Halaman

14 April 2012

Senarai calon PRU 13 belum muktamad – Setiausaha Agung UMNO

Oleh FAUZI MOHD

UMNO pusat sudah menerima semua senarai nama calon parti itu yang berpotensi bertanding pada pilihan raya umum ke-13 ini, kata Setiausaha Agung Umno, Dato’ Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Menurutnya, senarai nama calon itu diterima dari bahagian-bahagian parti secara berperingkat sehingga tarikh akhir penyerahan pada 2 April lalu.

Beliau berkata, semua bahagian UMNO telah diminta mengadakan mesyuarat Jawatankuasa Khas bagi menamakan calon-calon yang dicadangkan bertanding pada pilihan raya umum akan datang.

"Bagaimanapun senarai nama calon yang diutarakan kepada pucuk pimpinan ini bukan muktamad," katanya semalam yang dipetik Bernama.

Tengku Adnan yang juga Setiausaha Agung BN berkata, beliau juga telah meminta parti komponen BN lain untuk menyenaraikan nama-nama calon di kawasan yang akan ditandingi.


Keahlian Srikandi hanya untuk isteri pertama

Oleh FAUZI MOHD

Badan Amal dan Kebajikan Isteri Wakil-Wakil Rakyat Terengganu (Srikandi) menegaskan keahlian pertubuhan itu hanya untuk isteri pertama wakil rakyat Barisan Nasional (BN) negeri ini.



Pengerusinya, To’ Puan Seri Norliza Mahmud berkata, syarat keahlian itu telah ditetapkan dalam peraturan Srikandi dan ia selaras dengan amalan Badan Amal Kebajikan dan Tenaga Isteri-Isteri Menteri (Bakti) serta badan kebajikan itu di negeri-negeri lain.

Menurutnya, penegasan itu penting berikutan masih terdapat di kalangan wakil rakyat atau bekas wakil rakyat yang turut mempersoalkan perkara itu.

“Tidak ada masalah untuk wakil rakyat atau bekas wakil rakyat beristeri lebih dari seorang, tetapi keahlian Srikandi terhad untuk isteri pertama kerana banyak program kita (Srikandi) turut melibatkan suami masing-masing,” katanya.

Beliau yang juga isteri Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said berkata demikian dalam ucapannya pada Mesyuarat Agung Tahunan Srikandi kali ke-25 di Dewan Majlis Perbandaran Dungun, hari ini.

Tambah To’ Puan Seri Norliza, peraturan itu tidak bermakna Srikandi tidak mengiktiraf peranan isteri kedua atau ketiga seseorang wakil rakyat, kerana mereka mempunyai banyak peluang lain dalam membantu suami berkhidmat kepada masyarakat.



Mesyuarat yang dirasmikan Menteri Besar itu turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Infrasturktur dan Kemudahan Awam negeri, Datuk Zaabar Mohd Adib dan Ketua UMNO Dungun, Datuk Rosli Mat Hassan.

Dato’ Seri Ahmad dalam ucapannya memberi peringatan kepada isteri wakil-wakil rakyat di negeri ini supaya tidak menunjukkan kemewahan ketika bersama masyarakat.

Beliau berkata, peringatan tersebut diberikan bagi mengelak perilaku mereka itu mencalarkan imej suami mereka di mata rakyat sehingga menyebabkan masyarakat tidak lagi menyokong wakil rakyat itu dan parti yang diwakilinya.

Sebaliknya, kata beliau, isteri seharusnya bertindak sebagai pembantu dan menegur perbuatan suami mereka jika tindak-tanduk wakil rakyat itu mungkin menjejaskan kredibilitinya.



“Isteri-isteri wakil rakyat diingatkan supaya tidak membebani suami mereka dengan menonjolkan kemewahan walaupun mampu memilikinya tetapi mereka sebaliknya perlu menunjukkan sifat sederhana dan membantu suami mereka,” katanya.

Srikandi kini mempunyai 63 keahlian terdiri daripada isteri kepada individu yang sedang dan pernah menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Negara.



