Halaman

21 March 2012

Tidak pamer logo Halal 1 Julai berdepan tindakan

Oleh FAUZI MOHD

Kerajaan negeri menerusi Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) akan memastikan semua pengusaha di negeri ini mematuhi arahan agar mempamerkan sijil dan logo halal di premis masing-masing mulai 1 Julai ini.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, YB. Muhammad Ramli Nuh berkata, pihaknya juga akan memastikan penggunaan sijil serta logo halal itu diselaraskan mengikut ketetapan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Sehubungan itu, beliau mahu setiap pengusaha memberi perhatian serius berhubung arahan penguatkuasaan sijil dan logo halal tersebut demi kepentingan semua pihak khususnya pelanggan beragama Islam.

Menurutnya, jika gagal, tindakan tegas akan dikenakan ke atas pengusaha yang degil dan mereka bakal berdepan denda di bawah Enakmen Kesalahan Jenayah dan Takzir 2003 kerana melakukan kesalahan dan penyelewengan agama.

"Kita akan adakan penguatkuasaan di bawah Enakmen Kesalahan Jenayah dan Takzir 2003, sekiranya gagal mematuhinya, mereka (pengusaha) akan dikenakan tindakan.

"Logo halal ini melibatkan segala pengurusan di premis berkenaan termasuk soal kebersihan, penyembelihan dan sebagainya bagi menyakinkan umat Islam selain pelancong dan pengunjung lain," katanya.

Beliau menyatakan perkara itu kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis penutup Seminar Pemantapan Pengurusan Komuniti 1Malaysia Negeri Terengganu baru-baru ini.

Seminar dua hari itu adalah anjuran Jabatan Penerangan Negeri Terengganu dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Muhamad Ramli diminta mengulas tindakan tegas termasuk penjara dan denda yang akan dikenakan Jakim ke atas mana-mana pengusaha yang gagal mempamerkan sijil dan logo halal bermula 1 Julai.

Pengarah Bahagian Hab Halal Jakim, Hakimah Mohd. Yusoff berkata, pihaknya akan melakukan pemantauan di seluruh negara selain mengadakan operasi di setiap premis mulai 31 Mac ini.


20 March 2012

Pukat pari antara punca 11 penyu Agar mati

Oleh FAUZI MOHD

Sekurang-kurangnya 11 ekor penyu Agar ditemui mati di pantai-pantai negeri ini sepanjang tempoh dua bulan lalu.

Pegawai Komunikasi Program Marin Semenanjung Tabung Alam (WWF) Malaysia, Nadiah Rosli berkata, ia suatu yang makin membimbangkan dan menuntut kepada penguatkuasaan undang-undang lebih tegas.

Katanya, jumlah sebenar mungkin lebih tinggi kerana perangkaan dicatatkan itu sekadar berasaskan rekod Jabatan Perikanan negeri dan laporan yang diterima daripada orang ramai.

"Tiga ekor kematian penyu oleh Jabatan Perikanan di Kuala Mercang, Pantai Kuala Abang, dan Pantai Kelulut manakala lima bangkai baru ditemui di pantai di Kijal, dua di Mengabang Telipot, Kuala Terengganu dan satu di Penarik, Setiu.

"Jabatan Perikanan mengesyaki punca kematian bagi ketiga-tiga penyu dilaporkan sebelum ini adalah disebabkan tersangkut pada peralatan menangkap ikan yang diharamkan," ujarnya dalam satu kenyataan semalam.

Pukat pari dengan mata pukat melebihi 25.4 sentimeter, dipercayai menjadi punca utama penyu tersangkut dan lemas.

Penggunaannya adalah tidak dibenarkan mengikut Peraturan-Peraturan Perikanan (Larangan Cara Menangkap Ikan) 1980 namun difahamkan peraturan itu sukar dikuatkuasakan.

Katanya, WWF-Malaysia berpendapat insiden terbaru kematian penyu-penyu ini juga mungkin disebabkan oleh punca yang sama berdasarkan keadaan beberapa bangkai yang ditemui.

