Halaman

25 December 2011

Sesma terbaik PMR

Oleh: Aida Abd Rahman

Sekolah Menengah Sains Sultan Mahmud (Sesma) muncul sekolah terbaik di Terengganu apabila mencapai Gred Purata Sekolah (GPS) 1.03 dalam keputusan Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2011 yang diumumkan, baru-baru ini.

Malah, kejayaan itu disifatkan prestasi paling cemerlang bagi tempoh 10 tahun berikutan pada tahun lalu GPS yang diperolehi adalah 1.05 yang melibatkan 88 berjaya mendapat 8A daripada 112 calon keseluruhan.

Pemangku Pengetua Sesma merangkap Penolong Kanan 1 Sesma, Encik Zulkeflee A Rahman berkata, prestasi baik dan memberangsangkan yang diperolehi sekolah itu hasil gabungan kerjasama dan kesungguhan pelbagai pihak yang sentiasa mengadakan program dan kelas tambahan sejak awal tahun lagi.

“Selain program Skor A dan kem motivasi, pelajar juga mempraktikkan amalan membaca surah Yassin pada waktu pagi, membaca surah al-Mulk sebelum tidur serta melakukan solat Hajat.

“Malah, program Tambatan Kasih yang sememangnya turut diberi fokus oleh bekas Pengetua Sesma, Mohd Suhaimi Hashim yang bersara pada 2 Disember baru-baru ini dilihat berkesan bagi membantu pelajar lemah kerana mereka sering berjumpa dengan kaunselor serta dipantau secara berterusan,” katanya,

Selain Sesma, sekolah lain yang turut berpencapaian tinggi GPS 1.00 hingga 1.80 termasuk SM Imtiaz Besut (1.04); SMK Mak Lagam, Kemaman (1.04); SMK Lembah Bidong, Setiu (1.07); SMK Tengku Mahmud, Besut (1.09); SM Imtiaz Kuala Berang (1.09); SM Imtiaz Dungun (1.11); SM Imtiaz Kuala Terengganu (1.11) dan SMKA Sheikh Abdul Malek (1.13).

Manakala antara sekolah yang mencapai 100 peratus minimum D, Sesma, SMK Mak Lagam, SMK Lembah Bidong, SMK Tengku Mahmud, SM Imtiaz Besut, SM Imtiaz Kuala Berang, SM Imtiaz Dungun, SM Imtiaz Kuala Terengganu, SMK Pelong, SM Sains Dungun, SMK Tengku Ampuan Intan, SMK Sultan Sulaiman dan SMK Rantau Petronas.

Pencapaian calon pada tahun ini pada umumnya meningkat dari segi kualiti dan kuantiti.Rekod pencapaian ini merupakan yang terbaik dalam tempoh lima tahun.

Terengganu meneruskan legasi kecemerlangan dalam keputusan PMR apabila 1,962 atau 8.95 peratus pelajar berjaya memperolehi semua A tahun ini berbanding 1,746 (7.81 peratus) pada tahun lalu.

Prestasi yang melonjak berbanding tahun lalu dan menghampiri sasaran 10 peratus pelajar mendapat semua A (2011) itu bertambah 1.15 peratus atau 216 pelajar pada tahun ini.





Tengku Muhammad Ismail sertai cabaran kuda lasak

Yang Di-Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail berkenan menyertai cabaran perlumbaan kuda lasak sejauh 40 kilometer (km) pada RTES Endurance Ride yang bermula jam 5.00 petang semalam (24 Disember).



Tengku Muhammad Ismail yang menunggang kuda 'RTES Annaversary' mewakili pasukan Royal Terengganu Endurance Stable (RTES) bersaing bersama dengan 55 peserta lain dari pelbagai negeri.




Pelepasan kejohanan itu dilakukan Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Haji Ahmad Said di Terengganu International Endurance Park (TIEP), Lembah Bidong, Setiu .

