Halaman

14 March 2012

RM20 juta bina empat masjid baru

FAUZI MOHD

Lebih RM20 juta diperuntukkan oleh Kerajaan negeri bagi tujuan pembinaan empat buah masjid baru di Terengganu pada tahun ini, kata Pesuruhjaya Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), Mohd. Rozali Saleh.



Menurut beliau, setiap masjid yang mampu menampung seramai 1,000 hingga 2,000 jemaah itu melibatkan kos pembinaan antara RM4juta dan RM6 juta.

Katanya, tiga masjid akan dibina di Kuala Terengganu iaitu Kampung Darat Batu Rakit, Kampung Kebor Air, Kampung Gong Tok Nasek dan sebuah lagi di Dungun iaitu masjid Kampung Paya Pelandang.

“Tiga masjid berkenaan akan ditender tidak lama lagi, manakala di Gong Tok Nasek dalam proses kajian pembinaan.

“Kos pembinaan setiap masjid tidak sama kerana ia bergantung kepada proses ambil balik tanah, keluasan masjid yang bergantung kepada kapasiti kariah serta binaan tambahan termasuklah kelas al-Quran, perpustakaan dan ruang parkir,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan taklimat pembangunan Pejabat Agama Daerah Dungun di Dungun kepada Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin, hari ini.

Mengiringi keberangkatan baginda, Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said; Setiausaha Kerajaan negeri, Dato’ Mazlan Ngah dan Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, YB. Khazan Che Mat.



Sebelum itu, Sultan Mizan turut berangkat ke Pejabat Daerah untuk mendengar taklimat pembangunan daerah itu yang disampaikan oleh Pegawai Daerah, Dato’ Mustofa Abd. Rahman.

Tambah Mohd. Rozali, sejak tahun 2004, Kerajaan negeri telah membina 63 buah masjid baru di seluruh negeri bagi memberi keselesaan kepada para jemaah semasa beribadat serta menjalankan aktiviti kemasyarakatan.

Sementara itu katanya, semua tujuh daerah di negeri ini sudah mempunyai Pejabat Agama Daerah masing-masing termasuk di Marang yang baru disiapkan, manakala Setiu masih dalam pembinaan.

“Kompleks yang bernilai antara RM3.5 juta hingga RM5.5 juta itu bagi memberi keselesaan kepada pegawai dan kakitangan Pejabat Agama setiap daerah dalam member perkhidmatan terbaik kepada masyarakat.

“Bagi Pejabat Agama Daerah Dungun, bangunan baru ini dibina dengan kos RM3.5 juta dan mula diduduki pada November 2007 dengan 65 orang pegawai dan kakitangan,” ujarnya.