Halaman

15 March 2012

Yayasan Kemas terima dana RM2 juta

Oleh; Esah Abdullah
Gambar oleh Zulkipli Putra.

Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah meluluskan geran RM2 juta kepada Yayasan Kemas (YK) untuk membiayai pelbagai bantuan kebajikan keluarga anggota Kemas.

Timbalan Menterinya, Dato’ Haji Hassan Malek berkata, melalui dana berkenaan mereka boleh membuat permohonan untuk membiayai pelajaran anak-anak , khairat kematian dan pelbagai kebajikan lain.


“Usaha ini merupakan sebahagian tanggung jawab kerajaan Barisan Nasional (BN) yang sentiasa mendengar rintihan rakyat dari peringkat akar umbi,” katanya di majlis penyampaian Sumbangan Khas kepada Bekas Anggota Kemas Terengganu di Wisma Darul Iman, semalam.


Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Usahawan dan Koperasi negeri, Dato’ Haji Mohamad Awang Tera; Pengarah Kemas Terengganu, Puan Nor Hazelina Hashim; Presiden Persatuan Bekas Anggota Kemas Malaysia, Dato’ Melati Ali dan Pengerusi Persatuan Bekas Anggota Kemas negeri Haji Adam Sulong.


Katanya, penubuhan YK begitu bermakna dalam usaha menjaga kebajikan keluarga anggota Kemas terutama ketika berada dalam kesusahan.

Dalam majlis berkenaan seramai 407 orang bekas anggota Kemas di negeri ini telah menerima RM3,000 seorang yang disampaikan Dato’ Haji Hasan kepada wakil Parlimen masing-masing.