Menurut Nadiah, seorang nelayan dari Kemasek, Kemaman memaklumkan menemui satu bangkai penyu ditenggelam dengan batu yang diikat dengan tali nilon dipercayai bagi menyembunyikan perbuatan itu.

"Di Setiu pula, seekor penyu jantan telah ditemui mati dalam keadaan tengkoraknya pecah," katanya.


Piala AFC : Penyu sekadar hadiahkan ‘sebiji telur’ kepada 10,000 penyokong

Oleh FAUZI MOHD

Skuad Penyu tersadai keletihan apabila direbahkan Kitchee FC, 0-2 pada perlawanan kedua Piala Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, sebentar tadi.

Beraksi di hadapan sorakan lebih 10,000 penyokong tuan rumah yang sanggup berpanas tidak menggoyahkan rentak kelab dari Hong Kong itu mengutip tiga mata penuh.

Terengganu yang disifatkan hanya mampu menghasilkan ‘sebiji telur’, tanpa sebarang gol turut tewas kepada perang psikologi pasukan pelawat yang sebelum itu mendakwa tidak mampu beraksi dengan baik akibat cuaca panas.

Skuad bimbingan jurulatih dari Sepanyol, Josep Gombau menutup tirai perlawanan separuh masa pertama dengan meledakkan gol pertama hasil hantaran lintang Lam Kam Wai kepada penyerang, Jorge Terres Paramo di minit ke-45.

Tersentak dengan jaringan tersebut, anak didik Mat Zan Mat Aris bangkit mengatur serangan yang menyaksikan Terengganu banyak mengawal permainan selang babak kedua berlangsung.

Namun, episod duka tetap memihak kepada tuan rumah apabila penjaga gawang, Mohd Sharmiza Yusoff tewas kepada kapten Kitchee FC, Chu Siu Kei di minit ke-74 dengan gol kedua.


DAKWAAN PAS PERCIK KE MUKA SENDIRI: SEORANG WAKIL RAKYAT PAS DAPAT 130 EKAR TANAH

Oleh: Pengarang Teganukita.

Pas Terengganu barangkali terlupa bahawa di masa mereka berkuasa di Terengganu pernah meluluskan tanah seluas 130 ekar (50.8 hektar) untuk salah seorang wakil rakyat mereka.

Mereka yang dimaksudkan ialah Sulaiman bin Abdullah di alamat, Jalan Ibrahim, Bukit Besar dan isteri Che Hamidah Che Abdul Kadir.

Kedua-kedua mereka adalah doktor perubatan dan pergigian.

Dr.Sulaiman waktu itu adalah merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kawasan Ladang.

Nama syarikat kedua suami isteri yang diberikan tanah seluas itu ialah Imbasan Padu Sdn.Bhd, di alamat Jalan Air Jernih Kuala Terengganu.

Beberapa hari lepas Pas Terengganu membuat dakwaan terdapat ramai Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dan Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) dikurniakan tanah di negeri ini.

Pesuruhjaya PAS Terengganu, Mohd Abdul Wahid Endut mendakwa wakil rakyat Umno BN dengan mudah memperolehi tanah kerajaan sekitar satu hektar seorang.

Bagaimana pun bila ditanya secara lengkap oleh pemberita sewaktu sidang media berkaitan, beliau gagal menjelaskan, sebaliknya berkata tanah berkenaan yang didakwa kebanyakan di kawasan pantai Terengganu.

Sebenarnya dengan dakwaan itu akan percik ke muka sendiri kerana zaman Pas berkuasa di Terengganu kejadian ini berlaku.

Tanah yang diberikan kepada Dr.Sulaiman ialah Lot PT 914, Mukim Rassau, Daerah Dungun dengan katogeri penggunaan tanah ialah pertanian. No fail: PTG.TR.02/15/0105.

Oleh itu, Pas perlu ingat, pepatah Melayu,mengata dulu paku serpih, mengata orang dia yang lebih!!



Seminar Batu Bersurat selongkar “lambang kehebatan kita”

Oleh CHE MOHD HISHAM CHE JAMALUDDIN

Muzium Terengganu akan menganjurkan Seminar Batu Bersurat Piagam Terengganu di Dewan Batu Bersurat di kompleks muzium berkenaan di Losong, Kuala Terengganu bermula 25 hingga 26 Mac ini.

