Penyokong Barisan Nasional (BN) diminta jangan ikut tarian pembangkang yang berlagak seperti langau, sebaliknya terus laksanakan tugas membantu meringankan beban masyarakat.
Pengerusi BN Terengganu, Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata, jentera BN mestilah sentiasa mengamalkan kerja berpasukan dan terus menyampaikan mesej kerajaan hingga ke akar umbi.
“Memang kerja dia (Pas) burukkan kerajaan BN dan sampai bila pun mereka tidak akan mengaku kebaikan kita walaupun bersama-sama terima bantuan,” katanya ketika berucap pada Program Pemantapan Jentera Pilihanraya Wanita (JR) Bahagian Kuala Nerus, di Stadium Tertutup Gong Badak petang semalam.
Hadir sama, isteri Menteri Besar To’ Puan Seri Hajah Norliza Mahmud; Ketua UMNO Bahagian Kuala Nerus , Dato; Haji Mohd Nasir Ibrahim Fikri; Ketua Wanita, Hajah Khadijah Awang; Ketua Pemuda Encik Apli Yusof dan Ketua Puteri, Puan Aida Azam.
Majlis yang dihadiri hampir empat ribu jentera wanita dalam Parlimen Kuala Nerus turut disertai Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Teluk Pasu, Dato’ Haji Abdul Rahin Mohd Said; Adun Seberang Takir, YB Haji Ahmad Razif Abdul Rahman, Adun Tepoh, YB Yaji Muhammad Ramli Noh dan Pegawai Pembangunan Dun Bukit Tunggal, Haji Ismail Nik.
“Wanita merupakan tulang belakang parti dan majoriti gerak kerja yang dijalankan seperti berkunjung rumah ke rumah bertemu pengundi dilakukan oleh jentera semut merah ini,” katanya.
Beliau melahirkan keyakinan, keupayaan JR dalam misi memenangkan parti pada PRU akan datang kerana mereka sering membuat laporan benar biar pun pahit untuk ditelan oleh sesetengah pemimpin.
“Dengan pengalaman yang ada, saya percaya JR sentiasa menjalankan tugas dengan berkesan serta mampu menarik pengundi atas pagar,” katanya.