpunca daripada pasir sungai yang melimpah dan sistem peparitan tersumbat, sekaligus menyebabkan berlakunya banjir.

Beliau berkata, sistem perparitan perlu diselenggara dengan segera dan laluan sungai perlu digali dengan lebih dalam lagi dan dilebarkan bagi mengatasi masalah berkenaan.

Pihak pengurusan TDM Plantation Ladang Jernih dan Ladang Tebak perlu berganding bahu dalam menyelesaikan masalah ini seberapa segera memandangkan cuaca sekarang tidak menentu dan bila-bila masa boleh berlaku banjir kilat.

“Penduduk sekitar perlu berbincang dengan pihak pengurusan ladang dan cuba mengenal pasti tempat dan kawasan yang selamat untuk perpindahan apabila berlaku banjir kelak.
“Sehubungan itu, saya telah berbincang dengan pihak JPS untuk menyelesaikan masalah ini dan akan meluluskan peruntukan sebanyak RM300,000 untuk pembinaan dua kolam tangkungan air yang akan dibina tidak lama lagi,” katanya.

Dengan adanya kolam tangkungan air tersebut dapat menampung air hujan apabila berlakunya banjir kelak. Keadaan ini sekaligus dapat menggurangkan kuantiti air yang melimpah di sungai ketika berlakunya banjir kilat.

Penduduk sekitar juga dapat menarik nafas lega selepas mendengar jaminan Menteri Besar untuk mempercepatkan pembinaan perumahan di luar Padang Kubu.

Dijangka penghujung tahun ini sebanyak 50 buah rumah akan siap dibina untuk peringkat pertama dan selebihnya akan dibina secara berperingkat memandangkan struktur tanah yang lembut dan kawasan yang berbukit.



BMKK bakal diwajibkan kepada penjawat awam


Oleh; Esah Abdullah


Kerajaan negeri merancang menjadikan program Bulan Madu Kali Kedua (BMKK) sebagai kursus ‘wajib’ kepada penjawat awam dalam usaha memantapkan institusi keluarga di negeri ini.

Setiausaha Kerajaan, Dato’ Haji Mazlan Ngah berkata, program yang dikendalikan Yayasan Pembangunan Keluarga (YPK) itu amat baik untuk meningkatkan kualiti hidup berkeluarga.

“Saya harap YPK buat mesyuarat jabatan dan sediakan kertas kerja mengenainya agar boleh saya panjang ke Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri,” katanya dalam sidang media selepas menyampaikan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2009/2010 dan Pelancaran MS ISO 9001:2008 YPK, di Dewan Utama YPK petang semalam.

Hadir sama, Pengarah YPK, Encik Mohd Safaruddin Mustaffa dan timbalannya, To’ Puan Hajah Zaimah Abdul Aziz.



Dato’ Mazlan memberi respon di atas saranan YPK agar kerajaan negeri menjadikan program BMKK dilaksanakan kepada setiap kakitangan kerajaan khususnya bagi pasangan yang berkahwin lima tahun ke bawah.

Mengikut kajian pasangan berkahwin dalam tempoh berkenaan menghadapi pelbagai masalah penyesuaian dan setakat ini jumlah ibu tunggal meningkat kepada 17,000 orang diseluruh negeri.

Dalam perkembangan lain, Dato’ Haji Mazlan berkata peranan yang dimainkan penjawat awam dalam menyampaikan mesej kepada masyarakat akan memberi impak besar kepada kerajaan kerana kualiti perkhidmatan menjadi kayu ukur bagi sesebuah jabatan.

“Perkhidmatan cemerlang serta pengiktirafan Sijil MS ISO akan menjadi inspirasi serta meningkatkan motivasi kakitangan untuk terus memberi perkhidmatan terbaik tanpa mengira bangsa dan keturunan,” katanya.


Katanya, kerajaan mendambakan warga kerja yang mempunyai budaya kerja cemerlang serta mengutamakan orang ramai dalam setiap tindakan bagi memastikan pelaksanaan transformasi total pucuk pimpinan negeri dapat direalisasikan.

Seramai 80 orang kakitangan YPK pelbagai jawatan menerima Sijil Khidmat Cemerlang masing-masing yang disampaikan Dato’ Haji Mazlan.

