Halaman

14 March 2012

Sultan Mizan rasmi Masjid Al-Huda

Oleh FAUZI MOHD

Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin malam tadi berangkat merasmikan Masjid Al-Huda Kampung Rantau Abang, Dungun selepas bersama penduduk setempat menunaikan solat Maghrib.



Turut mengiringi baginda ialah Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said; Setiausaha Kerajaan negeri, Dato’ Mazlan Ngah serta Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, YB. Khazan Che Mat.

Semasa bertitah, baginda menyeru seluruh rakyat terutamanya ketua keluarga supaya mengimarahkan masjid dengan mengajak ahli keluarga masing-masing datang berjemaah serta melibatkan diri dalam aktiviti keagamaan di masjid.

Baginda juga mengharapkan masyarakat Islam sentiasa menjaga kebersihan terutamanya kebersihan masjid dan surau dengan menjadikannya amalan hidup harian.

“Hari ini, masjid-masjid menjadi tempat persinggahan para musafir terutamanya masjid yang berada di tepi laluan jalan raya utama.

“Oleh itu, amatlah wajar sekali qariah masjid menjaga kebersihan agar dapat memberi keselesaan kepada pengunjung masjid,” titah baginda.



Masjid Al-Huda yang dibina dengan kos RM3.2 juta itu mampu memuatkan kira-kira 1,000 jemaah pada satu-satu masa.



Pada majlis yang sama, Sultan Mizan turut berkenan menyampaikan tauliah kepada Ketua Pendaftar, Timbalan Pendaftar dan Pendaftar Bahagian Nikah, Cerai dan Rujuk serta imam dan jurunikah daerah itu.

Selepas menunaikan solat Isyak yang diimamkan Mufti negeri, Dato’ Dr. Alias Abdullah, baginda menyertai jamuan rakyat bersama kariah yang hadir di perkarangan masjid itu.