Halaman

09 November 2011

Kerajaan sedia pinjaman mudah kepada usahawan


Menteri Besar menyaksikan majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara YPU dan Bank Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia Berhad (SME Bank) di Wisma Darul Iman. - Gambar oleh Zulkipli Putra.

Oleh; Esah Abdullah


Kerajaan negeri melalui Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) telah menyusun pelbagai program dan projek keusahawanan termasuk Program Flagship Keusahawanan (PFK) melalui satu pembiayaan yang besar.

Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata, peruntukan RM1 juta setahun bermula 2009 yang disalurkan kepada YPU untuk diberi pinjaman mudah kepada usahawan terpilih bagi menjalankan perniagaan kedai T’Shoppe.

“Sehingga hari ini 19 T’Shoppe, enam T’Kafe dan sebuah butik T’Kraf telah berjaya menjalankan operasi di negeri,” katanya dalam sidang media selepas majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara YPU dan Bank Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia Berhad (SME Bank) di Wisma Darul Iman hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar bandar, Usahawan dan Koperasi Negeri, Dato’ Haji Mohamad Awang Tera; Setiausaha Kerajaan Dato’ Haji Mazlan Ngah; Setiausaha Bahagian Pengupayaan Ekonomi Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW), Encik Zazali Sallehudin dan Pengarah Urusan SME Bank, Datuk Mohd Radzif Mohd Yunus.

Sehubungan itu katanya, terdapat tujuh permohonan baru bagi T’Shoppe dan masing-masing dua T’Kafe dan T’Kraf baru saja mendapat kelulusan.

Katanya,kerajaan negeri mengucap setinggi penghargaan kepada KKLW yang memperuntukkan RM4.5 juta bagi membolehkan Skim Pembiayaan Ekonomi Desa (SPED) membiayai PFK keusahawanan di negeri ini berjalan lancar.

Menurutnya, pelan halatuju pembangunan negeri 2009-2013 memberi penekanan kepada sector yang boleh menjana pertumbuhan ekonomi di samping membasmi kemiskinan di negeri ini.

“Ia memberi tumpuan khusus kepada sector pendidikan dan peambangunan sumber manusia, pertanian dan industri asas tani, pelancongan, perdagangan, perkhidmatan dan ICT,” katanya.

Katanya, T’Shoppe, T’Kafe,T’Kraf dan T’Lodge termasuk dalam sektor perdagangan, perkhidmatan dan pelancongan.





MB akan saman blogers

Oleh; Esah Abdullah

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said membuat keputusan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap dua pengendali blog guanopulok.blogspot.com dan msomelayu.blogspot.com yang telah menfitnah beliau dalam tulisannya.

“Saya mengambil keputusan ini demi maruah keluarga dan anak-anak,” katanya dalam sidang media di majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Yayasan Pembangunan Keluarga (YPU) dan SME Bank di Wisma Darul Iman hari ini.

Katanya, sebagai orang politik saya sudah lali dengan pelbagai fitnah dan maki hamun, tetapi bagaimana penerimaan keluarga terutama sekali anak-anak yang sudah besar.

“Perkara ini saya ketahui sejak tiga bulan lalu tetapi mengambil sikap mendiamkan diri dan menganggapkan ia sebagai asam garam dalam politik,” katanya.

“Saya sedih dan dukacita bila mereka menfitnah saya secara membabi buta dan hari ini kesabaran saya sudah tercabar, bila anak gadis saya pulang bercuti baru-baru ini menanggis kerana malu diejek rakannya,” katanya.

Katanya, setelah diselidik salah satu blog iaitu guanopulok.blogspot.com menggunakan alamat di luar negara dan yang satu lagi beralamat di Kelantan.

Sehubungan itu satu laporan polis akan dibuat dalam sehari dua ini serta akan berunding dengan peguam untuk mengambil tindakan seterusnya.





Ribuan pengunjung dijangka hadir KISMT

Oleh: Suriati Ali

Kerajaan negeri dengan kerjasama Pusat Sains dan Kreativiti Terengganu dan Jabatan Pembangunan Kemahiran Negeri Terengganu akan menganjurkan Karnival Inovasi & Skills Malaysia Terengganu (KISMT) 2011 di Pusat Dagangan Terengganu (TTC), Padang Hiliran, Kuala Terengganu.

Karnival bertemakan `Inovasi dan Kecemerlangan Kemahiran Pencetus Tranformasi itu akan diadakan selama tiga hari iaitu bermula esok (10 November) dan berakhir 12 November.