Melalui pengiktirafan yang diperolehi setiap mereka menerima wang tunai RM1,000 seorang, sijil penghargaan serta lawatan kerja ke Sabah atau Serawak.




Teras YPK wujud keluarga bahagia

Oleh; Esah Abdullah

Mengamalkan tahap disiplin tinggi, mempunyai kredibiliti, berinovasi serta mempunyai kemantapan nilai dan etika antara ciri kecemerlangan yang dituntut sebagai penjawat awam.

Pengarah Yayasan Pembangunan Keluarga (YPK) Terengganu, Encik Mohd Safaruddin Mustaffa berkata, ciri berkenaan bertepatan dengan nilai teras jabatan sebagai sebuah organisasi adalah untuk mewujudkan keluarga bahagia.

“Manakala sasaran utama termasuklah meningkatkan kualiti hidup masyarakat, mengurangkan gejala sosial, pembasmian kemiskinan dan pembangunan masyarakat,” katanya di majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) dan Pelancaran MS ISO 9001:2008 di Dewan Utama YPK petang semalam.

Majlis berkenaan telah disempurnakan oleh Setiausaha Kerajaan Terengganu,Dato’ Haji Mazlan Ngah.

Katanya, pelbagai program dan aktiviti membabitkan masyarakat bermula usia bayi sehinggalah kepada warga emas.

Menurutnya, YPK mempunyai 747 kakitangan pelbagai jawatan merangkumi 66 buah Taska Permata Keluarga, Desa Keluarga (4) Pejabat dan Permodalan YPK (8) di seluruh negeri di samping ibu pejabat di Jalan Sultan Omar, Kuala Terengganu.

Encik Mohd Safaruddin kemudiannya menyarankan semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dapat mewujudkan Taska di daerah masing-masing untuk memberi kemudahan kakitangan meninggalkan anak dalam keadaan selamat serta berdekatan dengan ibu bapa.

“Setakat ini hanya PBT daerah Kemaman telah menubuhkan Taska untuk kakitangannya manakala daerah lain belum berbuat demikian,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau meminta semua warga YPK membuat perubahan minda serta berusaha melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan, kemahiran dan kepakaran tertentu untuk meningkatkan kualiti kerja masing-masing.

Sejak APC diwujudkan pada 2005, 199 orang kakitangan YPK telah menerima pengiktirafan termasuk dalam majlis semalam (80 orang) di mana setiap seorang mendapat wang tunai RM1,000, sijil penghargaan serta lawatan kerja ke Sabah atau Serawak.




Peruntukan tambahan RM8.5 juta bina semula jambatan Sungai Pinang

Oleh FAUZI MOHD

Kerajaan Terengganu akan membina semula projek jambatan Sungai Pinang dekat sini yang pembinaannya tergendala sejak lebih 10 tahun lepas.

Menteri Besar Dato’ Seri Ahmad Said berkata, kerajaan pusat telah meluluskan peruntukan tambahan sebanyak RM8.5 juta bagi menyiapkan jambatan yang menghubungkan lebih 20,000 penduduk dari beberapa kampung dengan Bandar Cukai.

Kerajaan pusat telah meluluskan peruntukan pembinaannya yang dijangka bermula awal tahun depan dan dijangka siap dalam tempoh dua tahun, katanya selepas melawat beberapa buah rumah penduduk yang terbabit dengan banjir kilat baru-baru ini.

Beliau berkata jambatan berkenaan penting kerana ia adalah laluan utama penduduk Air Putih ke Bandar Cukai.

Katanya, jambatan berkenaan yang dibina terlaluendah sebelum ini sering tenggelam setiap kali banjir berlaku di kawasan itu.

Dato’ Seri Ahmad berkata, kerajaan juga bercadang untuk meninggi dan menaik taraf jalan antara Kampung Paya Pamam yang menghubungkan jambatan berkenaan yang sering kali ditenggelami air setiap kali banjir melanda.

Beliau yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Kijal berkata, apabila jalan itu ditinggikan nanti, ia akan menjadi laluan alternatif penduduk dari Kampung Air Putih dengan menggunakan jalan Mardi Pasir Gajah ke Ibok untuk ke bandar Cukai.

