Halaman

13 April 2012

Simpan maklumat `pengkhianat’ kerajaan

Oleh: Aida Abd Rahman

Bukanlah suatu yang mengejutkan apabila melihat paparan berita di sebuah akhbar tempatan, beberapa hari lalu mengenai Pas mendakwa ada pegawai tinggi kerajaan yang bersedia berkhidmat untuk parti itu dan sanggup menjadi calon sekiranya ditawarkan.

Kenyataan yang dibuat Ketua Penerangan Dewan Ulama Pas Pusat, Nik Muhammad Zawawi Nik Salleh itu dikatakan berdasarkan pengakuan dibuat beberapa pegawai kerajaan dalam satu perjumpaan dengan beliau sendiri.

Jika berbalik kepada logik akal, mana mungkin dalam satu komuniti dan kampung mempunyai pendapat serupa terhadap sesuatu perkara, malah atas sebab tidak berpuas hati dengan sesuatu isu juga ada individu ataupun kumpulan tertentu cenderung melakukan perkara yang berlawanan sebagai tanda protes termasuklah menjadi penentang kerajaan.

Begitu jugalah dengan `pegawai kerajaan’ yang didakwa Nik Muhammad itu. Walaupun menerima gaji dan sudah cukup kenyang dengan rezeki yang diperolehi hasil bekerja di bawah majikannya, golongan `cerdik pandai’ itu tetap `tidak sebulu’ dengan tuannya itu.

Mana mungkin setandan pisang, kesemua buahnya elok dan boleh dimakan.Walaupun membesar dan mendapat makanan daripada batang dan akar yang serupa, tetap ada yang `cacat celanya’. Begitu jugalah dengan sikap penjawat awam terbabit.

Dakwaan orang kuat Pas negeri itu juga tidak diketahui sejauh mana kebenarannya, malah isu itu bukan suatu ancaman, sebaliknya boleh dianggap sekadar persepsi dalam usaha menutup kelemahan `tuan’ mereka sendiri.

Pun begitu, Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, dalam satu perjumpaan dengan kakitangan awam Persekutuan dan negeri, baru-baru ini berkata, beliau bukan tidak boleh mengambil tindakan terhadap `pengkhianat’ dalam kerajaan, bagaimanapun lebih mahu bersikap hanya `tunggu dan lihat’.

“Kita mempunyai maklumat mengenai setiap penjawat awam yang menjadi `gunting dalam lipatan’ dan `api dalam sekam’ ini,” kata beliau.

Dalam hal itu juga, Menteri Besar masih mahu berkompromi dengan golongan yang tidak tahu berterima kasih itu supaya mereka kembali merenung perjuangan dan jasa Kerajaan BN yang sudah banyak responsif terhadap kehendak mereka, melakukan kebaikan serta kebajikan sejak dulu lagi.

Malah, golongan itu juga diingatkan supaya lebih bijak menafsir dan menilai sebarang maklumat, selain membantu kerajaan memberi informasi yang tepat dan benar, tanpa menokok tambah atau pun bersikap prejudis.

“Sebagai penjawat awam perlu lebih peka dan memahami setiap isu dan tidak hanya menerima sebarang tohmahan yang dilemparkan kepada kerajaan termasuk bertindak menyebarkan maklumat tidak tepat itu kepada umum.

Pada masa yang sama, penjawat awam yang dibayar gaji oleh Kerajaan Pusat mahu pun negeri perlu menunaikan tanggungjawab kepada rakyat sebaik mungkin kerana rakyat akan menilai sejauh mana mutu perkhidmatan yang diberikan kepada mereka.

“Amanah haruslah dipikul dengan sebaik mungkin. Bagaimanapun, `berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul’ kerana kami `orang politik’ terpaksa menjawab setiap lima tahun sekali.

“Bukan setakat lima tahun, kadangkala tidak sampai lima tahun kita perlu berhadapan dengan rakyat dan diadili oleh rakyat (ketika Pilihan Raya Umum),” katanya.