Pengarahnya, Mohd. Yusof Abdullah berkata, seminar dua hari bertemakan ‘Lambang Kehebatan Kita’ itu bakal menarik penyertaan kira-kira 150 peserta daripada pelbagai agensi kerajaan, institusi pengajian tinggi dan penyelidik persendirian.

Katanya, seminar kali keempat itu akan membentangkan kajian dan penyelidikan yang dilakukan terhadap Batu Bersurat Terengganu.

“Seminar ini akan menjalankan kajian seterusnya berkenaan asal usul batu tersebut dan membuat perbandingan Batu Bersurat dari seluruh Nusantara.

“Disamping itu, peserta akan dibawa mengkaji Batu Bersurat Terengganu dari pelbagai sudut dan teknik pembuatannya,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Seminar itu menggabungkan 11 penyelidik dan cendikiawan tempatan termasuk Prof. Emeritus Dato’ Nik Hassan Suhaimi Nik Abd. Rahman dari Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr. Mohammad Alinor Abdul Kadir (Universiti Putra Malaysia) dan Dr. Rahimin Abd. Rahim (Universiti Malaya).

Selain itu kata Mohd. Yusof, tokoh akademik tempatan dan luar negara turut dijemput bagi mengupas isu Batu Bersurat Terengganu dari pelbagai sudut dan merungkai sebanyak mungkin maklumat yang boleh dijadikan rujukan kepada generasi akan datang.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, YB. Muhammad Ramli Nuh, dijangka merasmikan seminar tersebut.


E-Book bantu hadapi cabaran globalisasi

Oleh: Aida Abd Rahman

Usaha membekalkan e-Book kepada setiap murid sekolah rendah bermula Tahun Empat di seluruh Terengganu adalah bagi mendepani cabaran dunia globalisasi yang memerlukan kemahiran teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).

Bagi merealisasikan hasrat itu, kerajaan negeri sudah membekalkan sebanyak 92,326 unit e-Book kepada setiap murid seluruh Terengganu dalam tempoh tiga tahun sehingga 2011.

Timbalan Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu (JPNT), Encik Hashim Mohd Zin, berkata kemudahan pembelajaran itu akan diagihkan kira-kira 23,000 unit lagi pada tahun ini yang mana menjadikan jumlah keseluruhan kira-kira 115,326 unit dalam tempoh empat tahun.

“Jadi program e-Book yang dilaksanakan kerajaan negeri sejak 2009 kepada anak-anak kita merupakan sebahagian daripada usaha untuk berdepan dengan zaman akan datang..di mana maklumat berada di hujung jari sama ada menerusi e-Book, laptop dan telefon bimbit,” katanya.

Bagaimanapun, katanya kerajaan negeri juga berhasrat untuk memastikan penduduk negeri ini bukan sekadar menjadi pengguna biasa kepada alat telekomunikasi berkenaan , tetapi mampu menambah baik serta memasukkan pelbagai perisian yang dapat melancarkan setiap tugasan.

“Tahniah kepada kerajaan negeri kerana tiada negeri lain yang membekalkan komputer riba (e-Book) secara percuma kepada rakyatnya yang melibatkan peruntukan yang besar.

“Bukan murid-murid sahaja mendapat kemudahan itu, guru-guru turut menerima manfaat di mana sebanyak 4,100 unit laptop disediakan kepada guru pada tahun lepas dan difahamkan sebanyak 3,100 unit lagi akan dibekalkan kepada guru pada tahun ini,” katanya.





Pas punca pelajar ditarikbalik pinjaman

Oleh: Cicit Laksamana

Tindakan pemimpin Pas menghasut pelajar Terengganu yang melanjutkan pelajaran di luar negara membenci kerajaan, menjadi punca sembilan pelajar yang sedang menuntut pelajaran di Mesir, ditarik balik pinjaman mereka.

