Halaman

17 March 2012

100 peserta berbasikal mengiringi pejalan kaki solo ke sempadan Kelantan





Oleh: Mohammad Ishak


Pejalan kaki solo yang menjelajah negara, Mustafa Kamal Abd Karim,53, yang berada di Besut hari ini meneruskan misi berjalan kaki secara perseorangan ke Kelantan dengan diiringi remaja dari daerah itu.

Mustafa diringi oleh 100 peserta berbasikal memulakan perjalanan dari perkarangan Masjid Hadhari Bandar Jertih menuju ke Kampung Bukit Yong, sempadan Terengganu/Kelantan.
Program yang disokong oleh MAYC Besut mendapat sambutan penduduk setempat yang menyambut ketibaan pejalan kaki terbabit.

Pengerusinya, Wan Adilah Wan Nawang berkata, pihaknya bangga dengan sokongan yang diberikan oleh penduduk daerah Besut terhadap usaha yang dilakukan oleh Mustafa.

Katanya, peserta berbasikal mengiringi Mustafa melalui jalan Jertih-Kota Baru dan berhenti di sempadan kemudian disambut oleh peserta daripada MAYC Kelantan.

“Pembabitan peserta berbasikal mewakili kumpulan basikal tua dan pelajar sebahagian tanda sokongan penduduk daerah Besut terhadap program yang dilaksanakan pejalan kaki berkenaan,” katanya.




1,913 unit rumah dibina di Kemaman

Oleh FAUZI MOHD dan NURUL AZIELLA SABERI

Sebanyak lima projek perumahan kos rendah membabitkan 1,913 unit rumah sedang dibina di Kemaman bagi memenuhi keperluan penduduk setempat.

Pegawai Daerah Kemaman, Mohamad Kamil Othman berkata, daripada jumlah itu hanya tiga di bawah projek perumahan kos rendah melibatkan 466 unit rumah dibina di Gong Cengal, Kemasik, Perasing Jaya, Air Putih (485 unit) dan Padang Kubu (500 unit).

Katanya, baki selebihnya untuk Projek Rumah Mampu Milik melibatkan pembinaan sebanyak 362 buah rumah di Paya Berenjut, Chukai dan 100 unit rumah di Kerteh, Kemasik.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan taklimat pembangunan Daerah Kemaman kepada Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin sempena lawatan dua hari baginda ke Kemaman di Pejabat Daerah Kemaman Khamis lalu.



TSG sertai Jelajah 1Malaysia

Oleh FAUZI MOHD

Perlumbaan jelajah berbasikal tertua di negara ini, Jelajah 1Malaysia yang melibatkan 20 pasukan akan berlangsung dari 8 hingga 13 Mei depan.

Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan, Datuk Mohid Mohamad berkata, jumlah penyertaan kali ini dihadkan kepada 20 pasukan sahaja, 10 pasukan dari luar negara dan 10 dari Malaysia.

“Kos penganjuran perlumbaan berstatus UCI 2.2 itu dalam lingkungan RM2 juta,” katanya kelmarin.

Menurut beliau setakat ini, 13 pasukan termasuk juara bertahan, Tabriz Petrochemical dari Iran telah mengesahkan penyertaan mereka.

Pasukan benua lain yang telah mengesahkan penyertaan mereka ialah Genesys Pro Cycling (Australia), Aisan Racing Team (Jepun), OCBC Singapore (Singapura) dan Terengganu Cycling Team (Malaysia).


YPKT wujud program untuk kanak TPK

Oleh: Suriati Ali

Pendekatan Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) melalui 65 Taska Permata Keluarga (TPK) mewujudkan puluhan program bermanfaat bukan saja mampu melahirkan kanak-kanak bijak berkomunikasi malah cemerlang pendidikan dan celik al-Quran.

Pengarah YPKT, Mohd Shafaruddin Mustaffa berkata setiap kanak-kanak yang mendapat pendidikan awal di TPK memperoleh banyak keistimewaan, termasuk mengikut program Hafaz Muqadam 23 surah lazim yang dijadikan modul wajib.

“Aktiviti lain, belajar pelbagai perkara menggunakan kaedah TB-Kids. Melaluinya setiap kanak-kanak boleh mengenali jenis haiwan, kenderaan, abjad dan sebagainya melalui skrin sesentuh.

“Kem Anak Pintar Soleh dan Kem Pemantapan Rohani juga mampu membantu keperibadian jati diri setiap kanak-kanak supaya lebih berani menghadapi cabaran akan datang,” katanya kepada Teganukita..