Pinjaman RM19 juta kepada 18 koperasi seluruh Terengganu

Oleh: Aida Abd Rahman

Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) memperuntukkan RM19,159,620 kepada 18 koperasi seluruh Terengganu pada tahun ini sebagai Pinjaman Tabung Modal Pusingan dengan Koperasi Keluarga Dato’ Hashim Mamat Kuala Terengganu Berhad menerima pinjaman tertinggi yang berjumlah RM3.5 juta.

Suntikan dana yang besar bagi setiap koperasi itu memberi semangat baru untuk menjana keuntungan dan menambahkan daya saing di kalangan usahawan Bumiputera.

Replika cek sebagai simbolik penyerahan dana pinjaman itu disampaikan Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said di Majlis Himpunan Koperator Satu Terengganu, di Stadium Negeri, Kuala Terengganu, semalam (12 April 2012).

Seorang penerima yang mewakili Koperasi Al-Falah Kijal Kemaman, YM Raja Mazlan Raja Muda, berkata pinjaman berjumlah RM1,889,100.80 yang diterima bagi pihak koperasinya mencerminkan kerajaan yang prihatin menerusi dasar yang ditetapkan di peringkat Pusat serta negeri kerana berupaya menyediakan pelaburan cukup besar kepada setiap koperasi bagi memajukan ekonomi Bumiputera.

“Pinjaman kira-kira RM1.89 juta ini bertujuan untuk membiayai kos membeli empat aparment Samsuria Becah Residence di Sungai Ular Mukim Sungai Karang, Pahang bagi dijadikan sebagai tempat penginapan bagi tujuan disewakan kepada pelancong.

“Kami akan memastikan tempat penginapan ini mampu menjana hasil dan memberi keuntungan yang boleh dinikmati oleh 321 orang ahli yang berdaftar di bawah koperasi yang mula ditubuhkan sejak 2006 ini,” katanya lagi.

Pada masa yang sama, SKM turut menyediakan Bantuan Pembangunan SKM kepada enam koperasi yang mendaftar melebihi dua tahun serta memiliki projek yang berdaya maju dan terlibat dalam Program Tukar dengan peruntukan keseluruhan RM280,000.

Koperasi terlibat termasuk Koperasi Adik Kakak kampung Pulau Rusa Kuala Terengganu Berhad (RM30,000), Koperasi Perwaja Kemaman Berhad (RM50,000), Koperasi Ladang Rakyat Kemaman Terengganu Berhad (RM50,000) dan Koperasi Peserta Felcra Seri Bandi Kemaman (RM50,000).

Selain itu, sejumlah RM50,000 turut disediakan sebagai Bantuan Pembangunan Koperasi Kerajaan Negeri Terengganu kepada lima koperasi yang berpotensi dan berdaya saing untuk menyediakan kemudahan asas dengan masing-masing menerima suntikan RM10,000.

Koperasi berkenaan adalah Koperasi Ummu Wahidah Terengganu Berhad, Koperasi Noor Arfa Terengganu Berhad, Koperasi Peka Malaysia Berhad, Koperasi Wawasan Rukun Tetangga Losong Atap zin Kuala Terengganu Berhad dan Koperasi Bersatu Jaya Pulau Perhentian besut Berhad.









Saya tidak akan masuk campur - MB

Oleh; Esah Abdullah

“Saya tidak akan masuk campur dalam isu penyokong bola sepak negeri ini yang bertindak menaikkan kain rentang di luar Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah kerana kecewa dengan kekalahan pasukan Terengganu di tangan Tampines Rovers, Singapura ,” kata Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said.

Katanya, beliau bersuara sebagai peminat dan tidak berhajat untuk masuk campur dalam kemelut penyokong dengan pihak pengurusan bola sepak negeri ini bagi mengelakkan kemungkinan dikenakan tindakan pihak FAM.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kejadian Selasa lalu di mana lebih 300 penyokong fanatik berkumpul di luar stadium sambil menaikkan kain rentang mendesak Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), Dato’ Che Mat Jusoh meletak jawatan.