Beberapa pemimpin Pas, termasuk Presiden parti itu, Dato’ Seri Abdul Hadi Awang, sering berulang-alik ke negara berkenaan, bagi meracuni pemikiran pelajar supaya membenci dan mengutuk kerajaan yang bertanggungjawab membiayai pengajian mereka.

Inilah sumbangan pemimpin Pas kepada pelajar yang bukan saja berada di Mesir, tetapi di negara-negara lain di Timur Tengah dan Eropah.

Mereka bukan membantu membiayai pengajian pelajar terbabit, tetapi menghasut dan meracuni pemilikiran mereka dengan fakta-fakta yang tidak betul bagi kepentingan politik agar pelajar benci kepada kerajaan.

Justeru bila sembilan pelajar dari Terengganu yang sedang menuntut di Mesir ditarikbalik pinjaman pengajian mereka oleh Yayasan Terengganu (YT) kerana menyertai perhimpuan di Dataran Hayyu Asyier, Mesir, bagi menyokong perhimpunan haram Bersih di Kuala Lumpur yang diadakan pada 9 Julai tahun lalu, pemimpin Pas perlu dipertanggungjawabkan.

Sebelum ini, Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata tindakan itu dilakukan selepas YT tidak puas hati dengan jawapan kepada surat tunjuk sebab yang dikemukakan kepada mereka sebelum ini setelah didapati terlibat dengan kes salah laku tersebut.

“Pelajar terbabit didapati melanggar peraturan dengan menyertai perhimpunan haram Bersih..Selepas kita tidak berpuas hati dengan jawapan yang mereka berikan, kita bertindak menarik balik pinjaman mereka berkuatkuasa serta-merta.

“Pelajar berkenaan menyatakan mereka pergi (Perhimpunan Bersih) dan orang (penganjur) suruh pakai baju (perhimpunan haram Bersih) dan mereka pakai baju berkenaan,” kata beliau baru-baru ini.

Bayangkan, apa yang bakal berlaku kepada pelajar tersebut selepas pinjaman mereka ditarikbalik? Adakah pemimpin Pas akan tampil membela nasib mereka bagi memastikan pengajian pelajar berkenaan tidak tergendala.

Salah seorang daripada pelajar yang dikenakan tindakan berkenaan merupakan pelajar tahun tiga Fakulti Perubatan di Mesir. Bagaimana nasib masa depan pelajar berkenaan dan rakan-rakan yang lain.

Mereka tidak sepatutnya terpengaruh dengan pemimpin Pas yang menghasut mereka membenci kerajaan, sebaliknya berterima kasih kepada Kerajaan Barisan Nasional (BN) yang membela nasib mereka selama ini.Isu ini sepatutnya menjadi pengajaran kepada pelajar lain yang selama ini terikut-ikut dengan segelintir rakan mereka yang begitu taksub dengan pemimpin Pas, hinggakan terlupa ‘tangan yang menyuap mereka makan’.



Kayuhan amal HADK


Oleh; Esah Abdullah

Seramai 250 peserta akan menyertai program Kayuhan Hari Anti Dadah Kebangsaan (HADK) peringkat negeri pada 24 Mac ini.

Peserta diminta berkumpul di perkarangan Hotel Permai dan akan bergerak secara konvoi melalui Jalan Buruk, Jalan Sultan Zainail Abidin, Pasar Payang, Mydin Mall, Giant dan berakhir di Teluk Ketapang, Seberang Takir.

Sepanjang kayuhan, peserta akan mengedarkan pamplet anti dadah dan kuiz spontan dalam usaha meningkatkan kesedaran di kalangan masyarakat mengenai bahaya dadah.
Pelbagai aktiviti turut diadakan di Teluk Ketapang antaranya sukaneka, pameran, pertandingan gubahan dan pertandingan motorsikal cantik.

Program tersebut dijangka akan dirasmikan oleh Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato’ Haji Mohd Nasir Ibrahim Fikri sekali gus menyampaikan hadiah kepada pemenang pertandingan.




Setiap rumah seunit komputer sudah tercapai.