Sementara itu, Srikandi turut menyumbangkan RM40,000 kepada 40 buah Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Jabatan Kebajikan Masyarakat tahun ini bagi keperluan kanak-kanak dan remaja yang dilatih di pusat itu.



Imtiaz Besut jalin kerjasama universiti Jordan, Mesir

Oleh FAUZI MOHD

Yayasan Terengganu (YT) sedang dalam perancangan untuk memperkenalkan program pendidikan secara usahasama dengan beberapa universiti luar negara di Kompleks Imtiaz Besut.

Pengarahnya, Zakaria Yusof ketika memberitahu perkembangan tersebut berkata, antara negara luar yang terbabit adalah Jordan dan Mesir.

Beliau menjelaskan, pada masa sama, kompleks yang menelan belanja kira-kira RM50 juta itu mampu menempatkan 1,000 pelajar elit apabila siap dibina menjelang 2014.

"Ini bermakna, kompleks ini bukan sahaja untuk penempatan kira-kira 1,000 pelajar elit, malah, kita akan melaksanakan program pendidikan dengan universiti di Jordan dan Mesir.

"Jadi, kita minta orang ramai supaya bersabar dan mengikis persepsi negatif kononnya kompleks ini akan jadi 'gajah putih'. Sebenarnya kita sedang dalam proses perancangan untuk memastikan kompleks ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya," katanya baru-baru ini.

Beliau mengulas keluhan 'Anaknya Hafiz' dalam ruangan forum Utusan Malaysia yang khuatir kompleks berkenaan bakal menjadi projek 'gajah putih' apabila gagal dimanfaatkan oleh para pelajar secara keseluruhannya.

Zakaria seterusnya menyatakan keyakinannya bahawa program pendidikan dengan universiti luar negara itu turut memberi peluang kepada pelajar menyambung pengajian di kompleks tersebut sebagai persediaan sebelum ke universiti kelak.

Menurutnya, pihaknya kini memberi tumpuan menyiapkan pagar untuk keselamatan kompleks berkenaan daripada sebarang pencerobohan.

Buat sementara waktu, kesemua 500 pelajar Kompleks Imtiaz Besut terpaksa ditempatkan di bangunan baru di Kampung Pelagat, Besut.


534 graduan PSMZA terima diploma

Oleh FAUZI MOHD

Seramai 534 graduan Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin (PSMZA) menerima diploma pada Istiadat Konvokesyen PSMZA ke-9 yang berlangsung di Dewan Besar politeknik itu di Dungun baru-baru ini.

Mereka terdiri daripada graduan Jabatan Kejuruteraan Awam, Jabatan Kejuruteraan Elektrik, Jabatan Kejuruteraan Mekanikal serta Jabatan Teknologi Maklumat dan Komunikasi.

Majlis penyampaian disempurnakan oleh Pengerusi Yayasan Pelajaran Mara, Datuk Rosli Mat Hassan. Turut hadir, Pengarah PSMZA, Mejar (K) Zolkarnain Jobshi.

Terdahulu, Rosli dalam ucapannya berharap, institusi-institusi pendidikan tinggi tempatan terutamanya PSMZA mengambil peluang daripada kepesatan pembangunan daerah ini bagi menyediakan modal insan secukupnya

Ini kerana katanya, kekayaan sumber alam dan kemudahan pengangkutan sempurna telah menjana perkembangan industri yang mantap dan ekonomi stabil di daerah ini, sekali gus menawarkan banyak peluang pekerjaan.

"Status Majlis Perbandaran Dungun pada Ogos 2008 lalu telah membuka laluan untuk kerajaan negeri menjadikan daerah ini sebagai hab pelancongan, industri asas tani, industri petrokimia dan pendidikan menjelang 2015.

"Justeru itu, seharusnya warga PSMZA merebut peluang ini untuk menjadi sebagai sebuah institusi yang menyediakan tenaga kerja pakar dan profesional dalam bidang berkaitan," katanya.

Beliau berkata demikian pada Istiadat Konvensyen PSMZA kali ke-9 yang berlangsung penuh gilang-gemilang itu.

