Halaman

11 November 2011

MB ‘turun padang’ di DUN Bukit Tunggal

Oleh: Kamarudin Mat Akib

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said akan meneruskan Program Turun Padang (PTP) di kawasan Dewan Udangan Negeri (DUN) Bukit Tunggal, esok (12 November), bagi menyelami dan meninjau sendiri pelbagai permasalahan yang dihadapi penduduk kawasan tersebut secara lebih dekat.

Program tradisi pemimpin Barisan Nasional (BN) itu dimulakan dengan Menteri Besar yang diiringi pemimpin BN Parlimen Kuala Nerus dan DUN Bukit Tunggal menghadiri sarapan pagi bersama-sama penduduk tempatan di Pangsapuri Mampu Milik Pulau Duyong, kira-kira jam 8.30 pagi.

Selesai beramah mesra dengan penduduk di situ, Dato’ Seri Haji Ahmad akan melawat ke rumah warga miskin e-Kasih, Puan Fatimah A. Bakar dan menyampaikan bantuan.

Kira-kira jam 10 pagi, Menteri Besar dan rombongan akan melawat Peti Undi Bukit Tumbuh dan menghadiri jamuan rakyat serta solat Zuhur di Masjid Kampung Bukit Tumbuh.

Pada jam 2.30 petang, beliau dijadualkan melawat Peti Undi Bukit Tunggal dan merasmikan balai raya serta gelanggang futsal di Kampung Bukit Tunggal.

Selepas itu, beliau akan melawat Peti Undi Pengkalan Arang dan menunaikan solat Asar bersama-sama penduduk kampung di Masjid Kampung Pengkalan Arang.

Pada jam 5 petang, Menteri Besar akan melawat Peti Undi Batu Enam dan menyertai program mengecat rumah penduduk miskin di Kampung Tuan Mandak.

Selepas itu, beliau akan menghadiri sukan rakyat DUN Bukit Tunggal di Sekolah Kebangsaan Bukit Tunggal, sebelum menunai solat Maghrib di Masjid Kampung Gong Kijang.

Menteri Besar akan menghadiri majlis penutup PTP bagi DUN Bukit Tunggal iaitu ceramah isu-isu semasa dan majlis Pelancaran Geng 13 DUN Bukit Tunggal di Sekolah Kebangsaan Bukit Tunggal.


10 November 2011

Sekolah Imtiaz membudayakan al-Quran kepada pelajar

Oleh; Esah Abdullah

Pendekatan pembelajaran di Sekolah Menengah Imtiaz Yayasan (SMI) Terengganu yang membudayakan al-Quran wajar dicontohi pelbagai pihak kerana anak-anak pada masa kini adalah pewaris bangsa dan bakal pemimpin ummah pada masa akan datang.



Setiausaha Kerajaan, Dato’ Haji Mazlan Ngah berkata, pembudayaan al-Quran dapat menghasilkan generasi pintar Quran serta mengembalikan kegemilangan tamadun Islam dan seterusnya merealisasikan hasrat kerajaan menjadikan Terengganu Negeri Anjung Ilmu.

“ Sistem pembelajaran yang meletakkan Al-Quran sebagai teras pembelajaran dalam mendidik pelajar supaya mampu menguasai pelbagai disiplin ilmu, bahasa dan kemahiran,” katanya di majlis Anugerah Graduasi 2011 Sekolah-sekolah Menengah Imtiaz (SMI) Yayasan Terengganu di Wisma Darul Iman hari ini.

Sehubungan itu , kerajaan turut menyumbang RM 185,000.00 kepada 185 hafiz dan hafizah sekolah menengah Imtiaz yang telah berjaya khatam menghafaz 30 juzuk al-Quran pada majlis Anugerah Hafazan yang berlangsung baru-baru ini.

Katanya, kecemerlangan pelajar di SMI yang wajar dicontohi dan berbangga sekolah ini tidak pernah ketandusan melahirkan pelajar yang cemerlang bukan sahaja dalam bidang akademik tetapi juga dalam bidang al-Quran.



Tambahnya, berkat usaha gigih semua pihak, SMI Besut telah mendapat pengiktirafan sebagai Sekolah Berprestasi Tinggi kategori berasrama penuh kerajaan negeri yang diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 22 Februari lalu.



“Pengiktirafan juga turut diterima oleh SMI Kuala Terengganu di bawah anugerah New Deal dan Cluster School,” katanya.

