Halaman

10 April 2012

Penuntut UMT wakili negara ke program pengajian UK

Oleh: Aida Abd Rahman

Dua pelajar Malaysia termasuk seorang dari Universiti Malaysia Terengganu, Nurhidayah Mukhtar, 23, terpilih untuk mengikuti program pengajian musim panas antarabangsa Aston University di United Kingdom (UK) yang dijadualkan pada Julai.

Selain Nurhidayah, Mohamad Asri Abdul Jani, 24, dari Universiti Malaya yang berjaya menunjukkan prestasi cemerlang di kejohanan bahas tempatan turut terpilih mengikuti program itu.
Mereka dijangka akan menjalani program selama tiga minggu menerusi tajaan Persatuan Alumni Malaysia Universiti Aston.

Dua pelajar berkenaan yang terkejut terpilih mengikuti program yang mampu memberi pengalaman baru dan memperluas pandangan itu menerima replika cek berjumlah RM20,000 dari Menteri Pengajian Tinggi Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin bagi pihak persatuan itu, di Kuala Lumpur, semalam.




Penyu julang Piala Emas Khir Johari

Oleh: Aida Abd Rahman

Pasukan Terengganu yang menggunakan strategi bertahan dan menyimpan tekong terlebih dulu, berjaya menjulang Piala Emas Khir Johari buat kali pertama pada Kejohanan Sepak Takraw Kebangsaan Ke-49 di Dewan Majlis Perbandaran Manjung, Perak, Ahad lalu.

Kejayaan skuad bimbingan Ahmad Mohd. Zin membenam juara bertahan, Selangor 2-0 dalam perlawanan akhir melayakkan skuad Penyu meraih RM5,000 pada kejohanan berpasukan tertua di dunia itu, sekali gus menghampakan hajat lawan mencipta rekod penyandang terbanyak, 12 kali.

Biarpun diheret ke set penentuan oleh Selangor yang dibarisi ramai pemain elit dan bekas pemain berpengalaman antarabangsa, Terengganu tidak mudah goyah, malah mampu mengekang asakan lawan bagi memenangi kedua-dua regu, (15-10, 11-15, 15-9) dan (15-6, 10-15, 15-12) dalam tempoh 160 minit.

Mata kemenangan bermakna Terengganu hasil paduan trio Mohd Syazwan Husin, Mohd Hami Khairi Roslan dan Mohd Safarudin A Bakar yang membenam regu Ahmad Sufi Mohamed Hashim, Norshahruddin Mad Ghani dan Farhan Adam.

Manakala kemenangan kedua disumbangkan oleh Mohd Faiz Jalal, Mohd Fadzly Roslan dan Zulhafizazwan Roslan yang mengecewakan benteng Selangor yang dibarisi Noor Azman Abdul Hamid, Arif Ramli dan Mohd Putra Abd Ghani.



PAS ‘menikus’ dengan Ambiga, Bersih tapi boikot program anti murtad


Oleh FAUZI MOHD

Awal bulan lalu, Pesuruhjaya Pas Selangor menyatakan kepada umum berhubung pendirian Pas yang lebih mendahulukan politik berbanding pendedahan isu murtad oleh Bekas EXCO Selangor, Dato’ Dr. Hasan Ali.

Tidak lama selepas itu, kenyataan Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu membuktikan pendirian parti itu adalah benar dan sahih, matlamat politik didahulukan dan ancaman akidah diketepikan.

Dalam kenyataan rasmi di sidang akhbar 5 April lalu, Mat Sabu telah menyatakan kesediaan Pas untuk mengembleng tenaga ahli dan penyokongnya bagi menjayakan demonstrasi Bersih 3.0 yang akan diadakan pada 28 April ini di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur.

“Saya menyeru ahli dan penyokong Pas dan Pakatan Rakyat turun beramai-ramai bagi menuntut pilihan raya yang bersih.

“Kita anggarkan kehadiran dalam setengah juta rakyat untuk menunjukkan kesungguhan rakyat hendakkan pilihan raya yang bersih dan adil,” kata beliau pada sidang media di Ibu Pejabat PAS, Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur.

Begitu pantas dan ‘menikus’ pemimpin Pas sebaik sahaja pertubuhan haram Bersih 3.0 mengumumkan perancangannya untuk mengadakan demonstrasi pilihanraya.