Katanya, selaku peminat bola sepak beliau juga berharapkan kemenangan pasukan dalam setiap perlawanan tapi adatlah pertandingan mesti ada kalah dan menang.

“Saya faham mereka kecewa, tapi berilah peluang pengurusan mencari formula baru untuk baiki kelemahan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Konvensyen Media Sosial 1Malaysia di di Dewan Besar, Wisma Darul semalam.

Selasa lalu Terengganu tumpas 2-0 di laman sendiri dalam perlawanan keempat Piala AFC dan telah menimbulkan tidak puas hati segelintir penyokong fanatik.




Yakin undi BN meningkat- Dato’ Yahya

Oleh: Suriati Ali

Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno Terengganu, Dato' Yahya Khatib percaya undi populariti Barisan Nasional (BN) akan terus meningkat pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 berbanding PRU-12 pada 2008.

“Keyakinan itu berdasarkan sokongan pengundi muda di samping tindakan keluar parti ramai penyokong pembangkang khususnya Pas di negeri ini sejak beberapa tahun lalu,” katanya.

Jelas beliau pembangkang di negeri ini cukup terdesak dan bangkrap isu untuk berdepan BN sehingga sanggup memperbodohkan ahli mereka sendiri terhadap beberapa program yang diadakan UMNO termasuk program Selamat Tinggal Pas.

"Selain ketandusan isu mereka cuba menenangkan penyokong mereka yang lain setelah ramai ahli mereka bertindak keluar parti", katanya.

Katanya, pihaknya akan terus mengadakan pelbagai program khususnya mendekati golongan muda terutama mengajak mereka mempertahankan pembangunan dan kemajuan yang sedang rancak dilakukan di negeri ini.

UMNO juga katanya lagi kini mahu rakyat menghayati slogan "Tidak Pernah Sebelum Ini dan Masihkah Kau Ingat" sebagai ingatan agar mereka tidak memperjudikan masa depan mereka dengan menyokong pembangkang pada pilihanraya umum akan datang.

Slogan "Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan’" merujuk kepada projek pembangunan untuk rakyat yang dilaksanakan di bawah kerajaan BN dan tidak wujud pada zaman pemerintahan Pas.

Antaranya pembinaan lebuh raya, kompleks belia, pembesaran lapangan terbang, mewujudkan universiti serta pelbagai projek infrstruktur yang lain.

Manakala slogan "Masihkah Kau Ingat" pula menjurus kepada kezaliman yang dilakukan oleh Pas ketika mereka memerintah seperti menghalau kanak-kanak Tabika Kemas daripada premis belajar, penyelewengan hasil balak dan pelbagai bentuk kezaliman lain.



22 tahun perintah Kelantan Pas bina dua masjid

Oleh: Kamarudin Mat Akib

Pas hanya membina dua masjid dalam tempoh 22 tahun parti itu memerintah negeri Kelantan.

Dalam tempoh yang sama, parti itu hanya mampu mewujudkan sebuah gedung perniagaan iaitu Tesco, bagi menjana ekonomi negeri tersebut, demikian kata seorang blogger, Azmi Awang Kechik.

Disebabkan kegagalan Pas meningkatkan syiar Islam dan membangunkan ekonomi negeri tersebut, Azmi memberitahu lebih 1,500 pengamal sosial dari negeri Terengganu, beliau malu untuk mengaku sebagai orang Kelantan.

Pengamal media sosial yang terdiri penulis blog, facebook dan twitter berhimpun di Wisma Darul Iman, pagi semalam, bagi mendengar amanat YAB Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, yang mahu mengenali mereka secara lebih dekat.

“Dalam tempoh 22 tahun berkuasa di Kelantan, Pas berjaya membina sebuah patung Budha yang berada dalam keadaan berdiri, yang terbesar di Asia Tenggara,” katanya.