Tambahnya, hari ini SMI mempunyai kekuatan bersaing dipersada pendidikan sekali gus menyumbang kepada kecemerlangan pendidikan negeri.

Keadaan ini katanya, telah meletakan kepercayaan pelajar dan ibu bapa kepada sekolah berkenaan sebagai pilihan utama dan jumlah permohonan kemasukan tahun ini melebihi 2036 orang.

Sehubungan itu kerajaan akan membuka SMI di daerah Setiu dan Marang bagi menampung permintaan ibu bapa dan pelajar di daerah berkenaan.




Keputusan kes SMS ugut 28 November

Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu menetapkan keputusan kes ugutan bunuh melalui SMS yang membabitkan bekas Setiausaha Politik kepada mantan Menteri Besar Dato’ Seri Haji Idris Jusoh, iaitu Datuk Dr.Ahmad Ramzi Mohd Zubir, pada 28 November depan.

Perbicaraan kes tersebut menyaksikan lebih 20 saksi memberi keterangan mereka di mana kes itu dikendalikan Hakim M.Bakri Abd.Majid.

Dato’ Dr Ahmad Ramzi didakwa atas empat tuduhan menghantar ugutan jenayah menerusi SMS iaitu bagi pertuduhan pertama, beliau didakwa mengancam mendatangkan kematian ke atas Adun Paka, Mohd Ariffin Abdullah pada pukul 11.21 malam, 13 April tahun lalu di E-726 Kampung Kubang Parit.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan yang sama ke atas dua lagi Adun, Abd Halim Jusoh (Permaisuri) dan Dato’ Rosol Wahid (Ajil) antara pukul 11.21 dan 11.25 malam di tempat dan tarikh yang sama.

Beliau turut didakwa atas tuduhan pilihan, menggunakan perkhidmatan internet bagi menghantar SMS berbunyi: "Baik jangan teruskan niat YB, YB tak sayang nyawa?" kepada tiga Adun tersebut.

Dia didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dan jika sabit kesalahan, dia boleh didenda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum setahun.

Dr Ahmad Ramzi turut dituduh memfitnah Wan Ahamad Wan Muda, bekas Setiausaha Sulit Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said yang kini memegang jawatan Timbalan Setiausaha kerajaan negeri dengan menghantar SMS ugutan itu menggunakan nombor telefon bimbit 019-9158369 milik Wan Ahamad.

Tertuduh diwaklili peguambela Datuk Hazman Ahmad, Mohd Noor Mahmood dan Rosli Abdul Rahman manakala pendakwaan kes dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Shahidani Abd Aziz.



Program ‘honeymoon’ lepasan SPM buka jalan kerjaya

Oleh FAUZI MOHD

Lebih 90 peratus daripada kira-kira 3,000 pelajar Terengganu yang gagal dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun lalu berjaya menempatkan diri di institusi kemahiran setelah melalui kursus tiga bulan anjuran kerajaan negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, YB. Ahmad Razif Abd. Rahman berkata, kursus itu bagi memastikan tiada pelajar lepasan SPM di Terengganu yang tercicir daripada melanjutkan pengajian ke institusi pengajian atau kemahiran.

Katanya, program yang ditanggung sepenuhnya Kerajaan Terengganu itu melibatkan beberapa pusat kemahiran termasuk Kolej Universiti Tati, Akademi Binaan Malaysia, Kolej Tesdec, Pusat Latihan Industri Perkayuan Terengganu (TTITC) dan Institut Kemahiran Belia Negara.

“Dengan kerjasama Jabatan Pelajaran negeri, golongan itu dikesan menunjukkan sikap tidak minat kepada akademik dan hilang fokus pada pembelajaran di bilik darjah dengan mengambilkira keputusan percubaan SPM mereka.

“Kita mahu remaja berkenaan memiliki kemahiran bagi membuka jalan kerjaya mereka pada masa depan serta dapat membatu keluarga berkenaan keluar dari kepompong kemiskinan dan pengangguran,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Pelancaran Karnival Inovasi dan SkillsMalaysia Terengganu 2011 di Pusat Dagangan Terengganu (TTC), hari ini.

Turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Pembangunan Kemahiran, Nidzam Kamarulzaman dan Pengarah Urusan Pusat Sains dan Kreativiti Terengganu, Dr. Mohd. Zaki Mohd. Said.