Pelbagai aktiviti menarik akan ditonjolkan bagi menarik minat ribuan pengunjung antaranya, termasuk pameran kerjaya; pertandingan inovasi dan kreativiti; bual bicara; temuduga terbuka dan klinik kerjaya; pertunjukan kreativiti sains; slot pengkongsian kerjaya dan pertandingan melukis dan mewarna.

Ribuan pengunjung terutama pelajar dan belia dijangka hadir memeriahkan program tahunan itu. Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said dijangka hadir merasmikan majlis penutup pada hari terakhir program kira-kira jam 2.00 petang.


Terengganu Quiksilver tarik 80 peluncur air sembilan negara

Oleh FAUZI MOHD

Thailand, Indonesia, Singapura, Taiwan, Filipina, Jepun, Australia, Maldives dan Malaysia.

Itu antara negara yang telah mengesahkan penyertaan kejohanan luncur air Terengganu Quiksilver Best Event 2011 yang akan diadakan di Pantai Batu Buruk, Kuala Terengganu bermula 2 hingga 4 Disember ini.

Seramai 80 peluncur air bakal beraksi merebut kejuaraan edisi kesembilan itu dengan tawaran hadiah keseluruhan berjumlah RM32,000.

Jurucakap kejohanan, Bryan Ng berkata, pantai itu dipilih untuk kejohanan kali ini kerana ia mempunyai ciri-ciri ombak yang sesuai untuk aksi luncur air serta mampu memberi pendedahan kepada rakyat tempatan untuk mempelajari sukan itu.

Katanya, antara acara yang bakal dipertandingkan ialah Short Board terbuka lelaki dan wanita, Master Short-board terbuka dan Body-board terbuka.

“Penyertaan masih dibuka dan peluncur air yang berminat boleh mengunjungi outlet Quiksilver terpilih atau mendaftar pada hari pertama kejohanan,” katanya.

Foundation 36 uji enam pasukan dalam Piala Motour

Oleh FAUZI MOHD

Piala Monsun hanya beberapa minggu lagi dan persiapan sedang dijalankan untuk menobat Juara Dunia Match Racing ISAF pada acara terakhir musim Siri Jelajah Dunia Match Racing pada 22 hingga 27 November ini di Ri-Yaz Heritage Marina Resort & Spa.

Jauh dari kejohanan dunia, terdapat satu lagi piala yang menanti juara tempatan.

Piala Motour Tourism merupakan regata pelayaran yang dianjurkan khas untuk mereka yang terbabit di dalam industri pelancongan di Terengganu.

Pejabat Kementerian Pelancongan Terengganu bekerjasama dengan T-best Events, penganjur Piala Monsun untuk memberi mereka peluang untuk belayar di atas Foundation 36, kapal layar yang digunakan dalam acara utama.

Tahun lepas, pasukan Pejabat Kementerian Pelancongan Terengganu berjaya merebut gelaran juara.

Timbalan Pengarahnya, Mazshida Ruslal berkata: “Kini adalah masanya untuk mempertahankan gelaran kami sebagai raja pelayaran di Pulau Duyong, akan tetapi kami juga bimbang dengan pasukan Persatuan Hotel Malaysia.

“Mereka mempunyai dua pasukan iaitu Hotel Permai dan Ri-Yaz yang telah bersaing dalam Kejohanan Match Racing Malaysia baru-baru ini. Sudah tentu persiapan dan prestasi mereka lebih baik daripada kami,” katanya dalam satu kenyataan.

Sebanyak 6 pasukan akan mengambil bahagian dalam perlumbaan ini pada 19 November ini.

Antara pasukan yang mengambil bahagian adalah Persatuan Hotel Bajet Malaysia (MBHA), Persatuan Ejen Pelancongan dan Tour Malaysia (Matta), Terengganu Tourism Association (TTA), Terengganu Travel Guides Association (TTGA) dan Tourism Malaysia.

“Kemungkinan, terdapat juga satu pasukan dari Kelab Wartawan Terengganu dan kami menjangkakan setiap pasukan akan memberi saingan yang hebat untuk merampas gelaran itu daripada kami.

“Pertandingan ini sangat penting bagi mereka yang terbabit di dalam industri pelancongan kerana kami perlu memahami mengenai pelayaran untuk menjual dan mempromosi dengan lebih baik sukan dan acara Piala Monsun kepada pelancong,” tambahnya.

Mazshida berkata, Piala Monsun telah menjadi salah satu produk pelancongan yang paling penting untuk Terengganu sejak penganjurannya pada tahun 2005.

