Halaman

21 January 2012

Jabatan Perikanan pelawa orang ramai sertai sukarelawan penyu

Oleh; Esah Abdullah

Jumlah pelancong dari luar negara yang menawarkan diri untuk menjadi ‘sukarelawan penyu’ meningkat setiap tahun.

Pengarah Jabatan Perikanan Terengganu, Encik Zakaria Ismail berkata, sikap ini amat menyerlah terutama pelancong dari Australia, England, Jerman dan Amerika Syarikat yang berminat menyertai program jabatan untuk mengawal pantai, membantu menanam telur penyu dan pemeriksaan sarang.

“Jabatan juga menggalakkan rakyat tempatan menjadi sukarelawan dan semangat kerjasama ini dapat membantu jabatan untuk menjaga hal ehwal habitat berkenaan,” katanya

Katanya hampir saban tahun jabatan terima permohonan daripada mereka untuk menyertai aktiviti yang dijalankan dan mereka begitu seronok menjalankan kerja-kerja sukarelawan ini di samping menikmati suasana damai di sini.

“Dengan cara ini kita dapat memberitahu dunia luar bahawa negara kita sangat mengambil berat tentang pemuliharaan penyu agar tidak pupus,” katanya.

Encik Zakaria juga memberitahu pihaknya telah berjaya menghasilkan lebih 86,000 ekor penyu karah melalui program penetasan penyu yang dilaksanakan sejak 1996 hingga 2010, bertujuan menyelamatkan penyu berkenaan daripada kepupusan.

Katanya, jumlah anak-anak penyu berkenaan adalah daripada1,123,648 biji telur yang dieramkan dan kesemua anak penyu itu dilepaskan ke laut untuk membesar.





Wujud program mampu rapat silaturahim

Oleh: Suriati Ali

Kira-kira 2,000 penduduk terutama wanita Umno di jangka menyertai Program Jalinan Rakyat Wanita Parlimen Marang Bersama Menteri Besar Terengganu yang diadakan di Dewan Besar Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Wakaf Tapai, Marang pada 24 Januari.



Pengerusi Majlis Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Marang, To’ Puan Zaitun berkata, program tahunan itu diadakan bagi merapatkan hubungan silaturahim antara pimimpin dan penduduk setempat.

“Pendekatan yang dilaksanakan itu bukan saja mampu memperkukuhkan parti malah boleh mendengar amanat pemimpin utama dan seterusnya membaiki segalan kelemahan yang ada sebelum menghadapi Pilihan Raya Umum ke 13 nanti.

“Perjumpaan demi perjumpaan seumpama ini cukup penting bagi mengetahui strategi yang bakal dilaksanakan,” katanya

Menteri Besar, Dato' Seri Haji Ahmad Said dijangka merasmikan program itu kira-kira jam 3.00 petang.




20 January 2012

Tarian naga, singa untuk semua kaum

Oleh: Aida Abd Rahman

Persembahan tarian singa dan naga sempena sambutan Tahun Baru Cina 2012 melibatkan seluruh daerah disertai semua lapisan masyarakat tanpa mengira kaum.



Program kesenian yang diusahakan Kelab Kebudayaan dan Sukan Kuala Terengganu (Kesun-KT) disertai lapan Melayu, tiga masyarakat Siam, seorang India dan selebihnya Cina itu menampilkan tradisi kaum Tionghua yang boleh diterima oleh semua terutama rakyat Terengganu.

Penaung Kesun, Tengku Sri Temenggung Raja, berkata selain persembahan tarian singa dan naga yang boleh dilhat oleh rakyat seluruh Terengganu dengan lebih dekat, turut dijalankan program sampingan Kempen Keselamatan Jalan Raya dengan kerjasama Polis DiRaja Malaysia, Jabatan Pengangkutan Jalan Raya dan Jabatan Keselamatan Jalan Raya.

“Sebenarnya tarian singa ini amat unik dengan corak bewarna-warni, apatah tahun ini merupakan tahun naga, saya percaya kehadiran tarian singa dan naga ini dapat menyerikan lagi sambutan tahun baru cina kali ini.