Kata Ahmad Razif, selepas melalui kursus tiga bulan itu, kebanyakkan mereka memilih untuk meneruskan pengajian ke peringkat lebih tinggi seperti sijil kemahiran, sijil tinggi kemahiran dan diploma kerana mula memahami prospek kerjaya bidang kemahiran.

“Kita mahu mereka guna aliran kemahiran dan vokasional untuk memajukan diri kerana kerjayanya cukup luas malah pendapatan mereka lebih lumayan berbanding golongan profesional jika ada kesungguhan,” jelasnya.

Tahun ini katanya, seramai kira-kira 3,000 lagi pelajar lepasan SPM bakal menduduki kursus yang sama.

“Sebelum itu, mereka telah ditempatkan di beberapa pusat kemahiran selama tiga hari dua malam untuk menilai minat dan bakat masing-masing bagi memilih bidang yang bakal diceburi untuk kursus tiga bulan nanti.

“Kerajaan negeri membelanjakan peruntukan RM1 juta untuk program bersifat ‘honeymoon’ itu dan ia diuruskan melalui Yayasan Terengganu,” ujarnya.

Sementara itu, sebanyak 43 agensi dan syarikat terlibat dalam karnival tiga hari itu yang melibatkan aktiviti seperti symposium, slot perkongsian kerjaya pelajar sekolah, demo kemahiran, temuduga terbuka, pertunjukkan sains dan ceramah inovasi.


SMI perkenal anugerah khas MB

Oleh; Esah Abdullah

Ahmad Hazarul Afiq Mohd Zainun, 17, pelajar Tingakatan Lima Sekolah Menengah Imtiaz (SMI) Yayasan Terengganu, Dungun menerima Anugerah Khas Menteri Besar yang pertama kali diperkenalkan tahun ini.

Ahmad Hazarul Afiq turut terpilih menerima Anugerah Khas Ulul Albab adalah antara 257 pelajar dari sekolah-sekolah Imtiaz seluruh negeri yang diraikan di majlis Anugerah Graduasi 2011 di Wisma Darul Iman hari ini.

Beliau yang bercita-cita menjadi Doktor Pakar Otak itu mempunyai pencapaian akademik yang cemerlang sejak menduduki Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR)(5A), Penilaian Menengah Rendah (PMR) (9A) dan dalam peperiksaan percubaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) (3A+,%a,3A-).



Manakala pencapaian dalam kokurikulum mendapat tempat kedua dalam pertandingan khutbah peringkat negeri, pertandingan debat peringkat daerah (separuh akhir), pertandingan hafazan dan tafsir (ketiga).

Tuan Nur Aisyah Tuan Fuzai, 17, dari SMI Kuala Berang pula menerima Anugerah Khas Ulul Albab dan masing-masing enam orang menerima Anugerah Ibnu Sina (terbaik akademik), Anugerah Al Farabi (terbaik kokurikulum), Anugerah Imam As Syafei (terbaik personaliti) dan Anugerah Muhammad Al Fateh (terbaik kepimpinan).

Kesemua pelajar ini akan menduduki peperiksaan SPM bermula 14 November depan dan bakal meninggalkan sekolah dan berdepan dengan cabaran lebih besar untuk bergelar mahasiswa.



Setiausaha Kerajaan, Dato’ Haji Mazlan Ngah telah merasmi dan menyampaikan anugerah serta sijil tamat sekolah kepada pelajar berkenaan. Hadir sama Pengarah Yayasan Terengganu, Encik Zakaria Yusof.




Perkim Besut meraikan saudara baru sempena Aidiladha

Oleh: Mohammad Ishak


Anuar (tengah) melayani saudara baru sempena sambutan Aidiladha anjuran Perkim


Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) Daerah Besut menganjurkan sambutan Aidiadha bagi meraikan saudara baru sempena hari raya haji tahun ini.

Majlis yang berlangsung sehari di rumah Yang Dipertua Perkim, Ustaz Anuar Hassan, di Kampung Raja, Besut, bukan sahaja disertai ahli pertubuhan itu malah turut dihadiri orang ramai dan pemimpin masyarakat setempat.

Anuar berkata, pihaknya juga mengorbankan lima ekor lembu untuk dijadikan majlis jamuan kepada tetamu jemputan sempena majlis berkenaan.

Katanya, majlis sambutan yang diadakan oleh Perkim itu adalah program tahunan yang diadakan bertujuan memberi pendedahan kepada saudara baru yang memeluk agama Islam mengenai tujuan diadakan acara korban.