Pada istiadat itu, Huda Maisarah Ab. Halim, 26, dipilih sebagai penerima Anugerah Kecemerlangan Akademik dan Kokurikulum (Jabatan Kejuruteraan Mekanikal) manakala Fatin Hanis Nadhirah Mat Adam, 22, bagi Jabatan Kejuruteraan Awam dan Nasibah Mat Jaafar, 22, Jabatan Kejuruteraan Elektrik.

Sementara itu, Zolkarnain berkata, sejak 2001 hingga Disember 2010, PSMZA telah menampung 15,083 pelajar dan mengeluarkan 10,721 graduan dan tenaga kerja separa profesional dalam industri di negara ini.

Jelasnya, untuk menggarap kecemerlangan akademik, PSMZA tidah pernah berhenti berusaha untuk memantapkan kualiti graduannya.

Ia terbukti apabila politeknik itu berjaya mencapai Tier 4, yang merujuk kepada taraf amat baik bagi keputusan penarafan Politeknik atau PolyRate 2011 yang diumumkan oleh Menteri Pengajian Tinggi tahun lalu.

"Ia merangkumi elemen seperti tahap kebolehpasaran graduan, kepuasan majikan dan pelajar terhadap politeknik serta pencapaian para pelajar dalam generic students attribute." jelasnya.


Semua pihak diajak kekalkan perpaduan



Oleh: Mohammad Ishak


Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri ini berperanan membentuk kumpulan masyarakat yang harmoni dan bersatu padu bukan sahaja dikalangan penduduk pelbagai kaum malah antara masyarakat berlainan fahaman politik.

Ahli Dewan Undangan negeri (ADUN) Jertih, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, tanggungjawab pertubuhan sukarela amat penting dalam menyatupadukan rayat kerana sebagai organisasi yang tidak dipengaruhi politik ia mampu mengajak rakyat menyertai sesuatu program sosial.

Sebagai contoh,katanya, Kawasan Rukun Tetangga (KRT) yang diujudkan Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional, Jabatan Perdana Menteri (JPM), berupaya meningkatkan penyertaan rakyat menerusi pelbagai program yang dilaksanakan.

Program Sukaneka Perpaduan boleh dijadikan contoh dalam usaha memumuk semangat perpaduan dikalangan masyarakat pelbagai kaum di negeri ini kerana ia disertai pelbagai lapisan masyarakat setempat.

Program bersama membabitkan tiga KRT iaitu KRT Bandar Jertih,KRT Seberang Jertih dan KRT Simpang Tiga Jertih selaku tuan rumah yang diadakan di Padang Sekolah Pusat Jertih, amat menarik kerana disertai komuniti pelbagai kaum serta masyarakat pelbagai fahaman parti politik.

Ketika merasmikan program itu Idris yang juga Pengerusi MARA berharap menerusi aktiviti seumpama itu dapat meningkatkan semangat kesukanan dan kerjasama ibu bapa, pemimpin masyarakat dan komuniti setempat.

“Kerajaan amat menghargai usaha yang dilakukan oleh badan sukarela seperti KRT kerana ia mempunyai pengaruh kuat dikalangan masyarakat setempat,” katanya.

Sempena program itu, pelbagai acara menarik diadakan membabitkan kira-kira 100 peserta termasuk kanak-kanak Tabika Perpaduan, Ibu bapa dan ahli jawatankuasa KRT di kawasan DUN Jertih.




Tiada sebab tolak BN

Oleh: Aida Abd Rahman

Segala janji sudah banyak dilaksanakan dalam tempoh empat tahun pemerintahan Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said.

Malah, nikmat pembangunan dirasai segenap lapisan masyarakat tanpa mengira mereka penyokong kerajaan mahupun pembangkang.

Tanpa mengira ideologi politik pembangunan tetap berjalan di semua kawasan secara adil dan tiada yang diketepikan. Malah, dalam kes tertentu kawasan pembangkang pula menerima dana paling tinggi berbanding kawasan yang dimenangi BN.

