Halaman

15 March 2012

Pelbagai aktiviti menarik bakal temui pengunjung

Oleh: Suriati Ali

Kira-kira 10,000 pengunjung dijangka hadir pada pada Karnival 1 Malaysia yang diadakan di perkarangan Sekolah Kebangsaan Padang Air, Kuala Terengganu.

Pelbagai aktiviti dianjurkan kerajaan negeri dengan kerjasama Biro Tatanegara Jabatan Perdana Menteri dan Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Tepoh pada karnival yang berlangsung selama dua hari dan berakhir 17 Mac itu.

Dikir barat moden dan nyayian lagu tradisional antara aktiviti yang dijangka mendapat sambutan ribuan pengunjung.

Aktiviti lain, senamrobik 1 Malaysia; pertandingan memasak; pertandingan futsal & sukan rakya; persembahan wau; kayuhan 1Malaysia; persembahan tarian singa dan gotong-royong kenduri sekampung.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tepoh, YB Muhammad Ramli Nuh, berkata sebanyak 20 agensi kerajaan dan swasta mengambil bahagian bagi mempamerkan keistimewaan produk masing-masing.

Agensi itu termasuk Unit Komunikasi Negeri, Jabatan Kesihatan Negeri, Jabatan Pertanian Negeri, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dan Kolej Islam Sains dan Teknologi (KIST).

Katanya, karnival seumpama ini cukup penting bagi masyarakat kerana mampu merapatkan hubungan dengan pelbagai kaum dan menghebahkan pelbagai maklumat berkaitan pembangunan dan kebajikan kepada rakyat.

“Seramai 1,000 penduduk setempat dijangka menyertai aktiviti senamrobik yang akan dimulakan seawal 7.30 pagi esok (Jumaat).

“Bagi aktiviti kayuhan 1Malaysia pula, seramai 500 golongan belia bersetuju menjayakannya bersama-sama beberapa pemimpin setempat termasuk saya,” katanya.
Majlis pelancaran akan disempurnakan Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato' Mohd. Nasir Ibrahim Fikri.