Halaman

16 March 2012

Happy taja skuad Terengganu

Oleh FAUZI MOHD

Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) menandatangani kontrak penajaan dengan syarikat prabayar, Happy bagi skuad Penyu meliputi semua perlawanan Liga Malaysia (Liga-M) musim ini.

Majlis menandatangani kontrak tersebut berlangsung di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah semalam.

PBSNT diwakili Presidennya, Dato' Che Mat Jusoh manakala Happy oleh Pengurus Pemasarannya, Mohd. Fairose Harun.

Pada majlis tersebut, Dato' Che Mat berkata, pihaknya teruja dengan kesediaan Happy untuk bersama-sama penyokong Terengganu, sekali gus menjadi rakan penaja bagi skuad Penyu musim ini.

Menurutnya, komitmen Happy menunjukkan kepercayaan serta sokongan syarikat berkenaan terhadap keupayaan pasukan Terengganu untuk terus mencipta kejayaan musim ini.

"Kita ucap terima kasih dan berharap agar usaha murni ini akan menyuntik semangat setiap pemain untuk terus bekerja keras demi mencapai kemenangan," katanya.

Beliau memberitahu, Happy juga akan menganjurkan program-program menarik yang turut disertai para pemain Terengganu untuk dinikmati pengguna talian Happy serta masyarakat setempat.

Dalam pada itu, Mohd. Fairose pula berkata, pihaknya berbesar hati kerana pertama kali berpeluang menjalin kerjasama dengan PBSNT dan pasukan Terengganu.

Tambahnya, tajaan tersebut bagi memeriahkan lagi sukan bola sepak khususnya negeri ini.

"Penajaan ini adalah antara usaha Happy untuk menghargai sokongan pelanggan di Pantai Timur yang kebanyakannya adalah peminat bola sepak tegar," ujarnya.