Halaman

15 March 2012

Taska YPK sedia modul khas kanak-kanak usia dua tahun

Oleh; Esah Abdullah



Kesedaran dari ibu bapa mengenai proses pembelajaran menyebabkan Taska Permata (TP) yang dikendalikan Yayasan Pembangunan Keluarga (YPK) menjadi pilihan ibu bapa.

Ketua Penolong Pengarah (Taska) YPK, Encik Nazri Yusoff berkata, sehingga kini seramai 3, 267 anak taska dari seluruh Terengganu berdaftar dengan TP dan lain-lain taska di bawah YPK bagi mengikuti pendidikan awal melalui program khas.
“Selain TP dan taska di bawah YPK, kita juga memberi peluang kepada ibu bapa untuk meletakkan anak masing-masing di taman bimbingan lepasan sekolah atau transit (Tabilas),” katanya.

Menurutnya, pendaftaran untuk kemasukan kanak-kanak pada setiap tahun menunjukkan peningkatan yang menggalakkan.

“Apa yang menyebabkan taska permata ini menjadi pilihan adalah kita menyediakan modul khas bersesuaian dengan faktor usia kanak-kanak antara umur dua hingga empat tahun.

“Dalam masa yang sama juga terdapat 65 buah taska di bawah kendalian YPK dan 32 daripadanya adalah di bawah Program Permata Negara (PPN) sepenuhnya.

“Walaubagaimanapun, 33 buah taska yang ditubuhkan sejak 1987 oleh pihak YPK juga sedang dalam perancangan untuk ditukarkan kepada program permata negara secara berperingkat,” katanya.

Sementara itu, Ibu angkat TP Mengabang Lekar, Batu Rakit, Hajah Nik Aini Nik Soh berkata sambutan hari lahir berkelompok yang diadakan khusus untuk kanak-kanak mampu merapatkan hubungan antara ibu bapa dengan pihak taska.

“Aktiviti seumpama ini secara tidak langsung dapat merangsang perkembangan awal kanak-kanak di samping proses pembelajaran sedia ada,” kata isteri Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Rakit, YB Haji Khazan Che Mat.

“Program yang dirancang dengan kerjasama Kelab Ibu Bapa Taska Permata Mengabang Lekar merupakan aktiviti tahunan bagi meraikan kanak-kanak di sini,” katanya.