Jalan ini dapat digunakan penduduk sekitar Kampung Air Putih, Pasir Gajah, Seberang Tayur dan Dadong sementara menunggu pembinaan jambatan Sungai Pinang siap dalam tempoh dua tahun lagi, katanya.

Lebih 8,000 kanak-kanak tadika bakal khatam al-Quran

Oleh: Suriati Ali

Kira-kira 8,000 kanak-kanak yang mengikuti pendidikan awal di institusi kelolaan kerajaan negeri dan Pusat di Terengganu dijangka menyertai Majlis Khatam dan Pintar al-Quran di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Gong Badak, Kuala Terengganu, pada 22 Oktober ini.

Bilangan itu melibatkan kanak –kanak berusia 5 dan 6 tahun daripada empat gabungan tadika iaitu Yayasan Islam Terengganu (YIT), Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas), Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu (JPNT) dan Jabatan Perpaduan dan Integriti Nasional.

Pengarah, Md Kamarul Al-Amin Ismail, berkata pihaknya bangga kerana program yang dianjurkan lima tahun berturut-turut itu bukan saja dapat meningkatkan jumlah penyertaan malah mendapat sokongan pelbagai pihak terutama ibu bapa.

“Pada tahun lalu, seramai 7,000 kanak-kanak daripada empat tadika sama berjaya khatam al-Quran dengan sempurna,” katanya.
Katanya, YIT akan membuka tiga buah lagi tadika membabitkan kos keseluruhan hampir RM10 juta di tiga daerah di negeri ini.

“Pembinaan tadika masing-masing bertempat Seberang Takir, Kuala Terengganu; Kijal, Kemaman dan Bandar Al Muktafi Billah Shah, Ketengah, Dungun itu mampu menambah keperluan ibu bapa yang semakin terdesak,” katanya.

Katanya, apa yang membanggakan tadika YIT di Seberang Takir yang akan beroperasi tahun depan sudah menerima permohonan daripada ibu bapa untuk menempatkan anak masing-masing bagi sesi pembelajaran 2012.



YIT mula bayar tunggakan elaun

Oleh: Suriati Ali

Yayasan Islam Terengganu (YIT) bersetuju membayar tunggakan elaun selama 10 bulan kepada 2,900 Guru Khidmat Masyarakat di Terengganu bermula hari ini (2 Oktober).

Pengarah YIT, Md Kamaru Al- Amin Ismail, berkata elaun tunggakan itu adalah bagi kenaikan yang diterima RM150 sebelum ini kepada RM300 sebulan.

Menurutnya, tunggakan bayaran yang diterima bermula 1 Januari lalu hingga Oktober nyata mengembirakan golongan itu di mana sebelum ini terpaksa menunggu dalam tempoh yang lama.

“Kenaikan bayaran elaun ini sebenarnya pengiktirafan besar kepada guru khidmat masyarakat kendalian YIT seperti guru Kelas Agama Fardu Ain (Kafa) dan guru kelas berzanji yang selama ini berkorban masa mengendalikan kelas-kelas di kampung.

“Pihak kami mengharapkan dengan bayaran tunggakan dan kenaikan elaun ini membuatkan mereka lebih bermotivasi dalam menjalankan tugas masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Tahun 2011 dan Penganugerahan Pensijilan 5S Yayasan Islam Terengganu (YIT) di Menara YIT, Kuala Terengganu, semalam (3 Oktober) .

Perasmian majlis disempurnakan Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah. Hadir sama, Timbalan Pengarah YIT Haji Alias bin Jaafar dan Pegawai Perunding Perbadanan Produktiviti Malaysia Terengganu, Puan Muhaslizawati.

Haji Md Kamaru Al-Amin turut memberitahu, permohonan menjadi guru khidmat masyarakat sentiasa mendapat sambutan.

Menurutnya, dianggarkan 200 permohonan yang diterima pihaknya setiap tahun bagi menggantikan guru bersara dan permohonan untuk menjadi guru baru di kampung.

“YIT mengenakan syarat yang agak ketat untuk seseorang itu memohon sebagai guru khidmat masyarakat, termasuk perlu menghadiri kursus, mendapat sokongan Pengerusi Jawatan Kuasa Keselamatan & Kemajuan Kampung (JKKK) dan wakil rakyat kawasan,” katanya.