Halaman

11 December 2011

Permohonan ke SMA meningkat 200 peratus

Oleh; Esah Abdullah


Antara 120 orang pelajar yang menyertai program Kem Imam Muda di Pusat Latihan Kecemerlangan Pendidikan, Wakaf Tengah, Kuala Terengganu.

Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) menerima lebih 6,000 permohonan pelajar yang tamat Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) untuk belajar di Sekolah Menengah Agama (SMA) di bawah kelolaan kerajaan negeri tahun depan.

Penolong Pesuruhjaya Hal Ehwal Murid JHEAT, Encik Razak Jusoh berkata, permohonan yang diterima itu melebihi 200 peratus berbanding kekosongan tempat pelajar tingkatan satu di sekolah berkenaan hanya 1,525 tempat sahaja.

Katanya, seramai 125 pelajar akan ditempatkan di sekolah berasarama penuh SMA Atas Sultan Zainal Abidin, Batu Buruk, manakala selebihnya (1,400 pelajar) ditempatkan di sembilan SMA di seluruh negeri.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan majlis Penutupan dan Penyampaian Sijil Kem Imam Muda SMA Terengganu di Pusat Latihan Kecemerlangan Pendidikan, Wakaf Tengah, semalam.

Seramai 120 pelajar yang selesai menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) daripada sepuluh SMA tersebut menyertai Kem Imam Muda yang diadakan selama enam hari itu.

Katanya, pelajar yang memperolehi keputusan 5A dalam UPSR layak untuk memohon ke SMA berasrama penuh dan untuk memasuki SMA biasa sekurang-kurangnya 1A berdasarkan kelayakan yang ditetapkan selain anak kelahiran Terengganu.

Selain itu katanya, JHEAT akan mengadakan ujian saringan pada 11 dan 15 Disember ini untuk memilih calon yang benar-benar layak sebelum memulakan sesi persekolahan awal tahun depan.

Katanya setakat ini JHEAT hanya mempunyai 57 kelas daripada sepuluh SMA dan setiap kelas hanya dapat menampung antara 35 hingga 40 orang.

Sehubungan itu, pihaknya sedang berusaha untuk menambah bilangan kelas pada masa akan datang namun ia bergantung kepada persekitaran dan keluasan kawasan sekolah.

Katanya, 10 sekolah agama itu ialah SMA Sultan Zainal Abidin, Ladang, SMA Sultan Ismail Dungun, SMA Al Falah Kemaman, SMA Maarif Besut, SMA Ittifakiah Jertih, SMA Setiu, SMA Marang, SMA Khairiah Kuala Terengganu, SMA Mahmudiah Kuala Berang dan SMA (Atas) Sultan Zainal Abidin Batu Buruk.




Kerajaan tidak lari dari tanggung jawab

Oleh; Esah Abdullah

Kerajaan tidak pernah melarikan diri dari menunaikan tanggung jawab untuk memberi kebajikan kepada rakyat di samping menjadikan negeri ini sebuah negeri anjung ilmu biarpun dikritik dan dilemparkan pelbagai tuduhan pihak pembangkang.

Semua itu tidak menjejaskan usaha kerajaan melaksanakan pembangunan untuk kesejahteraan rakyat keseluruhannya,” kata Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said di Sidang Dewan Undangan Negeri.

Katanya, suara rakyat tidak pernah diketepikan dan semakin banyak keperluan dan kemudahan disediakan bertujuan memberi keselesaan dan kesejahteraan masyarakat menjalani kehidupan harian.

Menurutnya, setakat ini kerajaan telah membelanjakan RM659 juta membina 6,000 rumah mampu milik untuk rakyat berpendapatan rendah dan sederhana dan sasaran bina 10,000 unit dalam tempoh lima tahun berjaya dilaksanakan.

Sehubungan itu kerajaan membelanjakan RM46,876,000 bantuan Dana Raya (Aidilfitri) membabitkan 164,243 orang, RM5,400 (Deepavali) 109 orang serta RM2,063,200 (Tahun Baru China) 9,023 orang.

Manakala Bakti Dana Remaja membabitkan 95,476 orang berjumlah RM23,512,003 serta bantuan pakaian sekolah (RM100) membabitkan 10,506 pelajar dan jumlah peruntukan RM10,605,600.

“Peruntukan keseluruhan bagi dana berkenaan berjumlah RM83, 768,400 (2010) dan RM86,108,104 (2011) khusus untuk kebajikan rakyat dengan menyalurkan terus kepada golongan sasar.





Berkhatan secara berkelompok mampu kurangkan kos

Oleh: Suriati Ali


Pendekatan Badan Bukan Kerajaan atau persatuan tertentu menganjurkan program berkhatan secara berkelompok dengan mengenakan bayaran dalam jumlah yang kecil nyata dapat mengurangkan bebanan ibu bapa.