Kedaan itu jauh berbeza dengan negeri Terengganu yang ditadbir urus oleh pemimpin Umno dan Barisan Nasional (BN) di mana lebih 30 buah masjid dibina pada setiap tahun sejak 2004.

Pada masa pentadbiran Pas di negeri Terengganu, masalah yang sama berlaku di mana parti itu hanya mampu membina beberapa masjid dalam tempoh empat tahun (1999 hingga 2004), itu pun sebahagiannya tidak mampu disiapkan mengikut jadual ditetapkan.

Beberapa masjid yang dibina pada masa Pas memerintah negeri ini terbengkalai dan dia hanya dapat disiapkan selepas Umno dan BN mengambil alih semula pemerintahan negeri ini daripada Pas.

Itulah pebezaan ketara antara Umno dan BN yang mempunyai rekod cemerlang dalam mentadbir urus sesebuah negeri dan negara berbanding Pas dan rakan-rakan pakatan mereka yang hanya tahu bercakap.




12 April 2012

Koperasi bantu capai pemilikan ekuiti Bumiputera 30 peratus

Oleh: Aida Abd Rahman

Gerakan koperasi memainkan peranan penting merealisasikan hasrat kerajaan untuk mewujudkan masyarakat perdagangan dan perindustrian Bumiputera, sekaligus dapat mencapai pemilikan ekuiti Bumiputera sebanyak 30 peratus dalam negara, kata Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Usahawan dan Koperasi negeri, Dato’ Mohamed Awang Tera.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Himpunan Koperator di Stadium Negeri, Kuala Terengganu, hari ini.

Hadir sama,Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said; Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Datuk Md Yusuf Samsudin dan Pengarah SKM Negeri Terengganu, Encik Osman Ismail.

“Justeru itu, saya yakin pendekatan berkoperasi sebagai jentera ekonomi dalam negara secara saksama, mengurangkan kadar kemiskinan dan mewujudkan perpaduan dan kesejahteraan di kalangan masyarakat, tanpa mengira agama, bangsa dan fahaman politik.

“Diharapkan menerusi koperasi segala dasar dan hasrat kerajaan akan tercapai dalam tempoh masa yang ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata, penekanan SKM yang menggalakkan masyarakat menjadi koperasi adalah sebagai mekanisme alternatif untuk menjana ekonomi.

Katanya, masyarakat juga dissarankan membudayakan koperasi dalam kehidupan harian mereka serta menjadikan koperasi sebagai satu gaya hidup.

“Lebih-lebih lagi koperasi sudah diiktiraf kerajaan sebagai sektor ketiga dalam pembangunan ekonomi negara selepas sektor awam dan swasta.

“Oleh itu, saya menyeru semua anggota koperasi supaya mengambil bahagian aktif dalam setiap koperasi baik pengeluaran, kewangan, pengurusan, pentadbiran dan pemasaran supaya koperasi serta ahlinya mendapat manfaat sepenuhnya melalui kewujudan koperasi berkenaan,” katanya.







Sasar tujuh peratus sumbangan sektor koperasi kepada KDNK Terengganu

Oleh: Aida Abd Rahman

Kerajaan negeri mensasarkan sumbangan sektor koperasi kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negeri Terengganu sebanyak tujuh peratus menjelang 2013.



Sasaran bersama Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Negeri Terengganu itu dijangka akan meningkat tiga peratus lagi menjadi 10 peratus pada 2020 berbanding masa kini hanyalah sekitar satu peratus sahaja.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata bagi merealisasikan hasrat itu, kerajaan negeri bersama SKM negeri akan terus menggiatkan lagi pendaftaran koperasi baru, selain menambah nilai koperasi sedia ada.


“Kerajaan negeri mensasarkan 600 buah koperasi di negeri ini menjelang 2013. Pada 1 Julai tahun lalu, kerajaan negeri melalui Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Usahawan dan Koperasi negeri telah melancarkan 1 Kampung, 1 Koperasi.

