Halaman

16 March 2012

Tarik golongan muda ke masjid – Sultan Mizan

Oleh FAUZI MOHD dan NURUL AZIELA SABERI

Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin bertitah tindakan segera perlu diambil bagi menarik lebih ramai golongan muda mengimarahkan masjid.

Baginda bertitah, pihak berwajib termasuk jawatankuasa masjid perlu mengadakan program yang boleh menarik minat golongan muda serta menjaga binaan masjid setempat bagi memudahkan umat Islam menggunakan kemudahan yang ada.

Sultan Mizan bertitah hari ini ketika merasmikan Masjid Kampung Bukit Kuang, Kemaman dan menamakannya Masjid Ar-Rahman.

Mengiringi baginda, Menteri Besar Dato’ Seri Ahmad Said dan Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), Mohd Rozali Saleh.

Pada majlis itu, Sultan Mizan turut menyampaikan tauliah kepada 10 pendaftar, jurunikah serta imam masjid mukim bagi daerah Kemaman sebelum bersolat Jumaat bersama hampir 1,000 jemaah yang diimamkan oleh Mufti Negeri, Dato’ Dr Alias Abdullah.

Masjid Ar-Rahman Kampung Bukit Kuang merupakan antara 49 masjid yang dibina di daerah Kemaman.

Ia bernilai RM3 juta dan mampu menampung 1,500 orang jemaah.