Kos perkhidmatan yang dikenakan pegawai perubatan atau pembantu pegawai perubatan bagi tujuan itu kini mencecah hampir RM150 bagi setiap kanak-kanak dianggap tinggi terutama bagi mereka yang kurang berkemampuan.

Guru Besar SK Bukit Chempaka, Encik Saikh Kamaruden Saikh Ismail, berkata pihaknya mengambil pendekatan melaksanakan program berkhatan beramai-ramai kerana ingin membantu mengurangkan kos perkhidmatan yang terpaksa di bayar oleh ibu bapa

“Dengan adanya program ini, mereka hanya perlu membayar RM30 bagi setiap anak manakala selebihnya akan ditanggung oleh pihak PIBG beserta sumbangan daripada orang perseorangan termasuk wakil rakyat,” katanya ketika berucap di program Berkhatan Beramai-ramai di SK Bukit Chempaka, semalam (10 Dis).

Seramai 60 orang murid Tahun Tiga hingga Enam menyertai program yang julung kalinya diadakan di sekolah itu sempena cuti panjang persekolahan pada hujung tahun.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, YB Haji Khazan Che Mat dan Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa Guru (PIBG) sekolah itu, Wan Khairul Ariffin Wan Ibrahim.

YB Haji Khazan berkata, berkhatan dapat membezakan di antara penganut agama Islam dengan penganut agama lain dan fungsinya dari sudut kesihatan.

"Berkhatan ini bukan Allah saja-saja cipta untuk menyusahkan manusia tetapi ada hikmah di sebalik suruhan itu.

"Buktinya, kalau kita tengok hari ini, sudah ramai orang bukan Islam sendiri yang berkhatan kerana mereka tahu ia baik untuk kesihatan dan dapat mencegah sebarang jangkitan kuman pada alat kelamin," katanya.

YB Haji Khazan berharap agar budaya berkhatan secara beramai-ramai ini akan diteruskan pada masa depan bagi memberi semangat kepada kanak-kanak dalam melalui gerbang kedewasaan.


Sistem TeG memuaskan

Oleh: Suriati Ali

Kerajaan negeri berpuas hati dengan keberkesanan penggunaan sistem Terengganu
Electronic Government (TeG) di lima pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini yang membabitkan kos RM2.6 juta.

Kesemua lima PBT itu ialah Majlis Daerah Hulu Terengganu (MDHT), Majlis Daerah Besut (MDB), Majlis Daerah Marang (MDM), Majlis Daerah Setiu (MDS) dan Majlis Daerah Dungun (MDD).

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Ahmad Razif Abdul Rahman berkata, MDHT kini mengguna pakai 73 peratus sistem seumpama itu diikuti MDB (51 peratus), MDM (70 peratus), MDS (60 peratus) dan MDD (56 peratus).

Beliau bagaimanapun memberitahu, hanya dua PBT iaitu Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) dan Majlis Perbandaran Kemaman (MPK) tidak menggunakan sistem tersebut.

"Kesemua PBT di negeri ini kecuali MBKT dan MPK mengguna pakai sistem TeG ini untuk kemudahan pelanggan berurusan," katanya ketika menjawab soalan Dr. Syed Azman Syed Ahmad Nawawi (Pas-Batu Buruk) pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu baru-baru ini.

Ahmad Razif menjelaskan, antara kemudahan menerusi sistem elektronik itu yang diguna pakai di lima PBT ialah e-aduan, e-payment, e-zakat dan e-pms.


Agihan e-Book wajar diperluaskan

Oleh: Suriati Ali

Pemberian e-Book yang kini diagihkan secara percuma kepada murid sekolah rendah sewajarnya diperluaskan kepada penuntut di Institut Pengajian Tinggi (IPT) Awam dan Swasta.

Wakil Kerajaan (BN-Ajil) YB Dato’ Rosol Wahid, berkata usaha mengembangkan pemberian e-Book kepada golongan siswazah terutama mereka yang datang daripada keluarga berpendapatan rendah wajar memandangkan golongan itu amat memerlukan untuk pembelajaran sepanjang berada di universiti.

“Jika dikira jumlah pelajar yang berada di IPT awam dan swasta lebih kecil berbanding jumlah pelajar Tahun Empat, Tahun Lima dan Tahun Enam yang menerima e-Book,” katanya.

YB Dato’ Rosol turut menyarankan supaya kerajaan negeri dapat menggantikan kemudahan perpustakaan bas bergerak yang sedia ada kepada kemudahan yang lebih canggih dan moden.

“Perkhidmatan itu termasuk untuk kegunaan kawasan jauh iaitu di perkampungan Orang Asli kini didapati semakin uzur dan sering rosak.