Jauh berbeza jika dibandingkan dengan sebuah NGO, Himpun kira-kira enam bulan lepas yang mengadakan perhimpunan aman anti murtad di Stadium Shah Alam, Selangor.

Usahkan kenyataan sokongan rasmi pimpinan tertinggi Pas, sedikit pun tiada galakan diberikan kepada penyokong dan ahli Pas untuk menyertai program tersebut sekalipun diketahui tujuannya ikhlas demi menyelamatkan akidah ummah.

“Presiden Pas telah menyatakan bahawa Pas tidak terlibat dalam Himpunan Sejuta Umat, oleh itu Pesuruhjaya Pas Selangor, Dr Abdul Rani Osman mengarahkan semua ahli Pas di Selangor, agar tidak terlibat dalam himpunan tersebut,” kata kenyataan Setiausaha Pas Selangor, Mohd Khairuddin Othman pada 19 Oktober tahun lalu.


09 April 2012

Maidam kutip zakat RM17.9 juta

Oleh; Esah Abdullah

Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) berjaya mengutip zakat sebanyak RM17.9 juta sejak awal tahun hingga hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Haji Wan Harujan Sulaiman berkata, dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini (Januari – Mac) pihaknya mengutip zakat berjumlah RM16.7 juta.

“Dalam tempoh yang sama tahun lalu, kita hanya mengutip RM11.5 juta dan ini menunjukkan peningkatan sebanyak RM5.2 juta berbaning tempoh yang sama tahun lalu,” katanya pada sidang media selepas menerima pembayaran zakat perniagaan dari Telekom Malaysia Berhad di pejabatnya petang ini.

Katanya, jabatan mensasarkan kutipan zakat RM100 juta tahun ini dan angka itu tidak mustahil dicapai berdasarkan kutipan semasa yang semakin meningkat setiap bulan berbanding tahun lalu sebanyak RM84 juta.

“Zakat pendapatan dan perniagaan menjadi teras utama meningkatkan jumlah kutipan atau 23 peratus diikuti zakat wang simpanan,” katanya.

Tambahnya, bagi mencapai sasaran berkenaan unit promosi Maidam telah bergerak ke pusat-pusat membeli belah , pasar-pasar malam, institusi kerajaan untuk potongan gaji serta syarikat-syarikat yang baru dan lama.

“Di samping mengingatkan umat Islam terhadap tanggung jawab membayar zakat sama ada zakat pendapatan atau perniagaan juga membuat penilaian dan penjelasan kaedah pembayaran yang boleh dibuat oleh orang ramai,” katanya.



Sementara itu, Syarikat Telekom Malaysia Berhad telah membuat bayaran zakat perniagaan berjumlah RM190,977 yang disampaikan Pengurus Besarnya, Encik Badrul Hisham Bahari kepada Haji Wan Harujan mewakili Maidam.




MB turun padang beri maklumat sahih

Oleh: Aida Abd Rahman

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said turun padang menemui rakyat di segenap tempat termasuk mengadakan majlis pertemuan bersama penjawat awam persekutuan dan negeri bagi menyampaikan sendiri maklumat yang sahih berkaitan dasar, rancangan dan pelaksanaan kerajaan negeri selama ini.



“Saya tidak menolak ada di kalangan penjawat awam sendiri yang begitu mudah terpengaruh dengan dakyah pembangkang, tohmahan, tuduhan dan terpaksa menemui mereka bagi menceritakan dasar, rancangan dan pelaksanaan melalui `first hand information’ daripada saya sendiri,” katanya.

Menteri Besar berkata, sebagai `front liner’ kepada pentadbiran kerajaan, penjawat awam perlu memahami dan mengetahui tindakan yang sepatutnya serta mengelak daripada sekadar mengandaikan dan menyebarkan maklumat palsu kepada orang ramai.

“Kita beritahu kepada rakyat apa yang sedang berlaku dan kerana itulah kita menayangkan video (merujuk video Runtuhnya Sebuah Empayar) bukan suatu hiburan, tetapi sebagai renungan bersama apakah nasib dan masa depan agama, bangsa dan negara kita,” katanya.

Selain itu, beliau juga tidak menafikan ada di kalangan penjawat awam yang bertindak dengan memberikan komen dan respon yang keterlaluan terhadap program yang dijalankan kerajaan negeri.