Bantuan dan insentif diberikan semua lapisan masyarakat, sama ada pelajar, atlet sukan, warga emas dan remaja kerana mereka semua layak menerima faedah menerusi konsep `Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan’.

Selain e-book kepada murid Tahun Empat hingga Enam yang sudah diterima hampir 100,000orang, bantuan laptop kepada guru, kelas maya, bantuan atap rumah, membaiki rumah mahupun insentif kepada atlet serta pelajar cemerlang.

“Saya minta semua penduduk di kawasan pembangkang ini supaya berubahlah. Tiada sebab untuk saudara saudari semua menolak kepimpinan kerajaan (Barisan Nasional) hari ini.

“Segala pembangunan, kemudahan dan pelbagai bantuan kita berikan. Daripada bermula kelahiran sehinggalah meninggal dunia, bantuan kerajaan tidak pernah berhenti,” katanya.

Terlalu banyak bantuan wang ringgit dan tidak terhitung juga pembangunan serta kemudahan fizikal dan prasarana di sekeliling kita yang diwujudkan sebagai memenuhi kehendak dan keperluan rakyat.

Di peringkat nasional pula, Program Transformasi Kerajaan (GTP) yang diperkenalkan Kerajaan BN pimpinan Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd Najib Tun Razak juga jelas memberi kesan positif ke serata negeri termasuk Terengganu.

Pelbagai kejayaan dan program yang memberi manfaat kepada rakyat sepanjang tiga tahun pemerintahan Dato’ Sri Najib yang jelas berpaksikan `Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan’.

Program yang mula dinikmati rakyat awal tahun ini termasuk Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M)kepada 5.2 juta rakyat berpendapatan rendah dan sederhana berjumlah RM500 kepada setiap isi rumah.

Selain perubatan percuma menerusi Klinik 1Malaysia dengan bayaran caj perkhidmatan RM1 jelas memberi kelegaan dan membantu rakyat yang kurang berkemampuan.

Pelajar turut mendapat faedah menerusi Baucar Buku 1Malaysia yang sudah dinikmati 1.3juta pelajar dengan peruntukan RM200 bertujuan meringankan beban mereka bagi membeli keperluan pembelajaran.

Malah, setiap pelajar sekolah rendah dan menengah diberi bantuan persekolahan RM100 seorang, tanpa mengira taraf hidup keluarga mereka.

Terbukti, Kerajaan BN tidak sekadar berjanji kosong, sudah terbukti realitinya yang kian membuka mata dan hati setiap rakyat untuk menilai antara` kaca dan permata’.

Kuasa berada di tangan setiap rakyat apabila tiba Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti bagi menentukan parti yang benar-benar membela bangsa dan agama seperti mana yang dilaksanakan BN, ataupun memilih parti yang hanya tahu berjanji, namun `tidak mengukur baju di badan sendiri’.




Golongan muda diminta bantu jentera parti

Oleh: Suriati Ali

Golongan muda termasuk kepimpinan puteri diminta bersama-sama perkemas barisan untuk membantu jentera Barisan Nasional (BN) negeri untuk mengekalkan kemenangan serta merampas kembali kawasan yang dikuasai parti pembangkang.

Ketua Penerangan Umno Terengganu YB Haji Ahmad Razif Abdul Rahman berkata, pihaknya tidak mahu semangat ahli-ahli itu bermusim terutama ketika menjelang pilihan raya, sebaliknya terus mendokong semangat kerjasama bersama sayap lain termasuk Pemuda dan Wanita.

“Kerajaan memperjuangkan kepentingan bangsa Melayu dan sebarang usaha menganggu hak keistimewaan kaum Bumiputera mesti dipertahankan,” katanya.

Katanya, pergerakan Puteri yang mewakili pengundi muda perlu bekerja keras mendekati dan memberi penerangan kepada orang muda yang mungkin tidak begitu menghayati apa yang diperjuangkan oleh pemerintah hari ini.

“Kita yakin hasil kerjasama semua sayap dalam parti, kerajaan di bawah kepimpinan Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said mendapat sokongan penuh seluruh rakyat yang cintakan keamaman,” katanya.