Oleh; Esah Abdullah

Hasrat kerajaan untuk melihat setiap rumah memiliki sekurang-kurangnya seunit komputer bagi penduduk di negeri ini sudah tercapai apabila kedua-dua pihak iaitu kerajaan dan rakyat saling memberi dan menerima.

Timbalan Pengarah Pelajaran Terengganu, Encik Hashim Mohd Zin berkata, pengagihan e-Book kepada pelajar Tahun Empat dan Lima sejak empat tahun lalu serta pemberian Komputer 1Malaysia kepada pelajar sekolah menengah oleh Kerajaan Pusat membantu merialisasikan hasrat murni kerajaan.

“Dengan jumlah 1.4 juta penduduk di negeri ini saya yakin semua rumah sudah mempunyai sekurang-kurangnya seunit komputer,” katanya di majlis Pengagihan e-Book kepada pelajar Tahun Empat di kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) Bukit Tunggal.

Dalam majlis itu, seramai 271 pelajar dari tiga buah sekolah rendah dalam Dun berkenaan menerima e-Book masing-masing yang disampaikan oleh Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said.

Katanya, beliau yakin semua keluarga ada lebih dari seunit komputer, kerana semua pelajar sekolah rendah dan menengah menerima pengagihan berkenaan kecuali rumah warga emas.

Sehingga akhir tahun lalu 92,326 e-Book telah berjaya diagih dan program berkenaan diteruskan tahun ini di mana kira-kira 23,000 pelajar Tahun Empat akan menerima pemberian kerajaan untuk meningkatkan kemahiran IT, pengetahuan am dan cemerlang dalam pelajaran.

Encik Hashim berharap ibu bapa bersyukur dan menghargai setiap pemberian kerajaan ini dengan cara memberi sokongan berterusan dalam usaha memertabatkan bidang pendidikan di negeri ini.













Harrif buru impian ke Olimpik

Oleh: Aida Abd Rahman

Penampilan bertenaga pelumba Terengganu Pro-Asia Cycling Team (TSG) Mohd Harrif Salleh yang kian memuncak hasil kejayaan kebelakangan ini termasuk dua kali memijak podium perlumbaan terbesar Asia, Le Tour de Langkawi (LTdL) 2012 lalu, menjadi tapak kukuh buatnya untuk disenaraikan ke Sukan Olimpik London nanti.

Nama anak muda berusia 24 tahun itu mungkin tidak segah rakan seangkatannya, Anuar Manan, namun pelumba kelahiran Kampung Ladang, Kuala Terengganu juga dilihat mampu meledak kebangkitan sebagai pelumba terbaik negara di pentas Kejohanan Dunia di Melbourne, Australia bermula 4 April ini.

Terbaru, Mohd Harrif menjuarai sirkit pertama Kejohanan Grand Prix Kebangsaan 2012 di Kedah, kelmarin.

“Saya harap kejayaan yang dilakar baru-baru ini seperti di Kejohanan Berbasikal Asia (ACC), LTdL, siri Grand Prix dapat membuka mata PKBM (Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia) untuk disenaraikan ke Sukan Olimpik.

“Pengalaman perlumbaan sehari berlumba di Sukan Komanwel New Delhi dapat membantu saya sekiranya terpilih ke Olimpik. LTdL adalah tempat terbaik untuk PKBM menilai pelumba kerana kelajuannya lebih kurang sama,” katanya.

Kejayaannya merangkul pingat gangsa di ACC 2012 di Velodrom Kuala Lumpur bulan lalu mendapat kepercayaan jurulatih, John Beasley untuk disenaraikan dalam acara scratch di Kejohanan Dunia bulan depan.

“Saya mahu ke Kejohanan Dunia ini bagi mengukur tahap kayuhan saya berbanding pelumba pelumba dunia yang lain seperti Britain, Perancis, Itali.

“Jika pada penyertaan kali pertama di Kejohanan Dunia 2008 saya gagal menamatkan perlumbaan, kali ini saya yakin untuk memberikan keputusan yang lebih baik,” katanya.

Berdasarkan kedudukan ranking semasa pelumba negara yang dikeluarkan Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI), Malaysia layak menghantar dua pelumba secara merit bersaing di Sukan Olimpik London.