“Jika ditukar ia bukan saja boleh menarik lebih ramai penduduk mengunjungi perpustakaan bergerak itu malah mampu menaikkan imej kerajaan negeri yang sememangnya mengutamakan ilmu dan pelajaran dalam semua aspek,” katanya.

Katanya, dia turut mencadangkan supaya kerajaan negeri menambah dana pendidikan menerusi Yayasan Terengganu kepada mereka yang dapat melanjutkan pelajaran di peringkat Sarjana dan Doktor Falsafah.

“Dana yang ada sekarang cukup terhad kerana mengutamakan pelajar yang ingin mendapatkan sijil, diploma dan ijazah di pelbagai IPT Awam dan Swasta.

“Tambahan dana ini amat diperluan kerana mampu mendorong lebih ramai rakyat melanjutkan pelajaran di peringkat lebih tinggi,” katanya.


10 December 2011

KOMIHT bantu kerajaan hadapi PRU13

Sebuah Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO), Persatuan Belia Komuniti Intelektual Hulu Terengganu (KOMIHT) memberi kesanggupan untuk membantu jentera kerajaan menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Presiden KOMIHT, Tengku Haphiz Tengku Putera, berkata keputusan itu bagi membuktikan bahawa NGO turut memberi sumbangan kepada kerajaan bagi menghadapi pilihan raya, bukan setakat menganjurkan kerja-kerja amal dan sukarela seperti yang berlaku sebelum ini.

“Kita berpendapat NGO juga perlu menyumbang sesuatu kepada kerajaan, bukan sekadar menerima bantuan daripada kerajaan semata-mata,” katanya.

Beliau berkata, pada Pilihanraya Umum Ke-13 (PRU-134) nanti, pihaknya akan menggunakan kemahiran yang ada pada ahli-ahlinya untuk sama-sama melakukan gerak kerja bagi membantu kempen pilihan raya jentera kerajaan.

“Ini merupakan tanda terima kasih kami kepada kerajaan yang selama ini banyak memberi bantuan dan tidak mengabaikan kepentingan generasi muda dan belia di negeri ini,” ujarnya.

Maidam taja pelajar cemerlang jadi ulama muda

Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) akan menaja lebih ramai pelajar tempatan dari peringkat Sarjana Muda hingga Doktor Falsafah (PhD) bagi melahirkan lebih ramai ulama dan cendikiawan agama di negeri ini.

Yang Dipertua Maidam, Dato’ Senara Muda Haji Mazlan Hashim, berkata melalui program tersebut yang mula diperkenalkan pada 2009, lima pelajar dihantar ke luar negara manakala pada tahun kedua 10 pelajar.

Beliau berkata, pada tahun ini pula, pihaknya menaja 15 pelajar bagi tujuan yang sama.

“Program tajaan ini akan diteruskan kerana ia merupakan satu transformasi yang dijalankan dalam usaha memartabatkan institusi ulama atau cendikiawan Islam di negeri ini,” katanya.

Bagi program Ijazah Pertama pelajar yang ditaja di bawah skim berkenaan akan menuntut di Universiti Jordan manakala bagi peringkat ijazah sarjana mereka akan melanjutkan pelajaran dalam negara sama ada di Universiti Malaya atau Universiti Islam Antarabangsa.

Manakala di peringkat PhD para pelajar akan melanjutkan pelajaran di United Kingdom atau Amerika Syarikat.

“Pelajar berkenaan dihantar ke universiti di lokasi yang berbeza bagi mendedahkan mereka dengan ilmu yang luas dan pengalaman berbeza, tanpa sempadan,” ujar beliau.

Sehubungan itu, Dato’ Senara Haji Mazlan meminta pelajar tempatan, khususnya di kalangan anak-anak yatim yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun depan merebut peluang itu untuk belajar di luar neara dan menjadi ulama muda melalui skim tajaan Maidam.



Debat UniSZA lahir pemimpin berwibawa

Oleh; Esah Abdullah

Muhammad Adib Aiman, Fatin Amirah Che Hashim dn Lateefah Kasamu diumumkan sebagai pendebat terbaik kategori bahasa Melayu (BM), bahasa Inggeris (BI) dan bahasa Arab (BA) dalam Pertandingan Debat Piala Naib Canselor Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) yang diadakan di universiti itu baru-baru ini.

Sehubungan itu, Fakulti Undang-undang dan Hubungan Antarabangsa (FUHA) muncul juara kategori BM, Fakulti Bahasa dan Komunikasi (FBK – 1) juara kategori BI dan Fakulti Kotemporari Islam (FKI) (Syariah A) juara kategori BA.

