Barisan Nasional (BN) telah mencetak sembilan juta poster parti sebagai persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) yang akan datang pada bila-bila masa sahaja.
Pengerusi Barisan Nasional (BN) Terengganu, Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata, lapan juta merupakan poster BN manakala satu juta lagi bendera UMNO.
"Sembilan juta poster ini telah sampai ke sini untuk digunakan sepanjang kempen PRU nanti," katanya ketika berucap pada Program Pemantapan Jentera Pilihanraya Wanita (JR) Bahagian Kuala Nerus, di Stadium Tertutup Gong Badak petang semalam.
Katanya, BN Terengganu sudah bersiap sedia untuk berhadapan dengan peperangan ‘hidup mati’ parti dan kerajaan BN itu yang semakin hari semakin dekat.
“Poster ini akan diagihkan kesetiap kawasan dan semua penyokong BN diminta menampal lambang parti BN di rumah masing-masing sebagai tanda sokongan yang tidak berbelah bagi kepada parti,” katanya.
Katanya, BN ingin melihat sejauh mana kesetiaan ahlinya terhadap parti dan jika ada yang malu untuk menampalkan poster di rumah masing-masing, itu petanda mereka tidak ikhlas.
“Kita juga akan mengadakan aktiviti ‘pemanas badan’ sementara menunggu tarikh PRU dengan pertandingan futsal di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dijangka melibatkan lebih 50,000 golongan belia berusia 21 tahun ke atas.
“Setiap Dun akan menarik lebih 200 pasukan futsal dari setiap cawangan dan pemenang tempat pertama hingga empat akan menerima hadiah lumayan,” katanya.
Tambahnya, lebih 2,000 ahli Puteri akan terbabit menjayakan karnival wanita muda di setiap Dun dengan mengadakan perlawanan bola jaring.