Halaman

13 November 2011

Negara Brunei minat laksana program hafazan


Pemangku Pengarah Pusat Pengajian dan Penyebaran al-Quran KHEAB, Pengiran Haji Haslin Pengiran Haji Ali bersama Dato' Haji Mazlan Ngah (kanan) ketika mengadakan kunjung hormat ke pejabatnya di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu. - Gambar oleh Zulkipli Putra.

Oleh; Esah Abdullah

Kementerian Hal Ehwal Agama Negara Brunei Darussalam (KHEAB) berminat mendalami program hafazan yang dilaksanakan di Sekolah Menengah Imtiaz (SMI) Yayasan Terengganu (YT) dan Institut al-Quran Terengganu (IQT) di negeri ini.

Setiausaha Kerajaan, Dato’ Haji Mazlan Ngah berkata, kejayaan kerajaan negeri melaksanakan program berkenaan mendapat perhatian kerajaan Brunei dan telah menghantar wakil untuk melihat dari dekat pelaksanaan program itu.


“Mereka ingin melihat lebih dekat bagaimana kita melaksanakan program berkenaan serta mampu melahirkan ramai hafiz Quran di peringkat sekolah menengah,” katanya kepada Teganukita selepas menerima kunjung hormat rombongan KHEAB di pejabatnya hari ini.

“Secara kebetulan Pusat Pengajian dan Penyebaran al-Quran (PPPQ) negara berkenaan telah diasaskan oleh orang Terengganu iaitu Tan Sri Sheikh Ismail Muhammad yang kini menjadi Imam Besar Masjid Negara,” katanya.

Tambahnya, kerajaan Brunei juga turut mempraktikkan usaha kerajaan negeri menjemput Imam dari Mekah untuk mengimamkan solat terawih sepanjang bulan Ramadan lalu.

Rombongan terdiri lima orang pegawai dari Pusat Pengajian dan Penyebaran al-Quran KHEAB itu diketuai Pemangku Pengarahnya, Pengiran Haji Haslin Pengiran Haji Ali dalam rangka lawatan tiga hari ke Terengganu bermula semalam.

Turut serta, Penolong Kanan Pegawai Pelajaran Institut Tahfiz al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Haji Abd. Hafeiz Nuh Al-Hafiz; Pegawai Agama PPPQ, Dayang Hajah Noraidah Rabaha; Hajah Noor Khatijah Pengiran Zidi dan Haji Mohammad Khairil Faizal Awang Bakar.

Sepanjang berada di negeri ini mereka akan diberi taklimat mengenai peranan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), Yayasan Islam Terengganu (YIT), YT dan IQT.

“ Tasik Kenyir, Noor Arfa Batik dan Pasar Payang juga turut dikunjungi bagi melihat perkembangan industri kraf dan pembangunan pelancongan yang ada di sini,” katanya.






Keuntungan berganda bagi orang yang bersyukur

Oleh; Esah Abdullah

Rakyat perlu bersyukur kerana kerajaan telah berikan segala keperluan dan bantuan untuk memastikan golongan miskin dapat menjalani kehidupan yang selesa.

“Mereka yang sentiasa bersyukur di atas nikmat yang diterima hari ini pasti mendapat keuntungan yang berganda kemudian hari kelak,” kata Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said.

Beliau berkata demikian di majlis penyampaian bantuan kepada penerima bantuan Jabatan Kemajuan Masyarakat (JKM) di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Tunggal di Masjid Bukit Tumboh semalam.

“Saya harap orang Bukit Tunggal ni pakat sokong kerajaan dan kembalikan kepada parti UMNO untuk melaksanakan segala program kemasyarakatan,” katanya.

Seramai 740 orang penerima bantuan JKM dalam DUN Bukit Tunggal hadir untuk menyambut kedatangan Menteri Besar dan rombongan dalam rangka lawatan sehari ke DUN berkenaan.

Sehubungan itu, Dato’ Seri Haji Ahmad berkata, Barisan Nasional (BN) sudah kenal pasti calon yang mempunyai kekuatan untuk merampas DUN Bukit Tunggal dari parti pembangkang.

Katanya, di Parlimen Kuala Nerus, BN menang tiga kerusi DUN iaitu Tepoh, Teluk Pasu dan Seberang Takir serta tewas di DUN Bukit Tunggal dengan majoriti 336 undi.

“InsyaAllah dalam pilihanraya akan datang kita yakin dapat rampas kembali kerusi berkenaan berdasarkan sokongan rakyat kepada BN semakin terserlah,” katanya.




