Kejohanan Drive Ride (DR) 4 x 4 Ranggok Antarabangsa yang diadakan di Litar Sukan Lasak Gong Cempedak, Marang akan dijadikan acara tahunan kalendar pelancongan Kerajaan negeri.
Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said berkata, sambutan menggalakkan dari 1,250 peserta itu bakal menjadikan litar seluas 60 hektar itu destinasi pilihan sukan lasak khususnya dalam menjadikan setiap tahun sebagai Tahun Melawat Terengganu.
Katanya, kejohanan julung kali itu mampu menaikkan emej Terengganu sebagai penganjur acara berprestij yang berjaya meyakinkan penyertaan luar negara termasuk peserta dari negara ASEAN seperti Indonesia, Thailand selain Australia dan Rusia.
“Untuk tujuan itu (penganjuran tahunan), pihak penganjur iaitu Kelab 4x4 Ranggok Marang dipelawa untuk mengadakan perbincangan lanjut bersama Kerajaan negeri dan agensi berkaitan.
“Kita akan mengambil kira pelbagai aspek seperti prasarana penganjuran yang meliputi saiz litar agar diiktiraf di peringkat antarabangsa, mutu pengadilan serta kemudahan tambahan termasuklah tempat duduk penonton dan ruang parkir,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis penutup acara tiga hari di Gong Cempedak semalam yang turut dihadiri Penasihat kejohanan, Datuk Razali Idris dan Pegawai Pembangunan Dewan Undangan Negeri Rhu Rendang, Nik Dir Nik Wan Ku.
Kejohanan yang menawarkan hadiah berjumlah RM31,000 itu melibatkan empat disiplin iaitu perlumbaan Cubcross, Motor Endurance dan 4 x 4 serta acara kemuncak cabaran pacuan empat roda, DR x 4.
Acara DR x 4 yang disertai lapan kumpulan dimenangi Ranggok B yang membawa pulang wang tunai RM10,000, Ranggok C di tempat kedua (RM7,000) dan tempat ketiga Ranggok F (RM5,000).
Bagi kategori 4 x 4, tempat pertama diungguli Kelab 4 x 4 Ranggok dengan wang tunai RM2,000, Kumpulan Padat di tempat kedua (RM1,500) dan tempat ketiga turut dimenangi Kumpulan Padat (RM1,000).
Perlumbaan Cubcross, tempat pertama disandang Mohd. Zulkifli Abdul Muttalib dengan meraih wang tunai RM1,000, kedua, Azwadi Mohamad (RM600) dan ketiga, Mohd Hafizul Mustaqim Osman (RM400).
Sementara itu, Mohd. Zaidi Mat Noor mengetepikan pesaing kategori Motor Endurance dengan tempat pertama dengan memperolehi wang tunai RM1,500, Ahmad Masyaid Najmi di tempat kedua (RM1,000) dan Mohd Yami Mat Noor, tempat ketiga (RM500).