“Kami perlu membiasakan diri dengan produk jika ingin menjual kepada pelawat yang berpotensi dan tidak ada cara yang lebih baik untuk belajar mengenai Piala Monsun daripada keluar belayar dan berlumba dengan kapal Foundation 36,” jelasnya.

169 Pelajar MRSM Besut hadir majlis graduasi

Oleh: Mohammad Ishak


Dr A Rahman Mokhtar menyampaikan sijil anugerah kepada pelajar MRSM Besut


Majlis Graduasi Maktab Rendah Ke 7 Mara (MRSM) Besut, di Kota Putera, yang berlangsung di maktab itu kelmarin diadakan dalam suasana meriah dengan kehadiran ibu bapa dan penjaga pelajar yang ingin melihat kejayaan anak masing-masing.

Ia dihadiri 169 pelajar yang menamatkan sesi pembelajaran bagi tahun ini yang membabitkan pelajar peringkat menengah dan menengah atas.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri, YB Dr A Rahman Mokhtar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Besut, diberi penghormatan merasmikan majlis berkenaan dan menyampaikan sijil kepada pelajar terbabit.

Sempena majlis itu juga pihak MRSM turut memberi penghormatan kepada pelajar dengan mengadakan beberapa anugerah khas termasuk Pelajar Serba Boleh, Anugerah Terbaik Subjek Tingkatan 5 dan Tokoh Pelajar sebagai menghargai kebolehan pelajar dalam bidang masing-masing.

Pelajar Serba Boleh, Amira Sariati Zainal, yang menerima anugerah berkenaan bersyukur kerana terpilih dikalangan rakan-rakan lain sambil menyifatkan ia satu pengiktirafan MRSM kepada beliau.

“Pemilihan ini akan dijadikan asas untuk saya terus berusaha meningkatkan keupayaan dalam pendidikan seterusnya mengharumkan nama MRSM,” katanya ketika ditemui selepas majlis itu.

Dr A Rahman ketika merasmikan majlis itu berkata, MRSM sebuah institusi yang mampu melahirkan ramai pelajar berkemahiran tinggi kerana sistem pembelajaran yang dilaksanakan amat bersistem.

Katanya,pelajar sewajarnya dapat memanfaatkan pelbagai kemudahan pembelajaran yang ada di maktab berkenaan kerana kerajaan sentiasa berusaha untuk memajukan bidang pendidikan malah menjadi keutamaan dalam pelaksanaan dasar kerajaan.


Jangan politikkan bola sepak - MB

Oleh; Esah Abdullah

Ada ‘tangan ghaib’ disebalik tindakan kumpulan penyokong tegar bola sepak yang membuat perhimpunan protes berhubung pengunduran jurulatih Terengganu Haji Irfan Bakti Abu Salim daripada memimpin pasukan negeri.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata, ada orang yang cuba mempolitikkan isu ini dan sengaja mengeruhkan keadaan.

“Jangan cuba mempolitikkan bola sepak serta menjatuhkan imej orang-orang tertentu dalam PBSNT,” katanya ketika diminta mengulas tindakan kumpulan berkenaan yang meminta campur tangan Menteri Besar dalam isu berkaitan.

Katanya beliau tidak perlu campur tangan dalam isu ini, kerana PBSNT diuruskan oleh barisan jawatankuasa yang dilantik melalui mesyuarat agung.

Tambahnya, tahun ini amat cemerlang bagi bola sepak Terengganu, muncul juara Piala FA, naib juara Piala Malaysia dan naib juara Piala Liga ia merupakan satu kejayaan hebat.

“Saya bangga kerana dua pasukan kita berjaya masuk ke pertandingan separuh akhir Piala Malaysia dan ini tidak berlaku bagi negeri lain, kalah menang adat permainan dan peminat tidak perlu letakkan kesalahan kepada pihak pengurusan,” katanya.

Katanya, penghijrahan jurulatih perkara biasa dalam bola sepak, itu hak mereka, pemain juga jika dapat tawaran lebih baik mereka akan pergi.

Dato’ Seri Haji Ahmad kemudiannya mengakui terkilan dengan penyokong tegar bola sepak yang mencetuskan suasana kurang baik ini serta tindakan sesetengah pihak yang ambil kesempatan kibar bendera parti dalam stadium ketika perlawanan akhir Piala Malaysia baru-baru ini,” katanya.