“SKM juga dengan kerjasama jabatan hal Ehwal Agama Terengganu sedang giat menubuhkan koperasi di setiap khairiah masjid di seluruh negeri,” katanya ketika merasmikan Majlis Himpunan Koperator Satu Terengganu, di Stadium Negeri, Kuala Terengganu, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Usahawan dan Koperasi negeri, Dato’ Mohamed Awang Tera; Pengerusi Eksekutif SKM, Datuk Md Yusuf Samsudin dan Pengarah SKM Negeri Terengganu, Encik Osman Ismail.

Menteri Besar berkata, bagi merancakkan lagi penubuhan koperasi baru, kerajaan negeri turut bersetuju memberi bantuan kepada koperasi baru peringkat kampung dan komuniti yang menunjukkan prestasi baik dan boleh berdaya saing yang melibatkan dana RM10,000 setiap satu.

Katanya, sebanyak 10 koperasi menerima faedah itu pada tahun lalu, manakala jumlah itu meningkat sebanyak RM100,000 pada tahun ini.

Untuk rekod, sehingga 31 Disember lalu, sebanyak 492 koperasi di seluruh Terengganu dengan 236,756 orang ahli keseluruhannya.

Sementara modal syer dan yuran berjumlah RM182,234,150.23 dengan aset Rm375,449,185.88 selain urusniaga pada 2011 berjumlah Rm297,808,470.49.














Pengamal media diminta dapatkan sumber sahih

Oleh: Suriati Ali

Pengamal media sosial diingatkan supaya mendapat kesahihan maklumat atau berita secara tepat sebelum disiarkan melalui mana-mana medium sama ada blog, facebook dan twitter.



Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata sebagai pihak yang benar tidak seharusnya terikut-ikut dengan gaya penulisan yang berbaur negatif kerana ia boleh menjurus kepada perpecahan politik, pemisahan dan kebencian antara satu sama lain.

Katanya, blogger dan facebooker juga mempunyai peranan penting bagi memperbetulkan keadaan, sekiranya masih terdapat lompang atau apa-apa kecacatan yang dilaksanakan kerajaan.

“Kita janganlah guna kemahiran atau saluran yang ada ini untuk memfitnah, berbohong dan menjatuhkan orang yang tidak berdosa.

“Peranan pengamal media sosial cukup penting kerana apa yang ditulis itu bukan saja dapat disebarkan kepada umum malah mampu menangkis tohmahan negatif daripada pihak tidak bertanggungjawab,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Perasmian Penutup Konvenyen Media Sosial di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu hari ini.



Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains & Teknologi dan Sumber Manusia negeri, YB Haji Ahmad Razif Abd Rahman; Ketua Pengarah Penerangan Jabatan Penerangan Malaysia; pemimpin-pemimpin masyarakat setempat dan pegawai-pegawai kanan kerajaan.

Kira-kira 2,000 peserta daripada pelbagai agensi, media sosial dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) hadir bagi memeriahkan majlis yang bertujuan mewujudkan jalinan kerjasama antara pasukan pangamal media sosial.

Pada masa sama menggandakan potensi dalam menyampaikan maklumat kepada pengguna alam siber pelbagai medium.

Beliau berkata, penggunaan media baru itu penting kerana ia turut menjadi wadah sebahagian besar rakyat ini mendapatkan maklumat mengenai perkembangan politik semasa.

“Kita akan memberi input-input yang berkaitan kepada blogger-blogger berkenaan supaya mereka mendapat gambaran yang jelas mengenai program dan projek yang sudah dilaksanakan pemimpin Barisan Nasional (BN),” katanya.


Had kelayakan terima dana raya dinaikkan

Oleh; Esah Abdullah

Kerajaan negeri akan menaikkan kadar had kelayakan pendapatan bulanan ketua keluarga daripada RM1,500 kepada RM2,000 bagi penerima Dana Raya tahun ini, supaya lebih ramai yang layak menerima bantuan tersebut.