Aktiviti berbasikal atasi masalah sosial

Oleh: Suriati Ali

Kerajaan negeri yakin aktiviti berbasikal yang di sertai ribuan remaja di negeri ini menjadi formula paling berkesan bagi menangani gejala lumba haram dan mat rempit di Terengganu.



Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, Rozi Mamat berkata, pada masa yang sama, kegiatan itu dapat membantu melahirkan generasi sihat selain mengalih perhatian mereka daripada terbabit dalam aktiviti tidak berfaedah.

Beliau seterusnya menyokong minat serta kecenderungan golongan remaja di negeri ini yang melibatkan diri dalam aktiviti berbasikal walaupun sanggup mengeluarkan belanja besar.

"Ada peserta sanggup menghabiskan ribuan ringgit semata-mata untuk membeli sebuah basikal, ini satu pendekatan bijak untuk mengisi masa lapang dengan aktiviti lebih berfaedah," katanya ketika berucap di Karnival Rapat 1Malaysia, di Batu Buruk, Kuala Terengganu, baru-baru ini.



Karnival anjuran Jabatan Hal Ehwal Khas Negeri (Jasa) Terengganu dan Kelab Belia Generasi Prihatin itu disertai kira-kira 600 peserta melibatkan kayuhan sejauh 20 kilometer dengan mengelilingi bandar raya itu.

Aktiviti lain termasuk, pertandingan yamaha motoshow, motosikal klasik, vespa tercantik, wau bulan, mewarna, dam aji, sukan rakyat, makan keropok; persembahan okestra Cina, tarian 1Malaysia, dikir barat, basikal fixie dan tarian tradisional.

Menurut Rozi, aktiviti kayuhan basikal secara beramai-ramai adalah cara terbaik bagi mengurangkan kegiatan perlumbaan haram yang sering dikaitkan dengan golongan remaja di negeri ini pada setiap hujung minggu.


54 atlet Terengganu wakili negara ke Sukan SEA, 4 ke Olimpik 2012

Oleh FAUZI MOHD

Memang kena pada namanya sebagai kuasa baru sukan tanah air, atlet dari Terengganu merupakan jumlah paling ramai mewakili negara ke Sukan SEA di Indonesia.

Menteri Besar Dato’ Seri Ahmad Said berkata, seramai 54 orang atlet atau 11.03 peratus daripada keseluruhan atlet negara ke sukan dwi tahunan itu adalah dari Terengganu.

"Kita negeri yang paling besar penyumbang kepada atlet negara untuk bersaing di peringkat sukan SEA yang berlangsung di Jakarta dan Palembang," katanya baru-baru ini.

Beliau berkata atlet Terengganu mewakili acara bola lisut, kenu, silat, basikal, sepak takraw, judo, olahraga, bola sepak, memanah dan lawang pedang.

Berbangga dengan kejayaan itu, kerajaan negeri memberi sumbangan sebanyak RM1,000 kepada setiap atlet dari Terengganu ke sukan itu.

Dato’ Seri Ahmad berkata, empat atlet Terengganu iaitu dua dari cara lumba basikal dan dua atlet memanah turut layak mewakili negara ke Olimpik tahun depan.

Katanya,atlet terbabit ialah Azizol Hasni Awang dan Fatihah Mustapa dari acara berbasikal dan Khairul Anwar Mohamad serta Nurul Syafiqa Hashim dari acara memanah.

“Seorang lagi pelumba basikal Mohamad Adiq Husainie Othman pula termasuk dalam program Road to London,” katanya.

Beliau berkata kerajaan negeri akan memberi sumbangan kepada atlet berkenaan sebelum mereka bertolak ke London nanti.

32 lagi gelanggan futsal dibina tahun depan

Oleh FAUZI MOHD

Sebanyak 32 lagi gelanggang futsal bernilai RM150,000 setiap satu bakal dibina di semua 32 Dewan Undangan Negeri (DUN) di Terengganu awal tahun depan.



Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said berkata, dengan peruntukan keseluruhan hampir RM5 juta, pembinaan gelanggang itu bagi meningkatkan pembangunan sukan dengan menyediakan lebih banyak prasarana di bidang tersebut.

Sebelum ini katanya, kerajaan negeri memperkenalkan program ‘Satu DUN Satu Gelanggang Futsal’ dengan menyediakan peruntukan RM350,000 bagi setiap DUN untuk tujuan itu.