Menurutnya, dengan adanya program seumpama itu mereka yang baru memeluk Islam akan dapat mengetahui sambutan perayaan yang dilakukan oleh masyarakat Islam pada setiap tahun menjelang Aidiladha.

“Program ini dapat memberi pengajaran dan pendedahan kepada saudara baru dan jika mereka berkemampuan untuk melakukan ibadah korban,ia akan memudahkannya untuk berbuat demikian,” katanya.

Anuar berkata, Perkim Besut sntiasa mengambil berat dan mengutamakan ahli dengan menganjurkan pelbagai aktiviti supaya mereka tidak berasa terasing dengan masyarakat Islam lain negeri ini.

Beliau berkata, kejayaan Perkim daerah itu menganjurkan pelbagai aktiviti keagamaan dan social kepada saudara baru sentiasa mendapat bantuan dan kerjasama daripada smua wakil rakyat dari kawasan berkenaan yang menghulurkan bantuan kewangan dan barangan.



Terengganu perintis program GSP

Oleh FAUZI MOHD

Terengganu terus berada pada kelasnya tersendiri dalam dunia pendidikan apabila dipilih menjadi negeri pertama untuk menggunakan program The Geometer’s SketcPad (GSP) bermula tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, YB. Ahmad Razif Abd. Rahman berkata, GSP yang dibangunkan di Amerika Syarikat itu merupakan program membina kreativiti pelajar dengan menggunakan aplikasi komputer untuk pembelajaran matematik.

Menurutnya, Kementerian Pelajaran membelanjakan kira-kira RM3 juta untuk tujuan itu dan dimanafaatkan di semua sekolah menengah, institusi pengajian tinggi awam serta Institut Pendidikan Guru (IPG) di seluruh negara.

“Pemilihan Terengganu sebagai perintis program itu bertepatan dengan perkembangan negeri ini sebagai anjung ilmu dan menjadi rujukan dalam beberapa perkara berkaitan pendidikan,” katanya.

Kata Ahmad Razif selepas Majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan Menggunakan Bahan Pembelajaran Kendiri Matematik Menggunakan Aplikasi GSP Sekolah Menengah Negeri Terengganu 2011 di Hotel Tanjong Vista, Kuala Terengganu, petang semalam.

Turut hadir, Ketua Sektor Pengurusan Akademik, Jabatan Pelajaran negeri, Zuber Embong dan Pengurus Hal Ehwal Awam dan Perhubungan Kerajaan Subsidiari-subsidiari ExxonMobil, Farid Jaafar.

Pertandingan julung kali anjuran bersama Jabatan Pelajaran negeri dan Kementerian Pelajaran itu turut mendapat tajaan penganjuran sebanyak RM55,000 daripada ExxonMobil.

Sementara itu, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato’ Razali Ismail menjadi juara keseluruhan dalam pertandingan itu dengan membina program bertajuk ‘Transformation’ dan mengalahkan 46 sekolah menengah yang lain.

Selain menjadi juara keseluruhan, SMK Dato’ Razali Ismail turut mendapat tempat pertama dan kedua bagi daerah Kuala Terengganu Selatan dan Kuala Terengganu Utara dimenangi Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Batu Rakit.

Bagi Daerah Besut pertandingan itu menjadi milik SMK Permaisuri Nur Zahirah, SM Agama Setiu (Setiu), SMK Kuala Telemong (Hulu Terengganu), SMK Sri Payong (Marang), SMK Agama Kuala Abang (Dungun) dan SMK Bukit Mentok (Kemaman).

Akademi bola sepak Terengganu bakal lahirkan bintang

Oleh FAUZI MOHD

Sebuah akademi bola sepak akan diwujudkan di Terengganu bagi melahirkan lebih ramai pemain berkualiti sekali gus meningkatkan mutu sukan popular itu di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, YB. Rozi Mamat berkata, sebanyak RM1 juta diperuntukkan kerajaan negeri bagi tujuan itu.

“Nama sebenar akademi bola sepak ini akan diumumkan apabila majlis perasmiannya yang dibuat awal tahun depan," katanya kepada pemberita baru-baru ini

Akademi seumpama itu pernah diwujudkan di negeri ini dari 1995 hingga 2007 yang dinamakan Akademi Bola Sepak FAM Terengganu.