Dengan kadar baru itu, bermakna ketua isi rumah yang berpendapatn RM2,000 ke bawah layak menerima bantuan menyambut Aidilfitri yang disediakan kerajaan negeri bagi meringankan beban golongan berpendapatn rendah membuat persiapan menyambut lebaran.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata, keputusan menaikkan kadar tersebut dilakukan selaras dengan kelayakan penerima BRIM Kerajaan Pusat iaitu RM3,000 ke bawah.

“Syarat dulu mereka yang berpendapatan RM1,500 ke bawah (layak terima Dana Raya), tapi mulai tahun ini kita naikkan kepada RM2,000,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Media Sosial 1Malaysia di di Dewan Besar, Wisma Darul Iman hari ini.

Beliau berkata, borang-borang bagi memohon bantuan berkenaan akan mula diedar kepada orang ramai pada akhir bulan ini atau selewatnya awal Mei depan.

Menurutnya, penerima dana raya mungkin bertambah 10 peratus tahun ini kerana terdapat keluarga baru serta perubahan pada had kelayakan penerima.

Tahun lalu kerajaan membelanjakan RM50 juta yang diagihkan kepada 165,000 penerima dana raya di seluruh negeri.

Dana raya diagihkan dalam tiga peringkat iaitu warga emas (RM200), keluarga miskin dan orang kurang upaya (RM300) serta yang mempunyai ramai tanggungan (RM400).





Perlu bijak sampaikan berita

Oleh: Suriati Ali

Setiap pegamal media sosial dan facebooker sewajarnya menyampaikan maklumat secara berkesan dan lebih menarik supaya mudah bagi orang ramai memahaminya.

Ketua Pengarah Penerangan Jabatan Penerangan Malaysia, berkata kaedah penyampaian berita juga perlu diteliti supaya tidak disalah erti serta mengelak berlakunya jurang antara penyampai dan pendengar berita.

Katanya, oleh itu, kita perlu memahami teknik pengolahan maklumat dengan baik dan menyampaikan berita itu sebaik mungkin. Jika masih menggunakan idea dan kaedah lama, mungkin tidak lagi berkesan terutama kepada golongan belia.

“Cabaran untuk menyampaikan berita kini semakin sukar kerana terdapat pihak tertentu gemar menggunakan media baru seperti blog, twitter dan sebagainya untuk menyampaikan maklumat palsu.

“Oleh itu, kita perlu bijak menilai setiap maklumat yang disampaikan kerana dibimbangi apa yang dibaca itu fitnah atau berita mengaibkan maruah seseorang iindividu,” katanya ketika berucap di Majlis ketika berucap di Konvensyen Media Sosial di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains & Teknologi dan Sumber Manusia negeri, YB Haji Ahmad Razif Abd Rahman; Ketua Pengarah Penerangan Jabatan Penerangan Malaysia; pemimpin-pemimpin masyarakat setempat dan pegawai-pegawai kanan kerajaan.

Kira-kira 2,000 peserta daripada pelbagai agensi, media sosial dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) hadir bagi memeriahkan majlis yang bertujuan mewujudkan jalinan kerjasama antara pasukan pangamal media sosial.

Pada masa sama menggandakan potensi dalam menyampaikan maklumat kepada pengguna alam siber pelbagai medium.

Katanya, alam siber begitu popular pada setiap remaja dan dewasa pada masa kini. Ia seakan menjadi satu keperluan dan bukan lagi kehendak pada setiap pengguna internet di Malaysia.

Pelbagai implikasi dan perisian yang digunakan untuk disesuaikan dengan keperluan masing-masing. Terdapat di antara mereka menggunakan untuk tujuan menghentam, fitnah kerajaan, melaga-lagakan orang politik dan sebagainya.