Oleh: Suriati Ali
Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) menjangka membelanjakan kira-kira RM5.4 juta bagi program-program pembinaan modal insan saudara baru muslim sepanjang tahun ini.
Pegawai Eksekutif/Setiausaha Maidam Wan Harujan Sulaiman berkata jumlah itu meningkat sekali ganda berbanding RM2.5 juta yang dibelanjakan untuk program yang sama tahun ini.
“Ini termasuklah bayaran elaun pelajar dan guru kelas bimbingan Saudara Kita di setiap daerah di seluruh negeri Terenggnu,” katanya
Encik Wan Harujan berkata pada tahun ini Maidam telah berjaya membawa 118 orang memeluk agama Islam di Terengganu berbanding 123 orang sepanjang tahun lepas.
Beliau berkata Maidam juga merancang mewujudkan kelas bimbingan Saudara Kita dan kursus keagamaan dalam bahasa Thailand dan Kemboja agar penyampaian dakwah kepada masyarakat itu lebih berkesan.
Dalam perkembangan lain, Wan Harujan berkata Maidam buat pertama kali akan menganjurkan Konvensyen Saudara Muslim peringkat negeri selama dua hari yang akan disertai 400 peserta mulai esok.
Katanya konvensyen tersebut akan disusuli dengan Konvensyen Saudara Muslim peringkat kebangsaan dari 23-24 Dis melibatkan penyertaan 800 orang saudara baru dari seluruh negara.
Wan Harujan berkata pengisian pada kedua-dua konvensyen tersebut ialah ceramah, motivasi, wacana dan pembentangan kertas kerja bagi memantapkan pemahamam ilmu agama dan mengamalkannya dalam kehidupan secara syumul.
Beliau berkata Maidam juga berhasrat menaja saudara baru yang cemerlang dalam bidang pelajaran untuk menjadi idola dan perangsang kepada masyarakat.