“Saya memerhatikan lenggang-lengguk penjawat awam, sama ada mereka menjalankan tanggungjawab diamanahkan dengan betul dan berdasarkan jawatan masing-masing atau pun menjadi `gunting dalam lipatan’ serta `api dalam sekam’,” katanya.

Pada masa yang sama, kerajaan negeri berdepan cabaran bagi `membangunkan minda’ masyarakat yang hanyut dan memberi gambaran sebenar apa yang sudah dilaksanakan kerajaan selama ini.

“Cabaran kerajaan untuk menyedarkan masyarakat mengenai apa yang kerajaan laksanakan. Ada pihak lain mengambil kesempatan untuk menidakkan kebenaran itu, menceritakan sebaliknya, memfitnah, membuat tohmahan dan menceritakan yang bukan-bukan, menyebabkan orang ramai terkeliru,” katanya.



Rakyat disaran usah bazir undi

Oleh: Suriati Ali

Rakyat negeri ini diminta tidak mensia-siakan undi pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 dengan cara memilih kerajaan yang benar-benar berwibawa demi memastikan kesinambungan proses pembangunan di Terengganu.

Ketua Penerangan Umno Terengganu, YB Haji Ahmad Razif Abdul Rahman, berkata perkara itu hanya dapat dicapai sekiranya kerajaan yang dipilih benar-benar berwibawa dan dipimpin oleh mereka yang berkebolehan serta berpengalaman.

“Sebab itu, kita perlukan sebuah kerajaan yang lebih memfokuskan kepada agenda rakyat dan kerajaan yang pandai serta bijak merancang sesuatu pelan berkesan dalam menjaga perihal pembangunan rakyat.

“Jika rakyat memilih dan mengundi mana-mana parti tidak pasti ke mana hala tuju dan hanya pandai menabur janji melalui manifesto `khayalan’ undi mereka dianggap membazir ,” katanya kepada Teganukita.

Katanya, semua jentera parti Umno Terengganu terutama peringkat bahagian dan negeri sudah bersedia menghadapi PRU Ke-13 walaupun diadakan dalam tempoh terdekat.

“Pihak kami sudah bersedia sepenuhnya untuk menghadapi demam PRU Ke -13 dengan menyusun semuanya termasuk daripada aspek gerak kerja peringkat cawangan, peti undi, DUN, bahagian dan negeri.

“Pihaknya sudah nampak persefahaman antara semua barisan kepimpinan sama ada peringkat bahagian mahupun negeri,” katanya.



Konsep turun padang mampu pikat hati rakyat

Oleh: Suriati Ali

Konsep turun padang yang dilaksanakan Umno Terengganu nyata membanggakan semua pihak kerana ia bukan saja mampu menambat hati rakyat, malah dapat memperjelaskan setiap perubahan dan dasar kerajaan kepada peringkat akar umbi.

Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno Terengganu, Dato’ Yahya Khatib Mohamad, berkata pihaknya yakin pengetahuan rakyat mengenai pelaksanaan dan pelbagai kejayaan yang diraih Barisan Nasional (BN) di Terengganu, mendoorong mereka untuk terus menyokong Kerajaan BN.

Menurutnya, penjelasan mengenai kejayaan BN di ambil perhatian oleh semua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) yang ketika ini dikatakan cukup rancak melakukannya di seluruh negeri supaya rakyat tidak melupakan usaha BN untuk memastikan mereka mencapai kehidupan lebih baik.

“Kita ada buat penerangan melalui perhimpunan dan program dengan fakir miskin di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN), Skim Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) sebanyak RM500 dan sebagainya.

“Melalui program seumpama ini, Adun akan mendedahkan kejayaan Terengganu sehingga ke peringkat akar umbi,” katanya kepada Teganukita.
Katanya, pihak tidak menolak bahawa pembangkang sering tidak puas hati dan dengki dengan pelbagai kejayaaan yang diraih kerajaan BN hari ini.

“Bagaimanapun, kita tidak mengambil serius perkara itu, sebaliknya terus menjelaskan kepada rakyat untuk memastikan mereka menghargai sumbangan dan menilai kebaikan serta kejayaan BN.