“Memandangkan sambutannya cukup baik dikalangan orang muda khususnya golongan wanita, kerajaan tiada pilihan lain melainkan menambah kemudahan percuma itu bagi menjadikan satu DUN dua gelanggan futsal.

“Walaupun kosnya lebih rendah, ia lebih selesa kerana ruangnya yang terbuka dan masih boleh digunakan pada waktu malam dengan kemudahan lampu yang mengcukupi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis perasmian gelanggan futsal DUN Bukit Tunggal yang bernilai RM350,000 dan Balairaya Kampung Bukit Tunggal bernilai RM150,000 di kampung berkenaan, Kuala Terengganu, petang semalam.

Turut hadir, isteri Menteri Besar, To’ Puan Seri Norliza Mahmud; Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Ahmad Razif Abd. Rahman; Pegawai Daerah Kuala Terengganu, Wan Nawawi Wan Ismail dan Pegawai Pembangunan DUN Bukit Tunggal, Ismail Nik.

Pada tahun 2007, kerajaan negeri melaksanakan dasar “Satu Parlimen Satu Futsal” di mana RM1.2 juta sudah dibelan jakan bagi tujuan berkenaan.

“Sejajar dengan matlamat kerajaan menggalakkan gaya hidup sihat dan semangat kesukanan yang tinggi, kerajaan negeri akan meningkatkan pembangunan sukan dengan menyediakan peruntukan khusus untuk golongan belia.



“Untuk bajet tahun depan yang dibentangkan awal Disember ini, kerajaan negeri akan mengumumkan satu peruntukan besar untuk golongan belia ,” kata Dato Seri Ahmad yang dalam Program Turun Padang sehari di DUN Bukit Tunggal.



Sejurus selepas itu, beliau solat Asar bersama jemaah Masjid Kampung Pengkalang Arang sebelum mengunjungi beberapa rumah keluarga miskin di Kampung Batu Enam dan Tuan Mandak.



Kemudian, Menteri Besar bersama rombongan terbabit menyaksikan perlawanan tarik tali serta menyampaikan hadiah kepada pemenang dalam program Sukan Rakyat di Sekolah Kebangsaan Bukit Tunggal.

Tuan rumah kejohanan Sepak Takraw Super Series Istaf bukan milik Terengganu

Oleh FAUZI MOHD

Harat Terengganu untuk menjadi tuan rumah kejohanan Sepak Takraw Super Series Istaf yang dijadual berlangsung Disember ini berkecai apabila Malaysia tidak dipilih sebagai tuan rumah kejohanan itu tahun ini.

Pengerusi Persatuan Sepak Takraw Negeri Terengganu (PSTNT), Mohd Shapian Ali berkata, persatuan itu akur dengan keputusan yang dimaklumkan Presiden Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM), Datuk Ahmad Ismail itu kepadanya.

“Saya telah terima emel daripada PSM (Ahmad) dua tiga hari lepas memaklumkan berhubung perkara itu.

“Kita tidak dimaklumkan di mana pula kejohanan itu akan diadakan,” katanya di sini baru-baru ini.

Mohd Shapian yang juga Naib Presiden PSM berkata, kerajaan negeri telah memberi lampu hijau kepada PSTNT untuk menganjurkan kejohanan tersebut dan sesuatu yang menyedihkan apabila kejohanan itu tidak diadakan di Terengganu.

Mohd Shapian berkata, kejohanan super series yang dijadual Disember ini merupakan yang kedua daripada lima siri, dengan yang pertama diadakan di Bangkok, Thailand awal September lepas.

MAS penerbangan rasmi Piala Monsun 2011

Oleh FAUZI MOHD

Malaysia Airlines (MAS) semalam diumumkan sebagai syarikat penerbangan rasmi untuk Piala Monsun, yang merupakan acara kemuncak dalam Siri Jelajah Match Racing Dunia (WMRT) yang berlangsung di Ri-Yaz Heritage Marina Resort & Spa, Kuala Terengganu, minggu depan.

Naib Presiden Kanan Jabatan Jualan Malaysia MAS, Azman Ahmad berkata, ia adalah satu penghormatan buat mereka kerana terlibat dalam Piala Monsun, yang merupakan perlumbaan regata antarabangsa yang telah menarik penyertaan ramai pelayar handalan dunia.