Turut berangkat menyaksikan pelepasan itu, Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin dan Sultanah Terengganu Sultanah Nur Zahirah.
Tiga anakanda baginda, Tengku Nadhirah Zaharah, Tengku Mua’az dan Tengku Fatimatuz Zahrah turut berkenan berangkat memberi sokongan.

Tetamu kehormat yang hadir Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, Datuk Za'abar Mohd Adib,Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan), Dato’ Haji Wan Ahamad Wan Muda dan beberapa pegawai kanan kerajaan negeri.

Berdasarkan keputusan, Noor Nerina Ernie Hashim menunggang kuda `Bilad El’ berjaya mengondol tempat pertama manakala Encik Shahruddin Abdullah yang menunggang `Kerbadalan Ammor’ selesa berada di tempat kedua dan Muhamad Ziyad Muhamad Hamzah (Reid River Akopoolco) menduduki tempat ketiga.

Pada kejohanan yang berlangsung selama dua hari itu turut menampilkan beberapa peserta berpengalaman lain dengan menyertai kategori sejauh 80 km.



Fama sedia RM30 j tarik golongan siswa

Oleh: Aida Abd Rahman

Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) memperuntukkan RM30 juta sebagai insentif bagi menggalakkan penyertaan golongan siswazah dalam usahawan tani pada tahun depan.

Sehubungan itu, Fama menyasarkan 100 usahawan tani mampu dibentuk melalui pelbagai program yang dirangka bagi menarik golongan itu menyertai sektor berkenaan.

Pengarah Fama negeri, Encik Hasan Jusoh, berkata golongan siswazah perlu merebut peluang yang ada bagi melibatkan diri dengan sektor usahawan tani berikutan bekerja makan gaji sama ada di sektor kerajaan serta swasta yang semakin sukar pada masa depan.

Katanya, pihaknya juga berharap golongan itu mampu melakukan pertanian secara profesional sebagaimana petani di negara Barat dan tidak terikat dengan pertanian tradisi semata-mata.

Pada tahun ini, Fama berjaya melahirkan 80 usahawan tani siswazah di negeri ini.







24 December 2011

Karnival AL-Hijrah dapat sambutan


Pengunjung Karnival Al-Hijrah tidak melepaskan peluang bermesra dan mendapatkan tandatangan personaliti TV AlHijrah, Ustaz Don di tapat karnival di Dataran Shahbandar, Kuala Terengganu. - Gambar oleh Zulkipli Putra.

Oleh: Suriati Ali

Pendekatan kerajaan negeri dengan kerjasama Jabatan Perdana Menteri dan TV Al-Hijrah menganjurkan Karnival Hijrah 2011 pada musim cuti persekolahan amat bertepatan berikutan mendapat sambutan di luar jangkaan.

Karnival bertemakan `Hijrah 1 Tranformasi’ dan diadakan selama tiga hari yang bermula 22 Disember itu berlangsung meriah di Dataran Shahbandar, Kuala Terengganu.

Pengunjung bersama keluarga masing-masing sanggup berada di tapak karnival dalam tempoh agak lama kerana tidak mahu ketinggalan mengikuti puluhan aktiviti yang dianjurkan.

Antara aktivitinya termasuk, bual bicara asslamualaikum, konsert ulang tahun TV Al-Hijrah, rakaman program adik-adikku, persembahan kebudayaan Terengganu, rakaman Terengganu berselawat dan forum perdana.

Tinjauan Teganukita mendapati, program rakaman 30 minit bersama Ustaz Don paling menarik perhatian pengunjung sehingga terpaksa berasak-asak di gerai pameran TV Al-Hijrah.

Tidak ketinggalan gerai pameran detik-detik kegemilangan Islam yang mempamerkan beberapa artifak & replika kegemilangan Islam seperti Lampu Masjid Mamluk, Astrolab, Sfera Bintang, dan Papan Lapis yang tertera perkataan “Bismillahirrahmanirrahim” turut mendapat pilihan pengunjung untuk mengetahunya secara dekat.

