Kerajaan Barisan Nasional (BN) sentiasa menghargai peranan dan pengorbanan wanita terhadap pembangunan negeri dan kelancaran perjalanan program parti dengan cara memberi pengiktirafan serta menyalurkan peruntukan tujuan mengerakkan organisasi.
Pengerusi BN Terengganu, Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata, keberkesanan jentera wanita menjalankan gerak kerja yang ditunjukkan begitu mantap dan meyakinkan.
“Oleh itu jawatan Ahli Dewan Negara Negeri Terengganu diperuntukkan khusus kepada golongan wanita sahaja,” katanya di majlis Program Pemantapan Jentera Pilihanraya Wanita (JR) Bahagian Kuala Nerus, di Stadium Tertutup Gong Badak.
Setakat ini, jawatan berkenaan dipegang oleh Ketua Pergerakan Wanita Umno Bahagian Dungun, Senator Hajah Zainun Abu Bakar dan Ketua Pergerakan Wanita Umno Bahagian Kemaman, Senator Hajah Rahmani @ Rohani Abdullah.
“Jawatan berkenaan berkuatkuasa tiga tahun dari tarikh pelantikan dan akan diserahkan kepada setiap pemimpin tertinggi wanita secara bergilir,” katanya.
Katanya, peruntukan RM50,000 setahun turut diagihkan kepada Pergerakan Wanita di setiap Parlimen untuk program turun padang dengan berkunjung ke rumah ibu bersalin, orang uzur serta keluarga ibu tunggal yang mempunyai ramai tanggungan.