"Saya pasti acara tahun ini akan lebih menarik berbanding tahun lepas dan kita boleh menjangkakan satu lagi perlumbaan mendebarkan dari awal hingga penamat. Kami gembira menjadi sebahagian daripada kerjasama dan perkongsian strategik ini dengan T-Best Events, penganjur Piala Monsun.

" Matlamat kami adalah untuk memanfaatkan inisiatif ini dan memastikan peningkatan jenama kami dalam pasaran perjalanan udara korporat," kata Azman dalam satu kenyataan di sini semalam.

Azman turut menambah, ini juga merupakan sebahagian daripada sumbangan MAS ke arah Program Transformasi Ekonomi Malaysia dan titik permulaan kepada sektor pelancongan, yang mensasarkan acara sukan antarabangsa untuk menarik pelancong.

"Penglibatan kami dalam sukan bereputasi tinggi seperti ini pasti dapat membantu mempromosikan Terengganu sebagai destinasi antarabangsa untuk sukan, perniagaan dan pelancongan, " katanya lagi.

Dalam perkongsian strategik ini sebagai pengangkutan rasmi, MAS menyediakan pengangkutan udara premium untuk pelayar, ahli jawatankuasa teknikal pertandingan, pengadil antarabangsa, dan ahli-ahli media yang terbang masuk dan keluar untuk kejohanan eksklusif ini.

MAS dan anak-anak syarikatnya merupakan penyokong konsisten dalam aktiviti-aktiviti pelancongan sukan di Malaysia dengan menjadi syarikat penerbangan rasmi untuk acara-acara seperti kejohanan Golf Terbuka Malaysia, Kejohanan Golf Antara Pasukan Amatur Dunia, Le Tour de Langkawi dan Asia Pasifik Klasik CIMB baru-baru ini.

Tahun lepas, Firefly, anak syarikat MAS adalah syarikat penerbangan rasmi untuk Piala Monsun.

'Amy Semerah Padi', 'Johan Super Aid Malaysia' dan 'Idie Selendang Kuning' bakal hangatkan Karnival Monsun

Oleh FAUZI MOHD

Buat pertama kalinya, sukan tradisional masyarakat Thailand, Muay Thai menjadi antara menarik sempena Karnival Monsun di Ri-Yaz Heritage Marina Resort & Spa pada 22 hingga 27 November ini.

Setiausaha Persatuan Tomoi Daerah Besut, Mustafa Mazri berkata, persatuan itu amat teruja Muay Thai akan dibawa ke Piala Monsun tahun ini kerana sukan tersebut amat mencabar dan memerlukan kekuatan fizikal dan mental untuk mencapai kemenangan.

Menurutnya, antara nama-nama besar yang mengambil bahagian dalam pertandingan Muay Thai Gred 3 itu 'Amy Semerah padi', 'Johan Super Aid Malaysia' dan 'Idie Selendang Kuning' yang cukup dikenali di Terengganu, mahupun antarabangsa.

Memberi cabaran sengit katanya, Mohd. Ali Yaakob, 23, yang bermula dengan persatuan itu kini telah meningkat ke tahap antarabangsa, menjadi antara 10 terbaik dunia dalam kategori 45 kilogram setelah memenangi pertandingan sukan itu diThailand dan Iran

“Mohd. Ali dijangka memberi saingan sengit kepada peninju nombor satu Thailand, Wan Chai,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Persatuan itu ditubuhkan pada bulan Ogos 2010 di bawah naungan Kementerian Belia dan Sukan dan pesat berkembang dengan keahlian seramai 150 orang yang berusia 30 tahun ke bawah yang mendapat didikan 15 jurulatih sepenuh masa.

Apabila ditanya mengenai persiapan untuk pertandingan di Karnival Monsun, Mazri berkata, persatuan itu telah membawa dua jurulatih pakar dari Kelantan bagi melatih peninju kumpulan itu.

“Latihan intensif selama dua minggu sudah pasti akan maningkatkan mutu dan prestasi peninju. Orang ramai sudah pasti akan terhibur.,” ujarnya.

Antara aktiviti-aktiviti lain yang akan berlangsung dalam tempoh itu termasuk pertandingan mewarna untuk kanak-kanak, sukaneka, pertandingan kuiz, permainan tradisional dan pertandingan karaoke ‘Monsun Idol 2011’.

Aktiviti baru yang turut diperkenalkan tahun ini ialah aktiviti belayar, termasuk demonstrasi belayar dan berkayak dan orang ramai dipelawa mencuba aktiviti berkenaan dengan penyeliaan kakitangan profesional.