Puan Norisah Sulaiman Pengurus Komunikasi Korporat, AlHijrah Media Corporation, berkata karnival yang menggabungkan Islam yang universal ini adalah pertama kali dianjurkan bertujuan menerangkan tentang kegemilangan Islam dan dakwah yang menepati kaedah masa dan zaman.

Katanya, memandangkan karnival yang dianjurkan di Terengganu ini mendapat sambutan di luar jangkaan, pihaknya bercadang akan meneruskan ke negeri lain dalam tempoh terdekat.


Kelas bimbingan saudara kita dalam bahasa asing

Oleh; Esah Abdullah

Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) merancang mewujudkan lebih banyak kelas bimbingan Saudara Kita (SK) khusus dalam bahasa asing seperti Thailand dan Kemboja berikutan bilangan saudara muslim dari negara berkenaan agak ramai di negeri ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Maidam, haji Wan Harujan Sulaiman berkata, setakat ini terdapat sebuah kelas bahasa Thailand di Kompleks Darul Hidayah di bawah bimbingan seorang muslim warga Thailand.

“Kita yakin dengan menggunakan bahasa ibunda mereka, penyampaian dakwah dapat difahami dengan lebih berkesan,” katanya dalam sidang media di pejabatnya.

Katanya, Maidam telah menaja beberapa tenaga pengajar dari negara Thailand termasuklah yang berkelulusan Institusi Dakwah Islamiyyah Perkim, Pengkalan Chepa.

“Kita berhasrat membuat tajaan penuh kepada SK atau keluarganya yang cemerlang dalam peperiksaan awam seperti Sijil Pelajaram Malaysia (SPM) untuk melanjutkan pelajar keperingkat lebih tinggi dalam bidang agama,” katanya.

Tambahnya, usaha ini bagi melahirkan pendakwah kalangan saudara baru yang boleh jadi pembimbing pada masa akan datang.

Selain itu katanya, tajaan dalam bidang kritikal juga akan diutamakan dengan harapan mereka yang berjaya dapat menjadi idola dan perangsang kepada masyarakat.

“Maidam juga sedia memberi pertimbang menaja dalam bidang lain selain pengajian Islam termasuk bidang kemahiran seperti kulinari, teknikal dan sebagainya,” katanya.

Sehubungan itu, seramai Sembilan saudara kita yang baru memeluk agama Islam menerima cenderahati berupa sebuah al-Quran dan barangan dapur dari pihak Maidam yang disampaikan oleh Yang Dipertuanya, Dato’ Senara Muda Dato’ Mazlan Hashim.

Antara penerima berkenaan termasuk dua pensyarah di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZa) yang berasal dari Myanmar iaitu Abdul Hadi Thani Abdullah (Pensyarah Jabatan Phatalogy) dan Nur Hidayah Win Abdullah (Pensyarah Jabatan Kejururawatan).

“Mereka ini juga akan menjadi tenaga pengajar sambilan di kelas yang kita adakan khusus untuk memberi bimbingan saudara baru,” katanya.




Konfederasi AFC tinjau Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah Februari depan

Oleh FAUZI MOHD

Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT) yakin Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah akan lulus pemeriksaan oleh Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) yang dijadual Februari depan.

Naib Yang Dipertuanya Sheikh Tajudin Sheikh Yusoff berkata beberapa penambahbaikan sedang dibuat di stadium berkenaan, sebagai persediaan Terengganu menerima pasukan pelawat pada pertandingan Piala AFC kelak.

"Tidak ada masalah, cuma daripada segi pencahayaan lampu limpah. Saya percaya pihak Majlis Bandaraya Kuala Terengganu selaku pemilik akan buat sesuatu bagi menjaga imej negeri," katanya semalam.

Katanya kemudahan di stadium itu seperti bilik persalinan pemain dan bilik mesyuarat juga menepati kriteria AFC.

Beliau juga berkata kejayaan Terengganu menempah tempat dalam kejohanan Piala AFC buat pertama kali amat bermakna kepada perkembangan bola sepak tanah air.

