Halaman

13 March 2012

JPP peruntuk sehingga RM300 ribu baiki prasarana sekolah

Oleh: Aida Abd Rahman

Kerajaan Pusat memperuntukkan antara RM100,000 hingga RM300,000 bagi melaksanakan projek baru pembangunan sekolah yang melibatkan kerja membaiki padang, makmal dan tandas di seluruh Terengganu pada tahun ini.

Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) Terengganu, Haji Ahmad Sharom Yasin, berkata pembiayaan khusus menerusi JPP itu bagi memastikan prasarana di sekolah sentiasa berada dalam keadaan terbaik dan memberi keselesaan kepada tenaga pengajar serta pelajarnya.
“Projek baru di bawah penyeliaan JPP terbahagi kepada tiga kategori iaitu membaiki padang sekolah yang memperuntukkan (kira-kira) RM300,000, membaiki makmal dan juga tandas masing-masing memerlukan kos antara RM100,000 hingga RM200,000,”katanya ketika sidang media sempena Program Bicara Media anjuran Unit Komunikasi Negeri Terengganu (Ukom), di Hotel Permai Inn, Kuala Terengganu,semalam (12 Mac).



Hadir sama, Pengarah Ukom, Tuan Haji Shamsuddin Sulong dan Penolong Pengarah JPP Terengganu, Mohammad Zaidad Abdul Samat.

Selain itu, katanya sebanyak RM1 juta diperuntukkan bagi membaiki dewan gimnasium Sekolah Sukan Bukit Nenas, Setiu.

Dalam pada itu, JPP turut bertindak mengkoordinasikan peruntukan dengan Pejabat Daerah dan Pihak Berkuasa Tempatan setiap kali Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said melakukan program lawatan `turun padang’ ke setiap daerah terutama melibatkan kelulusan bagi projek Penyelenggaraan Infrastruktur Awam (PIA) dan Projek Infrastruktur Asas (PIAS).

Katanya, JPP memperuntukkan RM16 juta bagi PIA dan PIAS fasa satu dengan setiap Parlimen bakal mendapat peruntukan kira-kira RM2 juta untuk melaksanakan projek berkenaan.

“Projek di bawah PIA dan PIAS termasuk membaiki dan menaik taraf jalan rosak, membina jalan baru serta jalan di kawasan pertanian,” katanya.

Dalam perkembangan yang sama, pihaknya semalam menjalankan undian berkomputer bagi menjalankan projek PIA dan PIAS di Parlimen Kuala Terengganu dan Kuala Nerus dengan peruntukan keseluruhan RM3.8 juta yang melibatkan 83 projek.