Katanya, sambutan Majlis Hari Lahir Secara Berkelompok dan Majlis Garduasi bagi kanak-kanak berusia 4 tahun turut diadakan semata-mata mahu melihat mereka dihargai.

“Melalui puluhan program yang diadakan itu sekaligus dapat membantu mencapai matlamat dan hasrat pemimpin serta kerajaan negeri yang ingin melihat setiap anak dilahirkan di negeri ini berjaya dalam hidup.

“Guru dan ibu bapa sewajarnya perlu bersama-sama mengemblengkan tenaga dan usaha sekiranya ingin melihat anak-anak yang diasuh dan dididik itu menempa kejayaan dengan cemerlang,” katanya.




16 March 2012

Tarik golongan muda ke masjid – Sultan Mizan

Oleh FAUZI MOHD dan NURUL AZIELA SABERI

Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin bertitah tindakan segera perlu diambil bagi menarik lebih ramai golongan muda mengimarahkan masjid.

Baginda bertitah, pihak berwajib termasuk jawatankuasa masjid perlu mengadakan program yang boleh menarik minat golongan muda serta menjaga binaan masjid setempat bagi memudahkan umat Islam menggunakan kemudahan yang ada.

Sultan Mizan bertitah hari ini ketika merasmikan Masjid Kampung Bukit Kuang, Kemaman dan menamakannya Masjid Ar-Rahman.

Mengiringi baginda, Menteri Besar Dato’ Seri Ahmad Said dan Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), Mohd Rozali Saleh.

Pada majlis itu, Sultan Mizan turut menyampaikan tauliah kepada 10 pendaftar, jurunikah serta imam masjid mukim bagi daerah Kemaman sebelum bersolat Jumaat bersama hampir 1,000 jemaah yang diimamkan oleh Mufti Negeri, Dato’ Dr Alias Abdullah.

Masjid Ar-Rahman Kampung Bukit Kuang merupakan antara 49 masjid yang dibina di daerah Kemaman.

Ia bernilai RM3 juta dan mampu menampung 1,500 orang jemaah.


LENSA UKOM: KARNIVAL 1 MALAYSIA

Gambar oleh:Harish Fadzillah

























Happy taja skuad Terengganu

Oleh FAUZI MOHD

Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) menandatangani kontrak penajaan dengan syarikat prabayar, Happy bagi skuad Penyu meliputi semua perlawanan Liga Malaysia (Liga-M) musim ini.

Majlis menandatangani kontrak tersebut berlangsung di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah semalam.

PBSNT diwakili Presidennya, Dato' Che Mat Jusoh manakala Happy oleh Pengurus Pemasarannya, Mohd. Fairose Harun.

Pada majlis tersebut, Dato' Che Mat berkata, pihaknya teruja dengan kesediaan Happy untuk bersama-sama penyokong Terengganu, sekali gus menjadi rakan penaja bagi skuad Penyu musim ini.

Menurutnya, komitmen Happy menunjukkan kepercayaan serta sokongan syarikat berkenaan terhadap keupayaan pasukan Terengganu untuk terus mencipta kejayaan musim ini.

"Kita ucap terima kasih dan berharap agar usaha murni ini akan menyuntik semangat setiap pemain untuk terus bekerja keras demi mencapai kemenangan," katanya.

Beliau memberitahu, Happy juga akan menganjurkan program-program menarik yang turut disertai para pemain Terengganu untuk dinikmati pengguna talian Happy serta masyarakat setempat.

Dalam pada itu, Mohd. Fairose pula berkata, pihaknya berbesar hati kerana pertama kali berpeluang menjalin kerjasama dengan PBSNT dan pasukan Terengganu.

Tambahnya, tajaan tersebut bagi memeriahkan lagi sukan bola sepak khususnya negeri ini.

"Penajaan ini adalah antara usaha Happy untuk menghargai sokongan pelanggan di Pantai Timur yang kebanyakannya adalah peminat bola sepak tegar," ujarnya.


Maidam sedia RM5.4 untuk program saudara baru


Oleh: Suriati Ali


Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) menjangka membelanjakan kira-kira RM5.4 juta bagi program-program pembinaan modal insan saudara baru muslim sepanjang tahun ini.

Pegawai Eksekutif/Setiausaha Maidam Wan Harujan Sulaiman berkata jumlah itu meningkat sekali ganda berbanding RM2.5 juta yang dibelanjakan untuk program yang sama tahun ini.

“Ini termasuklah bayaran elaun pelajar dan guru kelas bimbingan Saudara Kita di setiap daerah di seluruh negeri Terenggnu,” katanya

Encik Wan Harujan berkata pada tahun ini Maidam telah berjaya membawa 118 orang memeluk agama Islam di Terengganu berbanding 123 orang sepanjang tahun lepas.