“Saya juga dimaklumkan oleh Dato’ Alex Ong sempena tahun naga air ini, Kesun menempah seekor naga dari China sepasang singa bagi mengisi jadual persembahan sempena Tahun Baru Cina 2012,” katanya ketika melancarkan tarian singa Kesun 2012 di depan pasar raya Mydin Mall, Kuala Terengganu, hari ini.

Turut hadir, Presiden Kesun, Dato’ Alex Ong dan Pengarah Eksekutif Mydin Mohamed Holdings Bhd (MYdin), Encik Murad Ali Mydin.

Selain itu, seramai 20 warga emas dan Orang Kelainan Upaya juga diraikan serta menerima bantuan sempena acara itu.




UMNO Terengganu anjur pertandingan peti undi

Oleh FAUZI MOHD


Semua 343 peti undi pilihanraya UMNO di seluruh Terengganu menyertai pertandingan peti undi sebagai persiapan menghadapi Pilihanraya Umum ke-13 akan datang.

Setiausaha UMNO negeri, Dato' Tengku Putera Tengku Awang berkata, pertandingan itu mengambilkira persiapan dari segi daftar pemilih, gerak saraf, sistem maklumat, bacaan sikap serta kepimpinan peringkat nerkenaan.

"Pertandingan ini sebagai platform kepada jentera parti untuk bekerja dengan lebih gigih mengesan dan mendekati 603,641 pengundi berdaftar di seluruh Terengganu sehingga kini.

"Daripada jumlah itu, 235,217 adalah ahli UMNO yang sebahagiannya turut bekerjasama menjayakan program berkenaan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis pelancaran pertandingan itu yang disempurnakan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu, Dato' Seri Ahmad Said di Janda Baik, Pahang malam tadi.

Tambah Dato' Tengku Putera, peti undi terbaik akan dipilih di semua lapan bahagian UMNO dan 32 Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk dijadikan contoh kepada peti-peti undi yang lain.


Penduduk lima kampung di DUN Jabi dilanda banjir kali ketiga

Oleh: Mohammad Ishak




Penduduk lima kampung dari Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Jabi, Setiu, dilanda banjir kilat kali ketiga dalam tempoh tiga minggu menyebabkan mereka terpaksa berpindah ke tempat selamat.

Kampung terbabit ialah, Renik,Tok Dor, Dalam Huma, Tok Dor Luar dan Bukit Jerok apabila kampung terbabit dinaiki air malam tadi.

Bagaimanapun, sehingga ini hanya 20 wanita daripada lapan keluarga yang mengambil keputusan untuk berpindah di Sekolah Kebangsaan Anak Ikan, selepas rumah mereka mula dinaiki air kira-kira jam 6 pagi tadi.

Menurut penduduk, golongan lelaki masih tinggal di rumah masing-masing kerana keadaan air tidak membimbangkan dan semakin surut.



Pasukan Bomba dan Penyelamat dari balai Bomba Jertih terpaksa membuat pengawasan sejak jam 4 malam tadi bagi mengelak sebarang kejadian buruk berlaku terhadap mangsa terbabit.

Sekolah Kebangsaan Kampung Tok Dor dan Masjid yang terletak berhampiran turut dinaiki air awal pagi tadi dan keadaan semakin pulih.

Hujan lebat sejak petang semalam menyebabkan paras air Sungai Tok Dor melimpah dan rumah yang terletak di kawasan rendah dinaiki air antara satu dan dua meter.




Ally Iskandar - Farah diijabkabul di Masjid Kristal



Setelah dihimpit pelbagai kontroversi termasuk isu putus tunang, pengacara popular TV3, Ally Iskandar Mardzi, 36, selamat diijabkabulkan dengan gadis pilihannya, Farah Lee atau nama sebenarnya, Nurfarahin Romli, 23, kira-kira pukul 10 pagi di Masjid Kristal, Kuala Terengganu.

Disaksikan lebih 500 hadirin terdiri daripada keluarga, rakan-rakan dan peminat, Ally sah menjadi suami kepada Farah setelah dua kali lafaz di hadapan juru nikah, Mohamad Abu Bakar, dengan mas kahwin berjumlah RM250.

Ally ketika ditemui pemberita berkata, dia bersyukur kerana majlis itu berjalan lancar seperti dirancang.

"Saya lega kerana semua berakhir dengan selamat. Insya-Allah, lepas ini saya mengikut Farah ke Korea Selatan selama enam hari memandangkan dia pulang ke sana bagi menyambung pengajiannya," katanya.