Naib johan (kategori BM) dimenangi FKI (kategori BI) FUHA dan (kategori BA) dimenangi FKI (dakwah A).

Sebanyak tiga kategori pertandingan debat diadakan iaitu Bahasa Melayu , Inggeris dan Bahasa Arab yang pertama kali diperkenalkan.

Juara pasukan menerima Piala Pusingan, wang tunai RM300, sijil penyertaan dan cenderamata daripada UniSZA.

Naib Johan masing-masing menerima wang tunai RM200, sijil dan cenderamata, manakala pendebat terbaik menerima piala, sijil dan cenderamata.

Kira-kira 30 pasukan yang mewakili pelbagai fakuliti menyertai pertandingan debat kali ke empat anjuran Majlis Perwakilan Pelajar dan Persatuan Debat UniSZA.

Terdahulu, Naib Canselor UniSZA, Prof Dato’ Dr. Alias Daud melahirkan rasa bangga dengan keberanian penganjur mempelbagaikan kategori debat yang diharapkan mampu mempertingkatkan kemampuan pelajar dalam menguasai tiga bahasa.

Katanya, walaupun UniSZA sebagai sebuah institut pengajian tinggi awam (IPTA) yang baru, namun ianya tidak ketandusan bakat terutama dalam pertandingan debat mampu sebaris dengan pendebat IPTA lain.

``Saya juga berharap pertandingan ini akan menjadi satu platform terbaik dalam melahirkan mahasiswa yang mampu berkomunikasi di khalayak sejajar dengan pasaran kerja masa kini,’’ ujarnya.

Beliau juga mahu mahasiswa menjadikan budaya berfikir sebagai amalan kehidupan pelajar dan tidak terikut-ikut dengan budaya malas berfikir.






LPT Fasa II beri keselesaan kepada pengguna



Langkah kerajaan membenarkan sebahagian daripada Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) Fasa II digunakan sejak beberapa bulan lalu, memberi banyak keselesaan kepada para pengguna jalan raya, khususnya mereka yang ingin ke Kuantan dan Kuala Lumpur.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Infrastruktur dan Kemudahan Awam negeri, YB Datuk Za’abar Mohd Adib, berkata setakat ini pengguna dibenarkan melalui Persimpangan Bukit Besi – Ajil sejauh 42.4 kilometer dan Bukit Payong - Gemuroh (16.3 kilometer).

Beliau berkata, apabila semua pakej pembinaan dari Persimpangan Gemuroh ke Bukit Besi sejauh 64 kilometer siap sepenuhnya pertengahan tahun depan, LPT Fasa II akan memberi lebih banyak keselesaan kepada pengguna, apabila laluan tersebut dibuka sepenuhnya pada waktu tersebut.

Menurutnya, keseluruhan projek LPT Fasa II yang kini membabitkan kos RM2.36 billion dijangka siap pada tahun 2014.

Pembinaan LPT Fasa II berbeza dengan LPT Fasa I di mana projek ini yang mengandungi 17 pakej dan ia diserahkan kepada kontraktor yang berlainan sedangkan hanya satu kontraktor bertanggungjawab membina LPT Fasa I.

“Walaupun projek ini belum siap sepenuhnya, telah kerajaan memutuskan untuk membuka sebahagian daripada lebuh raya berkenaan bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas jalan sedia ada,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Katanya, pada masa ini kerajaan memutuskan sebahagian lebuh raya itu akan terus dibenarkan penggunaannya tanpa dikenakan tol sehingga ia siap dibina sepenuhnya kelak.




Tambahan dana RM1 juta untuk penjawat awam beli kenderaan

Oleh: Kamarudin Mat Akib

Kerajaan negeri akan menambah dana RM1 juta lagi bagi Akaun Amanah Pinjaman Kenderaan menjadikan jumlahnya RM16 juta bagi membolehkan lebih ramai penjawat awam negeri ini mendapat pembiayaan kenderaan tanpa faedah.

Sehubungan itu, Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, meminta penjawat awam supaya terus memberi sokongan yang tidak berbelah bagi kepada kerajaan yang memerintah kerana sentiasa mengutamakan kepentingan dan kebajikan mereka.

“Kita mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri Malaysia kerana telah mengumumkan tambahan bonus setengah bulan gaji dengan bayaran minimum RM500 kepada penjawat awam.

“Kerajaan negeri akan membuat bayaran bonus kepada penjawat awam pada bulan Disember ini,” katanya ketika membentangkan Bajet 2012 di sidang Dewan Undangan Negeri Terengganu, baru-baru ini.

Beliau berkata, pengumuman Perdana Menteri berhubung bayaran bonus tersebut menunjukkan kecaknaan kerajaan dalam mengurangkan kos yang ditanggung oleh penjawat awam.