“Pembangkang memang hobinya membangkang, apa saja yang dilaksanakan kerajaan walaupun mengetahui ianya untuk kebaikan semua rakyat, mereka tetap cemburu, iri hati, mengkritik selain menganggap membazir,” katanya.



Belanja RM20 ribu dari poket sendiri untuk orang Manir

Oleh: Aida Abd Rahman

Usaha yang dilakukan berpaksikan kepada keikhlasan bagi membantu penduduk yang tidak berkemampuan mendapatkan rawatan dan ubat-ubatan secara percuma .

Tidak ramai mengetahui hakikat sebenar kemudahan perubatan percuma yang disediakan Klinik Rawatan Masyarakat Yusof Awang Hitam, di Kampung Pulau Bahagia, sejak tiga tahun lalu itu mampu dimanfaatkan lebih 20,000 penduduk Dewan Undangan Negeri (DUN) Manir yang menelan perbelanjaan kira-kira RM20,000 sebulan.

Tanpa mengira latar belakang pesakit dan fahaman politik mana sekalipun mereka tetap diberikan layanan sama rata oleh lebih 10 petugas dan pakar perubatan, malah dibekalkan ubat-ubatan yang mengikut prosedur perubatan sebenar.

Kos yang agak besar itu dikeluarkan dari `poket’ Pegawai Pembangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Manir, Encik Yusof Awang Hitam sendiri untuk menyediakan perkhidmatan setiap dua kali sebulan yang lazimnya pada pertengahan dan hujung bulan.

“Lazimnya lebih 10 pakar perubatan dari Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Hospital Kuantan dan Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian termasuk dua daripadanya pembantu farmasi dari HUSM ditugaskan khas untuk mengendali klinik yang beroperasi jam 9 pagi hingga 5 petang, dua kali sebulan itu.

“Setiap kali dibuka, kami mampu memberi perkhidmatan kepada 400 pesakit. Malah, kalau pesakit tidak mampu datang sendiri ke klinik, kami bawakan pula doktor ke rumah mereka bagi memastikan pesakit mendapat rawatan yang sepatutnya.Kita juga menyediakan perkhidmatan berkhatan percuma setahun sekali, iaitu pada cuti persekolahan hujung tahun,” katanya kepada Teganukita, baru-baru ini.

Rentetan itu, Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak yang mengadakan lawatan sehari ke Terengganu dan melawat DUN itu pada 30 April lalu, meluluskan pula pembinaan Rumah Penginapan 1Malaysia berhampiran klinik dengan kos RM150,000.

“Rumah yang cukup selesa dan luas memiliki tiga bilik dan dua bilik air dapat menempatkan semua petugas klinik setiap kali mereka ke sini. Insya-Allah bermula bulan depan mereka akan dapat menginap di rumah ini sekaligus mampu menjimatkan bajet menyewa hotel,” katanya.

Menurut Encik Yusof lagi, usaha secara sukarela itu tercetus selepas perkenalan beliau dengan seorang doktor pakar yang merawat isterinya di HUSM yang mencadangkan supaya mewujudkan klinik yang menyediakan perkhidmatan secara percuma kepada penduduk yang tidak berkemampuan di Manir.

“Di bawah persatuan yang dinaungi doktor pakar berkenaan dan komitmen padu antara kami bagi membantu dan menjaga kebajikan penduduk Manir, akhirnya hasrat kami berhasil dan memberi manfaat kepada ramai yang memerlukan,” katanya.



Golongan belia beri sambutan menggalakkkan menyertai Rela




Oleh: Mohammad Ishak

Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) menubuhkan Unit Rela Muda dengan kemasukkan semakin ramai anggota baru dari kalangan belia yang berumur antara 18 hingga 25 tahun sejak dua tahun lalu.

Ketua Pengarahnya, Datuk Mustafa Ibrahim berkata dengan sambutan tersebut pihaknya telah menubuhkan unit tersebut minggu lepas bagi memberi peluang kepada kaum belia berkhidmat untuk negara.

Katanya, ketika ini terdapat seramai 800,000 anggota Rela yang berumur 18 hingga 25 tahun berbanding dengan 1. 6 juta orang dari kalangan dewasa yang berumur 26 hingga 40 tahun dan selebihnya berumur 40 tahun ke atas.