Ditanya mengenai ciri-ciri yang dimiliki gadis itu hingga dia membuat keputusan untuk melamar meskipun hanya berkenalan dalam masa singkat, Ally menjelaskan ia berlaku tanpa dirancang.

"Saya dapat tahu daripada adik Farah ketika itu sedang mencari-cari calon untuk dijadikan suami. Jadi, saya memberanikan diri untuk mendekatinya dan meluahkan hasrat hati saya.

"Lagipun, Farah memang menepati ciri-ciri yang saya mahu. Dia seorang tegas pendirian dan saya difahamkan, dia juga pandai masak," katanya.

Dalam pada itu, Farah yang merupakan pelajar tahun akhir, Ijazah Kejuruteraan Mekanikal, Universiti Incheon, Korea Selatan berharap ikatan perkahwinan mereka berkekalan hingga ke akhir hayat.

"Insya-Allah, saya sudah bersedia. Saya juga tak rasa perbezaan umur di antara kami akan menjadi penghalang," ujarnya yang berasal dari Kampung Atas Tol di sini.

Pada majlis itu, keluarga Farah menyerahkan sembilan dulang hantaran termasuk satu set persalinan lelaki, telefon bimbit I-Phone 4S dan tafsir al-Quran manakala keluarga Ally membalasnya dengan tujuh dulang termasuk komputer riba jenis Apple, replika kunci rumah dan satu set coklat.

Majlis resepsi pasangan itu dijangka diadakan di Kelab Golf Kuala Terengganu (KTGR) pada 5 Februari depan.

Kemas tulang belakang kerajaan

Oleh; Esah Abdullah

Semangat kerja berpasukan perlu diterapkan dalam diri di samping menjadi amalan dalam kehidupan bermasyarakat bagi menyemarakkan budaya orang dahulu agar tidak hilang ditelan zaman.

“Sikap itu juga ditagih daripada warga Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) yang bertindak sebagai tulang belakang kerajaan dalam menyampaikan maklumat kepada masyarakat di kampung-kampung,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri Batu Rakit, YB Haji Khazan Che Mat.

Harapan itu dilontarkan dalam majlis ramah mesra dengan kakitangan Kemas DUN Batu Rakit yang diadakan di Gem Beach Resort, Batu Rakit baru-baru ini.

Katanya, semua warga Kemas perlu persiapkan diri dan sentiasa bersedia menghadapi cabaran untuk memastikan kecemerlangan perkhidmatan kepada masyarakat ditingkatkan dari semasa ke semasa.

Tambahnya, setiap aktiviti yang dilaksanakan oleh Kemas biarlah bersesuai dengan komuniti setempat dan sentiasa melipatgandakan usaha memberi perkhidmatan terbaik untuk kesejahteraan rakyat, agama bangsa dan negara.

Dalam majlis berkenaan 50 orang kakitangan Kemas pelbagai jawatan yang bertugas dalam DUN diraikan sebagai menghargai sumbangan kepada masyarakat yang berterusan tanpa jemu.

Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri itu juga memuji langkah Kemas yang menyusun program membabitkan golongan kecil hingga warga emas termasuklah membuka kelas memasak, gubahan, menjahit di samping kelas bimbingan kanak-kanak.

“Hubungan baik antara petugas Kemas dengan masyarakat kampung memudahkan penyaluran maklumat kerajaan terus sampai ke akar umbi,” katanya.




Rumah Terbuka Tahun Baru Cina - 23 Januari

Oleh: Aida Abd Rahman

Orang ramai dijemput memeriahkan sambutan Tahun Baru Cina dengan menghadiri Rumah Terbuka sempena sambutan perayaan itu di Dewan Tunku Abdul Rahman, Kuala Terengganu pada 23 Januari (Isnin) ini.

Sambutan yang bermula jam 9.30 pagi hingga 12.30 tengah hari anjuran MCA Bahagian Kuala Terengganu.

Pengerusinya merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bandar, Dato’ Toh Chin Yaw, berkata semua penduduk di sekitar Kuala Terengganu dijemput ke rumah terbuka itu yang akan menyediakan pelbagai menu istimewa yang boleh dinikmati semua kaum.