YB Razif turut memberitahu, penerangan Umno negeri membuat penerangan berterusan untuk meneruskan penyampaian maklumat kepada rakyat di setiap peringkat Dewan Undangan Negeri di Terengganu, sebagai persiapan awal untuk pilihanraya umum ke 13.

“Apabila maklumat sampai kepada rakyat, membolehkan mereka tahu apa sebenarnya yang sedang, telah dan akan dilakukan oleh pihak kerajaan di bawah kepimpinan Barisan Nasional (BN) untuk masa depan mereka.

“Pada masa yang sama penerangan juga perlu diberikan kepada rakyat tentang kepalsuan pembangkang yang berjuang semata-mata untuk mendapat kuasa, tetapi gagal membela rakyat dan mentadbir negeri bila diberikan kuasa,” katanya.





BN perlu mandat rakyat

Kini sudah empat tahun Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, menerajui pentadbiran Negeri Terengganu yang berpaksikan slogan “Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan”, menabur bakti kepada seluruh rakyat, tanpa mengira fahaman politik.

Dalam setiap pemberian dan program kerajaan, semua penduduk yang layak, menerima imbuhan tersebut, tidak kira mereka menyokong Umno dan Barisan Nasional atau pun parti pembangkang.

Setiap tahun agihan peruntukan yang adil dan saksama diberi kepada semua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di seluruh negeri, termasuk yang diwakili calon Pas.

Masalah rakyat seperti jalan berlubang, parit tersumbat, jambatan rosak dan pelbagai masalah lagi diselesaikan Kerajaan BN dengan segera walaupun sejak berpuluh tahun lalu penduduk di kawasan itu mengundi calon pembangkang.

Terlalu banyak peruntukan disediakan kerajaan bagi memajukan Terengganu dan hasilnya kejayaan demi kejayaan diicipta dalam banyak bidang, sekaligus menjadikan negeri ini dicemburui negeri lain.

Bukan saja pemimpin negeri ‘turun padang’ bagi meninjau masalah rakyat, tetapi pemimpin Pusat, termasuk Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd Najib Tun Razak dan Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin, turut berbuat demikian, demi bagi memastikan rakyat menikmati segala kemudahan.

Dek kerana terlalu sayangkan rakyat, ada kalanya dengan kaki terhincut-hincut kerana kecederaan lama di lutut, Menteri Besar tetap hadir pada majlis bertemu rakyat kerana mahu mendengar segala rintihan mereka.

Sepanjang tempoh pentadbiran beliau, golongan pelajar sentiasa diberi keutamaan mendapat pelbagai kemudahan bagi melanjutkan pelajaran, termasuk di luar negara.

Ratusan juta ringgit dibelanjakan setiap tahun bagi membiayai program di bidang pendidikan dan menyediakan bantuan pelajaran dan pembiayaan pelajaran.

Menteri Besar mahu melahirkan lebih ramai pelajar cemerlang supaya mereka mampu menjawat pelbagai jawatan yang elok agar dapat mengubah nasib keluarga masing-masing.

Begitu cekal Dato’ Seri Haji Ahmad dan saf kepimpinan Negeri Terengganu meniti ranjau dan duri serta jalan penuh liku bagi mentadbir negeri dengan hanya satu tujuan – memberi kemudahan dan khidmat terbaik kepada rakyat Terengganu.

Bagaimapun, seperti yang sering dikatakan Menteri Besar, kerajaan negeri tidak pernah meminta balasan atas apa jua bentuk bantuan yang diberikan kepada rakyat, tetapi pemimpin BN hanya mahu rakyat membalas budi dengan memberikan undi mereka kepada BN bila tiba pilihan raya.



Lebih ramai rakyat Terengganu dapat ‘duit raya’

Oleh: Kamarudin Mat Akib

Sambutan Aidilfitri tahun ini pasti lebih meriah kerana makin ramai rakyat Terengganu bakal mendapat ‘duit raya’ daripada Kerajaan Barisan Nasional (BN) yang memerintah negeri ini.

Tahun lalu, semua ketua keluarga yang berpendapatan RM1,500 ke bawah diberi Dana Raya, kira-kira dua minggu sebelum umat Islam seluruh dunia menyambut Aidilfitri.

