Halaman

11 March 2012

Perkemas pertahanan, penjaga gawang T-Team: MB

Oleh: Aida Abd Rahman

Kejayaan T-Team menempah tiket ke slot suku akhir Piala FA musim ini mencetus reaksi gembira peminat nombor satu sukan itu, Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said.

T-Team yang bermain di laman sendiri memberi keyakinan kepada pasukan yang diberi jolokan 'penyu muda' itu menguasai permainan sebelum membenam tetangga, Pahang 3-2 dalam perlawanan sengit di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, malam kelmarin.

Bagaimanapun, Menteri Besar mahu pasukan junior Terengganu itu memperkemaskan barisan pertahanan termasuk penjaga gawang, selain meningkatkan strategi permainan dalam mengharungi saingan akan datang.

“Saya lihat pada perlawanan malam semalam (kelmarin) kelemahan ketara T-Team di bahagian pertahanan yang terlalu longgar, bagaimanapun pemain bahagian tengah dan serangan bagus.

“Saya amat berpuas hati dengan kemampuan dan kebolehan mereka, cuma dari segi penjaga gol saya lihat ada sedikit kelemahan dengan beberapa kesilapan,” katanya ketika ditemui selepas acara pelepasan Terengganu Starhill 4x4 Challenge, di perkarangan Stadium Gong Badak, Kuala Terengganu, semalam (10 Mac).

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kejayaan pasukan T-Team yang berjaya ke suku akhir Piala FA selepas menewaskan Pahang dalam perlawanan pusingan kedua di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah.

Dalam perkembangan yang sama, Dato’ Seri Haji Ahmad meminta peminat sukan bola sepak di negeri ini turut sama memberi sokongan kepada T-Team yang sebagaimana sokongan terhadap Terengganu.

“Saya tidak faham dengan persepsi penonton di Terengganu ini, sepatutnya mereka juga memberi sokongan kepada pasukan T-Team (selain pasukan bola sepak Terengganu) dan pasukan negeri kerana kedua-dua pasukan ini mempunyai kewibawaan serta kebolehan masing-masing.

“Sejak musim lalu, saya tidak berpuas hati dengan sokongan penonton ketika pasukan T-Team menentang Selangor dalam perlawanan separuh akhir, hanya 1,000 lebih penonton sahaja yang hadir,” katanya.