Dalam pada itu, Sheikh Tajudin berkata Terengganu sedang mencari pemain import ketiga bagi memperkuatkan pasukan untuk menghadapi Piala AFC yang dijadual berlangsung pada Mac depan.

Sehubungan itu katanya, skuad Penyu akan menguji beberapa pemain, kebanyakannya dari Brazil dan Ghana, minggu depan.

"Kita jangka kalau semuanya berjalan lancar, dalam masa tiga atau empat hari habislah ujian tersebut. Tarikh akhir pendaftaran AFC ialah pada 6 Feb 2012," katanya.


SR1MBK di TV AL- Hijrah

Penggemar program masakan kini mempunyai lebih pilihan apabila stesen televisyen Al-Hijrah memperkenalkan program masakan berasaskan produk industri asas tani yang dikenali sebagai Selera Rasa 1Malaysia Best Kitchens (SR1MBK).

Program yang bakal menemui penonton bermula Januari tahun depan itu menjemput 15 usahawan tani dari seluruh negara bergandingan dengan Chef Rashid dari Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) untuk mengendalikan program masakan itu.

Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan) Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Encik Raihan Sharif, berkata program masakan 10 episod itu berkonsepkan informatif mengenai produk usahawatan industri asas tani yang telah mendapat pengiktirafan 1Malaysia Best yang diperkenalkan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar.

Beliau berkata, menu yang disediakan dalam program masakan berkenaan akan menggunakan produk industri asas tani yang mendapat pengiktirafan 1Malaysia Best di peringkat tempatan dan antarabangsa.

"Dengan SR1MBK, kita berharap dapat membantu meningkatkan taraf produk berasaskan pertanian keluaran tempatan yang secara langsung dapat menghasilkan pulangan lebih menguntungkan kepada usahawan melalui pelbagai resipi baru dihasilkan dari produk 1Malaysia Best.

"Malah, usahawan turut dibantu bagi mencapai kualiti dan standard ditetapkan sebagai satu cara untuk meluaskan produk mereka sama ada dalam pasaran tempatan mahu pun pasaran antarabangsa," katanya selepas merasmikan SR1MBK di Dataran Syahbandar, di sini, semalam (23 Disember)

Hadir sama, Ketua Pengarah Fama, Ahmad Ishak dan Ketua Pegawai Eksekutif TV Al-Hijrah, Bukhari Che Muda.



Kaunter JPN Terengganu ditutup dua hari sempena Hari Natal

Oleh FAUZI MOHD

Perkhidmatan kaunter di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Malaysia tidak akan beroperasi selama tiga hari iaitu pada 24, 25 dan 26 Dis sempena cuti umum Hari Natal.

JPN dalam satu kenyataan berkata penutupan operasi kaunter itu membabitkan JPN di Perlis, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Sarawak dan Sabah.

Sementara itu perkhidmatan kaunter JPN di Kedah, Kelantan dan Terengganu akan ditutup selama dua hari iaitu pada 24 sehingga 25 Dis dan dibuka semula pada 26 Dis.

Menurut kenyataan itu orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan boleh menghubungi pejabat Khidmat Pelanggan ibu pejabat JPN Putrajaya di talian 03-98807067/7069/7071/7077.


Pemimpin PAS diminta buat permohonan

Oleh: Mohammad Ishak


Pemimpin Pas disaran supaya mengemukakan permohonan kepada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) untuk mendapatkan pengiktirafan bagi mencari jalan penyelesaian masalah dua solat Jumaat berasingan dalam satu kariah yang berlaku di negeri ini sejak lebih 30 tahun lalu.

Penasihat Agama Perdana Menteri,Datuk Seri Dr Abdullah Md Zin berkata, pihak terbabit boleh memohon kebenaran daripada MAIDAM supaya proses mewartakan markas dan masjid yang dijadikan pusat solat Solat Jumaat berasingan dalam satu kampung untuk diwartakan oleh kerajaan.