Beliau berkata Maidam juga merancang mewujudkan kelas bimbingan Saudara Kita dan kursus keagamaan dalam bahasa Thailand dan Kemboja agar penyampaian dakwah kepada masyarakat itu lebih berkesan.

Dalam perkembangan lain, Wan Harujan berkata Maidam buat pertama kali akan menganjurkan Konvensyen Saudara Muslim peringkat negeri selama dua hari yang akan disertai 400 peserta mulai esok.

Katanya konvensyen tersebut akan disusuli dengan Konvensyen Saudara Muslim peringkat kebangsaan dari 23-24 Dis melibatkan penyertaan 800 orang saudara baru dari seluruh negara.

Wan Harujan berkata pengisian pada kedua-dua konvensyen tersebut ialah ceramah, motivasi, wacana dan pembentangan kertas kerja bagi memantapkan pemahamam ilmu agama dan mengamalkannya dalam kehidupan secara syumul.

Beliau berkata Maidam juga berhasrat menaja saudara baru yang cemerlang dalam bidang pelajaran untuk menjadi idola dan perangsang kepada masyarakat.





Pemain Terengganu bersih, bebas rasuah : Dato' Che Mat

Oleh: Aida Abd Rahman

Pemain bola sepak Terengganu bebas rasuah, kata Yang Dipertua Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT) Dato’ Che Mat Jusoh.

Beliau menafikan kewujudan kegiatan menjual perlawanan di kalangan pemain skuad Penyu, malah yakin semua pemain terbabit bersih dan bebas dari masalah mengatur permainan sebagaimana dakwaan segelintir pihak yang cuba menjatuhkan moral dan semangat pemain negeri ini.

"Perkara ini dibangkitkan oleh sesetengah pihak apabila melihat prestasi pasukan Terengganu tidak menentu dalam saingan Liga Super, Piala FA mahupun Piala Konfederasi Bolasepak Asia (AFC).

"Janganlah orang luar buat tanggapan negatif seolah-olah hendak menggugat prestasi pasukan kita," katanya.

Dato’ Che Mat yang juga pengurus pasukan berkata beliau yakin pemain Terengganu tidak terlibat dengan kegiatan mengatur perlawanan.

Sementara itu, tiket untuk perlawanan kedua kumpulan F AFC antara Terengganu dan pasukan kelab dari Hong Kong, Kitchee FC akan mula dijual sehari sebelum perlawanan iaitu pada 19 Mac.

Perlawanan bermula pukul 4.45 petang di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah pada 20 Mac.



15 March 2012

TATiUC kemaskini Pelan Strategik 2012-2016

Oleh: Aida Abd Rahman

Kolej Universiti Tati (TATiUC) sedang mengemas kini Pelan Strategik lima tahun yang bermula tahun ini bagi memastikan sasaran menjadi sebuah universiti penuh menjelang 2015 dapat direalisasikan.

Rektornya, Dr Rozailan Mamat, berkata bagi mencapai hasrat itu, pihaknya dalam proses bagi menambah kemudahan di kampus utama.

Katanya, sebuah kompleks kediaman baru yang boleh menampung 1,000 pelajar akan dibina dalam masa terdekat.

"Kita berharap projek membangunkan kompleks kediaman baru ini berjalan lancar dan siap sepenuhnya menjelang 2013 nanti.

“Ia selaras dengan hasrat TATiUC bagi menjadi sebuah universiti penuh, iaitu Universiti Kemahiran dalam tempoh tiga tahun lagi.
Katanya, kesemua kemudahan infrastruktur dan peralatan akan disiapkan sepenuhnya sebelum 2015.

Dalam pada itu, TATiUC mula menerima pelajar antarabangsa masing-masing tiga pelajar dari Indonesia dan 50 pelajar Nigeria sedang mengikuti kursus di pusat kemahiran itu.

“Pengambilan pelajar luar negara ini menjadi satu langkah TATiUC bagi mengantarabangsakan pengajian di sini.

“Malah, kita juga giat menarik minat tenaga pengajar dari luar negara. Buat masa kini, TATiUC mempunyai pensyarah dari Indonesia, Yaman, India dan United Kingdom,” katanya.

Beliau berkata, usaha sedang giat dilaksanakan supaya lebih ramai pensyarah berwibawa dari luar negara berkhidmat di pusat kemahiran itu demi kebaikan serta manfaat anak Terengganu dan Malaysia amnya.