Duta Besar Singapura kunjung hormat MB


Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Haji Ahmad Said (kanan) menerima kunjung hormat Duta Besar Singapura Ke Malaysia He Mr Ong Keng Yong di pejabatnya di Kuala Terengganu. - Gambar oleh Zulkipli Putra.

Oleh: Suriati Ali

Duta Besar Singapura Ke Malaysia He Mr Ong Keng Yong, mengadakan kunjungan hormat ke atas Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said, di pejabat Menteri Besar Terengganu di Wisma Darul Iman, pagi ini.

Dua Setiausaha Pertama Kedutaan Singapura, iaitu Mr Harold dan Mr Ramanathan, turut serta dalam rombongan tersebut yang bertujuan mengeratkan hubungan silaturahim antara negara itu dengan Kerajaan Terengganu.

Dalam pertemuan yang berlangsung kira-kira setengah jam itu, kedua-dua pemimpin berkenaan saling bertanya khabar dan meninjau kemungkinan mengadakan kerjasama dalam pelbagai bidang, yang boleh memberi kebaikan kepada kedua-dua pihak.

Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan dan Alam Sekitar negeri, Dato’ Toh Chin Yaw menyertai pertemuan berkenaan.


08 November 2011

Masalah boleh selesai melalui rundingan

Oleh; Esah Abdullah

Masalah boleh diselesaikan melalui perundingan bukannya dengan membuat demonstrasi serta mengeluarkan kenyataan kepada umum.

Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan kakitangan Terengganu Agrotech Development Corp. Sdn. Bhd. (TADC) yang membuat demonstrasi bantahan kepada pihak pengurusan yang memberi notis berhenti kerja kepada mereka.

Katanya, jika pegawai berkenaan ikhlas untuk mencari jalan penyelesaian dia tidak patut terlibat dalam demonstrasi berkenaan tetapi boleh datang berbincang secara baik.

“Jika ingin menyelesaikan masalah bawa berbincang, tetapi apa yang berlaku mereka cipta masalah sebelum selesai masalah, ini tidak betul,” katanya kepada pemberita dalam sidang media selepas menghadiri majlis Perjumpaan Bersama Pelajar Terbilang/Sasaran SPM/STPM 2011 di Wisma Darul Iman hari ini.

Tambahnya, pihak pengurusan TADC telah mengadakan perbincangan dan perjumpaan sebelum membuat keputusan berkenaan dan semua kakitangan telah maklum syarikat mengalami kerugian.

Katanya, kerajaan negeri menyerahkan kepada pihak pengurusan syarikat untuk menyelesaikan perkara berkenaan.





Agenda pendidikan belum selesai

Oleh; Esah Abdullah


“Masih ada agenda yang belum selesai dan kerajaan Barisan Nasional (BN) perlu dikekalkan sebagai kesinambungan untuk terus memperkasakan bidang pendidikan di negeri ini,” kata Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said.

Katanya, kerajaan akan lakukan apa saja dalam usaha mengekalkan kecemerlangan pendidikan di negeri ini yang memerlukan kerjasama guru, ibu bapa di samping pelajar sendiri perlu fokus untuk capai kejayaan.

“Oleh itu BN perlu dipertahan dan dikekalkan untuk memastikan pembangunan pendidikan terus diperkasa dan pelbagai kemudahan pembelajaran dapat disalurkan kepada anak-anak kita,” katanya.

Dato’ Seri Haji Ahmad berkata demikian di majlis Perjumpaan Bersama Pelajar Terbilang / Sasaran SPM dan STPM 2011 di Wisma Darul Iman hari ini.



Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, YB Haji Ahmad Razif Abdul Rahman dan Pengarah Pelajaran Terengganu, Encik Razali Daud serta timbalannya, Encik Hashim Mohd Zin.

Tambahnya, pelajar cemerlang di negeri ini mendapat pengiktirafan kerajaan berupa wang tunai dan komputer riba sebagai dorongan untuk terus mencapai kejayaan lebih tinggi serta mengharumkan nama negeri.

Seramai 2,000 pelajar dari 153 buah Sekolah Menengah (SM) Kebangsaan, SM Sains, SM Agama dan SM Imtiaz seluruh negeri yang akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) 2011 hadir ke majlis berkenaan.

“Mereka merupakan pelajar yang mempunyai potensi untuk mendapat keputusan cemerlang dalam SPM / STPM dan telah mendapat A semua mata pelajaran dalam peperiksaan percubaan baru-baru ini,” katanya.



Tambahnya, tahun ini sasaran pelajar cemerlang begitu besar berbanding tahun lalu hanya 405 orang dan berharap sasaran tahun ini berjaya digapai.