Katanya, program tahunan itu diharap bukan sahaja dapat mengukuhkan perpaduan, malah menyatukan semua penduduk tanpa mengira latar belakang dan bangsa bertepatan dengan konsep 1Malaysia yang diperkenalkan Perdana Menteri, Dato’ Sri Najib Tun Razak.

Sebelum itu, katanya turut diadakan Malam Ambang Tahun Baru Cina di kawasan tokong Kampung Cina, pada malam 22 Januari (Ahad).



MDHT wujud Pondok Polis Komuniti

Oleh: Mastura Jamaluddin

Sebagai menyambut saranan Kementerian Perumahan & Kerajaan Tempatan (KPKT) yang telah mencadangkan Pelaksanaan Program Bandar Selamat yang mengandungi 23 Langkah Pencegahan Jenayah, Majlis Daerah Hulu Terengganu(MDHT) mewujudkan Pondok Polis Komuniti Kuala Berang bagi mewujudkan Bandar Selamat.

“Dengan kos RM10,500,kita telah membina Pondok Polis Komuniti ini untuk masyarakat membuat pelbagai aduan bagi mewujudkan Bandar yang selamat serta masyarakat yang harmoni.

“MDHT juga telah membina 13 buah lampu limpah (highmask) sebagai langkah pencegahan waktu malam untuk mengurangkan kadar jenayah seperti kecurian, maksiat dan sebagainya di samping 14 unit minimask di kawasan masjid dan sekolah,” kata Yang Dipertua MDHT, Haji Tallaha Ali .

Beliau berharap bandar Kuala Berang akan menjadi Bandar yang bebas dari semua ancaman fizikal, sosial dan mental, juga persekitarannya terpelihara dan yang paling penting penghuninya sentiasa berada dalam keadaan yang paling selamat,ceria dan sejahtera.

Katanya, ini sesuai dengan Kadar Indexs Jenayah Hulu Terengganu yang sentiasa terkawal .

Majlis penyerahan Pondok Polis Komuniti dirasmikan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Berang, YB Haji Mohd Zawawi Ismail, baru-baru ini.

Hadir sama ialah Pemangku Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, ASP Mohd Rosli Mohd Amir, wakil-wakil Pejabat Daerah, Ahli-ahli Majlis Daerah dan ketua-ketua jabatan serta masyarakat sekitar bandar.





Perpustakaan desa beri impak positif

Oleh: Suriati Ali

Pendekatan kerajaan negeri melalui Perbadanan Perpustakaan Awam Terengganu (PPAT) mewujudkan 88 buah perpustakaan desa di seluruh negeri ini nyata memberi impak positif kepada penduduk yang tinggal di kawasan pedalaman.

Pengarah PPAT, Puan Hajah Nor Akmal Abdul Fatah, berkata pihaknya bangga dengan sikap penduduk pedalaman yang gemar mengunjungi `gedung ilmu’ atau perpustakaan berbanding mereka tinggal di kawasan bandar.

Berdasarkan perangkaan, perpustakaan desa mencatatkan 512,477 bilangan pengunjung pada tahun lalu, perpustakaan daerah dan pekan (354,372 pengunjung) dan perpustakaan pusat pula seramai 244,200 pengunjung.

“Sikap ini sewajarnya dicontohi, walaupun tingal di kawasan pedalaman dan kurang kemudahan awam untuk ke perpustakaan mereka tetap berusaha meluangkan masa,” katanya ketika dihubungi pemberita Teganukita, baru-baru ini.

Menurutnya, usaha PPAT menganjurkan 60 program ilmu dalam tempoh setahun bukan sahaja mampu meningkatkan jumlah pengunjung sedia ada malah memberi manfaat berguna kepada pelajar dan masyarakat.

“Setiap Sabtu pasti ada program khas untuk kanak-kanak, manakala satu aktiviti umum dalam tempoh sebulan dianjurkan, semata-mata ingin membuka minda masyarakat tentang pentingnya ilmu pengetahuan selain membuka peluang mencari bahan dan maklumat terkini,” katanya.

Antaranya adalah program jalinan ilmu, kuiz setempat, kaedah membina blog, bengkel teknik bercerita, pameran fotografi, pertandingan bercerita, mari mewarna serta melukis dan jelajah ilmu