Menurutnya, pada keseluruhannya anggota Rela diseluruh negara kini mencecah 2.93 juta orang dengan kemasukkan lebih ramai anggota baru sejak dua tahun lalu.

“ Sehubungan dengan perkembangan terbaharu itu Rela akan disusun semula dalan memberi fokus kepada memperkemaskan fungsi dan mengabungkan kemahiran kepada setiap ahli supaya mereka dapat berkhidmat dengan lebih berkemahiran” ,katanya kepada media selepas

Majlis Perjumpaan dan Dailog dengan anggota Rela daerah Besut dan masyarakat setempat di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kuala Besut di sini hari ini.

Mustafa berkata dengan keramaian anggota Rela di setiap ceruk sekarang mereka telah diminta untuk bertindak sebagai duta kecil kerajaan sejajar dengan tanggungjawab mereka yang semakin penting dan mencabar di peringkat kampung sekarang.

Turut hadir dimajlis itu ialah Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Negeri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Kuala Besut Dr. A. Rahman Mokhtar dan Pemangku Pengarah Rela Negeri, Muhammad Abu Bakar.

Pada majlis itu yang sama dua anggota Rela dari Pulau Perhentian Kuala Besut, Abdullah Omar dan Mat Sarif Hamzah yang ditimpa musibah ekoran kebakaran rumah kediaman bulan lalu menerima sumbangan daripada kerajaan.



Ceramah Pas gagal tarik minat orang ramai

Oleh: Kamarudin Mat Akib

Ceramah Pas di segenap tempat di negeri ini gagal menarik orang ramai untuk mendengar apa yang dikatakan pemimpin parti itu, mungkin disebabkan penduduk tempatan sudah bosan dengan ‘lagu’ lama yang didendangkan di ceramah berkenaan.

Berbeza dengan dulu, boleh dikatakan ramai yang akan membajiri ceramah-ceramah anjuran parti itu, terutama jika ada penceramah ‘import’ yang melibatkan pemimpin atasan parti tersebut.

Hakikatnya rakyat kini sudah bosan dengan ceramah Pas yang kebanyakannya mengutarakan isu-isu lapuk di mana orang ramai sudah tahu kebanyakan fakta yang disogok kepada mereka tidak benar dan hanya bertujuan menjatuhkan maruah pemimpin Barisan Nasional (BN).

Pemerhati politik berpendapat sokongan keterlaluan pemimpin-pemimpin Pas terhadap pemimpin pembangkang lain yang berada dalam Pakatan Rakyat (PR), khususnya Ketua Pembangkang, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, menyebabkan mereka mula ragu-ragu dengan hala tuju perjuangan Pas.

Jika dulu rakyat tempatan diulit dengan kata-kata indah pemimpin Pas yang mahu menegakkan negara Islam, kini ceramah Pas banyak bertumpu kepada kata-kata nista dan celaan kepada individu tertentu dari Barisan Nasional (BN).

Keadaan ini menyebabkan ramai yang dulunya terpengaruh dengan perjuangan Pas, kini mula memikirkan kelogikan mereka menyokong perjuangan parti itu.

Pelbagai isu yang melanda pemimpin PR yang didokong oleh Pas menyebabkan rakyat sudah tidak mampu meneruskan sokongan mereka kepada Pas.

Justeru itu, tidak hairanlah jika hanya beberapa kerat saja yang hadir pada ceramah Pas di negeri ini di mana kebanyakan mereka yang hadir merupakan penganjur kepada ceramah tersebut.

Keadaan agak berbeza dengan program yang dianjurkan oleh Barisan Nasional (BN) di mana penduduk tempatan akan keluar beramai-ramai bagi menjayakan program berkenaan.

Tambah menarik, program anjuran BN di kawasan yang dikatakan ‘kubu’ kuat Pas juga berjaya menarik kehadiran luar biasa, terutama jika ia melibatkan kehadiran pemimpin atasan BN.

Pemerhati politik berpendapat fenomena ini memberi kelebihan kepada BN di mana sebahagian besar penyokong Pas kini mula mengalihkan sokongan mereka kepada BN.

Jika keadaan ini berterusan, bermakna BN menghadapi keadaan yang lebih selesa untuk berdepan dengan Pas dan parti-parti lain dalam PR pada Pilihan Raya Umum Ke-13 yang akan diadakan pada bila-bila masa.