Halaman

12 March 2012

BR1M RM3j untuk Dun Wakaf Mempelam

Oleh: Aida Abd Rahman

Kira-kira 6,000 penduduk Dewan Undangan Negeri (DUN) Wakaf Mempelam menikmati Bantuan Rakyat 1Malaysia yang dianggarkan berjumlah RM3 juta menerusi empat fasa pengagihan sejak tiga bulan lalu.

Daripada jumlah itu, seramai 2,337 orang penerima mendapat bantuan RM500 setiap seorang itu menerusi fasa satu dan dua dengan peruntukan berjumlah RM1,168,500, manakala fasa ketiga akan mula diagihkan bermula esok sehingga Khamis ini dengan peruntukan kira-kira RM1.6 juta.

Pengawai Pembangunan Dun Wakaf Mempelam, Haji Wan Mahyuddin Wan Ngah, berkata fasa ketiga dijangka dapat diselesaikan dalam tempoh tiga hari bermula minggu ini.

Katanya, sebahagian kecil lagi pemohon yang membuat rayuan dan perlu diproses semula berikutan masalah teknikal serta kesilapan kecil pada borang BR1M dijangka dapat diselesaikan dalam masa terdekat.

“Kita menganggarkan kira-kira 6,000 penduduk Dun Wakaf Mempelam mendapat manfaat daripada BR1M ini dan proses meluluskan peruntukan ini dilaksanakan secara telus dan adil tanpa memilih bulu.

“Selebihnya dalam anggran jumlah 500 penerima lagi termasuk yang merayu semula bakal mendapat BR1M yang diagihkan pada peringkat keempat yang dijangka selesai sebelum pertengahan tahun ini,” katanya.

Beliau berkata, semua penduduk yang layak dijangka dapat menikmati BR1M selewat-lewatnya pertengahan tahun ini sebelum menjelangnya Pilihan Raya Umum ke-13 nanti.

Katanya, orang ramai di DUN berkenaan yang belum mendapat surat atau respon berhubung status permohonan mereka tidak perlu bimbang kerana proses pengagihan sedang diuruskan pihak berwajib.

“Pada bila-bila masa sahaja nama mereka yang layak dan menepati syarat yang ditetapkan akan dimaklumkan untuk menerima bantuan itu kelak. Pada masa yang sama, kita berharap setiap penerima dapat menggunakan wang bantuan untuk kegunaan yang betul,” katanya.

Untuk rekod, lebih RM87 juta diperuntukkan Kerajaan Pusat kepada hampir 175,000 pemohon yang layak menerima BR1M seluruh Terengganu.

Sehingga kini, kira-kira 80 peratus daripada penerima BR1M sudah menerima bantuan masing-masing, manakala selebihnya pula akan mendapat habuan mereka dalam tempoh terdekat.