Kerajaan negeri membelanjakan RM59 juta bagi memberi bantuan kepada 165,000 keluarga yang berpendapatan rendah bagi membolehkan mereka membeli keperluan menyambut hari lebaran, tanpa mengira fahaman politik.

Bagaimanapun, kerajaan negeri pimpinan Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, dalam mesyuarat Exco minggu ini telah memutuskan untuk menaikkan had kelayakan keluarga yang layak menerima bantuan berkenaan.

Sebagai kerajaan yang prihatin kepada rakyat, kadar had kelayakan pendapatan bulanan ketua keluarga yang menerima bantuan itu dinaikkan kepada RM2,000 supaya lebih ramai rakyat layak menerima bantuan tersebut.

Dengan kadar baru itu, bermakna ketua isi rumah yang berpendapatn RM2,000 ke bawah layak menerima bantuan menyambut Aidilfitri yang disediakan kerajaan negeri bagi meringankan beban golongan berpendapatn rendah membuat persiapan menyambut lebaran.

Dato’ Seri Haji Ahmad berkata, keputusan menaikkan kadar kelayakan tersebut dilakukan selaras dengan kelayakan penerima BRIM Kerajaan Pusat iaitu RM3,000 ke bawah.

Borang-borang bagi memohon bantuan berkenaan akan mula diedar kepada orang ramai pada akhir bulan ini atau selewat-lewatnya awal Mei depan.

Dengan kenaikan had kelayakan bagi bantuan tersebut, kerajaan negeri dijangka menyediakan peruntukan tambahan antara RM5 juta hingga RM10 juta bagi membiayai program cakna rakyat itu.

Itulah gambaran keperihatinan Kerajaan BN Terengganu membela nasib rakyat selaras dengan moto ‘Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan’ yang diamalkan sejak empat tahun lalu.

Tentunya sebagai balasan kerajaan amat menghargai jika rakyat berterima kasih kepada pemimpin BN yang sentiasa memikirkan kaedah untuk membela nasib mereka.

13 April 2012

Kempen Hidup Sihat sedarkan penduduk kampung


YB Ramlan Ali bersama penduduk kampung


Oleh: Mohammad Ishak

Program Kempen Hidup Sihat satu kaedah menarik bagi menyedarkan msyarakat apabila pelbagai acara yang membabitkan komunti dan jabatan kerajaan dapat dilaksanakan di peringkat kampung.

Pejabat Kesihatan Daerah Besut dengan kerjasama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselatan Kampung (JKKK) Gong Pasir, Jabi, kelmarin berganding tenaga menganjurkan program berkenaan dalam usaha mendekati masyarakat dengan jabatan kerajaan.

Sempena dengan program pelbagai acara menarik termasuk mengayuh basikal sejauh 10 kilomter dari Klinik Kesihatan Sri Medan, Besut ke Pusat Sumber JKKK Gong Pasir, Jabi, menarik perhatian peserta.

Acara kayuhan itu disertai 60 peserta disertai oleh pelbagai lapisan masyarakat apabila laluan menggunakan tanah sawah yang cantik mampu memikat peserta.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi Ramlan Ali, merasmikan program berkenaan di Kampung Gong Pasir dan turut menyampaikan sumbangan kepada penduduk.

Pengerusi Penganjur Dr Muhd Izuddin Alias yang juga Pegawai Perubatan dan Kesihatan Klinik Kesihatan Gong Medan ,berkata program itu bertujuan merapatkan hubungan penduduk dengan kakitangan jabatan selain menyampaikan maklumat mengenai penjagaan kesihatan kepada penduduk.

Selepas menyertai gotong royong membersih kampung bersama penduduk peserta kayuhan basikal meneruskan kayuhan menuju ke pusat pelancongan Lata Belatan Jabi untuk menyertai aktiviti lasak.

Katanya, peserta kemudian menyertai acara “Flying Fox” yang dikendalikan anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) bagi menguji semangat ketahanan mental peserta kayuhan.