12 November 2011

MB minta PBSNT cari pemain Import

Oleh: Suriati Ali

Kerajaan negeri mengarahkan Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) mencari pemain import yang berkaliber bagi memantapkan lagi barisan pemain pasukan Terengganu.

Menteri Besar, Dato Seri Haji Ahmad Said berkata, pihaknya tidak mahu menggunakan khidmat atau mewakilkan mana-mana ejen untuk tujuan itu sebaliknya mahu PBSNT mencarinya sendiri.



“Kita tidak mengira dari negara mana, asalkan pemain import itu boleh memberi sumbangan setimpal untuk pasukan Terengganu, berdisplin dan tidak menimbulkan sebarang masalah yang tidak diingini.



“Jika sesuai dan menampilkan persembahan terbaik, kita sanggup membayarnya walaupun dalam jumlah yang agak mahal,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Rapat 1Malaysia, di Taman Awam Batu Buruk, Kuala Terengganu, semalam (11 November).



Hadir sama, Ketua Pengarah Jasa Malaysia, Dato’ Fuad Tan Sri Hassan, Pegawai Pembangunan Parlimen, Dato’ Wan Farid Wan Ahmad, Pengerusi Kelab Belia Prihatin Kuala Terengganu, Encik Badrol Hisham Zaki dan beberapa pemimpin setempat.

Lebih 15 aktiviti dianjurkan kerajaan negeri dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) Terengganu bertujuan mengukuhkan hubungan rakyat bersama pemimpin setempat dan mengalakkan penduduk mengamalkan kehidupan secara sihat.



Antara aktiviti itu termasuk pertandingan yamaha motoshow, motosikal klasik, vespa tercantik, wau bulan, mewarna, dam aji, sukan rakyat, makan keropok; persembahan okestra Cina, tarian 1Malaysia, dikir barat, basikal fixie dan tarian tradisional.

Dato’ Seri Haji Ahmad turut memberitahu Terengganu merupakan negeri paling ramai menghantar senarai atlet iaitu seramai 64 orang bagi menjayakan Kejohanan Sukan Sea di Palembang dan Jakarta, Indonesia yang berlangsung selama dua hari iaitu pada 11 dan 12 November.

“Kesemua atlet yang terpilih menyertai kejohanan sukan Sea itu adalah mereka yang lahir daripada sukan Sukma dan sebahagian besar mereka masih boleh bertanding di Sukma 2012 dan 2013,” katanya.






Pemilih kawasan Parlimen Besut kini menigkat 64,000 orang

Oleh: Mohammad Ishak


Abdullah (tengah) mengayuh basikal bersama penduduk kampung Gong Gucil,Jertih.


Seramai 64,000 pengundi baru layak menjadi pengundi di kawasan Parlimen Besut pada Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU13) jika ia diadakan dalam tempoh terdekat.

Ahli Parlimen Besut, Datuk Seri Dr Abdullah Md Zin berkata, jumlah itu meningkat 6,000 pemilih selepas Pilihan Raya Umum Ke 12 yang lalu.

Katanya, pemilih baru tidak membimbangkan usaha Barisan Nasional (BN) untuk mengekalkan lima kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen kerana yakin mereka akan terus member sokongan kepada calon daripada BN.

Menurutnya, BN tidak menghadapi masalah menghadapi saingan terutama PAS di Parlimen Besut kerana sebahagian besar penduduk daerah itu mahu BN terus kekal memerintah negeri ini.

Beliau yang juga Penasihat Agama Perdana Menteri berkata, apa yang penting dilakukan pemimpin BN negeri ini yang ada sekarang ialah meningkatkan lagi perpaduan bagi mengukuhkan kedudukan parti.

“Pengundi Melayu kini terus memberi sokongan kepada kerajaan yang ada dan sokongan mereka kini meningkat kepada 70 peratus berbanding pada pilihan raya lalu,” katanya selepas merasmikan Program Khabar Malaysia peringkat Parlimen Besut di Kampung Gong Gucil,Jertih,hari ini.

Pada majlis itu Abdullah yang juga Bendahari Umno Besut. turut menyertai kayuhan basikal tuan sejauh lima kilometer mengelilingi kampong itu bersama ahli Jawatankuasa Umno dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK).

Abdullah menghabiskan masa sehari suntuk menghadiri empat program menemui penduduk sekitar daerah Besut sebagai usaha mendekati rakyat dan mengagihkan pelbagai bantuan kepada rakyat.