Halaman

15 March 2012

Piala AFC : Tiket perlawanan Terengganu, Kitchee FC dijual 19 Mac

Oleh FAUZI MOHD

Tiket untuk perlawanan kedua kumpulan F Piala Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) antara Terengganu dan pasukan kelab dari Hong Kong, Kitchee FC akan mula dijual sehari sebelum perlawanan iaitu pada 19 Mac.

Perlawanan bermula pukul 4.45 petang di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah pada 20 Mac.

Pegawai media kejohanan, Sheikh Tajuddin Sheikh Yusof berkata, tiket terbahagi kepada dua kategori iaitu RM30 untuk tempat duduk berbumbung dan RM15 untuk tempat duduk terbuka.

"Penonton boleh membeli tiket perlawanan di pintu stadium berkenaan dari pukul 3 hingga 6 petang pada 19 Mac dan pukul 9 pagi pada hari perlawanan sekiranya tiket masih belum habis dijual,” katanya kepada pemberita semasa sidang media mengenai perlawanan itu semalam.

Sheikh Tajuddin yang juga Naib Yang Dipertua Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu, (PBSNT) berkata, penonton yang menyaksikan perlawanan itu akan dibenar masuk ke dalam stadium pada pukul 3 petang.