Pendekatan Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) melalui 65 Taska Permata Keluarga (TPK) mewujudkan puluhan program bermanfaat bukan saja mampu melahirkan kanak-kanak bijak berkomunikasi malah cemerlang pendidikan dan celik al-Quran.
Pengarah YPKT, Mohd Shafaruddin Mustaffa berkata setiap kanak-kanak yang mendapat pendidikan awal di TPK memperoleh banyak keistimewaan, termasuk mengikut program Hafaz Muqadam 23 surah lazim yang dijadikan modul wajib.
“Aktiviti lain, belajar pelbagai perkara menggunakan kaedah TB-Kids. Melaluinya setiap kanak-kanak boleh mengenali jenis haiwan, kenderaan, abjad dan sebagainya melalui skrin sesentuh.
“Kem Anak Pintar Soleh dan Kem Pemantapan Rohani juga mampu membantu keperibadian jati diri setiap kanak-kanak supaya lebih berani menghadapi cabaran akan datang,” katanya kepada Teganukita..
Katanya, sambutan Majlis Hari Lahir Secara Berkelompok dan Majlis Garduasi bagi kanak-kanak berusia 4 tahun turut diadakan semata-mata mahu melihat mereka dihargai.
“Melalui puluhan program yang diadakan itu sekaligus dapat membantu mencapai matlamat dan hasrat pemimpin serta kerajaan negeri yang ingin melihat setiap anak dilahirkan di negeri ini berjaya dalam hidup.
“Guru dan ibu bapa sewajarnya perlu bersama-sama mengemblengkan tenaga dan usaha sekiranya ingin melihat anak-anak yang diasuh dan dididik itu menempa kejayaan dengan cemerlang,” katanya.