Ia telah berjaya melahirkan ramai pemain berkualiti seperti Shamsuri Mustapa, Haris Safwan Kamal, Zairo Anuar Zalani, Mohd Sharbinee Allawee, Muslim Ahmad dan Manaf Mamat.

Mengulas lanjut, Rozi berkata akademi itu bakal diletakkan di bawah Majlis Sukan Negeri Terengganu dan pada peringkat permulaan, seramai 25 hingga 30 pemain bawah 21 tahun akan ditempatkan di akademi berkenaan

Beliau berkata, perintis akademi itu akan dipilih menerusi pertandingan liga bawah 21 yang akan diadakan di setiap daerah di Terengganu.

09 November 2011

Kerajaan sedia pinjaman mudah kepada usahawan


Menteri Besar menyaksikan majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara YPU dan Bank Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia Berhad (SME Bank) di Wisma Darul Iman. - Gambar oleh Zulkipli Putra.

Oleh; Esah Abdullah


Kerajaan negeri melalui Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) telah menyusun pelbagai program dan projek keusahawanan termasuk Program Flagship Keusahawanan (PFK) melalui satu pembiayaan yang besar.

Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata, peruntukan RM1 juta setahun bermula 2009 yang disalurkan kepada YPU untuk diberi pinjaman mudah kepada usahawan terpilih bagi menjalankan perniagaan kedai T’Shoppe.

“Sehingga hari ini 19 T’Shoppe, enam T’Kafe dan sebuah butik T’Kraf telah berjaya menjalankan operasi di negeri,” katanya dalam sidang media selepas majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara YPU dan Bank Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia Berhad (SME Bank) di Wisma Darul Iman hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar bandar, Usahawan dan Koperasi Negeri, Dato’ Haji Mohamad Awang Tera; Setiausaha Kerajaan Dato’ Haji Mazlan Ngah; Setiausaha Bahagian Pengupayaan Ekonomi Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW), Encik Zazali Sallehudin dan Pengarah Urusan SME Bank, Datuk Mohd Radzif Mohd Yunus.

Sehubungan itu katanya, terdapat tujuh permohonan baru bagi T’Shoppe dan masing-masing dua T’Kafe dan T’Kraf baru saja mendapat kelulusan.

Katanya,kerajaan negeri mengucap setinggi penghargaan kepada KKLW yang memperuntukkan RM4.5 juta bagi membolehkan Skim Pembiayaan Ekonomi Desa (SPED) membiayai PFK keusahawanan di negeri ini berjalan lancar.

Menurutnya, pelan halatuju pembangunan negeri 2009-2013 memberi penekanan kepada sector yang boleh menjana pertumbuhan ekonomi di samping membasmi kemiskinan di negeri ini.

“Ia memberi tumpuan khusus kepada sector pendidikan dan peambangunan sumber manusia, pertanian dan industri asas tani, pelancongan, perdagangan, perkhidmatan dan ICT,” katanya.

Katanya, T’Shoppe, T’Kafe,T’Kraf dan T’Lodge termasuk dalam sektor perdagangan, perkhidmatan dan pelancongan.





MB akan saman blogers

Oleh; Esah Abdullah

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said membuat keputusan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap dua pengendali blog guanopulok.blogspot.com dan msomelayu.blogspot.com yang telah menfitnah beliau dalam tulisannya.

“Saya mengambil keputusan ini demi maruah keluarga dan anak-anak,” katanya dalam sidang media di majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Yayasan Pembangunan Keluarga (YPU) dan SME Bank di Wisma Darul Iman hari ini.

Katanya, sebagai orang politik saya sudah lali dengan pelbagai fitnah dan maki hamun, tetapi bagaimana penerimaan keluarga terutama sekali anak-anak yang sudah besar.

“Perkara ini saya ketahui sejak tiga bulan lalu tetapi mengambil sikap mendiamkan diri dan menganggapkan ia sebagai asam garam dalam politik,” katanya.

“Saya sedih dan dukacita bila mereka menfitnah saya secara membabi buta dan hari ini kesabaran saya sudah tercabar, bila anak gadis saya pulang bercuti baru-baru ini menanggis kerana malu diejek rakannya,” katanya.

Katanya, setelah diselidik salah satu blog iaitu guanopulok.blogspot.com menggunakan alamat di luar negara dan yang satu lagi beralamat di Kelantan.

Sehubungan itu satu laporan polis akan dibuat dalam sehari dua ini serta akan berunding dengan peguam untuk mengambil tindakan seterusnya.