Katanya, pemimpin Pas sepatutnya menggunakan saluran berkenaan supaya masalah yang berlaku dikalangan umat Islam dapat diselesaikan secara berhemah dan mengembalikan semula perpecahan sesama sendiri akibat perbuatan itu.

Menurutnya, kegiatan penyokong Pas mendirikan solat Jumaat berasingan membabitkan 11 masjid di negeri ini sepatutnya tidak berlaku jika umat Islam sendiri tahu yang mana masjid yang diiktiraf pemerintah dan masjid yang dibina untuk dijadikan tempat mencerca pemimpin kerajaan.

Abdullah yang juga bekas Ahli Majlis Fatwa Negeri Terengganu berkata, menerusi Enekman Pentadbiran Islam Terengganu dengan jelas menyebut hanya masjid yang diwartakan pemerintah sahaja boleh digunakan untuk solat Jumaat.

“Apa yang berlaku sekarang markas dan masjid milik parti Pas bukan sahaja dijadikan gelanggang politik dan ceramah menghentam pemimpin kerajaan malah banyak sepanduk dan bendera parti dipasang di tempat berkenaan,” katanya.


Katanya, beliau sedih dengan sikap pemimpin Pas yang menyalahkan Umno kononnya memberi fakta salah kepada Sultan Terengganu,Sultan Mizan Zainal Abidin apabila Sultan Terengganu membangkitkan isu berkenaan baru-baru ini.

Beliau berkata, mengikut enekmen berkenaan jarak pembinaan masid dalam satu-satu kampung ialah 1.5 kilometer dari masjid sedia ada dan beberapa syarat lain termasuk memohon kebenaran dari pihak berkuasa apabila ada pihak ingin membina masjid untuk dijadikan tempat solat Jumaat.

Prestasi PMR luar bandar merosot

Oleh: Aida Abd Rahman

Pencapaian calon luar bandar dalam keputusan peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) tahun ini di seluruh Terengganu sedikit merosot berbanding di bandar.

Berdasarkan gred purata, pencapaian luar bandar 2.72 berbanding bandar 2.42. Pada tahun lalu, prestasi luar bandar lebih baik dengan pencapaian 2.67 berbanding di bandar 2.47.

Gred purata bandar meningkat 0.05 berbanding tahun lalu, manakala luar bandar menurun 0.05.

Timbalan Pengarah Pelajaran Negeri Terengganu, Encik Hashim Mohd Zin, berkata pelbagai punca yang mungkin mendorong kepada kemerosotan prestasi luar bandar pada tahun ini berbanding tahun sebelumnya.

Antaranya, faktor geografi dan jarak sekolah dengan tempat tinggal yang menyukarkan guru serta pelajar berulang-alik ke sekolah lebih kerap terutama untuk menghadiri kelas tambahan serta tuisyen di sekolah mahupun yang berbayar di pusat-pusat tuisyen swasta.

Katanya, lebih banyak pusat tuisyen swasta wujud di bandar dan memberi peluang kepada pelajar serta ibu bapa memilih mana-mana tempat belajar yang terbaik.

“Faktor lainnya juga, guru yang berpengalaman lebih berminat mengajar di bandar. Guru yang berpengalaman ramai memohon mengajar di bandar kerana pelbagai kemudahan tersedia di bandar.

“Bagaimanapun, saya percaya kemerosotan itu tidak akan berterusan kerana pelajar luar bandar sudah membuktikan prestasi baik mereka sebelum ini,” katanya.

Terengganu meneruskan legasi kecemerlangan dalam keputusan PMR apabila 1,962 atau 8.95 peratus pelajar berjaya memperolehi semua A tahun ini berbanding 1,746 (7.81 peratus) pada tahun lalu.

Prestasi yang melonjak berbanding tahun lalu dan menghampiri sasaran 10 peratus pelajar mendapat semua A (2011) itu bertambah 1.15 peratus atau 216 pelajar pada tahun ini.